Budak Bambam Itu
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
377

Bacaan







“Awal kamu bangun hari ini? Biasanya bukan main susah lagi nak kejut kamu,” tegur Encik Arifin.

Adilah buat tidak dengar. Dia terus makan sandwic telur dengan laju. Air susu coklat dihabiskan hanya sekali teguk.

“Cubalah minum elok-elok. Awal lagi, yang kamu gelojoh sangat kenapa? Biasa kamu tak kisah pun lambat ke sekolah.” Pelik pula Encik Arifin melihat gelagat anaknya itu. Entah apa yang dikejarnya.

Adilah bangun dari kerusi. “Papa tolong hantar saya hari ni boleh? Van sekolah lambat. Saya nak pergi awal.”

“Kenapa? Ada hal apa?” Semakin berkerut dahi Encik Arifin. Selama ini Adilah susah bangun awal, seolah-olah terpaksa ke sekolah. Setiap hari pun lesu dan longlai. Tiba-tiba hari ini terlebih bersemangat pula.

Adilah mengambil bekas berisi sandwic di tepi cawan lalu dimasukkan ke dalam beg. Malam tadi, dia sudah berpesan kepada neneknya, dia mahu bawa bekal hari ini. Dia minta neneknya sediakan sandwic kegemarannya.

Soalan Encik Arifin tidak dijawab. “Saya tunggu di luar ya. Papa jangan makan lama-lama.” Amboi Adilah, sudah seperti memberi arahan pula.

Lima minit berlalu pun terasa seperti 55 jam. Lama betul dia menunggu papanya. Dia sudah tidak senang duduk. Hatinya membuak-buak mahu ke sekolah secepat mungkin. Dia mahu sampai awal. Ada hajat yang mahu ditunaikan.

“Papa, lama lagi ke?” jerit Adilah dari muka pintu.

Encik Arifin menghabiskan air yang berbaki suku. Jam di tangan dilihatnya. Baru pukul 7.00 pagi. Jarak ke sekolah Adilah bukan jauh pun. Hanya lima minit perjalanan dalam keadaan trafik pada waktu pagi.

“Papa!”

“Apa yang kecoh-kecoh ni?” Nenek Adilah yang baru sudah mengaji muncul dalam keadaan yang masih bertelekung.

“Tak ada apa, mak. Tak tahulah kenapa cucu mak ni terlebih bersemangat nak ke sekolah pagi ni.”

Adilah menghampiri neneknya yang sudah berada di muka pintu. Tangannya neneknya disalam. Itu rutin sebelum ke sekolah. Juga rutin pulang dari sekolah. Bersalam dengan orang yang lebih tua, papa, mama, dan nenek. Rutin yang diajar mama.

Memang Adilah selalu ingatkan diri supaya ikut semua ajaran mama supaya kelak apabila bertemu semula, mama akan rasa bangga dengannya. Err... kecuali hal melibatkan sekolah dan pelajaran. Hendak buat macam mana, Adilah memang biasa-biasa sahaja dalam pelajaran. Apatah lagi mama tiada untuk menemaninya mengulang kaji pelajaran. Semakin tidak bersemangat dibuatnya.

“Alhamdulillah, nampaknya nenek kena buat sujud syukur.” Nenek tersenyum-senyum.

“Kenapa pula nenek?” tanya Adilah.

“Doa nenek dah termakbul. Nampaknya cucu nenek sekarang bukan cucu nenek yang dulu. Cucu nenek sekarang dah jadi rajin. Bakal pelajar cemerlang!”

Encik Arifin yang sedang memakai stoking ketawa. Adilah mencebik. Nenek menyindirnya dalam gurau. Tidak mengapalah. Dia tidak kisah. Hari ini angin dia baik jadi apalah sangat sindiran itu.


****


Ketika Adilah sampai, dia lihat meja dan bangku di belakang masih kosong. “Dia belum sampai lagi,” bisik Adilah perlahan lalu duduk di kerusinya. Dikeluarkan buku bahasa Inggeris dengan niat mahu ulang kaji pelajaran. Maklumlah, dia sampai lebih awal daripada biasa.

Imah muncul di muka pintu kelas. “Eh, awak datang? Saya sangka awak tak datang sebab tak naik van.” Imah duduk di kerusi bersebelahan Adilah. Dia mengeluarkan botol airnya, pantas diteguknya bagi menghilangkan dahaga.

“Papa hantar hari ni,” beritahu Adilah pendek. Tidak perlulah dijelaskan sebab sebenar dia beria-ia mahu datang awal.

“Kenapa papa awak hantar hari ni?” Sibuk betul Imah namun Adilah tidak menjawab soalan itu. Ada perkara lain yang menarik perhatiannya. Orang yang ditunggunya sudah sampai! Kasihan pula Adilah tengok. Berpeluh-peluh dan terkedek-kedek orang itu memikul beg yang pastinya penuh berisi buku.

Adilah pantas membuka begnya.

“Wah, awak bawa bekal apa hari ini?” Bersinar-sinar mata Imah melihat bekas makanan berwarna merah jambu yang Adilah keluarkan daripada beg.

“Sandwic,” jawab Adilah pendek.

“Sedapnya! Tapi saya tak bawa bekal hari ini. Tak apa, saya janji, esok saya bawa bekal ya.” Imah merujuk kepada amalan mereka yang saling berkongsi dan bertukar makanan. Selalunya masing-masing akan bawa bekal dan mereka akan makan bersama-sama sebelum kelas bermula ataupun pada waktu rehat. Imah selalu rehat dengan kakaknya. Kadangkala Adilah akan rehat bersama mereka.

“Tak mengaapa, sandwic ni bukan untuk awak pun. Tak perlu rasa bersalah.” Adilah bangkit dari kerusi. Dia bergerak menuju ke meja di bahagian belakang kelas. Bekas makanan itu diletakkan di atas meja.

“Untuk awak. Terima kasih sebab tolong saya semalam.” Senyuman paling manis Adilah hadiahkan kepada Hakim yang sedang sibuk mengelap peluh yang mengalir dengan meriah menggunakan sapu tangan.

“Wah, makanan! Macam mana awak tahu saya suka makan?” Reaksi Hakim seperti Imah malah lebih bersemangat. Matanya buntang melihat bekas di atas meja seolah-olah mahu diterkam waktu itu juga.

Adilah ketawa kecil. “Perlukah awak tanya saya soalan tu?” Matanya singgah di perut Hakim.

Hakim menggaru kepala. Mereka sama-sama ketawa. Hakim gembira dapat makanan percuma. Adilah gembira dapat kawan merangkap pengganti mama sebagai pelindung. Mereka sama-sama gembira.

Namun, ada seorang yang tidak gembira. Imah hanya memerhati dengan mulut yang sudah muncung macam mulut itik. Adilah semestinya tidak sedar sebab dia terlalu sibuk memerhati Hakim makan.

“Awak suka?”

Hakim angguk berulang kali. “Sedap sangat.”

Senyum Adilah semakin melebar. “Nanti saya bawa lagi.” Bijak betul Adilah. Menghadiahkan Hakim makanan tanpa menggunakan wang sakunya, dan tidak pula meminta duit daripada papa. Bagus dan cekap!

“Okey, nanti kita rehat sama-sama ya. Saya tak ada kawan lain.”

Adilah mengangguk laju. “Okey.” Sengihannya melebar melihat Hakim makan dengan gelojoh.


****

“Wah, bukan main mesra lagi awak dengan dia,” tegur Imah sebaik sahaja Adilah kembali ke tempat duduknya. Loceng menandakan sesi persekolahan akan bermula sudah pun kedengaran.

Adilah tersengih.

“Sandwic nenek awak memang sedap, saya terbayang-bayang rasanya. Sedap sangat!” sambung Imah.

“Maaflah, saya tak bawa banyak. Nanti saya suruh nenek buat banyak-banyak okey.” Serba salah Adilah dibuatnya.

Imah tersenyum. “Tak mengapa. Dia tolong awak semalam, memang patut awak utamakan dia. Nanti awak bawa untuk saya pula ya!”

“Okey, janji!” Itulah yang Adilah suka tentang Imah. Dia tidak mudah merajuk ataupun terasa hati tanpa sebab.

“Berdiri semua!” Suara ketua kelas bergema. Guru bahasa Inggeris sudah masuk dan sesi pembelajaran pun bermula.


*****


“Awak nak makan apa? Saya belikan. Awak jaga tempat ya?”

Wah, Adilah memang rasa dilindungi! Selepas ini tidak perlulah dia beratur panjang-panjang sampai lenguh kaki dan kemudian sambil menatang pinggan terpaksa pula cari tempat duduk yang kosong, dan selepas itu terpaksa makan laju-laju, tanpa sempat menikmati makanan kegemarannya dengan aman kerana hanya berbaki lima minit dan kadangkala kurang untuk makan. Kalau nasib kurang baik pula, lagi haru dibuatnya. Terpaksa makan dalam keadaan mencangkung di tepi longkang.

“Tolong belikan saya nasi lemak. Kalau boleh tolong pilih pinggan yang ada sambal dan timun banyak.”

“Eh, samalah. Saya pun suka makan nasi lemak. Tak mengapa, nanti saya minta mak cik kantin tambah sambal dan timun untuk awak ya!”

“Mak cik kantin di sini kedekut, kalau anak dia okey,” beritahu Adilah.

“Okey, awak jangan risaukan saya. Saya tak kisah kalau kena marah pun,” balas Hakim lalu pantas berjalan menuju ke tempat menjual makanan.

“Saya tak risau awak kena marah. Saya cuma risau sambal saya sikit, tak puas makan,” terang Adilah namun Hakim sudah tidak dengar. Dia terlalu bersemangat mahu beli makanan, di samping hiruk-pikuk di kantin menenggelamkan suara Adilah. Maklumlah, kanak-kanak terlebih gembira dapat makan dan berehat daripada belajar buat seketika.

Adilah pantas memanjangkan leher, matanya meliar mencari bangku yang masih kosong. Tiba-tiba dia ternampak lambaian seseorang yang dikenalinya. Senyum. Hari yang baik untuknya. Sudahlah makanan dibelikan orang. Tempat duduk pun sudah ada orang “cop” untuknya. Maka nikmat Tuhan kamu manakah yang kamu dustakan?

“Awak tak beli makanan lagi?” Imah sudah menghadap sepinggan mi goreng. Cepat betul Imah bertindak. Imah ke tandas sebelum loceng rehat berbunyi. Dia tidak muncul semula ke kelas. Adakah Imah terus ke kantin? Mungkin. Kakaknya sudah mula menyuap tanpa mempedulikan Adilah. Lapar sungguh nampaknya.

“Sedang dibeli.” Adilah melabuhkan punggung. “Terima kasih sebab “cop” tempat untuk saya.”

“Sedang dibeli?”

Adilah tersengih lalu mengangguk. “Adaguardian angel belikan untuk saya?”

“Hah? Apa awak cakap?” Sambil mengunyah Imah bertanya. Susah juga mahu memberikan tumpuan kepada Adilah sewaktu sedang makan. Perutnya meronta-ronta minta diisi secepat mungkin. Maklumlah, pagi tadi dia tidak dapat makan sandwic yang dibawa oleh Adilah.

Adilah ketawa kecil. “Ada orang tolong belikan. Imah, boleh duduk ke sana sikit. Tak cukup ruanglah nak duduk.”

Imah melihat ruang yang disediakan untuk Adilah. “Itu, muat saja. Awak bukannya besar pun.”

Adilah dari tadi asyik tersengih sahaja. Entah apa yang menggembirakan hatinya, Imah tidak dapat teka. Dalam keadaan lapar, otaknya malas berfikir.

“Memanglah muat kalau saya seorang saja yang duduk, tapi tak muat untuk dia,” jawab Adilah.

“Dia? Siapa?”

“Itu.” Adilah memuncungkan mulut, menunjuk ke arah Hakim yang sedang terkedek-kedek berjalan ke arah mereka sambil menatang dua pinggan nasi lemak.

Mata Imah dihalakan ke arah yang sama dengan mata Adilah. “Oh, dia. Memanglah tak muat. Jadi, adakah saya patut bangun dan duduk bersila di atas lantai ataupun mencangkung di tepi longkang supaya dia dan awak boleh duduk di bangku ini dan makan dengan selesa?” tanya Imah, mencebik. Emosional pula Imah tiba-tiba.

“Tak payah!” Serentak Imah dan Adilah menoleh. Kakak Imah, Izah yang jawab. “Kakak dah sudah makan. Izah bangun. “Kakak nak ke perpustakaan, pulangkan buku.” Terus sahaja Inah berlalu meninggalkan mereka. Izah memang dingin orangnya. Sebab itu Adilah jarang-jarang mahu rehat dengan Imah dan kakaknya. Bukan apa, dada Adilah selalu berdebar-debar, dia rasa seperti sedang menghadap guru besar ataupun guru disiplin pula apabila berhadapan dengan kakak Imah. Dia selalu rasa hendak terkucil. Sungguh mendera perasaan!

Namun, setakat ini tidak pernah lagi Izah menengking Adilah. Malah, Izah yang dingin, yang mempunyai pandangan mata yang tajam menikam, yang jarang-jarang mengukir senyum itu, sebenarnya baik hati. Banyak kali juga dia yang belanja Adilah dan Imah.

“Ini, nasi lemak sambal dan timun lebih untuk awak. Anak mak cik kantin yang jaga. Saya senyum, dia terus beri lebih. Mungkin dia terpikat dengan kecomelan saya.” Hakim tersengih, bangga betul kerana berjaya melaksanakan misinya.

“Jom makan.” Adilah dan Hakim makan dengan riang. Imah pula, entah bila dia sudah makan, bangun dari bangku, dan beredar dari kantin, Adilah pun tidak sedar.

Hari yang “sempurna” untuk Adilah. Dapat makan nasi lemak sambal dan timun lebih bersama-sama pelindungnya. Satu kenangan manis tercatat dalam memori Adilah.

Itulah permulaan kisah mereka. Sebenarnya tiada apa-apa yang istimewa, Hakim juga manusia biasa seperti kawan-kawan Adilah yang lain. Cuma yang membuatkan Hakim berbeza daripada kawan-kawan yang lain, Hakim adalah pelindungnya. Guardian angel Adilah.

Err... sekurang-kurangnya itulah yang Adilah fikir, sedangkan Hakim tidak tahu apa-apa pun!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku