Budak Bambam Itu
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(9 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
314

Bacaan






“Adilah! Tunggu saya.” Imah terkedek-kedek berlari mengejar Adilah. Beg berisi buku yang berat yang disandang di belakang badannya terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan.

Sesi persekolahan sudah tamat. Seperti biasa Adilah akan jadi orang pertama keluar dari kelas. Laju menapak ke pintu pagar. Dia memang terlebih bersemangat pulang dari sekolah berbanding pergi ke sekolah. Bukanlah dia suka sangat berada di rumah, namun sekurang-kurangnya dia boleh berkurung di dalam bilik dan menatap album lama, mengenang mama.

Sudah tentu Adilah tidak menoleh, jauh sekali menghentikan langkah lalu menunggu Imah. Seperti biasa, dia larut dalam angan-angannya. Namun kali ini bukan tentang mama. ‘Aku mesti simpan baik-baik lukisan bunga matahari ditiup angin kencang ni. Ini lukisan yang menjadi titik perkenalan aku dengan Hakim,’ putus hati Adilah. Lukisan pada tangannya dipegang kemas.

‘Aku patut hadiahkan sesuatu kepada Hakim. Tanda terima kasih sebab tolong aku. Tetapi, apa yang aku patut beri? Hmm... sesuatu yang bermakna untuk Hakim tetapi tak gunakan duit. Kalau minta papa duit, tentu papa tanya. Kalau guna duit tabung, nanti berkuranglah tabungan aku! Apa ya hadiah yang percuma tetapi Hakim pasti suka?’ Gigih Adilah memerah otak berfikir. Alangkah bagus kalau Adilah juga gigih berfikir seperti ini apabila berkaitan pelajaran.

“Adilah, awak marah saya, ya?” Tercungap-cungap Imah. Akhirnya dia dapat beriringan dengan Adilah. Lengan Adilah dipegang.

Terkejut Adilah dibuatnya. “Apa awak cakap? Saya tak dengar.” Maklumlah sibuk berkhayal, manalah dia dengar.

“Saya tanya, awak marah saya ke? Saya panggil awak tak peduli pun. Maafkan saya.” Imah buat mimik muka mohon dikasihani lagi.

“Eh, awak panggil saya? Maaf, saya tak dengar. Kenapa pula saya nak marah awak?”

“Sebab tak tolong awak semasa Cikgu Yatim tanya tadi.”

Adilah tersenyum. “Oh... yang itu, abaikan saja. Saya tak marahlah.” Mood Adilah terlalu baik hari ini. Buat apa hendak bazir tenaga marah Imah? Lebih baik dia bergembira meraikan perkenalan dengan Hakim. Lagipun mujur Imah tidak membantunya. Kalau tidak, Hakim mungkin tidak bersuara.

Imah buat muka pelik. “Awak langsung tak marah saya? Sikit pun tak?”

“Tak. Sikit pun tak. Tapi... kalau saya tertinggal van sebab awak, saya akan marah. Saya lapar, saya tak sabar nak balik makan. Jalan cepat sikit boleh?”

Imah ketawa kecil. “Okey, okey. Jom.” Mereka beriringan laju menuju ke pintu pagar.

Tiba-tiba Adilah menjerit. “Hakim!”

Budak lelaki yang bambam lagi katik itu sudah berada di dalam kereta. Hakim menoleh.

“Jumpa esok!” Adilah melambai dengan bersungguh-sungguh. Hakim tersengih lalu membalas lambaian Adilah.

Imah hanya memerhati. ‘Patutlah tak marah,’ bisiknya dalam hati.


****

“Nenek, pukul berapa papa pulang hari ini?” Sudah 11 kali Adilah bertanya. Boleh dikatakan selang 22 minit Adilah mengulang soalan yang sama.

“Ish... kamu ni, berapa kali nak tanya? Bukankah nenek dah jawab tadi. Kalau tak ada apa-apa, papa kamu pulang selepas asar dan sebelum maghrib seperti selalu. Kalau ada urusan, lambat sikit.” Berkerut dahi nenek Adilah. Pelik, memang pelik. “Kenapa kamu tunggu papa?”

Adilah diam tidak menjawab. Memang selama ini dia tidak peduli pun pukul berapa papanya pulang. Setahun selepas Puan Kartina menghilang, hubungan Adilah dengan Encik Arifin biasa-biasa sahaja. Tidaklah tegang seperti bulan-bulan pertama mamanya meninggalkan mereka, namun tidaklah mesra.

Adilah hanya bercakap dengan Encik Arifin apabila perlu, contohnya ketika hendak minta duit untuk bayar yuran itu dan ini dan untuk beli buku dan keperluan lain. Juga apabila Encik Arifin bertanya soalan. Kalau tiada keperluan, Adilah memang tidak akan bercakap dengan papanya. Tiada istilah bergurau senda antara dua beranak itu.

Selepas berjam-jam menunggu dengan hati yang tidak berapa sabar, bunyi enjin kereta Encik Arifin pun sampai ke telinga Adilah. Bergegas Adilah ke muka pintu, malah terus ke kereta papanya yang diparkir di garaj.

“Kenapa papa balik lambat?”

“Kamu nak duit untuk beli apa?” tanya Encik Arifin.

Adilah tersengih. “Papa memang bijak.”

“Tak mungkin kamu begitu baik hati tunggu papa balik. Biasanya kalau kamu sambut papa mesti bersebab.” Encik Arifin faham benar sikap Adilah. Mereka beriringan masuk ke dalam rumah.

Adilah menunjukkan kertas lukisan pada tangannya. “Papa tolong belikan bingkai kayu warna putih ya. Saya nak gantung lukisan ini di dalam bilik.”

“Kamu biar betul? Tak mungkin lukisan ini pun kamu nak gantung di dinding?” Encik Arifin nyata terkejut. Lukisan itu ditenungnya betul-betul. Tidak tahulah kalau matanya sudah rabun, namun walau ditenung lama-lama, dia tetap tidak nampak di mana istimewanya lukisan yang hodoh itu.

Adilah tahu malah pasti lukisan itu tiada nilainya di mata papanya. Hanya contengan semata-mata. Namun, tidak pada Adilah. Lukisan itu yang menemukan dia dengan Hakim. Lukisan itu bermakna dan “cantik” di matanya.

‘Kalau mama ada, tentu mama faham!’ bisik hati kecil Adilah.

“Saya tak peduli! Saya tetap nak papa belikan bingkai warna putih. Letak cermin sekali. Saya mahu gantung di dalam bilik,” Adilah bertegas.

Encik Arifin mengeluh namun akur. Petang itu juga, mereka ke kedai gambar. Mencari bingkai yang sesuai. Adilah tersenyum lebar. Dalam hati ada kuntuman bunga mekar. Sudah lama dia tidak rasa gembira seperti.

Walaupun tidak mengerti, Encik Arifin turut tersenyum melihat gelagat anaknya. “Semoga senyuman ini kekal setiap hari,” bisik Encik Arifin sendirian.

‘Mulai saat ini, lukisan ini akan menjadi benda terakhir aku lihat sebelum tidur, dan apabila bangun pagi, lukisan ini yang akan mula-mula menyapa pandangan aku.’ Adilah tersenyum mengenangkan hakikat itu. Hakikat yang hari-harinya selepas ini pasti menjadi ceria.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku