Budak Bambam Itu
Bab 7
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
298

Bacaan






“Laparnya! Nenek masak apa...” Soalan Adilah terhenti apabila menyedari ada orang lain di dapur bersama neneknya.

“Dah bangun pun. Kalau tak sebab lapar, sampai zuhurlah kamu tidur.”

Adilah hanya tersengih.

“Tercegat apa lagi? Salamlah Mak Cik Zai. Nenek tak masak hari ni. Mak Cik Zai bawakan sarapan. Nasi lemak. Sambal kerang pun ada.”

Adilah bersalaman dengan Mak Cik Zai. Kebelakangan ini semakin kerap pula wanita ini muncul.

“Mari makan, nenek kata kamu suka makan nasi lemak. Mak cik buat khas untuk kamu.”

Mak Cik mencedokkan nasi namun pantas dihalang Adilah. “Tak apa, saya boleh cedok sendiri.” Sebenarnya Adilah kekok dengan kehadiran Mak Cik Zai. Namun, makan tetap makan. Apatah lagi, nasi lemak sambal kerang. Itu sudah bonus berganda!

“Tengah hari ni, kamu nak makan apa? Kita makan di luar ya? Papa kamu kata kamu nak beli barang.” Mak Cik Zai memang gigih orangnya. Adilah sedar wanita itu sedaya upaya melayan dia dengan baik, malah berusaha beramah mesra dengannya. Bukanlah Adilah membenci Mak Cik Zai. Tiada sebab pun untuk membenci. Cumanya, dia tidak berminat mahu rapat dengan wanita itu. Dia syak sesuatu. Sesuatu yang selalu berlaku dalam drama. Dan sesuatu itu bukan sesuatu yang dia suka.

“Kenapa kamu diam?” Nenek menyampuk apabila melihatkan Adilah yang seperti tidak dengar pertanyaan Mak Cik Zai.

“Semasa makan, tak elok bercakap,” balas Adilah. Wah, tiba-tiba sahaja dia mempraktikkan amalan itu. Padahal selama ini, dengan mulut penuh berisi makanan pun kadangkala dia bercakap sampai tersembur nasi. Terutama apabila hanya berdua dengan neneknya. Kalau ada papanya, memang Adilah diam membatu, contohnya seperti sekarang. Dingin sedingin-dinginnya.

“Tak apalah, kamu fikir dulu. Nanti kamu beritahu.” Adilah mahu tuduh yang Mak Cik Zai berpura-pura baik di depan nenek. Masalahnya jauh di sudut hati, dia dapat merasakan yang wanita itu memang baik. Ish... benci betul. Alangkah bagus kalau Mak Cik Zai memang tidak baik, senanglah sedikit dia memikirkan cara-cara untuk “menyingkirkan” wanita itu sebelum terlambat.


*****

“Seronok keluar dengan Mak Cik Zai?” Nenek muncul di bilik selepas solat isyak. Waktu itu Adilah sedang baring di atas katil sambil tersengih-sengih merenung gambar bunga matahari ditiup angin kencang.

Bertukar posisi, duduk bersila di atas katil, sesi hati ke hati pun bermula.

“Biasa saja. Kenapa nenek tak nak ikut tadi?”

Nenek tersenyum. “Mak Cik Zai baik kan orangnya?”

Terus dada Adilah berdegup kencang. “Biasa saja. Kenapa nenek tanya?”

“Nenek dah tua....”

Dahi Adilah berkerut.‘Apa kaitan nenek dah tua dengan Mak Cik Zai baik?’

“Kamu perlukan orang untuk jaga kamu....” Okey, memang macam dalam drama. Adilah sudah dapat meneka dialog seterusnya. Sebelum nenek teruskan, pantas dia menyampuk.

“Nenek kuat lagi, nenek boleh jaga saya. Kalau nenek tak nak pun, tak apa. Saya pun dah besar, boleh jaga diri sendiri dan... saya boleh jaga nenek.” Adilah bersuara yakin.

Nenek senyum lalu menyambung, “Perlu ada orang masak untuk kamu. Kamu sekarang suka bawa bekal ke sekolah.”

Adilah tersenyum mendengar kata-kata neneknya. Ya, bekal untuk Hakim sebenarnya. Pagi-pagi mereka makan bersama-sama. Hmm... macam manalah Hakim tidak bertambah bambam dan Adilah pun tidak lagi kurus, aktiviti mereka bersama asyik makan, makan, dan makan.

“Kamu senyum, maknanya kamu setuju?” Soalan nenek mematikan lamunan Adilah.

Senyuman Adilah terus hilang. “Saya suka nenek masak, tapi kalau nenek dah tak larat, kita boleh suruh papa ambil orang gaji untuk tolong nenek.”

“Bukan itu maksud nenek.”

“Nenek, saya rindu masakan mama. Bila mama nak balik?” Adilah pantas bertanya.

Nenek terdiam. Diusap kepala Adilah, perlahan, penuh kasih sayang. “Kamu rindu mama, ya?”

“Mestilah rindu. Saya sentiasa rindu mama.” Biarpun sekarang Adilah gembira dengan kehadiran Hakim, tidak pernah sehari pun berlalu tanpa dia mengingati dan merindui mama. Malah selain gambar bunga matahari ditiup angin kencang, gambar dia dipeluk mama juga adalah gambar yang ditatapnya setiap hari.

“Sama ada kamu percaya ataupun tak, nenek sentiasa doakan kamu dapat berjumpa semula dengan mama kamu. Kami tak pernah berniat nak pisahkan kamu daripada mama kamu.”

Pengakuan nenek buat air mata Adilah bergenang. Pantas dipeluk erat neneknya. Nenek yang mengambil keputusan untuk pindah ke rumah itu sejak mama menghilang. Nenek yang mengambil keputusan menggantikan mama untuk menjaganya.

“Terima kasih, nenek. Saya sayang nenek.”


****

Sejak pulang dari sekolah, Adilah menunggu papanya. Dia tahu papanya hanya akan pulang lewat, paling awal pun pukul 5.30 petang. Namun begitu, dia tetap menunggu seawal 1.15 petang. Dia sudah berkira-kira. Dia mahu bersemuka dengan papanya. Dia mahu papa berterus terang. Dia sudah bosan mendengar alasan papa. Hari ini dia mahukan jawapan! Jawapan kepada soalan yang sudah setahun lebih tergantung begitu sahaja.

“Di mana mama? Bila mama nak pulang?” Adilah berdiri di hadapan papanya sambil berpeluk tubuh.

Encik Arifin yang baru hendak meneguk air teh hijau meletakkan semula cawan ke atas meja. Adilah sengaja tidak menghiraukan keadaan papanya yang tentu sahaja keletihan. Biarkan, Adilah tidak peduli! Dia benar-benar tidak peduli!

“Jangan kacau papa. Papa penat. Malam nanti baru cakap, ya.” Lembut suara itu.

Namun, Adilah tidak mengendahkan kata-kata wanita yang sungguh dibencinya itu.

“Saya tanya, bila mama mahu pulang?” Adilah bertegas.

“Kita sudah berulang kali berbincang soal ini. Mama takkan kembali, sayang. Lagipun bukankah kamu sudah ada mama baru?” Encik Arifin cuba memujuk.

Adilah mencebik. Lantas menjeling wanita yang berdiri di sisi papanya. Wanita yang dahulunya dikenali sebagai Mak Cik Zai. Kini, tiba-tiba sahaja dia perlu memanggilnya mama.

Mustahil! Hanya ada seorang mama dalam hidupnya. Seorang sahaja! Biarlah walaupun mama tiada di sisinya, tiada siapa yang mampu merampas tempat mama! Muktamad!

Dari hari pertama papa membawa pulang Mak Cik Zai untuk diperkenalkan kepada dia dan nenek, dia sudah syak sesuatu. Adilah sudah beritahu nenek yang dia tidak mahukan mama yang lain. Namun, siapalah dia untuk didengar isi hatinya. Selama ini pun papa memang tidak pedulikan perasaannya. Kalau papa peduli, tidak mungkin papa tergamak pisahkan dia daripada mama.

“Saya nak mama saya! Bukan perempuan ini!” Adilah menjerit.

“Adilah!” Encik Arifin nyata tidak dapat menerima kata-katanya.

“Saya tahu papa yang halau mama. Papa halau mama sebab papa tak nak mama lagi. Papa suka perempuan ini. Kenapa tak halau saya sekali? Kenapa tak biarkan saya pergi dengan mama! Kenapa? Saya benci papa. Benci!” Adilah semakin berani meluahkan isi hatinya.

Puan Kartina menghilang secara tiba-tiba. Dia yakin mamanya itu pergi tentu bersebab. Dia benar-benar yakin. Mamanya perempuan baik. Tidak pernah sekali mama melawan kata-kata papa.

‘Mustahil tiba-tiba mama pergi tanpa pesan melainkan papa yang halau mama! Tentu papa yang halau mama!’ Adilah sangat yakin.

‘Selama ini pun papa selalu dingin dengan mama. Ya, pasti papa dingin selepas Mak Cik Zai muncul. Pasti Mak Cik Zai yang buat mama menghilang.’ Hatinya terus membuat kesimpulan.

Tangan Encik Arifin menggigil. Mukanya merah. Adilah tahu hati papanya tentu membara. Encik Arifin bangkit dari kerusi. Memandang Adilah tajam.

“Tak elok cakap begitu pada papa, sayang,” lembut Mama Zai menegur.

“Mak cik jangan masuk campur. Mak cik tak ada kena-mengena. Ini urusan saya dengan papa!” tegas Adilah.

Encik Arifin berang mendengar kata-kata Adilah. “Minta maaf pada Mama Zai sekarang juga!”

Adilah membalas pandangan papanya. “Saya tak mahu!” Adilah cuba melawan pandangan papanya. Badannya terasa menggigil. Hanya Tuhan yang tahu betapa takutnya dia pada masa itu. Namun, dia lawan jua. Demi mama, dia lawan jua!

“Adilah!” Encik Arifin menjerit.

Adilah memejamkan mata, menunggu tapak tangan papanya tiba di pipi. Namun, tidak kunjung tiba. Sesaat, dua saat, tiga saat, tetap tidak kunjung tiba hadiah tamparan daripada papa.

Perlahan-lahan, Adilah membuka mata. Kelihatan tangan Mama Zai memegang tangan Encik Arifin. Ternyata Mama Zai yang menahan Encik Arifin daripada menampar Adilah.

Tanpa menunggu lebih lama, Adilah berlari ke bilik. Pintu biliknya dihempas kuat. Dia menghempas badan di atas katil. Tangisannya memenuhi ruang bilik itu berjam-jam.

‘Mama, kenapa tinggalkan saya? Kenapa tak bawa saya pergi bersama mama?’ hatinya terus merintih.

Ketukan pintu tidak dihiraukannya.

“Adilah, mari makan.” Suara Mama Zai menaikkan kembali suhu kebencian dalam hatinya sehingga tahap didih!

“Tak nak! Saya tak nak makan! Biar saya mati!” Adilah menjerit sekuat hati.

“Biarkan dia. Dulu pun begitu juga. Esok, tahulah dia ke dapur mencari makanan. Takkan matinya dia, setakat sehari tak makan.” Suara Encik Arifin lantang menambah luka dalam hati. Dia semakin geram.

‘Papa kini bukan papa yang dulu. Papa dah tak sudi memujuk aku. Papa sudah ada Mama Zai sebab itu papa tak perlukan mama. Suatu hari nanti apabila papa dan Mama Zai ada anak, tentu papa tak perlukan aku lagi!’ Tiba-tiba hatinya jadi hiba.

Dia rasa keseorangan. Apatah lagi, neneknya memutuskan mahu pulang ke kampung selepas papa berkahwin dengan Mama Zai. Terasing. Kesepian. Adilah kini tiada lagi tempat untuk mengadu.

‘Kenapa mama tinggalkan saya? Kenapa tak bawa saya pergi? Mama, pulanglah. Bawa saya pergi bersama mama. Saya tak nak orang lain. Saya cuma mahu mama!’ hati Adilah terus merintih.

‘Mama, sampai hati mama. Mama tak rindukan saya ke? Kenapa mama tak pulang lagi? Dah lama saya tunggu mama.’

Malam itu, Adilah tidur memeluk bingkai gambar mama memeluknya bersama sisa air mata.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku