Budak Bambam Itu
Bab 14
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
349

Bacaan








Sejak hari itu, mereka sering belajar bersama. Bukan berdua, sebaliknya berempat, dengan dua orang lagi rakan kelas Haziq. Pada mulanya, memang Adilah rasa segan. Tidak semena-mena dia masuk kumpulan pelajar budak pandai.

“Kenapa awak tak cakap ada budak lain?” marah Adilah pada mulanya.

“Kenapa? Takkan awak fikir saya nak belajar berdua saja dengan awak? Ish... nanti apa orang kata. Saya perlu jaga reputasi saya sebagai pengawas. Lagipun tak manis berdua saja dengan bukan mahram. Kita bukan budak darjah satu ataupun dua. Kita dah besar.”

Reputasi? Budak darjah lima pun perlu jaga reputasi? Hmm... apa-apa sahajalah.

“Saya tak naklah belajar dengan awak bertiga.”

“Kenapa pula?”

Itu pun hendak tanya? Secara logiknya, apa lagi alasan lain selain rendah diri? “Saya malu. Saya tak pandai, nanti mesti awak bertiga gelakkan saya.”

Haziq tersengih. “Sebab awak tak pandailah kami bertiga nak belajar dengan awak. Kami nak ajar awak supaya jadi pandai macam kami!” Amboi, meninggi diri pula Haziq.

“Kenapa awak nak tolong saya?”

“Saja, suka-suka. Awak tak rasa bosankah jadi budak corot?”

Soalan berani mati Haziq buat Adilah tersentak. Merah mukanya. Sentap. Malu. Marah. Semua pun ada. “Awak menghina saya?”

“Bukan menghina, mencabar saja. Sudahlah, daripada buang masa bertekak, lebih baik kita ulang kaji. Cepatlah, kawan-kawan saya dah tunggu. Jangan risau, Amni dan Auni kawan merangkap sepupu saya. Mereka baik hati dan suka tolong orang. Mereka takkan pandang rendah pada awak.”

Adilah melangkah mendekati Amni dan Auni dengan rasa serba salah. Mereka adalah kembar seiras yang comel dan pandai. Cemburu betul Adilah melihat kelebihan mereka.

Itulah permulaannya. Kekok, namun, melihat sikap mereka bertiga yang baik, langsung tidak pandang rendah kepadanya, dan sering memberikan perangsang membuatkan Adilah semakin selesa. Amni dan Auni pastinya lebih sopan berbanding Haziq apabila berkata-kata. Namun, Adilah yakin Haziq yang suka menyindirnya juga punya hati yang sama baik seperti Amni dan Auni. Kalau tidak, tidak perlulah dia menyusahkan diri menjadi “guru tusiyen” Adilah!


*****

Tumpuan Adilah kini kembali kepada pelajaran. Encik Arifin dan Mama Zai malah guru kelasnya gembira dengan perubahan Adilah. Keputusan peperiksaan pertengahan tahun sebagai bukti prestasi Adilah bertambah baik.

“Tahniah!” ucap Haziq.

“Nombor lima saja. Lainlah awak nombor dua dalam kelas dan nombor tiga dalam seluruh darjah lima,” balas Adilah merendah diri.

“Keputusan akhir tahun nanti tentu lebih baik! Dapatlah kita sekelas semasa darjah enam nanti.” Haziq sudah memasang harapan.

“Boleh saya tanya awak satu soalan?” tanya Adilah tiba-tiba.

“Awak dah tanya pun. Bukankah itu satu soalan?” Haziq tersengih-sengih.

Spontan Adilah mendengus. “Yalah, patutnya saya tanya terus.” Dia mencebik.

“Apa yang awak nak tanya?”

“Kenapa awak suka berkawan dengan saya?” Selama ini, memang Adilah selalu tertanya-tanya.

Haziq menggeleng. “Tidaklah. Siapa cakap saya suka berkawan dengan awak? Awak saja yang fikir begitu. Saya tak pernah cakap pun.”

Adilah memukul bahu Haziq dengan buku. Geram. Haziq ketawa besar.

“Seriuslah sikit!” Keras suara Adilah.

Haziq tersengih. “Entah. Sebab saya rasa awak pandai, jadi saya tak nak awak terus leka.

Walaupun kita masih di sekolah rendah, kita perlu bersungguh-sungguh daripada sekarang. Ibu saya pesan, perlu berusaha dari kecil, barulah dapat jadi orang berguna apabila besar nanti.”

“Saya pandai? Kenapa saya tak sedar pun saya pandai!” Adilah mencemik. Selama ini dia menerima hakikat dia bukan pelajar pintar. Kata-kata Haziq tidak dapat diterimanya.

“Dulu, semasa darjah tiga, Cikgu Nurul selalu puji awak apabila masuk kelas saya.”

Adilah tersenyum sendirian. Cikgu Nurul, guru matematiknya semasa darjah tiga dan empat. Adilah tahu gurunya kecewa dengan prestasinya semasa darjah empat.

“Kenapa senyum? Berangan, ya!” Haziq mengusiknya.

“Petang ini, apa kata kita kayuh basikal pergi taman permainan? Ajak Amni dan Auni juga,” ajak Adilah.

“Tak mahulah. Petang ini saya ada kelas tuisyen.”

“Tuisyen? Saya tak tahu pun awak masuk kelas tuisyen?”

“Baru saja. Di rumah saya. Kakak sulung Amni dan Auni yang ajar. Awak nak ikut sama pun boleh. Kami bertiga murid dia. Nak tak?”

“Hah… nak kena belajar lagi? Bosanlah!”

“Marilah, tentu seronok kita belajar bersama-sama!” beria-ia Haziq mengajak.

Adilah menghela nafas panjang. “Tengoklah, kalau saya rajin, saya datang.”

Loceng berbunyi menandakan waktu rehat sudah tamat.

“Okey, pukul 3 petang. Datang ya! Saya tunggu.” Haziq berlari menuju ke kelasnya.

Adilah mengeluh. Bosannya! Baru darjah lima sudah pergi tuisyenkah?


*****


Walaupun Adilah hanya mendapat nombor lima di dalam kelas yang paling corot namun, papanya begitu gembira. Encik Arifin menghadiahkannya sepasang kasut roda yang sememangnya menjadi impiannya sejak lama dahulu. Sebelum ini, sudah banyak kali Adilah memujuk papanya supaya membelikannya kasut roda, namun papanya enggan.

Adilah masih ingat lagi alasan papanya.

“Sekarang pun kamu malas belajar. Apabila ada kasut roda, tentu lebih teruk. Tentu kamu langsung tak sentuh buku.”

Waktu itu Adilah hanya mampu memandang Mama Zai, meminta simpati.

“Beginilah, kamu belajar rajin-rajin. Apabila kamu dapat keputusan yang baik, Mama Zai suruh papa belikan, ya,” Mama Zai memujuk.

Adilah terus berlari ke bilik. Hendak tunggu dia dapat keputusan baik, alamatnya sampai kucing bertanduk pun tidak mungkin!

Itulah anggapan Adilah pada masa itu. Namun, kini semuanya sudah terbukti.

Semuanya kerana tiga orang rakan study group. Paling utama pastinya Haziq yang sentiasa mendorong Adilah supaya rajin belajar sama ada melalui kata-kata perangsang mahupun sindiran. Haziq adalah pelindungnya. Adilah yakin, Haziq tidak akan meninggalkannya seperti Hakim. Sekurang-kurangnya buat masa sekarang!

“Terima kasih.” Adilah memeluk Encik Arifin lalu mencium pipinya. Encik Arifin mengeratkan pelukan. Sudah lama hubungan mereka tidak seakrab itu.

Adilah terus membelek kasut roda yang dibawa pulang oleh Encik Arifin. Papanya itu pulang tengah hari itu semata-mata mahu memberinya hadiah. Hati Adilah berbunga-bunga. Senyumannya melebar, sesuatu yang jarang berlaku apabila dia berada di hadapan papanya.

Adilah segera menelefon Haziq. “Saya dapat kasut roda. Nanti awak ajar saya guna kasut roda, ya!”

“Okey, selepas tuisyen kita main bersama. Kenapa awak tak datang semalam? Penat saja saya tunggu. Tadi di sekolah, saya tak sempat jumpa awak. Ada mesyuarat pengawas.”

“Saya tertidur.” Adilah beralasan. Hakikatnya, dia tidak tidur pun petang semalam. Dia malas. “Petang ini awak belajar apa?”

“Matematik dan pendidikan sains. Awak datanglah, kakak sepupu saya baik. Dia tak garang, awak janganlah risau. Dia sedang bercuti semester. Dia belajar di UiTM.”

“UiTM itu apa?”

“Universiti Teknologi Mara. Satu daripada menara gading yang cikgu selalu cakap. Alah, awak ini, bukankah cikgu selalu pesan suruh kita rajin belajar hingga ke menara gading. Takkanlah awak tak pernah dengar fasal UiTM?”

“Hebatnya kakak sepupu awak, dia berjaya sampai ke menara gading. Saya… hmm… macam takkan jejak saja….” Adilah membayangkan keadaan dirinya. Baru darjah lima sudah bosan belajar. Bagaimana hendak belajar sampai ke menara gading?

“Awak ni, ada pula cakap begitu. Belum cuba belum tahu. Ibu saya selalu pesan jangan mengalah selagi belum sampai ke garisan penamat. Eh, okeylah, saya nak makan tengah hari. Nanti jumpa, kita cakap lagi, ya.” Haziq memutuskan talian.

Adilah meletakkan gagang telefon. ‘Siapa ibu Haziq? Tentu dia ambil berat fasal Haziq. Ibu Haziq seperti ibu Hakim. Ambil berat tentang anak mereka. Beruntungnya Haziq dan Hakim!’

Adilah terkenang mama. ‘Kalau mama ada, tentu mama cakap perkara yang sama.’ Memang Mama Zai pernah cakap semua itu tetapi, tidak sama! Adilah memang buat tidak dengar sahaja apabila Mama Zai bercakap.

‘Walau apa pun, Mama Zai tetap orang luar! Tiga tahun lagi, sepuluh tahun lagi, hakikat itu tidak akan berubah!’ Hati Adilah terus meletakkan sempadan.

“Mari makan.” Mama Zai memanggilnya.

“Okey,” jawab Adilah sepatah. Dia sudah terbau masakan yang enak. Terus rasa lapar.

Mama Zai. Dia memang baik. Lemah lembut. Apabila Mama Zai tidak suka tindakan Adilah, Mama Zai tidak pernah marah. Dia akan tegur dengan baik. Bukannya Adilah tidak sayang padanya cuma… Adilah tak mampu menyayanginya seperti dia sayangkan mama.

“Petang nanti, Mama Zai bawa kamu ke taman, ya. Dapatlah kamu belajar guna kasut roda.”

“Tak mengapa. Saya nak pergi ke rumah Haziq. Saya nak belajar dengan dia. Selepas itu, kami main bersama-sama. Haziq sudah janji mahu ajar saya guna kasut roda. Nanti Mama Zai hantar, ya.”

Mama Zai hanya mengangguk. Adilah tahu Mama Zai terasa. Sudah banyak kali dia mahu meluangkan masa dengan Adilah tetapi Adilah sengaja mengelak.

Bukannya Adilah tidak berusaha. Dia sudah berusaha. Sekarang Adilah tidak mengamuk lagi. Adilah juga tidak marah-marah ataupun melawan kata Mama Zai. Malah Adilah memanggilnya “mama”. Tetapi, Adilah belum bersedia rapat dengan Mama Zai seperti Adilah rapat dengan mamanya dahulu. Dia belum mampu!

“Adilah masih belum dapat terima saya.” Malam itu, Adilah curi dengar perbualan papa dan Mama Zai.

“Sabarlah. Sekarang pun dia semakin baik dengan awak. Lambat-laun tentu dia terima awak,” pujuk Encik Arifin.

“Saya pun harap begitu. Saya sayang dia. Saya anggap dia seperti anak sendiri.”

“Bercakap soal anak, betul awak tak nak mengandung sekarang?”

“Nantilah dulu. Saya mahu Adilah betul-betul menerima saya. Saya tak nak nanti dia rasa tersisih apabila mendapat adik baru.”

Sebenarnya Adilah kurang beri perhatian kepada perbualan papa dan Mama Zai sebab dia sudah mengantuk. Namun, sedikit sebanyak dia faham. Mama Zai sengaja tidak mahu anak lain sebab tidak mahu dia bersedih.

‘Mama, bila mama nak pulang? Semakin lama, saya semakin sayang kepada Mama Zai sebab dia layan saya dengan baik. Dia tak pernah marah saya, tolong basuh baju saya, masakkan makanan yang sedap-sedap untuk saya. Tidak ada sebab untuk saya benci dia. Saya bimbang, takut nanti apabila mama pulang, sudah terlewat. Mama, cepatlah pulang!’


****


Keputusan peperiksaan akhir tahun sudah pun diketahui. Seperti yang dijangkakan, Haziq dapat nombor satu dalam seluruh darjah lima. “Tahniah. Awak memang pandai,” ucap Adilah.

“Awak pun sama. Tahniah.” Haziq tersengih.

Adilah mendapat nombor tiga di dalam kelas. Manakala bagi keseluruhan darjah lima, dia mendapat nombor 14. Ini bererti, dia akan masuk darjah 6 Dahlia.

“Wah, tahun depan, kita sekelas. Tentu seronok!” Semakin lebar senyuman Haziq.

“Saya seganlah. Saya tak pandai.”

Perasaan Adilah ketika itu bercampur baur. Ada rasa seperti dapat makan nasi lemak yang banyak. Ada juga rasa seperti hendak menghadap Cikgu Yatim dengan lukisannya yang memang hanya mengundang amarah Cikgu Yatim. Oh, cikgu, bukankah seni itu subjektif? Kalaupun Cikgu Yatim tidak dapat menghargai hasil kerjanya, tidak perlulah marah-marah.

Okey, lupakan tentang Cikgu Yatim. Hakikatnya, walaupun Adilah gembira dapat sekelas dengan Haziq, dia tetap rasa berdebar-debar dan takut. Berada di dalam kelas harapan, tentu dia tertekan. Apatah lagi, tahun hadapan, mereka akan menduduki UPSR.

“Janganlah cakap begitu. Awak pun pandai. Kalau tak, tentu awak tak dapat nombor tiga!”

“Nanti, awak tolong saya ya.”

“Tentulah! Kita belajar sama-sama dengan Amni dan Auni, seperti sekarang.” Amni dan Auni masing-masing mendapat nombor tiga dan empat bagi keseluruhan darjah lima. Nombor dua siapa? Jeng jeng jeng... budak perempuan yang Adilah tidak suka. Musuh lamanya.

Mengenangkan janji Haziq, perasaan bimbangnya surut. Adilah yakin Haziq akan melindunginya.

“Cuti sekolah ini, awak pergi ke mana?”

“Saya balik kampung. Awak?”

Adilah menggeleng. “Tak tahu. Papa tak cakap apa-apa.”

“Awak nak ikut saya balik kampung?” pelawa Haziq.

“Ish, tak naklah! Tentu papa tak benarkan. Lagipun, saya budak kecil, tak boleh keluar tanpa papa ataupun Mama Zai,” tegas Adilah.

Haziq tersenyum. “Ish, awak ni. Tak perlulah serius sangat. Saya ajak-ajak ayam saja!”

Adilah mencebik. Akhirnya mereka sama-sama ketawa.


*****


Keputusan peperiksaan Adilah disambut dengan kegembiraan. Mama Zai tidak masak. Mereka makan malam di Medan Ikan Bakar Umbai. Adilah sungguh gembira. Papanya juga menghadiahkannya seutas jam tangan.

“Hargailah masa. Masa itu kecemerlangan.” Adilah hanya mengangguk mendengar pesan papa. Biasalah, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri! Dia sibuk mahu meratah udang ketika ayahnya memberikan nasihat panjang lebar tentang pelajaran. Sudah pasti dia tidak peduli.

Malam itu, Adilah tak dapat tidur. Dia sibuk membayangkan keadaan apabila masuk darjah enam nanti.

‘Bagaimana, ya? Masa akan berlalu dan aku akan jadi orang besar. Jadi budak-budak pun sudah cukup susah bagi aku. Macam mana nak jadi orang besar?’ Adilah berfikir sambil memandang siling.

‘Buat apalah susahkan diri fikir sekarang. Tengoklah nanti macam mana.’ Adilah menarik selimut lalu berselubung. Doa tidur dibaca. Dia lena tanpa sempat menghabiskan bacaan zikir Fatimah yang dipesan Mama Zai untuk diamalkan iaitu takbir (Allahu akbar) 34 kali, tahmid (alhamdulillah) 33 kali, dan tasbih (subhanallah) 33 kali.

Adilah selalu mengeluh kepenatan, jadi Mama Zai mencadangkan amalan ini kerana ia adalah amalan yang dicadangkan Nabi Muhammad kepada puteri baginda, Fatimah bagi menghilangkan kepenatan. Malangnya, Adilah selalu lupa mengamalkannya.

Biasalah, Adilah... cuma satu perkara yang dia memang tidak lupa. Berangan-angan!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku