Budak Bambam Itu
Bab 8
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
317

Bacaan






“Kenapa mata awak bengkak? Awak menangis?”

Adilah tunduk membisu. Malas mahu menjawab pertanyaan Hakim. Sudah tahu, buat apa tanya lagi? Menyampah betul! Ikutkan hati dia mahu ponteng sekolah, namun dia tidak mahu berada di rumah. Jadi, terpaksalah dia ke sekolah.

“Kenapa menangis? Siapa buli awak? Cakaplah,” Hakim terus mendesak.

Adilah merengus namun masih membisu. Dia betul-betul tidak adamood mahu melayan Hakim.

“Kenapa? Awak sakitkah?” Hakim masih tidak mahu mengalah.

“Tolong jangan ganggu saya!” Adilah bersuara lantang. Geram dengan desakan Hakim.

‘Dia tak tahukah apabila aku tak bercakap maknanyamood aku tak baik. Apabilamood aku tak baik, janganlah menyibuk!’ bentak hati kecil Adilah.

Tiba-tiba seisi kelas senyap. Dia dapat merasakan semua mata tertumpu pada mereka.

“Apa masalah awak? Saya tanya baik-baik. Janganlah marah!” Hakim pula yang marah.

“Wah, tengok itu, Hakim Si Giant bergaduh dengan makwe dia!” Suara Rizal menyakitkan telinga Adilah.

Hatinya semakin membara. ‘Ini lagi seorang, tak fasal-fasal cium tapak kasut aku pula nanti.’

“Rizal, kalau awak tak menyampuk, tak bolehkah? Kenapalah awak ini penyibuk sangat!” Adilah berdiri, bercekak pinggang menghadap Rizal.

Seluruh kelas menjadi gamat.

“Saya tak nak menyibuk tetapi awak bergaduh di dalam kelas, terpaksalah saya menyibukkan diri.” Rizal tersengih-sengih. Bertambah meluat Adilah dibuatnya.

Adilah menggigit bibir, menahan geram.

“Lain kali, masalah rumah tangga, sila selesaikan di rumah ya.” Kata-kata Rizal disambut sorakan kawan-kawan lain.

Hati Adilah semakin panas. ‘Melalut pula budak ini! Entah dialog cerekarama apa yang ditirunya. Lagak macam orang dewasa. Geram betul! Tidak boleh jadi!’

“Awak jangan ingat saya tak tahu, awak yang gatal! Baru darjah tiga ada hati nak bercinta. Awak fikir saya tak tahu awak tulis surat kepada Kak Zana!” Adilah meluru meluahkan rahsia yang terbuku di hatinya.

Entah macam mana, dia tersasul. Memanglah Rizal ada tulis surat kepada Kak Zana, jiran sebelah rumahnya, pelajar darjah 4 Dahlia. Namun, dia sudah berjanji kepada Kak Zana tidak akan beritahu sesiapa. Sekarang, seluruh kelas 3 Dahlia sudah tahu.

‘Habislah aku! Tentu Kak Zana mengamuk.’ Adilah kesal atas tindakannya itu.

Muka Rizal terus menjadi kemerah-merahan. Malulah itu! Padan muka!

“Mana ada? Pandailah awak menipu!” Rizal menyanggah.

“Saya tahulah! Kak Zana beri saya baca surat tu. Awak selit di dalam beg dia minggu lepas. Dalam surat itu awak cakap awak nak kawan dengan dia. Awak suka tengok dia. Dia cantik.”

Rizal terdiam. Adilah tahu Rizal malu besar. Tentu dia ingat selama ini tiada sesiapa pun tahu rahsianya. Itulah, lain kali cari fasal dengan Adilah.

Kelas gamat lagi. Terdengar suara-suara sumbang mengejek Rizal. Walaupun Adilah rasa bersalah kepada Kak Zana, dia puas hati sebab dapat balas dendam kepada Rizal. Namun, mengenangkan Kak Zana, dia jadi takut.

Adilah tahu waktu rehat nanti, pasti ada yang pergi melaporkan cerita ini pada Kak Zana. Balik dari sekolah nanti, tentu Kak Zana menunggu di hadapan pagar rumahnya.

“Habislah! Tentu Kak Zana marah. Silap-silap Kak Zana tak nak berkawan dengan aku lagi,” Adilah membebel sendirian.

Dia kecut perut mengenangkan hal itu tetapi... nasi sudah jadi bubur.


*****

Pada masa rehat, Adilah sengaja tidak ke kantin bersama Hakim. Dia tidak ada selera. Dia masih bersedih.

“Ambillah.” Bekas makanan berisi sandwic disuakan. Adilah mendongak. Imah tersenyum memandangnya.

“Awak tentu lapar. Kenapa tidak pergi ke kantin dengan Hakim?”

Adilah mengambil sepotong sandwic lalu mula mengunyahnya. Sedap! Sandwic telur dengan mayonis. Tentu ibu Imah yang sediakan. Namun, tidaklah sesedap sandwic yang nenek buat. Apatah lagi yang mama buat dahulu. Ingatannya terus tertumpu kepada mamanya. Rindunya terasa membuak-buak.

“Kenapa?” tanya Imah.

“Saya sedih,” jawab Adilah perlahan.

Imah mengangkat kening. “Kenapa pula awak bersedih?”

Adilah melepaskan keluhan panjang. “Saya tak suka duduk di rumah.”

“Sebab mama baru awak?” duga Imah.

Mata Adilah terbeliak. Dipandang wajah Imah. “Awak tahu?”

Imah mengangguk. “Saya ada pergi rumah awak semasa kenduri tempoh hari. Awak tak tahu sebab awak berkurung di dalam bilik.”

“Saya rindu mama.” Suaranya semakin sebak.

“Mama baru awak nampak baik,” Imah memuji.

Adilah pantas membantah, “Tidaklah! Dia hanya berpura-pura! Dia mahu ambil hati papa dan nenek saya!”

“Dia pernah pukul awak?” tanya Imah.

Adilah menggeleng perlahan.

“Dia pernah marah awak?”

Adilah menggeleng lagi.

“Dia pernah suruh papa awak pukul awak?”

Sekali lagi Adilah menggeleng.

“Dia pernah suruh papa awak marah awak?”

Adilah terus menggeleng.

“Jadi dia baiklah itu. Masalah orang tua rumit, kita jangan masuk campur,” nasihat Imah. Lagaknya seperti orang dewasa.

“Tetapi saya nak cari mama,” luah Adilah perlahan. Hatinya tiba-tiba jadi sayu.

“Awak tahu di mana nak cari mama awak?” tanya Imah lagi.

Adilah menggeleng.

“Awak tahu sesiapa yang tahu di mana mama awak berada?” tanya Imah.

Adilah menggeleng lagi.

“Jadi, bagaimana awak nak cari mama awak?” tanya Imah lagi.

“Saya pun tak tahu,” jawabnya perlahan. Dia menarik nafas dalam, melepaskan keluhan yang panjang. Harapannya terasa seperti terhempas ke batu buat kesekian kalinya. Berkecai.

“Kalau macam tu, buat sementara waktu, saya rasa lebih baik awak lupakan dulu hasrat awak. Nanti apabila awak dah besar, awak carilah mama awak. Lagipun, saya yakin suatu hari nanti, mama awak tentu datang jumpa awak.”

Mahu tidak mahu, Adilah terpaksa akur dengan pujukan Imah. Memang betul kata Imah. Dia memeluk Imah. Erat.

“Terima kasih,” Adilah bersuara perlahan. Sesungguhnya dia terharu dengan tindakan Imah. Selama ini dia sangka Imah sudah tidak mempedulikannya lagi. Namun, rupa-rupanya Imah masih ambil berat berkenaan dirinya.

“Di sini rupa-rupanya awak!” Suara Hakim meleraikan pelukan mereka.

Wajah Imah terus berubah menjadi keruh. Adilah tahu Imah masih membenci Hakim.

“Ini, saya beli coklat. Ambillah seorang satu.”

Adilah mengambil coklat yang dihulurkan Hakim. Imah pula terus membatu.

“Ambillah,” Hakim terus memujuk Imah.

“Kenapa tiba-tiba belanja coklat?” Suara Imah agak kasar.

“Sebab hari ini hari jadi saya!” Hakim tersengih. “Saya belanja awak berdua saja sebab awak berdua kawan baik saya!”

Adilah tersenyum. Dia gembira kerana Hakim menganggap Imah kawan baiknya juga. Adilah tengok Imah menahan senyum. Dia tahu Imah sudah tidak benci Hakim lagi.

“Terima kasih. Selamat hari jadi,” ucap Imah perlahan sambil mengambil coklat itu.

“Petang nanti, datang rumah saya, ya? Kita makan kek.” Hakim mempelawa Imah.

Imah mengangguk.

“Ajaklah Nita sekali,” sambung Hakim.

Adilah mencebik.

Imah menggeleng. “Tak naklah. Saya tak suka berkawan dengan dia. Dia mengada-ngada. Saya lebih suka berkawan dengan awak berdua.”

Adilah tersenyum gembira. Sekurang-kurangnya Imah sudah mula menerima Hakim.

“Kenapa tak beritahu awal-awal? Maaflah, saya tak sediakan hadiah untuk awak.” tanya Adilah.

‘Kenapalah aku tidak tahu hari ini hari jadi Hakim? Bukankah dia pelindung aku! Tak patut sungguh! Sudahlah tadi aku marah Hakim. Jahat betul aku.’ Dalam hati, Adilah memarahi diri sendiri.

“Sempat lagi beli hadiah, bawa petang nanti. Beri esok, lusa, tulat pun sempat.” Hakim ketawa kecil. “Tak pun, awak bawa masakan nenek awak setiap hari selama seminggu, dua minggu, ataupun berminggu. Sedap betul.”

Adilah mencebik. “Maaflah, nenek saya tak tinggal dengan saya lagi. Dia dah balik kampung.”

“Oh, ya ke? Rugi betul!” balas Hakim sambil mengusap perutnya.

Imah pantas menyampuk, “Tak apa, Adilah boleh suruh mama baru dia masakkan untuk awak.”

Adilah pantas menyiku Imah lalu menghadiahkan jeling paling tajam. Imah tersengih-sengih, menyedari keterlanjurannya.

“Mama baru? Wah, tahniah! Kalau dia pandai masak, jangan lupa masak sarapan lebih, bawa untuk kami ya!” ucap Hakim tanpa ragu-ragu.

Adilah mendengus. Nasib baik hari ini hari jadi Hakim. Pagi tadi dia sudah marah Hakim. Tidak tergamak pula dia mahu marah lagi.

“Awak nak hadiah apa?” tanya Imah.

“Apa-apa pun boleh. Tak beri hadiah pun tak apa. Kalau nak tolong doakan saja pun tak apa.”

“Doa apa?” tanya Adilah.

“Doakan supaya apabila besar kelak, saya akan jadi tinggi, kurus, dan kacak.” Hakim tersengih-sengih lagi sambil menggaru kepalanya.

Imah dan Adilah hanya mampu ketawa.

‘Mama, tak mengapalah kalau mama tak dapat menemani saya. Saya masih ada Imah dan Hakim untuk menemani saya. Merekalah penyeri hidup saya. Namun, saya masih berharap suatu hari nanti, mama pulang. Saya tetap akan menunggu mama! Sampai bila-bila.’


****

Seperti yang dijangka, Kak Zana menunggu Adilah di pintu pagar rumah. Memandangkan dia naik bas, dia sampai lebih lambat berbanding Kak Zana yang dijemput ayahnya. Kak Zana bercekak pinggang, wajahnya masam, matanya besar dan tajam, seperti mahu menelan Adilah dan mulutnya muncung seperti mulut itik. Susah Adilah hendak mengelak melainkan dia ada ilmu ghaib. Jadi, Adilah hanya mampu tersengih dan berjalan mendekati Kak Zana.

“Hai, kenapa berdiri di depan pagar? Masam pula tu.” Sudah gaharu, cendana pula. Biasalah, dalam keadaan terdesak, Adilah perlu berpura-pura.

“Awak mungkir janji!” Suara Kak Zana keras.

“Janji apa?” Adilah berpura-pura keliru.

“Alah, jangan nak berlakon pula! Tadi, awak beritahu satu kelas mengenai surat Rizal. Saya dah tahu. Awak ni teruk betul! Awak dah janji tak akan beritahu sesiapa pun. Awak tak amanah!”

Adilah cuma tersengih menerima serangan bertubi-tubi Kak Zana. Mana tidaknya, berjela-jela, baru dia hendak menyampuk, Kak Zana sambung lagi syarahannya.

“Kalau saya tahu awak macam ni, pasti saya tak beritahu awak. Malulah saya. Tentu budak-budak kelas awak ejek saya. Budak-budak kelas saya pun tentu akan tahu dan ejek saya!”

“Tetapi saya tak sengaja,” akhirnya, dapat juga Adilah mencelah. “Saya minta maaf, saya terlupa saya dah janji dengan Kak Zana. Lagipun Rizal jahat sangat. Saya geram.”

“Apa kaitan dengan saya? Tak pasal-pasal saya yang malu.” Kak Zana menjeling.

Adilah cuba memujuk, “Alah, bukannya Kak Zana yang beri surat pada dia.”

“Amboi, senangnya awak cakap.” Kak Zana mencebik.

“Janganlah marah. Saya belanja gula-gula, nak?” Adilah cuba mengumpan Kak Zana.

“Saya tak nak berkawan dengan awak lagi.” Adilah sudah agak, tentu Kak Zana cakap begitu.

‘Sikit-sikit tak nak kawan. Sikit-sikit tak nak kawan. Menyampah betullah!’ rungut Adilah dalam hati. Dalam hati sahaja, dia tidak berani pun meluahkannya. Nanti bertambah darjah kemarahan Kak Zana.

“Alah, janganlah cakap begitu. Kasihan saya. Kalau Kak Zana tak nak kawan dengan saya, nanti saya sunyi.” Seperti selalu juga, dia cuba memujuk.

“Tak nak!” Kak Zana menjeling lalu berlalu meninggalkannya. Adilah hanya memandang Kak Zana masuk ke dalam rumah.

Sebenarnya dia tidak risau sangat sebab dia tahu rajuk Kak Zana tidak lama. Paling tidak pun tiga hari. Selepas tiga hari, dia tentu tegur Adilah semula. Sebabnya, mereka sama-sama takut dengan Allah.

Ustazah Mariam pernah cakap apabila kita tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari, kita akan dapat dosa. Adilah tidak mahu kumpul dosa. Begitu juga Kak Zana. Jadi, pada hari ketiga, Kak Zana tentu tidak marah lagi!

Adilah melangkah masuk ke dalam rumah. Mama Zai tersenyum menyambut kepulangannya. Meluat betul Adilah dibuatnya. Ditambah dengan insiden semalam, lagilah Adilah menyampah tengok muka mama barunya itu.

Mama Zai bersuara lembut, “Salin baju, selepas itu turun makan, ya.”

Adilah mahu menolak tetapi perutnya memang lapar. Lagipun bau makanan yang terhidang di atas meja menggodanya. Matanya sempat menjeling makanan yang terhidang. Ada sambal sotong, ikan bawal goreng, sayur campur. Ish… semua makanan kesukaannya! Jadi dia cuma mengangguk.

Di dalam bilik, terkocoh-kocoh Adilah menukar pakaian seragam sekolah kepada baju basahan. Tidak sempat mandi pun. Lapar betul. Dia terbayang-bayang lauk yang terhidang. Rasa macam mahu berlari ke ruang makan namun bagi mengelakkan dia kelihatan terlalu gelojoh, Adilah mengira laju-laju sampai 100 sebelum menuju ke meja makan.

“Cukup?” tanya Mama Zai yang mencedokkan nasi untuknya.

‘Mana cukup! Sikit sangat. Paling tak pun, tambah lagi dua senduk penuh. Biar membumbung nasi itu, Saya lapar sangat!’ Sudah tentu bukan itu jawapan yang Adilah beri.

“Banyak sangat, buang sikit.” Ya Allah, kenapalah dia tergamak suruh Mama Zai kurangkan nasi di dalam pinggannya. Sepatutnya dia angguk sahaja. Ini, sudahlah tidak cukup, bertambah kurang pula kuantiti nasi untuknya!

Terlajak perahu beleh diundur, terlajak kata... terpaksalah Adilah lihat sahaja Mama Zai mencedok semula nasi di dalam pinggannya ke dalam mangkuk nasi dengan rasa hendak meraung. Diteguk setengah gelas air kosong dan ketika makan, Adilah kunyah perlahan-lahan supaya rasa kenyang.

“Kenapa makan sikit sangat? Nak tambah nasi?” tanya Mama Zai yang turut makan bersama Adilah.

‘Nak! Nak! Nak!’ Malangnya Adilah hanya mampu menjerit dalam hati. Tidak mungkin dia jawab begitu lalu dia hanya menggeleng sambil hanya mampu memandang sayu lauk-pauk yang luak sedikit sahaja. Ikutkan hati dia mahu habiskan semuanya sampai licin.

‘Leceh betul! Kenapalah dia makan dengan aku. Tak dapatlah aku makan banyak-banyak. Kalau aku makan banyak-banyak, nanti dia tahu yang aku suka masakan dia. Jatuhlah standard aku!’ Adilah berbisik dalam hati.

“Okeylah, mama dah sudah. Mama nak naik atas. Kamu makanlah lagi, sayang terbazir pula. Banyak lagi di dalam periuk untuk makan malam.” Mama Zai seolah-olah memahami yang Adilah belum kenyang tetapi segan sebab dia ada di situ.

Tiba-tiba Mama Zai bersuara lagi, “Petang ini, kita keluar ya. Mama nak bawa kamu pergi beli baju.”

Sekali lagi Adilah mahu menolak namun mengenangkan baju baru yang akan dia dapat, dia mengangguk lagi. Dia menjawab dalam nada mendatar, “Cepat sikit. Petang ini saya nak pergi rumah Hakim, nak makan kek. Hari ini hari jadi Hakim.”

“Oh, kalau begitu, kita beli hadiah untuk Hakim sekali.”

“Saya nak belikan dia permainan Batman. Dia suka Batman.”

“Okey.” Mama Zai tersenyum. Tanpa sengaja, Adilah turut tersenyum. Dua saat kemudian, dia menggigit bibir. ‘Aku tak berniat nak berbaik-baik dengan Mama Zai. Aku cuma mahu makan sedap-sedap dan pakai baju baru. Paling penting, aku mahu beli hadiah untuk pelindung aku, Hakim. Aku harap mama faham,’ bisik hati kecilnya sambil memejamkan mata. Nafas dihela panjang.

Adilah dengan pantas menyenduk nasi sebaik sahaja kelibat Mama Zai menghilang. Nikmat betul makan seorang diri. Dapatlah dia makan puas-puas.

‘Saya lapar. Malam tadi saya tak makan. Tadi waktu rehat pun saya cuma makan sandwic dan coklat. Mama, jangan marah, ya! Mama Zai masak sedap tetapi jangan risau, masakan mama paling sedap di atas muka bumi Tuhan ini!’



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku