Budak Bambam Itu
Bab 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
322

Bacaan








Dengan semangat berkobar-kobar, Adilah ke rumah Hakim. Dia memilih gaun yang pada pandangannya paling cantik, yang akan menyerlahkan kecomelan si pemakai iaitu dirinya sendiri. Dia memakai sepit rambut berwarna merah jambu, sesuai dengan gaun yang dipakainya. Di tangan, Adilah membimbit kotak yang dibalut cantik berisi hadiah hari jadi Hakim.

“Assalamualaikum,” Adilah menjerit dari luar pintu pagar dengan penuh bersemangat biarpun sudah menekan loceng.

Mama Zai sudah pun balik. Adilah sengaja tidak mahu Mama Zai berkenalan dengan ibu Hakim. Adilah tidak mahu mereka berkawan rapat. Hanya mama yang layak berkawan dengan ibu Hakim. Adilah berharap mamanya pulang segera. Dapatlah dia kenalkan mama kepada Hakim sekeluarga. Mengenangkan hajatnya itu, dia tersenyum lebar. ‘Mama pasti suka Hakim!’

Senyum di bibirnya hilang apabila melihat Hakim berlari ke pintu pagar dengan seorang budak perempuan. Siapa budak itu? Siapa budak yang perasan comel itu? Siapa? Siapa? Dada Adilah terasa berombak. Tangannya menggenggam penumbuk. Mulutnya terus memuncung. Dia menghembus nafas deras.

Kenapa Adilah terlebih emosional? Adakah kerana budak perempuan itu lebih comel berbanding dirinya? Sudah tentu tidak. Adilah seratus peratus yakin dia lebih comel. Dipandang budak itu. Ikutkan hati, mahu dia tolak budak itu jatuh. Sampai begitu sekali? Macam manalah Adilah tidak berapi satu badan. Budak perempuan itu memakai baju gaun yang sama dengannya! Ya, hakikat yang menjengkelkan Adilah. Hatinya meronta-ronta. Dia mahu tukar baju sekarang juga. Namun, itu adalah mustahil, tidak mungkin dia mahu pinjam baju Hakim pula!

“Eh, awak berdua berjanji ya?” Hakim mengusik apabila menyedari pakaian mereka serupa. Seratus peratus serupa! Cuma mungkin saiz yang berbeza kerana budak itu kecil sedikit berbanding Adilah.

Dengan wajah masam Adilah bertanya Hakim, “Siapa budak ni?” Suaranya agak kasar seolah-olah menggambarkan yang dia tidak suka kehadiran budak itu. Memang dia tidak suka pun!

“Dia jiran saya, Izati.” Hakim tersenyum.

Izati menghulurkan tangan. Dengan berat hati Adilah bersalam dengan Izati.

‘Kenapa aku tak tahu pun Hakim ada jiran bernama Izati?’ bisik hati kecilnya.

“Imah ada di dalam. Mari masuk.” Hakim terus berlari masuk bersama Izati.

Adilah melangkah perlahan dengan hati yang sebal. Dia membentak dalam hati, ‘Kenapa Hakim lebih mesra dengan Izati? Bukankah aku kawan baik dia? Bukankah dia pelindung aku? Bukankah sepatutnya hubungan kami lebih akrab?’

“Kenapa lambat?” Imah bertanya.

“Saya pergi beli barang,” jawab Adilah ringkas.

“Kenapa moyok?” tanya Imah lagi.

‘Imah ni banyak soallah! Menyampah pula aku dibuatnya,’ Adilah menjerit dalam hati.

Belum sempat Adilah menjawab, Imah sudah memotong, “Saya tahu! Sebab gaun yang awak pakai sama dengan Izati, betul tak tekaan saya?” Imah ketawa besar. “Macam manalah boleh sama… macam kembar pula.”

Adilah mencebik mendengar kata-kata Imah. Dalam hati, dia rasa mahu meraung. Tadi ketika terlihat gaun itu di patung budak perempuan, dia jatuh cinta pandang pertama. Terus sahaja mahu beli gaun itu.

Okey, silap. Bukan dia beli guna duit dia pun. Terus sahaja dia suruh Mama Zai belikan. Sekarang, dia benci mengenangkan betapa gelojohnya dia tadi. Menyesal pula dia tidak bersetuju dengan gaun pilihan Mama Zai. Kalaulah dia bersetuju... kalaulah... pasti sekarang dia tidak sakit hati begini. Harus berbulan-bulan Adilah rasa kesal setiap kali mengenangkan insiden hari ini.

Hakim dan Imah terus menyakatnya dan Izati. “Sehati sejiwalah awak berdua ini,” usik Imah.

“Betul. Kembar tak seiras. Sama baju, tak serupa wajah. Nanti, ambil gambar, ya?” Hakim menambah bara dalam hati Adilah.

Izati hanya tersenyum. Langsung tidak marah. Adilah berharap juga Izati merajuk lalu balik ke rumahnya. Malangnya, impiannya tidak kesampaian. Izati langsung tidak kisah diusik oleh Hakim dan Imah.

Adilah pula? Dia terus mencuka. Menyampah! Terus hilangmood.

“Saya pelik, sebelum ini tak pernah pun saya tahu Hakim ada jiran nama Izati.” Adilah meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada Imah.

“Dia muda setahun. Dia tidak bersekolah di sekolah kita. Dia bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Demang Hussin. Ibu dia guru di sana.”

Adilah hairan mendengar penjelasan Imah yang panjang lebar. Mengapa pula Imah lebih banyak tahu daripadanya?

“Dari mana awak tahu?” tanya Adilah.

“Tadi Izati beritahu,” jelas Imah.

“Wah, awak pun dah berbaik dengan dia?” Adilah menggenggam penumbuk. Perkara ini tidak boleh dibiarkan! Izati bukan sahaja hendak merampas Hakim tetapi juga Imah. Adilah tidak patut berdiam diri dan melihat sahaja Izati merampas kedudukannya!

Adilah cuba memikirkan cara terbaik menarik bagi perhatian Hakim. Dia juga sibuk mencari idea mahu ‘menyingkirkan’ Izati. Malangnya, dia tidak berjaya memikirkan idea yang bernas.

“Mari kita main di luar pula,” ajak Hakim.

Imah dan Izati berlari keluar bersama Hakim. Mereka bermain sembunyi-sembunyi. Mereka sungguh seronok. Hanya Adilah yang duduk di buaian seorang diri.

“Wah, gula-gula kapas! Saya suka!” Adilah menjerit keriangan apabila melihat ibu Hakim membawa keluar empat batang gula-gula kapas.

Hakim, Imah, dan Izati juga berlarian mendekati ibu Hakim.

Ibu Hakim menghulurkan semua gula-gula kapas itu kepada Hakim. “Ambil seorang satu. Baik-baik, jangan sampai jatuh. Ada empat batang ini sahaja,” pesan ibu Hakim sebelum masuk ke dalam rumah.

Adilah tidak mengendahkan pesan ibu Hakim. Melihat Izati cuba mengambil sebatang, dia dengan pantas mahu merampas. Malangnya gula-gula kapas itu terjatuh ke atas tanah.

Adilah mengangkat gula-gula kapas itu. Rumput sudah melekat pada permukaan gula kapas itu.

“Itulah, kalau awak tak rampas, tentu tak jatuh,” Hakim memarahi Adilah.

Adilah tunduk. Menahan air mata yang hampir mengalir.

‘Hakim dah tidak suka aku. Bukankah dia perlu melindungi aku? Kenapa dia marah pada aku?’ keluh hati kecil Adilah. Hatinya jadi sayu.

“Tak mengapalah, mari kongsi dengan saya,” Imah cuba memujuk.

Adilah terus membatu.

“Ambillah. Saya tak mahu.” Izati menghulur gula-gula kapas itu kepada Adilah. Adilah memandang Izati yang tersenyum.

“Kenapa pula awak beri saya?” Suara Adilah agak keras.

“Sebab satu lagi sudah jatuh. Awak suka gula-gula kapas, jadi saya berilah,” jawab Izati.

“Ambil sajalah, Izati boleh makan saya punya,” Hakim pula bersuara.

Hati Adilah membara mendengar kata-kata Hakim. Dia menjeling Izati. “Awak memang sengaja, kan? Pura-pura baik, padahal awak sengaja mahu Hakim benci saya!”

“Apa yang awak merepek ni?” Hakim memarahi Adilah. Adilah semakin geram.

“Sudahlah, kalau awak nak sangat berkawan dengan dia, pergilah. Saya tak hairan pun!”

Adilah berlari meninggalkan mereka. Nasib baiklah rumahnya dan Hakim tidak terlalu jauh. Rumah mereka terletak dalam kawasan taman perumahan yang sama, cuma lorong berbeza. Adilah sedih kerana Hakim tidak mengejarnya.

‘Aku benci dia! Dia bukanguardian angel yang baik!’ rungut Adilah dalam hati. ‘Mungkin aku patut pecat dia daripada menjadi pelindung aku. Tapi... kalau pecat dia, siapa nak gantikan tempat dia?’

Hakim yang kuat makan. Hakim yang selekeh. Hakim yang comot. Hakim yang katik. Hakim yang bambam.

‘Hakim, saya benci awak!’


*****

“Awak tak nak berkawan dengan Hakim lagi?” tanya Imah suatu pagi.

Adilah mencebik mendengar soalan Imah. “Dia yang sombong. Mentang-mentang ada Izati.”

Selepas kejadian itu, mereka tidak lagi bertegur sapa. Adilah tidak lagi ke kantin bersama Hakim. Hakim juga seperti sudah melupakan Adilah. Nasib baik Imah masih berkawan dengannya.

“Kenapa awak marah sangat dengan Izati?” Imah bertanya lagi.

Adilah mengeluh. Sebenarnya, dia tahu tidak ada sebab dia perlu marah Izati. Dia tahu Izati tidak buat salah apa-apa pun dengannya. Hakim juga tidak bersalah. Dia berhak berkawan dengan sesiapa pun.

‘Memanglah dia pelindung aku tetapi itu tidak bererti dia hak mutlak aku,’ kata hati Adilah.

Adilah memandang Imah. “Awak rasa Hakim benci saya?”

Imah tersenyum lantas menggeleng. “Pergilah tegur dia.”

Adilah mengeluh. Tiba-tiba terasa malu.

“Pergilah,” gesa Imah seraya menolak Adilah.

Adilah menarik nafas lalu pergi ke meja Hakim.

Adilah memberanikan diri menegur Hakim, “Awak marah saya?”

Hakim mendongak. “Taklah. Bila masa pula saya marah dengan awak? Setahu saya awak yang marah saya.”

Adilah tersengih mendengar kata-kata Hakim. “Rehat nanti, kita makan bersama, ya?”

Hakim mengangguk, Dengan muka moyok dia mengadu, “Awak tak ada, susah saya nak cop tempat. Saya selalu makan tepi longkang.”

Senyuman Adilah semakin lebar. “Tahu pun!”

“Awak janganlah risau, Izati jiran saya. Awak pula kawan baik saya. Jadi, kedudukan awak tak akan tergugat!” Hakim tersengih.

Adilah mencebik, malu mendengar kata-kata Hakim. ‘Dia tahukah?’

Pantas Adilah menafikan, “Saya tak kisah pun!”

“Yalah tak kisah! Kalau begitu, saya mulai hari ini, saya mahu layan Izati lebih baik daripada saya layan awak. Boleh?”

Terus Adilah mencebik. “Kalau berani, cubalah!” Hakim ketawa melihat reaksinya. Adilah juga akhirnya ketawa.

“Baguslah begini, jangan gaduh-gaduh lagi,” Imah tiba-tiba menyampuk.

Mereka bertiga ketawa riang. Hari itu, Adilah benar-benar gembira. Mujur semuanya kembali jernih. Mulanya Adilah sangka dia sudah kehilanganguardian angel. Mujur dia tidak buat tindakan melulu “memecat” Hakim daripada menjadi pelindungnya.

‘Mama, Hakim tak marah saya lagi!’


****


“Hakim, saya suka kawan dengan awak. Awak memang kawan yang baik.” Adilah tersenyum lebar. Semuanya sudah kembali seperti biasa. Hari ini, Hakim kembali menjadi tukang beli makanan, dan Adilah pula tukang “cop” tempat.

“Okey,” jawab Hakim sepatah dan kemudian terus mengunyah keropok. Mereka duduk di bangku kantin. Baru sudah makan nasi lemak, Hakim tetap belum kenyang. Waktu rehat berbaki empat minit lagi.

Senyuman Adilah hilang. Okey? Itu sahaja jawapan Hakim? Adilah menjeling. Tidak puas hati.

“Awak dengar tak saya cakap?” Suara Adilah sedikit keras.

“Ya, saya dengar. Saya dah jawab okey, awak yang tak dengar.” Hakim langsung tidak pandang Adilah. Mulutnya terus mengunyah keropok, usai ditelan, dimasukkan lagi sekeping. Rangup dan sedap.

Hakim memang suka makan keropok ikan sira. Itu sudah plastik kedua. Yang pertama, dia hanya beri tiga keping setengah kepada Adilah. Plastik kedua ini mungkin Adilah langsung tidak dapat rasa sebab sudah tinggal suku.

Adilah mendengus. Mukanya sudah merah. Bersungguh-sungguh dia meluahkan perasaannya kepada Hakim. Dia mengharapkan Hakim jawab, “Ya, saya pun suka kawan dengan awak. Awak pun kawan yang baik.”

Malangnya Hakim terlalu sibuk dengan aktiviti kegemarannya. Apa lagi kalau bukan makan, makan, dan makan. Macam manalah rakan-rakan kelas tidak gelar dia Hakim The Big Giant. Tengoklah perutnya, semakin ke depan.

Adilah melangkah laju meninggalkan Hakim. “Eh, awak nak ke mana?”

Panggilan Hakim menghentikan langkah kaki Adilah. Hatinya terus membuat kesimpulan, ‘Tentu Hakim nak cakap aku pun kawan yang baik.’

Adilah menoleh. Dipandang wajah Hakim dengan senyuman yang kembali melebar.

“Awak marah sebab saya habiskan keropok ni ya? Maaflah, saya bukannya tak nak kongsi dengan awak, tapi sedap sangat. Saya pun tak puas makan. Ini, ada sekeping lagi, ambillah.”

Muka Adilah kembali masam. “Tak habis-habis dengan keropok. Bosan betullah!” Dia melangkah meninggalkan Hakim yang menggaru kepala dengan tangan berminyak.

“Kalau awak tak nak, saya makan ya!” jerit Hakim.

Adilah tidak mempedulikan laungan Hakim. Dia terus berjalan laju. Dalam hati dia merungut, ‘Macam mana dia nak jadi pelindung aku kalau dia asyik makan dan makan. Nanti badan dia bertambah bambam, dia tak ada tenaga. Silap-silap aku yang terpaksa selamatkan dia kalau apa-apa jadi. Ish... geram betul!’

Alahai, baru pagi tadi berbaik, Adilah merajuk lagi. Mengada-ngada betul. Namun, rajuk itu pasti tidak lama. Maklumlah, seminggu tidak bercakap dengan Hakim, rasa tidak berseri hidup Adilah. Lagipun, siapa yang hendak beratur belikan nasi lemak sambal dan timun lebih untuk Adilah kalau bukan Hakim?

“Saya tinggalkan awak sekeping sebab awak kawan baik saya. Kalau orang lain tentu saya tak beri,” bisik Hakim perlahan sambil merenung kepingan terakhir keropok pada tangannya. Kemudian dia tersenyum sendiri. “Tak apalah, memang rezeki aku!” Keropok itu selamat masuk ke dalam mulutnya serentak dengan loceng tanda waktu rehat tamat berbunyi. Terkedek-kedek Hakim berlari menuju ke kelas.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku