Budak Bambam Itu
Bab 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
222

Bacaan






“Awak nak makan apa?” tanya Hakim. 

Waktu itu waktu rehat. Seperti biasa dia dan Hakim makan bersama di kantin sekolah. Ada kalanya Imah turut serta tetapi selalunya Imah makan bersama kakaknya Izah yang belajar dalam darjah empat.

“Macam biasa.” Adilah tersenyum.

Seperti biasa juga, Hakim beratur membeli makanan dan Adilah duduk menjaga tempat. Bukan apa, waktu rehat, kerusi meja di kantin selalu penuh. Sekiranya dia tidak cop tempat, nanti tidak ada tempat duduk pula! Jadi terpaksalah Adilah duduk bersenang-lenang sambil memerhati sahaja Hakim bersesak-sesak beratur. Kasihan Hakim.

“Ini nasi lemak awak. Sambal lebih, timun lebih. Mak cik kantin jeling apabila saya minta tambah sambal dengan timun. Mungkin sebab hari-hari pun minta. Anak dia yang baik hati tu tak ada pula.” Hakim meletakkan pinggan nasi lemak Adilah di atas meja.

Adilah tersenyum lebar. Hakim memang memahaminya.

“Nasib baik tak kena marah. Lain kali tak perlulah minta lebih. Kalau makan di rumah, lain cerita!” respons Adilah, padahal dulu-dulu dia yang sibuk suruh Hakim minta sambal dan timun lebih.

“Tak mengapa. Saya cakap pada mak cik itu, kalau mak cik nak saya bayar lebih untuk sambal dan timun saya tak kisah.”

“Dia cakap apa?” tanya Adilah.

Hakim tersenyum. “Dia kata setakat 20 sen dia tak hairan!”

“Berlagaknya!” Adilah menjuih bibir.

Hakim menyokong, “Itulah! Ikutkan hati saya mahu bayar seringgit. Biar dia tahu ini Hakim okey! Bukan setakat badan besar, poket pun ‘besar’!”

“Kenapa tak buat begitu?” tanya Adilah.

“Nanti tak ada duit untuk beli aiskrim pula.” Hakim tersengih.

Adilah mencebik. “Kalau macam tu, tak adalah ‘besar’ mana pun poket awak!”

Hakim ketawa kecil. Adilah hanya tersengih, Mereka makan bersama-sama. Sebenarnya nasi lemak kantin itu biasa sahaja, tetapi sejak kehadiran Hakim, Adilah rasa nasi lemak itu terlebih sedap. Adilah yakin dialah pelindung yang dihantar Tuhan untuknya. Ya, dia benar-benar yakin. Sungguh, kesunyiannya terubat dengan kehadiran Hakim.

‘Hakim, bagaimanalah hidup saya tanpa awak?’ bisik hati kecilnya.

“Saya rasa awak patut cari kawan lain untuk beratur belikan makanan untuk awak.” Tiba-tiba Hakim ungkit soal itu.

“Kenapa awak cakap macam tu? Awak tak suka beratur ya? Kalau tak suka, boleh tukar, awak jaga tempat duduk, saya pula beratur beli makanan,” Adilah pantas memberi cadangan.

Hakim pantas menggeleng. Kemudian dia menepuk dada beberapa kali. “Ini Hakim. Saya tak kisah pun. Kalau nak suruh saya beratur belikan awak makanan sampai bila-bila pun saya tak kisah.”

Wah, kembang kuncup hidung Adilah mendengarkan kata-kata Hakim. “Kalau macam tu, saya tak perlu cari kawan lain. Sampai kita habis belajar, awak tolong beratur dan belikan makanan untuk saya. Janji?”

Hakim menggeleng. “Maaf, saya tak boleh janji.

“Kenapa?”

“Macam mana saya berjanji kalau saya tahu saya memang tak boleh tunaikan janji tu. Saya tak nak jadi orang munafik. Nanti Tuhan marah.”

“Munafik?”

Hakim laju mengangguk. “Ya, orang yang berpura-pura beriman tetapi sebenarnya tak.”

“Apa kaitan nasi lemak dengan iman?” Dahi Adilah mula berkerut.

“Satu daripada ciri orang munafik adalah apabila berjanji, dia memungkiri janji. Jadi saya tak boleh berjanji dengan awak sebab saya tahu saya memang tak dapat tunaikan.”

Daripada cerita makan-makan tiba-tiba ke pendidikan Islam? Adilah garu kepala. Seketika dia menghela nafas dan mengukir senyuman. “Awak jangan risau, awak tak perlu janji apa-apa, jadi awak tak akan jadi munafik. Yang penting, saya suka kawan dengan awak. Kalau awak tak dapat beratur belikan nasi lemak untuk saya pun tak apa. Saya tak marah.”

Hakim diam seketika sebelum kembali bersuara. “Saya pun suka kawan dengan awak tapi..”

“Tapi apa?”

“Awak memang kena cari kawan lain. Minggu depan saya akan bertukar sekolah. Ayah nak kami pulang ke Pulau Pinang.” Hakim meluahkan sesuatu yang di luar jangkaan Adilah. Jantung Adilah seperti berhenti berdenyut. Tiba-tiba dia seperti tidak tahu bagaimana hendak bernafas.

Saat indah rupa-rupanya tidak selama-lamanya menyelubungi hidup Adilah. Dia sangka Hakim adalah guardian angel seperti yang dikatakan oleh mamanya. Pelindung yang akan melindungi dan menemaninya melalui zaman kanak-kanak dan remaja. Namun ternyata itu hanya impian kosong.

Hakim memang bijak. Hakim tunggu dia selesai makan sebelum menyuarakan berita itu. Yalah, sekiranya Hakim beritahu lebih awal, tentunya selera Adilah hilang. Hakim tentu tidak sanggup melihat Adilah berlapar.

Adilah diam membisu. Langsung tidak bersuara. Lagipun apa lagi yang perlu dikatakan? Kalau dia suruh Hakim jangan pindah, Hakim akan ikutkah? Tentu tidak, bukan? Jadi, lebih baik dia senyap. Cuba menghadam berita tergempar yang memporak-perandakan hatinya.

“Awak dengar ataupun tak?” tanya Hakim.

Adilah memandang Hakim. ‘Pergilah. Pergilah jauh-jauh. Tinggalkan saya seperti mana mama tinggalkan saya. Saya sudah biasa ditinggalkan.’ Kata-kata itu hanya terluah dalam hati. Dia tidak mampu menuturkannya.

“Saya nak pergi tandas.” Adilah bangkit dan terus meninggalkan Hakim.

“Adilah!” panggil Hakim.

Adilah tidak mempedulikan panggilan Hakim. Langkah kakinya semakin laju. Tanpa sedar dia berlari. Di dalam tandas, dia menangis.

Tandas sekolah, tempat yang paling dibencinya. Kotor dan busuk! Tidak tahulah kenapa ada segelintir budak yang tidak suka menjaga kebersihan. Benci betul Adilah. Selama ini dia selalunya lebih rela menahan sampai pulang ke rumah daripada menggunakan tandas sekolah. Namun pada hari itu, dia lebih selesa berada di dalam tandas sekolah daripada di dalam kelas.

‘Hakim, sampai hati awak!’ Adilah terus merintih.


*****

Ikutkan hati, Adilah mahu duduk berlama di dalam tandas. Namun, bimbang pula ditangkap pengawas dan dituduh ponteng kelas. Lalu, dengan berat hati, dia melangkah juga pulang ke kelas.

“Awak menangis ya?” Hakim mendekati Adilah yang baru sahaja melabuhkan punggung di kerusi.

“Taklah. Kenapa pula saya nak menangis!” jawab Adilah kasar.

“Janganlah sedih.” Hakim cuba memujuk Adilah.

Adilah tersenyum sinis lalu memandang Hakim. “Tolong jangan perasan ya. Awak bukannya penting sangat. Saya langsung tak sedih. Saya tumpang gembira untuk awak. Lagipun baguslah, selepas ini tak orang akan gosipkan kita berdua lagi.”

Hakim mengeluh lalu kembali ke tempat duduknya. Adilah semakin geram. ‘Awak tak nak pujuk sayakah?’ hatinya menjerit.

“Kenapa awak dengan Hakim?” Sebagai kawan, Imah menunjukkan keprihatinannya. Adilah sepatutnya bersyukur memiliki kawan seperti Imah. Malangnya, dalam keadaan begini, Adilah betul-betul tidak mahu diganggu.

“Tak ada apa-apalah. Boleh tak awak jangan sibuk jaga tepi kain orang?” Entah mengapa dia melepaskan kemarahannya kepada Imah. Kasihan Imah. Tidak semena-mena dimarahi Adilah.

“Kenapa awak tiba-tiba marah saya? Apa salah saya?” Wajah Imah keruh.

Adilah mengeluh. “Maaf. Saya bukannya marah awak,” Adilah meminta simpati Imah.

Imah kembali tersenyum. “Okeylah, saya tak nak kacau awak. Nanti apabila awak dah okey, cerita pada saya, ya.”

Adilah mengangguk lega. Mujur Imah memahami. Kadangkala dia merasakan yang Imah lebih matang berbanding dirinya.

“Imah, awak memang kawan yang baik.” Adilah jadi sedih. Hanya Imah yang setia di sisinya.

“Yalah tu! Awak fikir saya tak tahu awak lebih sayang Hakim? Tapi, jangan risau. Saya tak marah. Ibu saya cakap, manusia biasa memang begitu. Kadangkala tak dapat berlaku adil. Sayang orang tertentu lebih daripada orang lain,” Imah membalas.

Adilah cuma ketawa kecil. Benar. Malangnya, selalunya orang yang kita paling sayang itulah yang meninggalkan kita. Hujan lebat turun dalam hati Adilah.


*****


“Awak dah tak nak berkawan dengan saya?” Waktu rehat, Hakim bertanya.

“Kenapa tiba-tiba cakap macam tu?” Adilah bersuara kasar.

Memang sejak Hakim beritahu perkara itu, Adilah mula menjauhkan diri daripada Hakim. Dia tahu Hakim tidak bersalah. Lagipun, dia tidak ada hak hendak menghalang Hakim daripada pergi. Masalahnya dia terlalu sedih. Dia tidak mampu memujuk hatinya.

“Tengok tu, cakap dengan saya pun kasar. Asyik marah-marah,” rungut Hakim.

“Selama ini pun saya memang begini. Awak saja yang tak sedar!”

“Awak marah sebab saya akan pindah? Janganlah marah. Bukannya saya yang nak pindah. Keluarga saya yang nak pindah. Terpaksalah saya ikut. Saya masih di bawah umur untuk tinggal sendirian. Bahaya. Kalau saya kena culik, bagaimana? Saya tentu kurus sebab tak dapat makan sedap-sedap. Awak pun tahu masakan mak saya terlalu sedap sehingga menjilat jari!” Hakim cuba menjelaskan hakikat yang mereka sama-sama tahu, sambil cuba melawak untuk menceriakan suasana. Usaha yang tidak berjaya membuatkan Adilah tersengih.

“Saya tak marahlah! Saya tak kisah pun awak nak pindah.” Adilah mendengus.

“Yalah.” Hakim memang tidak percaya. Muka Adilah masam mencuka, tetapi tidak marah?

“Ikut suka awaklah nak kata apa pun.” Adilah bangkit meninggalkan Hakim.

‘Hakim, maafkan saya. Saya tahu saya tak patut marah awak, awak tak salah apa-apa, tetapi saya tak mampu mengawal diri. Saya rasa nak marah sebab saya tak sanggup hilang kawan.’ Kata-kata itu hanya terpendam dalam hatinya. Tidak diluahkan pada waktu itu, tidak juga dapat diluahkan sebelum mereka berpisah. Kata-kata itu terus terkubur dalam hati.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku