Budak Bambam Itu
Bab 13
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
214

Bacaan







“Hakim tipu. Dia langsung tak ingat saya,” Adilah mengadu kepada Imah.

“Janganlah cakap macam tu. Mungkin dia sibuk,” Imah cuba memujuk.

“Takkanlah sibuk sampai tak ada masa. Tipu sangat!” Adilah tidak dapat menerima alasan itu. Budak darjah lima, apa yang disibukkan sangat? Mengalahkan orang dewasa pula! Masalah negara apa yang difikirkan?

Janji Hakim mahu menulis surat kepada Adilah tinggal janji. Kini Adilah sudah berada di darjah lima. Ini bererti sudah setahun lebih Hakim pindah. Namun, tiada sepucuk surat pun yang diterima oleh Adilah. Pada mulanya memang dia kecewa.

Lama-kelamaan Adilah berjaya memujuk hati supaya berhenti berharap kucing bertanduk lalu menerima hakikat, Hakim memang sudah melupakannya. Mujur ada Imah. Sekurang-kurangnya Adilah tidak keseorangan.

Namun, rupa-rupanya bukan Hakim sahaja yang meninggalkannya. Walaupun Imah masih bersekolah dengannya, mereka sudah jarang bersama.

“Mari kita pergi bermain,” ajak Adilah.

Imah menolak, “Maaf, petang ni saya ada kelas tambahan.”

Adilah muncung. “Bosanlah awak ni. Asyik belajar sahaja!”

Imah tersenyum. “Awak pun perlu belajar dari sekarang. Tahun hadapan awak akan menduduki UPSR. Kena rajin-rajin, okey!”

Adilah mencebik mendengar pesan Imah.

“Sudahlah, saya nak masuk kelas. Kalau lambat, bimbang cikgu marah pula.” Imah berlari-lari anak meninggalkan Adilah.

Adilah hanya memerhati dengan perasaan seperti tidak dapat makan aiskrim. Hampa, kecewa, dan rasa terkilan. Sudah lama mereka tidak ke taman permainan bersama. Sudah lama mereka tidak berbasikal bersama.

Imah budak pandai. Dia lulus ujian lompat kelas. Kini dia sudah berada di darjah enam sedangkan Adilah kekal di darjah lima. Imah tidak dapat menemaninya lagi. Imah semakin sibuk. Maklumlah Imah akan menduduki peperiksaan UPSR tidak lama lagi.

Maka, tinggallah Adilah keseorangan menghadapi hari-hari yang terasa sungguh membosankan.


*****


“Hai.” Adilah sedang makan nasi lemak seorang diri ketika mula-mula budak lelaki itu menyapanya.

“Adakah saya kenal awak?” Adilah bertanya kasar.

“Boleh saya duduk di sini?” Budak lelaki itu tidak mempedulikan soalan Adilah.

“Duduklah. Bukannya bangku bapa saya pun!” jawab Adilah kasar.

Budak lelaki itu tersenyum dan terus duduk di hadapan Adilah. Adilah meneruskan suapan tanpa mempedulikannya.

“Mak cik kantin kedekutlah. Saya minta sambal lebih pun dia tak beri!” budak lelaki itu bersuara.

“Memang! Saya pun selalu kena! Kejam betul mak cik kantin. Dengan budak-budak pun nak berkira! Kalau anak dia ada, okey sikit. Anak dia baik.” Entah mengapa Adilah melayan budak lelaki itu. Mungkin kerana persamaan mereka. Suka minta sambal lebih apabila membeli nasi lemak.

“Saya Haziq.” Budak lelaki itu memperkenalkan diri.

Adilah tersenyum. “Saya Adilah.”

“Tahu. Adilah Arifin, darjah 5 Kenanga,” balas Haziq selamba.

Berkerut dahi Adilah. “Bagaimana pula awak tahu?”

“Adilah Arifin, pelajar yang selalu langgar peraturan sekolah. Datang lewat, malas ketip kuku, dan selalu tak pakai lencana. Nama awak tersenarai dalamtop listpelajar sekolah ini yang selalu melanggar peraturan sekolah.” Panjang lebar dan bersahaja Haziq mengumumkan hakikat yang kejam itu.

Adilah terlopong mendengar kata-kata Haziq. Baru dia sedar yang Haziq memakai uniform pengawas. ‘Alamak, habislah aku!’ Hari ini dia tidak pakai lencana.

Haziq tersengih. “Tutuplah mulut awak. Masuk lalat pula nanti.”

Adilah menggigit bibir. Malu ditegur begitu.

“Awak mahu catat nama saya, catat sajalah! Banyak cakap pula!” Adilah mencebik.

“Bawa bertenang. Saya cuma nak makan di sini, bukannya nak catat nama awak. Lagipun sekarang waktu rehat saya.” Haziq terus bersikap bersahaja.

Adilah segera menghabiskan makanan.

Semasa dia bangun, Haziq meletakkan sesuatu di atas meja, di sebelah pinggannya. Lencana sekolah. “Hadiah untuk awak. Jangan lupa pakai.” Haziq kembali menyuap nasi lemak dengan tenang.

Adilah mendengus dan terus berlalu meninggalkan Haziq. ‘Menyampah betul!’ rungut Adilah dalam hati.

“Zahid, awak kenal Haziq?” Kembali ke kelas, Adilah segera bertanya kepada ketua kelas.

“Haziq yang mana satu?” Zahid bertanya kembali.

“Ramai sangat ke budak nama Haziq? Alah, yang jadi pengawas.”

“Ooo... kenal. Budak kelas 5 Dahlia. Kenapa?”

“Tak ada apa-apa, saja tanya. Budak barukah?”

“Taklah. Dia bersekolah di sini sejak darjah 2 lagi.”

“Kenapa saya tak pernah nampak dia?” Adilah tidak berpuas hati.

Zahid menjawab selamba, “Sebab awak jalan tak tengok orang!”

Adilah mencebik. Benci betul. Semua orang pun hendak sakitkan hatinya. “Sudahlah, malas cakap dengan awak!”

Adilah kembali duduk di kerusinya. Dia ligat memikirkan soal Haziq. Hari ini Haziq bukan sahaja tidak mencatat namanya di dalam buku kesalahan tetapi juga memberinya lencana sekolah. Kenapa? Adakah Haziq cuba melindunginya?

Dada Adilah mula berdebar-debar. Adakah Haziq pengganti Hakim? Adakah Haziq pelindung baru dia?

Amboi, sempat lagi Adilah menyimpan angan-angan. Perasan betul!



*****

“Baik awak jawab dengan jujur, adakah awak mengekori saya?” Akhirnya, selepas lama berteka-teki, Adilah meluahkan kemusykilannya kepada Haziq.

Bukan apa, sejak perkenalan Adilah dengan Haziq di kantin tempoh hari, mereka selalu bertembung. Ada kalanya di kantin, ataupun di perpustakaan, malah ada masanya di tepi tandas!

Kadangkala Adilah rasa pelik. Adakah semuanya satu kebetulan? Ataupun sudah dirancang? Selama ini, dia tidak sedar pun kewujudan Haziq. Sekarang, asyik bertembung sahaja. Pelik bin ajaib betul.

“Apa yang awak merepek ni?” Haziq tergelak mendengar soalan Adilah.

“Yalah, ke mana saya pergi, tentu awak ada. Sampaikan ke tandas pun bertembung dengan awak.” Sungguh, Adilah tidak percaya pada budak lelaki ini.

Haziq tersengih. “Bukankah kedudukan tandas lelaki di sebelah tandas perempuan?”

“Itu saya tahu tapi takkanlah kita asyik pergi ke tandas pada waktu yang sama!” Adilah masih tidak puas hati.

Memang dia tidak percaya itu satu kebetulan. Dia yakin Haziq mengekorinya. Dia perlu melalui kelas 5 Dahlia apabila hendak ke tandas. Tentu Haziq nampak lalu turut sama keluar ke tandas. Adilah cuba membuat kesimpulan. Memanglah kedengaran seperti perasan dan syok sendiri, tetapi tidak mustahil!

“Awak ni cepat sangat perasan! Buat apa saya nak ikut awak?” Haziq ketawa berdekah-dekah.

‘Alah, mesti dia nakcoverline!’ bisik hati kecil Adilah. Wajahnya kekal serius, menunggu penjelasan yang lebih konkrit.

Tawa Haziq menjadi perlahan dan akhirnya mati apabila melihatkan keseriusan Adilah.

“Awak janganlah serius sangat.” Haziq tersengih.

“Jadi, awak memang ikut saya? Kenapa? Adakah awak menunggu masa nak tangkap saya ketika saya langgar peraturan sekolah?”

“Taklah.”

“Oh, tidak. Adakah awak rasa saya terlalu comel dan awak tertarik dengan saya?”

Haziq ketawa. “Jangan merepeklah!”

“Yalah, saya tahulah saya tak comel. Jadi, awak nak melindungi saya? Awak nak jadi pelindung saya ya?” Bersemangat betul Adilah mahukan kepastian. Dalam hati, mula terbit harapan.

‘Hakim, memandangkan awak pun tak ingat saya lagi, tak salah kalau saya terima orang lain jadi pelindung saya, kan? Kan?’ Sempat lagi hatinya berdialog kepada Hakim yang entah di mana dan sedang buat apa. ‘Hmm... mungkin Hakim sedang makan nasi lemak, aiskrim, ataupun keropok ikan sira untuk jadi lebih bambam.’

“Petang ni, kita belajar sama-sama.” Tiba-tiba Haziq mengejutkan Adilah dengan kata-kata yang tidak disangka-sangka.

Adakah Adilah sedang bermimpi? “Apa awak cakap? Awak nak belajar dengan saya?””

“Awak dengar kata-kata saya, buat apa saya ulang lagi?”

“Pelik, buat apa awak nak belajar dengan saya? Bukankah awak budak pandai?”

Daripada kelas Dahlia, iaitu kelas paling pandai, Adilah ditukarkan ke kelas Kenanga iaitu kelas paling corot apabila masuk darjah lima. Jadi, buat apa budak kelas pandai hendak belajar dengannya?

“Sebab saya pandailah saya nak belajar dengan awak, supaya saya dapat ajar awak!” Haziq tersengih.

Adilah mencebik. Cis!




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku