Budak Bambam Itu
Bab 11
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
323

Bacaan







Masa terasa pantas berlalu. Memang masa mencemburui Adilah. Memang masa tidak mahu Adilah terus hidup bahagia. Masa memang kejam kepada Adilah. Hari yang tidak ditunggu dan tidak dialu-alukan itu muncul juga.

Hari ini terakhir Hakim di sekolah. Hari ini juga Adilah sengaja ponteng. Dia memberitahu papanya yang dia tidak sihat. Encik Arifin mahu membawanya ke klinik namun dia berkeras, tidak mahu.

“Tak mengapa. Saya sudah makan kurma, habbatussauda, madu, dan minum air zamzam. Nanti papa tolong belikan saya air kelapa muda ya.” Itulah jawapannya. Padahal hari lain, bukan main liat dia mahu mengikut rutin papanya yang mahu dia makan makanan sunnah sebelum sarapan. Tiba-tiba sahaja hari ini dia terlebih rajin, tanpa perlu disuruh-suruh. Makanan sunnah adalah makanan yang menjadi amalan Nabi Muhammad s.a.w.

Air zamzam iaitu air daripada telaga di Mekah yang tidak pernah kering memang terkenal sebagai air yang paling diberkati dan boleh mengubati pelbagai jenis penyakit dengan izin Allah. Kurma yang selalunya diamalkan pada bulan puasa adalah sumber tenaga segera kerana mudah diserap dan diproses. Ia juga mengandungi kandungan serat yang tinggi tiga kali ganda berbanding pisang. Antara khasiat kurma adalah sebagai penguat memori, penawar racun dan penawar pelbagai penyakit.

Kebetulan Encik Arifin perlu segera ke pejabat kerana ada mesyuarat, maka dia tidak bersuara lagi. Mama Zai pula tidak mahu mengganggu Adilah berehat lalu membiarkan sahaja Adilah.

Adilah terus berkurung di dalam bilik. Menangis sehingga matanya bengkak. Perlahan-lahan Adilah bangkit, menuju ke dinding. Lukisan bunga matahari ditiup angin kencang itu tidak sepatutnya terus digantung di situ.

Dia mahu membuang lukisan itu namun tidak tergamak rasanya. Lukisan itu istimewa dalam hidupnya. Lalu disimpannya di dalam kotak, dan diletak di dalam stor. Biarlah ia di situ. Dia tidak sanggup memandangnya lagi.

Kembali ke bilik, dia memandang dinding yang sudah kosong. Sekosong hatinya.

‘Selamat tinggal bunga matahari ditiup angin kencang.

Selamat tinggal Hakim pelindung yang baik hati.

Selamat tinggal kenangan.’

Hujan air mata turun lagi. Lebat. Esakan Adilah kembali kedengaran.


*****

Tok! Tok!

“Ada apa?” Pantas Adilah mengelap air mata yang bersisa.

“Mama Zai nak tanya kamu nak makan nasi ataupun bubur?”

“Saya tak nak makan apa-apa,” jawab Adilah. Suaranya sedikit serak dek kerana asyik menangis.

“Boleh Mama Zai masuk?”

“Saya nak berehat.”

Mungkin kerana risau, Mama Zai tetap memujuk. “Kamu bukalah kunci pintu ni. Mama Zai nak masuk sekejap. Mama Zai nak ukur suhu badan kamu.”

Adilah menghela nafas panjang. Dengan langkah berat dia membuka pintu. “Saya tak apa-apa. Tak perlu risau.”

Mama Zai merenung mata Adilah. “Kamu pasti kamu okey? Ada masalah di sekolah ya?”

Adilah tersenyum segaris. “Apalah sangat masalah budak sekolah rendah macam saya.”

“Tak nak kongsi dengan Mama Zai?”

Adilah menggeleng. Dia tidak bersedia berkongsi rasa hatinya dengan orang lain selain mama. Mama yang entah bila akan muncul dan memujuk Adilah setiap kali Adilah berduka.

Raut wajah Mama Zai berubah sedikit. Kecewa barangkali. “Tak apalah kalau macam tu. Mama Zai dah masak nasi. Bubur pun ada. Kalau kamu lapar turun makan ya. Kalau tak larat, panggil. Nanti Mama Zai bawa makanan ke bilik kamu.”

Adilah mengangguk.

“Kamu berehatlah dulu.” Mama Zai berpaling lalu melangkah meninggalkan Adilah.

“Terima kasih.” Ucapan Adilah mematikan langkah Mama Zai lalu dia berpaling. Senyum dihadiahkan kepada Adilah. Bukan selalu Adilah menghargai usahanya.


****

“Kenapa awak tak datang semalam?” Tanpa ucapan salam, pagi-pagi lagi Imah sudah bertanya. Malah, Adilah belum sempat meletak beg di atas kerusi, apatah lagi duduk melepaskan lelah berjalan dari pintu pagar sekolah ke kelas.

Adilah diam tidak menjawab. Malas mahu menerangkan keadaan sebenar. Dia meletak beg, lalu duduk.

“Hakim cari awak,” beritahu Imah.

Adilah masih mendiamkan diri. Berpura-pura tidak mendengar. Dikeluarkan bekas pensel dan buku untuk subjek pagi itu. Subjek kegemarannya, matematik. Namun hari ini dia rasa tidak bersemangat mahu belajar.

“Mustahil awak tak ingat semalam hari terakhir dia di sini?” Imah terus bertanya.

Adilah kekal membisu.

“Ini untuk awak.” Adilah memandang sepi kertas yang berlipat yang disuakan Imah.

“Ambillah, Hakim yang beri,” pujuk Imah.

Adilah mengambil kertas itu dengan hati yang berat lalu terus menyimpan kertas itu dalam beg. Sengaja dia tidak terus baca. Sengaja dia buat-buat tidak kisah. Padahal dalam hati, membuak-buak rasa mahu tahu apa yang ditulis oleh Hakim.

“Awak tak nak baca?” tanya Imah.

“Nantilah,” balas Adilah sepatah.

“Awak sedih ya Hakim dah pindah sekolah?” Imah memang suka tanya soalan yang tidak perlu ditanya. Hanya jelingan tajam yang Adilah hadiahkan bersama dengusan kecil. Imah tidak lagi bersuara.

Pada waktu rehat, Adilah bersendirian di dalam kelas. Dia sudah tidak mampu menahan hati. Diambil kertas yang diberikan Imah pagi tadi dari dalam beg. Perlahan-lahan dia membuka lipatan kertas itu.

Adilah tersenyum sedikit. Tulisan Hakim masih buruk seperti selalu.


Kepada Adilah yang comel dan baik hati, tetapi kuat merajuk.

Kenapa awak tak datang sekolah hari ni? Awak tak nak jumpa saya ya? Tak mengapalah. Saya minta maaf sebab selepas ini saya tak dapat beratur untuk belikan awak nasi lemak lagi. Saya harap setiap kali awak makan nasi lemak, awak ingat saya. Saya akan selalu ingat awak suka makan timun dan sambal lebih apabila makan nasi lemak. Kita kawan baik sampai bila-bila.

Jaga diri baik-baik. Nanti saya hantar surat, ya.

Selamat tinggal.


Daripada,

Hakim kawan baik awak yang akan jadi tinggi, kurus dan kacak apabila besar nanti.


Adilah menggigit bibir, menahan air mata daripada mengalir. Wajah Hakim yang tersengih lebar dan terkedek-kedek berjalan dengan penuh semangat, sambil menatang dua pinggan nasi lemak memenuhi layar pandangnya. Itulah rutin Hakim hampir setiap hari pada waktu rehat. Sepinggan untuk Adilah, sepinggan untuk dirinya.

Hmm... dalam banyak-banyak kenangan, tentang makan juga yang Hakim ingat. Maklumlah, HakimThe Big Giant!

‘Mama, Hakim, dua-dua tinggalkan aku. Jadi, siapa sebenarnyaguardian angel aku?’ Hujan lebat turun lagi dalam hati Adilah buat kesekian kalinya.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku