Budak Bambam Itu
Bab 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
322

Bacaan






“Berhenti menulis. Masa dah tamat.” Suara Cikgu Nurul bergema.

Adilah mengeluh. Dia sudah cuba menjawab sepantas mungkin. Malangnya ada lima soalan yang tidak sempat dijawab. Adilah memerhati Cikgu Nurul mengutip kertas dengan hati yang bengkak. Dia benar-benar terkilan.

“Kenapalah aku cuai sangat?” Adilah berbisik sendiri sambil menekup muka di meja.

Sungguh dia tidak terima hakikat dia melakukan kesilapan kali ini. Antara semua subjek, hanya di dalam kelas matematik Adilah akan dipuji cikgu. Dia pun tidak pasti. Hendak kata dia rajin, tidak juga. Namun, otaknya yang kadangkala lembab ini selalunya berfungsi dengan baik apabila menjawab soalan matematik.

“Cuba kamu semua jadi seperti Adilah. Keputusan ujian Adilah sentiasa baik.”

Seperti selalu, dia akan tertunduk malu apabila dipuji Cikgu Nurul. Maklumlah, dia ‘tidak biasa’ jadi budak pandai!

Setiap kali Cikgu Nurul mengadakan ujian selepas habis belajar satu topik, dia pasti mendapat A. Bukan setakat A, markahnya pasti tidak kurang daripada 90. Bukannya dia hendak berbangga diri, tetapi hakikatnya dia memang pandai matematik!

Namun, mungkin kerana terlalu yakin dengan diri, dia jadi cuai. Tadi, baru selesai ujian bab pendaraban. Dia tidak sedar yang pada muka surat akhir, masih ada soalan. Tinggal 10 minit sebelum masa tamat, baru dia sedar. Apa lagi, dadanya secara automatik berdegup kencang dan terus rasa hendak buang air kecil tahap maksimum! Dia pun cepat-cepat jawab soalan-soalan itu.

“Mengapa moyok saja?” Hakim datang mendekati lalu bertanya. Memang baik betul si pelindung Adilah ini. Sering mengambil berat tentang Adilah.

Adilah mengeluh perlahan sebelum bersuara, “Saya tidak sedar ada soalan lain pada muka surat akhir.”

“Jadi, awak tak jawab?” tanya Hakim lagi.

“Jawab, tapi… tak sempat jawab semua. Ada lima soalan saya tak jawab,” beritahu Adilah.

Hakim cuba memujuk, “Tak apalah, cuma lima soalan. Paling tak pun, 15 markah saja awak tak dapat.”

Adilah merengus. “Masalahnya, soalan yang lain belum tentu saya jawab dengan betul!”

Hakim tersengih. “Tentu betul! Bukankah awak pandai matematik!”

Adilah tersenyum tawar. Semoga jangkaan Hakim tepat. Dia hanya mampu berdoa.

“Eh, dah lambat. Saya pergi kantin dulu ya.”

“Tunggulah, saya pun nak ikut.” Adilah pantas mengemas bekas pensel lalu diletakkan di dalam beg.

“Awak nak makan juga?” tanya Hakim sambil menggaru kepala.

“Tentulah. Kenapa awak tanya macam tu?”

Hakim tersengih. “Taklah, saya sangka awak tak nak makan sebab dah hilang selera. Yalah, saya tengok dalam drama biasa orang perempuan apabila ada masalah, tak lalu makan.”

Hakim dan dramanya. Baru darjah tiga beria-ia tengok drama untuk tontonan orang dewasa. Apa-apalah Hakim.

“Cepatlah, nanti nasi lemak habis.” Adilah sudah berada di muka pintu. “Memandangkan saya sedang bersedih, hari ni awak belanja ya!”

“Tapi...” Mereka berjalan beriringan menuju kantin.

“Tak ada tapi tapi...”

“Tak dapatlah saya beli aiskrim,” keluh Hakim.

“Antara aiskrim dengan saya, mana lebih penting?”

“Tentulah ais...”

“Apa?” Adilah bercekak pinggang.

Hakim tersengih sambil mengusap perutnya yang terlebih. “Janganlah marah.”

“Tak marah asalkan awak belanja saya. Oh, laparnya!”

“Tapi...” Hakim mengusap perutnya lagi.‘Tak apalah, asalkan kawan baik aku tersenyum,’ putus hatinya.‘Selamat tinggal aiskrim, esok kita jumpa ya!’


*****


Seminggu Adilah tidak senang duduk mengenangkan ujian matematik itu. Tentu Cikgu Nurul terkejut. Tentu tiada lagi pujian untuknya. Nampaknya, dia tidak akan merasa menjadi ‘budak pandai’ lagi.

Namun, ternyata jangkaan Hakim tepat, Adilah dapat 85 markah.

“Bukankah saya sudah kata, awak memang pandai!” Hakim tersenyum.

Senyuman Adilah meleret. Nasib baik markahnya masih baik. Kalau teruk, tentu dia meraung tujuh hari tujuh malam. Yalah, hanya matematik yang membolehkan dia berbangga di hadapan kawan-kawan lain. Nanti, tentu mereka semakin memandang rendah kepadanya.

“Kita belajar sama-sama, ya? Awak ajar saya matematik dan saya ajar awak bahasa Inggeris,” Hakim memberi cadangan. Maklumlah dia turut ‘kalah’ kepada Adilah.

Senyum Adilah semakin melebar. Kembang kuncup hatinya mendengar saranan Hakim. Apabila bercakap tentang matematik, dia lebih yakin pada diri sendiri. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang buat dia nampak ‘hebat’ pada pandangan Hakim.

Aiskrim coklat yang dimakannya terasa lebih sedap daripada biasa. Mereka berdua sedang duduk di gazebo, menunggu loceng berbunyi menandakan waktu rehat tamat.

“Okey, petang ini awak datang rumah saya. Kita belajar di rumah saya.”

Hakim tersenyum dan mengangguk. “Apa kata kita ajak Imah? Dapatlah kita bertiga main di taman permainan selepas belajar.”

Adilah mengangguk laju. “Bagus juga idea awak. Imah masih marah. Dia tak nak berkawan dengan saya lagi tetapi saya tetap nak berkawan dengan dia. Manalah tahu, dia setuju. Saya pergi ajak dia ya.”

“Okey, tapi awak belum makan keropok ni lagi.”

“Tak apa awak makanlah seorang.”

“Serius awak tak? Bagus betul!” Hakim dengan pantas mengoyakkan plastik keropok ikan sira itu.

Adilah bergegas mencari Imah. Dia tidak sabar mahu beritahu Imah rancangannya dengan Hakim. Tentu seronok mereka bertiga belajar dan bermain bersama-sama.

Adilah berjalan dengan penuh semangat sambil membayangkan keseronokan yang akan mereka lalui petang nanti. ‘Dapatlah main jongkang-jongket. Tetapi Hakim berat sangat, kalau main dengan dia, tentu tak bergerak. Jadi, Hakim nak main apa? Gelongsor? Hmm... silap-silap aku dan Imah terpaksa tolong tolak dia. Maklumlah berat sangat, nak meluncur pun tak boleh! Hehehe...’ Hatinya berlagu riang.

Adilah tersengih sendirian. ‘Dapatlah aku dan Imah bermain buaian. Nanti Hakim tolong ayunkan buaian kami,’ Adilah terus berangan-angan.

“Laju-laju, buaiku laju….” Dia mempercepatkan langkahnya.

“Imah, petang nanti, datang rumah saya, ya. Kita belajar sama-sama. Kemudian kita pergi main di taman permainan,” Adilah menegur Imah yang sedang rancak berbual dengan Nita. Mereka berdua duduk di bahagian belakang kelas, di meja Nita.

Nita menjelingnya. Adilah mencebik.

Sebenarnya, Adilah hairan dan sedikit marah melihat Imah berbaik-baik dengan Nita. ‘Bukankah Nita musuh kami? Kenapa tiba-tiba pula Imah baik dengan Nita?’

Sejak darjah satu, mereka berdua memang selalu bergaduh dengan Nita. Nita itu perasan bagus! Selalu mengada-ngada. Sedikit-sedikit mengadu kepada cikgu. Pernah sekali, dia dan Imah didenda disebabkan Nita. Nita kata mereka sengaja menghalang laluannya hinggakan dia terjatuh. Padahal, dia yang tersadung kaki Adilah. Menyampah betul Adilah dengan budak seorang ini! Mentang-mentanglah anak saudara guru besar.

“Imah dah janji nak ke rumah saya.” Nita tersenyum sinis memandang Adilah.

“Saya tak tanya awak!” Adilah menjuih bibir. Meluat betul. Menyibuk sahaja!

“Saya tolong jawabkan saja!” Nita menjelingnya lagi.

“Boleh tolong diam?” Adilah mendengus.

“Awak datang ya?” Adilah memandang Imah penuh mengharap.

“Saya dah janji dengan Nita,” jawab Imah perlahan.

Sakitnya hati Adilah apabila mendengar jawapan Imah. ‘Sampai hati Imah!’

“Bukankah saya dah cakap, awak yang tak percaya.” Nita terus menyakitkan hati Adilah.

“Awak ni, memang tak faham ya. Saya kata, apabila saya bercakap dengan Imah, jangan menyampuk!” Adilah membeliakkan mata. Nita menjelir lidah. Geramnya! Adilah rasa hendak ketuk kepala Nita, namun nanti dia juga yang dipanggil menghadap guru disiplin. Nita kuat mengadu!

Tidak mengapalah, abaikan sahaja Nita. Adilah memandang Imah dan menghadiahkan senyuman manis. “Tak apalah, lain kali saja kita belajar dan main bersama-sama.” Adilah cuba mengawal rasa kecewa. Sebelum beredar ke mejanya, dia sempat melihat senyuman megah Nita. Semakin terbakar hati Adilah dibuatnya!

“Macam mana?” Hakim mendekati meja Adilah. Mulutnya masih mengunyah keropok.

“Dia tak nak.” Adilah muncung.

“Tak apalah, lain kali kita ajak dia lagi. Hari ini, kita main berdua saja, okey!”

Adilah tersenyum seraya mengangguk. Tidak mengapalah kalau Imah tidak mahu main dengannya, Hakim ada temankannya.

Sejak hari itu, Imah semakin rapat dengan Nita. Adilah sedih tetapi dia tidak mampu buat apa-apa. Orang tidak sudi kawan dengannya, tidak mungkin hendak dipaksa pula? Nasib baik ada Hakim, si pelindung yang baik!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku