Budak Bambam Itu
Bab 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
373

Bacaan








Sejak peristiwa Hakim membelanya semasa kelas pendidikan seni, mereka sering diejek bercinta. Adilah menyampah betul dengan budak-budak kelasnya.‘Helo, baru darjah tiga, takkan nak bercinta pula. Tak sesuai okey!’

“Apalah mereka ni. Merepek betul! Apa salahnya aku baik dengan Hakim? Memang aku semakin rapat dengan Hakim tetapi itu tak bermakna kami bercinta! Bercinta? Ish, nak sebut pun rasa geli,” rungut Adilah sendirian.

Lagipun dia sendiri tidak tahu apa makna cinta. Dia pernah mencari makna cinta di dalam kamus. Daripada huraian yang dibacanya, dia membuat kesimpulan, belum masanya budak-budak seperti mereka bercinta!

“Awak dah tak nak kawan dengan saya lagi ke?” Tiba-tiba sahaja Imah mengajukan soalan itu.

“Kenapa pula tiba-tiba awak cakap macam tu? Awak kawan baik saya, tentulah saya nak kawan dengan awak.” Tersentak Adilah dibuatnya.

“Kalau saya kawan baik awak, kenapa awak rapat dengan dia?” Imah memuncungkan mulutnya menunjuk ke arah Hakim yang duduk di sebelah Adilah.

“Awak kawan saya, dia pun kawan saya. Lagipun, sebelum ini awak kata awak tak kisah pun saya baik dengan Hakim.”

“Betul tu. Kalau awak tak kisah, apa kata kita bertiga jadi kawan baik!” Hakim yang tadinya asyik menjilat aiskrim menyampuk. Dia berdiri dan menghulur tangannya yang kotor, mahu bersalam dengan Imah.

“Eh, lupa. Kita bukan mahram, tak boleh bersentuhan, berdosa.” Hakim ketawa sendiri lalu menarik semula tangan yang dihulurkan.

Imah menjuih bibir memandang Hakim. Kemudian dia berpaling memandang Adilah. “Dulu saya tak kisah, sekarang saya kisah. Saya tak suka awak baik dengan dia. Saya pun tak teringin nak berbaik dengan dia. Jadi, awak perlu pilih, nak kawan dengan saya ataupun dia!” bentak Imah lalu meninggalkan dia dan Hakim.

“Garangnya Imah,” komen Hakim.

“Biasanya dia tak begitu. Dia baik. Sebelum awak datang, hanya Imah kawan saya. Dia selalu belanja saya makan coklat,” luah Adilah perlahan.

Wajah Adilah berubah muram. Serba salah dibuatnya. Adilah tidak mahu kehilangan Imah. Namun, dia juga tidak mahu kehilangan Hakim. Susah untuk Adilah terangkan kepada Imah yang Hakim penting sebab Hakim adalah pelindungnya. Nanti Imah tentu tidak faham dan tanya macam-macam.

‘Kenapa Imah tak suka Hakim?’ keluh hati kecil Adilah.

“Tak mengapalah, nanti lama-lama Imah tentu tidak marah lagi. Apabila kita main, kita ajak dia. Nanti saya belanja awak dan dia makan aiskrim. Tentu dia suka.” Hakim cuba memujuk. Dia tersenyum memandang Adilah. Nampaknya dia seperti tidak terasa hati jauh sekali terluka dengan sikap Imah.

Adilah pantas mengangguk. Hatinya kembali riang. Hakim memang memahami dan pandai memujuk!


*****


Kring! Loceng berbunyi menandakan waktu rehat tamat. Terkedek-kedek dua sahabat itu berjalan ke kelas. Tanpa diduga, ada kejutan untuk Adilah dan Hakim.

“Hore!” Kelas mereka gamat dengan tepukan tangan sebaik sahaja mereka melangkah masuk. Tulisan di papan hitam menyambut mereka. Tidak tahulah tangan mana yang gatal sangat menconteng papan hitam.

Inilah masalahnya menjadi pelajar sekolah. Mesti ada dalam kalangan rakan-rakan yang layak dikategorikan sebagai mempunyai terlalu banyak masa lapang, tidak boleh lihat orang gembira, suka cari fasal, berperangai menjengkelkan, dan sengaja mahu menyakitkan hati orang lain.

“Kalau nak conteng pun, janganlah babitkan aku dan Hakim!” Adilah mengeluh panjang. Tulisan kapur merah yang hodoh seperti cakar ayam itu menyakitkan hati Adilah. Ayat yang sama diulang banyak kali.

Hakim Giant cinta Adilah.

Hakim Giant cinta Adilah.

Hakim Giant cinta Adilah.

“Ish, geram betul!” rungut Adilah lagi.

Adilah segera ke hadapan. Pantas dipadam tulisan itu dengan muka merah, nafas yang laju, malu bercampur marah. ‘Kalau Cikgu Yatim tengok, mati aku! Tak pasal-pasal aku dan Hakim didenda lagi.’

“Alah, Adilah ni... malu-malu pula!”

“Yalah, Adilah, tak payah malu-malu, semua orang pun tahu awak bercinta dengan Hakim terlebih lemak ni!”

Dia rasa hendak tempeleng sahaja muka Rizal dan Irwan. Ini tentu kerja mereka!

“Kenapa pula awak menyibuk? Kalau betul pun saya suka Adilah dan Adilah suka saya, awak peduli apa?” Suara lantang Hakim membuatkan kelas tiba-tiba sunyi seketika. Mungkin masing-masing mahu menghadam kata-kata Hakim.

“Tengok, saya dah kata. Memang betul! Pihak lelaki sudah mengaku.” Suara Rizal disambut sorakan kawan-kawan lain. Riuh-rendah satu kelas dibuatnya.

Adilah rasa hendak ketuk kepala Hakim. Apabila Hakim dibuli, biasanya Hakim diam sahaja. Kenapa pula kali ini dia bersuara? Sekarang pasti kawan-kawan mereka semuanya salah sangka.

“Hakim....” Suara Adilah tersekat di kerongkong. Niatnya mahu memarahi Hakim terbantut. Cikgu Yatim berdiri betul-betul di belakang Hakim.

Adilah segera berpaling menyambung kembali kerja memadam tulisan di papan hitam sepantas mungkin. Dia tidak mahu Cikgu Yatim baca tulisan di papan hitam.

“Sudah! Tak perlu padam. Pergi duduk di tempat kamu!”

Adilah tunduk berjalan ke meja. ‘Adakah Cikgu Yatim dengar apa yang mereka katakan tadi?’ Hati Adilah terus tertanya-tanya.

“Kamu semua ini budak-budak. UPSR pun tidak lepas lagi. Ada hati nak bercakap soal cinta! Kamu tahukah makna cinta?” Suara Cikgu Yatim bergema. Seluruh kelas diam membisu. Namun hanya dua saat.

“Tahu cikgu! Mengikut kamus dewan edisi keempat kepunyaan kakak sulung saya, cinta ada beberapa maksud termasuklah, perasaan atau berperasaan sangat sayang antara lelaki dan perempuan err... maksud saya antara anak dan ibu bapa, cinta kepada negara...err... tak ada apalah.”

Jawapan yang tidak dialu-alukan daripada ketua kelas yang bercermin mata tebal terhenti begitu sahaja apabila melihatkan biji mata Cikgu Yatim seperti hampir terkeluar. Dia segera duduk dan tunduk merenung meja. Sebenarnya dia tidak berniat mahu menjawab sebab dia tahu Cikgu Yatim tidak mahukan jawapan untuk soalan itu. Tindakannya tadi luar kawal. Spontan sahaja dia bangun tanpa berfikir panjang. Maklumlah, dia sudah terbiasa dengan laju, mengangkat tangan, bangun dan terus menjawab apabila ditanya guru. Sesuatu yang sudah jadi tabiat pelajar aktif dan cemerlang sepertinya.

“Sudah! Saya tak mahu dengar lagi kamu semua cakap hal ini. Keluarkan peralatan melukis. Hari ini saya mahu kamu semua melukis gambar keluarga.”

Ketua kelas menghela nafas lega. Mujur dia tidak sampai didenda berdiri di luar kelas. Kalau tidak, akan tercalarlah rekod baik yang dipegangnya selama ini sebagai pelajar pintar, aktif, dan cemerlang yang disukai ramai guru. Pelajar harapan sekolah. Pemimpin masa hadapan. Ya, dialah bakal belia yang menjadi harapan negara!

“Adilah, belajar melukis dulu! Melukis pun tak tahu, ada hati nak bercinta!” Suara Cikgu Yatim menggegarkan dada Adilah.

Adilah yang tunduk merenung meja, menggigit bibir menahan esakan. ‘Sampai hati Cikgu Yatim cakap begitu! Nak buat macam mana aku memang tak pandai melukis. Bukan semua manusia dilahirkan sebagai pelukis. Takkan itu pun Cikgu Yatim tak tahu!’

Sepanjang kelas pendidikan seni, Adilah tunduk, hampir-hampir sahaja mencium meja. Lenguh memang lenguh tengkuk dibuatnya. Namun, dia betul-betul malu. Sudahlah dia tidak pandai melukis. Kini dicop pula sebagai budak perempuan gatal! Yalah, kecil-kecil sudah berangan hendak bercinta, bukankah gatal namanya?

Sedih Adilah berganda, seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah kena sindir dengan Cikgu Yatim, terpaksa pula melukis gambar keluarga. Rindu kepada mama bertandang lagi.

‘Mama, bila mama nak pulang?’



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku