Budak Bambam Itu
Bab 12
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
196

Bacaan







Hari-hari selepas pemergian Hakim berjalan dengan muram. Tiada lagi orang yang membelikan Adilah makanan semasa waktu rehat. Tiada juga orang yang menemaninya menyiapkan kerja rumah pendidikan seni.

Adilah semakin malas ke sekolah. Encik Arifin dan Mama Zai selalu bertanya namun dia tidak mempedulikan mereka.

“Apa sebenarnya masalah kamu? Makin lama makin malas. Apa nak jadi dengan kamu ni?”

Adilah sudah lali dengan soalan papanya. Seperti selalu, dia hanya tunduk membisu.

“Tengok ini, buku rekod kamu, semua pun merah!”

Adilah terus membisu. Benar, prestasi Adilah merosot dengan mendadak. Sebelum ini, walaupun subjek lain cukup-cukup makan dan biasa-biasa sahaja, tetapi Adilah sentiasa dapat A bagi subjek matematik. Kini tidak lagi.

Memang betul dia tidak pernah ponteng kelas dan latihan yang cikgu beri sentiasa disiapkannya. Namun begitu, dia selalu berangan-angan di dalam kelas dan jawapan latihan yang dia buat selalu salah.

“Cuba kamu cakap dengan mama, apa sebenarnya yang mengganggu kamu?” Pujukan Mama Zai juga tidak berhasil. Adilah langsung tidak mengendahkannya. Dia semakin terasing dan mengasingkan diri.

Kesunyian membuatkan Adilah semakin merindui mamanya.

“Mama, kenapa mama tak pulang-pulang juga?” Setiap malam Adilah sukar melelapkan mata. Gambar Puan Kartina sentiasa menemaninya.

“Mama, Hakim bukan pelindung saya lagi. Pulanglah, mama. Pulanglah. Jadi pelindung saya.”


*****

“Bangunlah, sudah lewat. Nanti bas tinggalkan kamu. Bangunlah.” Mama Zai sudah tidak tahu bagaimana lagi mahu mengejutkan Adilah. Sikap malas membuatkan Adilah selalu lewat ke sekolah. Kasihan Mama Zai, jenuh mengejutkannya setiap pagi. Berbuih mulutnya memujuk Adilah supaya bangun.

Seperti pagi-pagi yang berlalu, Adilah balas dengan menarik selimut, menyelubung diri. “Saya mengantuklah! Mama Zai jangan bising,” marahnya.

“Adilah! Bangun! Apa nak jadi dengan kamu ini?” Apabila suara Encik Arifin nyaring kedengaran, barulah mata Adilah terbeliak dan dia tergesa-gesa bangkit.

Hakikatnya, dia ke sekolah sekadar memenuhi rutin. Tiada semangat mahu belajar. Langsung tidak fokus. Adilah berterusan hanyut dalam angan-angannya sendiri.

Namun, semalas mana pun dia, dia sentiasa menyiapkan kerja sekolah yang diberi guru-guru. Adilah bukanlah pelajar cemerlang ataupun yang rajin mengulang kaji namun tidak pernah sekalipun dia tidak menyiapkan kerja sekolah.

Aneh, bukan? Alang-alang malas ke sekolah, tidak perlulah buat kerja sekolah!

Kenapa dia tetap menyiapkan kerja sekolah? Entahlah. Adilah pun tidak ada jawapannya. Mungkin kerana dia masih ingat kata-kata Hakim.

“Walaupun malas ulang kaji pelajaran, dengan membuat kerja sekolah, sekurang-kurangnya kita belajar juga! Lagipun, ambil berkat!” Itulah pesanan Hakim.

Ada-ada sahaja pelindungnya itu.

“Berkat apa?” Berkerut dahi Adilah.

“Cikgu tak akan marah kita apabila kita siapkan kerja sekolah. Sebaliknya, cikgu puji dan berkata yang baik-baik mengenai kita. Bukankah kata-kata itu satu doa?” Hakim mengenyit matanya.

Adilah menjuih bibir.

“Tetapi... lebih berkat kalau kita rajin belajar,” sambung Hakim.

Satu perkara yang Adilah menyampah mengenai pelindungnya itu adalah Hakim suka membebel. Namun, tidak dinafikan sepanjang Hakim di sisinya, Adilah lebih bersemangat belajar. Mereka selalu membuat latihan yang cikgu beri bersama-sama.

Hakim lebih pandai daripada Adilah. Jadi, selalunya Adilah hanya meniru jawapan Hakim.

“Hakim budak gemuk!”

“Tengok itu, Hakim The Big Giant dengan makwe dia!”

Adilah tidak faham dengan sikap budak-budak sekolahnya. Suka sangat menyakat Hakim. Kasihan Hakim.

Kadang-kadang Adilah juga menjadi mangsa. Adilah selalu marah tetapi Hakim buat tidak kisah. Dia selalu buat selamba sahaja apabila ada suara-suara sumbang yang mengejeknya. Malah mereka ada moto khas untuk Hakim.

Kimba the white lion.

Hakim the big giant!”

Kejam sungguh rakan-rakan kelas mereka. Adilah sakit hati bagi pihak Hakim.

“Kenapa awak tak marah mereka?” Adilah tidak berpuas hati melihat Hakim membiarkan sahaja ejekan itu.

Hakim tersenyum. “Kenapa pula saya nak marah?” Mukanya yang bulat bertambah bulat. Pada tangannya ada aiskrim kon perasa coklat. Senangnya jadi Hakim, asalkan dapat makan aiskrim, sudah sengih melebar.

Adilah mendengus. “Awak perlu kuat dan berani. Awak perlu tunjukkan ketegasan awak. Jangan biarkan mereka buli awak. Ini tak, awak senyap saja setiap kali kena ejek. Harap badan saja besar, tetapi penakut!” Kadangkala dia geram dengan sikap Hakim yang acuh tak acuh dengan ejekan kawan-kawan.

“Saya bukan takutlah.”

“Kalau tak takut, kenapa tak balas?” Adilah tidak puas hati. Baginya Hakim penakut sebab itu membiarkan diri menjadi mangsa buli.

“Buat apa saya buang masa dan tenaga bertekak dengan mereka? Biarlah mereka cakap apa yang mereka suka. Apabila sudah penat, pasti mereka diam. Ibu saya selalu pesan, asalkan saya percaya dan yakin pada diri sendiri, biar apa pun orang cakap, tak penting.” Hakim tersenyum lagi dan kemudian menjilat aiskrim.

“Percaya apa? Yakin apa?” Adilah terus menyedut air susu coklat.

“Percaya dan yakin apabila besar nanti saya akan jadi tinggi, kurus dan kacak.”

Habis tersembur keluar air susu coklatnya tepat-tepat mengena muka Hakim. Adilah ketawa berdekah-dekah. ‘Biar betul budak bambam ni! Yakin sungguh!’

Hakim mengelap mukanya dengan sapu tangan. “Awak gelakkan saya. Habis muka saya basah. Teruklah awak ni.”

Dalam tawa bersisa, Adilah membalas, “Maaf, saya tak dapat mengawal diri. Tak sengaja. Lagipun siapa suruh awak buat lawak!”

Hakim mencebik. “Bila masa pula saya buat lawak. Saya serius. Tengoklah, apabila saya besar kelak, saya akan jadi tinggi, kurus, dan kacak. Awak tentu tak dapat cam saya.”

Adilah tersengih memandang Hakim. “Kalau awak tetap macam sekarang, katik dan bambam, macam mana?”

Hakim tersenyum lalu menjawab dengan bersahaja, “Tak jadi masalah. Paling penting sekarang, belajar bersungguh-sungguh. Tak kacak pun tak mengapa, asalkan saya jadi orang pandai! Kerja elok, gaji besar. Lebih baik kalau saya ada bisnes juta-juta. Waktu itu tak ada masalah saya tak tinggi, tak kurus dan tak kacak sebab perempuan cantik tetap akan terpikat dengan saya.”

“Dari mana awak belajar cakap semua ini?” Adilah memandang Hakim dengan dahi berkerut. “Umur baru 10 tahun, dah fikir fasal perempuan!” Adilah menjuih lidah. ‘Gatal juga Hakim ni!’

“Itu pun ibu saya yang cakap,” jawab Hakim.

Adilah menggaru kepala yang tidak gatal. Hakim anak emak! Namun, dia tahu Hakim memang rajin. Di dalam kelas pun, Hakim pelajar paling pintar. Peperiksaan pertengahan tahun yang lalu, Hakim dapat nombor satu sedangkan dia… nombor satu juga tetapi tambah dua di hadapan, menjadi 21!

‘Hakim, budak katik yang pandai!

Hakim, budak bambam yang baik hati!

Hakim, saya rindu awak!’




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku