Budak Bambam Itu
Bab 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
509

Bacaan






“Masya Allah, cantiknya lukisan awak!”

“Tahniah, sekali lagi lukisan awak dipamerkan di papan kenyataan. Dah berapa kali ya lukisan awak terpilih? Rasanya dah lebih 22 kali. Cemburunya saya dengan awak.”

“Murid-murid yang lain, lihat lukisan ini. Cantik, memukau setiap mata yang memandang. Inilah yang saya cari. Pelukis ini memang dilahirkan untuk menjadi pelukis! Saya bangga dengan kamu!”

“Awak memang pelukis yang hebat. Kalaulah saya dapat 1 per 10 daripada bakat awak pun jadilah. Teringin juga nak hasilkan lukisan yang cantik di mata Cikgu Yatim misai lebat yang cerewet dan garang.”

“Tolonglah ajar saya melukis. Tolonglah! Saya merayu. Saya pun nak lukis cantik-cantik macam awak. Tolonglah saya supaya saya dapat mencapai impian murni saya ini!”

Tidak. Semua dialog di atas bukanlah pujian untuk Adilah. Dia tidak pernah sama sekali menerima walau satu pun pujian daripada rakan, jauh sekali guru lukisan. Dialog-dialog itu hanya berlegar-legar dalam khayalannya. Angan-angan yang... hmm... bolehlah dikatakan, kalau kucing bertanduk pun, belum tentu jadi kenyataan.

Hakikatnya, mata pelajaran lukisan adalah mata pelajaran yang paling membosankan Adilah. Sebenarnya bukan silap silibus ataupun guru yang mengajar tetapi silapnya, Adilah tidak pandai melukis!

Kasihan Adilah. Bukannya dia tidak berusaha. Sudah puas dia berusaha. Sayangnya Adilah tidak mewarisi bakat mamanya. Puan Kartina pelukis hebat di mata Adilah. Adilah selalu menemani Puan Kartina melukis. Mamanya melukis di kanvas manakala dia menconteng kertas lukisan.

‘Mama...,’ hatinya terus merintih. Wajah Puan Kartina kembali lagi memenuhi kotak fikirannya. Rindu pun bertandang lagi. ‘Seronoknya kalau mama ada di depan mata, saya akan peluk mama kuat-kuat supaya mama tak boleh tinggalkan saya lagi.’

“Adilah Arifin!” Jeritan Cikgu Yatim mematikan lamunannya. Perlahan-lahan Adilah bangkit. Berdiri tegak. Seperti selalu, dia berangan-angan. Seperti selalu juga, dia pastikantoi.

“Dah puas berangan? Dah sampai ke mana? Korea? Paris? Mekah? Madinah? Bintang? Bulan?” Sinis pertanyaan Cikgu Yatim.

Dan seperti selalu juga, Adilah terus tunduk membisu. Dadanya berombak mendengarkan langkah Cikgu Yatim yang mendekati mejanya.

“Apa yang kamu lukis ini?” tanya Cikgu Yatim. Suaranya masih tegas.

“Bu... bu... bunga,” tergagap-gagap Adilah menjawab.

“Apa?” tanya Cik Yatim sekali lagi.

“Bunga, saya lukis bunga, cikgu,” jawab Adilah. Kali ini tidak tergagap lagi, namun perlahan sahaja. Alahai, apa pula yang akan terjadi kali ini. Kenapalah dia suka sangat berangan-angan ketika kelas Cikgu Yatim. Bukannya Adilah tidak tahu Cikgu Yatim garang dan serius orangnya.

“Hmm, bunga ya?” Keras suara Cikgu Yatim. Dia mengangkat lukisan Adilah lalu menayangkan kepada semua pelajar yang lain. Adilah terus tunduk menggigit bibir. Tawa-tawa kecil meletus. Dadanya kian berdebar.

“Ada sesiapa yang boleh beritahu saya ini gambar apa? Adilah kata ini bunga tetapi...” Mata Cikgu Yatim kembali merenung Adilah.

Adilah mengangkat kepala, memerhati wajah teman-temannya dengan muka minta simpati. Mengharap belas mereka. Berharap ada yang mengangkat tangan dan menyelamatkannya. Masalahnya sesaat, dua saat, tiga saat, dan bersaat-saat berlalu, seluruh kelas terus membatu. Malah tawa-tawa kecil tadi lenyap. Suasana jadi sunyi sepi. Kelas itu seolah-olah kosong tanpa murid.

‘Tak ada sesiapakah yang sudi melindungi aku?’ Hatinya terus mengharap.

“Cepat kelas, takkan tak ada sesiapa pun yang tahu ini bunga apa?” Cikgu Yatim ulang sekali lagi pertanyaannya. “Susah payah Adilah lukis. Tak ada sesiapa yang dapat teka?” Tidak pasti, kata-kata itu sindiran ataupun ikhlas daripada hati Cikgu Yatim. Rasanya hanya sindiran sebab kalau betul ikhlas tidak mungkin Adilah terpaksa tempuh apa yang dia tempuh sekarang!

Buat seketika darjah 3 Dahlia seperti sarang lebah, bisik-bisik kedengaran. Mungkin mereka saling meneka. Namun tidak ada seorang pun yang mengangkat tangan bagi menjawab pertanyaan Cikgu Yatim, sekali gus menjadi penyelamat Adilah.

Adilah menjeling Imah, kawan baiknya yang duduk di sebelah. Imah merenungnya meminta simpati. Memang dia sudah jangka, Imah penakut! Takut dengan misai Cikgu Yatim.

“Cikgu Yatim, tolong jangan buli Adilah. Lenguh kaki Adilah berdiri lama-lama.” Satu suara yang ditunggunya sekian lama akhirnya muncul juga. “Cikgu tak sepatutnya mempertikaikan hasil seni Adilah. Biarlah dia nak lukis apa pun. Lukisan dia sudah cukup cantik di mata saya.”

“Kamu ni siapa?”

“Saya pelindung Adilah.”

Adilah memejamkan mata sambil tersenyum lebar. ‘Ya, dialah pelindung aku. Pengganti mama. Pelindung yang akan menjaga aku seumur hidupku! Puas aku tunggu, akhirnya dia muncul juga,’ bisik hati kecil Adilah.

“Adilah Arifin!”

Adilah tersentak lalu segera membuka mata. Senyumnya hilang serta-merta. Mata Cikgu Yatim terbeliak memandangnya. Adilah menggigit bibir. Ah, sudah.

“Sempat lagi kamu berangan!” Suara Cikgu Yatim kembali meninggi.

Adilah mengeluh. Argh… rupa-rupanya dia hanya berkhayal. Pelindung yang ditunggu-tunggu belum muncul lagi. Semangatnya yang menjulang tinggi seketika tadi, laju menjunam ke bumi buat kesekian kalinya. Hampa. Semakin hampa.

“Saya, cikgu.” Tiba-tiba kedengaran satu suara dari sudut belakang kelas.

Adilah menoleh ke arah suara itu. Kelihatan seorang budak lelaki mengangkat tangan. ‘Siapa dia? Bila masa pula dia wujud di dalam kelas ini? Kenapa aku tak pernah sedar dia rakan sekelas aku?’ dalam hati, dia tertanya sendirian.

“Kenapa kamu angkat tangan?” tanya Cikgu Yatim. Kini, seluruh kelas tertumpu kepada budak lelaki itu.

“Saya tahu bunga apa yang Adilah lukis,” jawabnya yakin. Budak lelaki itu berdiri tegak. Langsung tidak gugup. Adilah sedikit kagum dengan keberaniannya.

Seluruh kelas semakin gamat.

Adilah merenung budak lelaki itu dengan perasaan berbelah-bahagi. Gembira tetapi juga hampa. Gembira kerana budak lelaki itu sanggup bersuara membelanya. Hampa kerana budak itu bukan seperti dalam khayalannya. Dalam khayalannya, Adilah impikan seorang putera raja yang kurus, tinggi, dan kacak muncul menjadi pelindungnya. Kenapa kenyataan selalu tidak sama dengan mimpi? Kenapa budak lelaki yang ada di hadapan matanya ini bambam lagi katik? Kenapa? Kenapa? Huh!

“Kamu tahu. Bagus! Akhirnya ada yang sudi menjawab. Jadi, bunga apa yang Adilah lukis ini?” Cikgu Yatim bertanya dengan penuh minat. Malah seluruh kelas menumpukan perhatian kepada budak lelaki itu. Menunggu jawapannya.

Adilah sendiri tertunggu-tunggu. ‘Agaknya bunga apa yang kelihatan pada matanya?’ hatinya berbisik.

Budak lelaki itu menjawab dengan yakin, “Sekali pandang pun saya sudah dapat teka. Itu gambar bunga matahari yang ditiup angin kencang.” Dia tersengih lebar.

Seluruh kelas menjadi gamat. Adilah turut ketawa. Begitu selamba jawapan budak lelaki itu. Malangnya, Cikgu Yatim tidak turut sama ketawa. Wajahnya menyinga.

“Sudah! Adilah pergi berdiri di luar kelas.” Jari telunjuk Cikgu Yatim menghala kepada budak lelaki itu. “Kamu juga!”

Adilah bangun dengan perlahan. Kakinya berat melangkah keluar kelas. Wajahnya merah menahan malu. Budak lelaki itu turut mengekori langkah Adilah.

Mereka berdiri bersebelahan. Dalam keadaan lain, Adilah perlu mendongak tetapi berdiri dengan budak itu, budak itu yang perlu mendongak!

“Kenapa saya tak pernah nampak awak sebelum ini?” tanya Adilah.

Budak lelaki itu terus tersengih. “Sebab saya baru pindah ke sekolah ini semalam. Nama saya Hakim.”

Adilah mengangguk tanda mengerti. Semalam dia tidak hadir. Demam.

“Awak baru pindah ke sekolah ini, tak fasal-fasal kena denda pula. Maaflah.” Serba salah Adilah dibuatnya.

“Saya tak kisah. Anggap saja saya temankan awak,” selamba Hakim menjawab.

Adilah tersenyum lega. “Oh ya, sebelum saya terlupa. Bunga yang saya lukis bukan bunga matahari yang ditiup angin kencang tetapi, bunga tahi ayam kena lenyek dengan lori!” Sengaja dia bergurau.

Ketawa Hakim meledak. Adilah turut ketawa.

“Amboi, bukan main lagi ketawa! Seronok sangatkah didenda? Mahu saya tambah lagi denda?” Cikgu Yatim menjerit dari dalam bilik darjah.

Ketawa mereka mati. Mereka berbalas pandang. Hakim mengenyit mata. Adilah tersenyum, langsung terlupa jeritan Cikgu Yatim. Hatinya tiba-tiba berbunga. Bunga bahagia.

‘Mama, saya dah jumpa! Saya dah jumpa dia. Dia dah muncul. Oh,my guardian angel.’ Hati Adilah terus menyanyi riang. Dalam hati, dia memasang tekad, budak lelaki itu adalah pelindungnya. Pelindung yang akan sentiasa di sisi, menemaninya, gembira bersama, berduka bersama.

Bambam pun bambamlah.

Katik pun katiklah.

Adilah tidak kisah. Dia benar-benar tidak kisah!




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku