Budak Bambam Itu
Bab 15
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
274

Bacaan








Rupa-rupanya belajar dalam darjah enam sungguh memenatkan. Patutlah Imah dahulu tiada masa hendak bermain dengan Adilah. Hampir setiap petang, ada sahaja kelas tambahan yang diadakan. Itu tidak termasuk latihan-latihan yang cikgu beri. Leceh betul. Belajar, belajar dan belajar. Mujur papa tidaklah sampai menghantarnya ke kelas tuisyen. Tidak tergamak rasanya belajar dan belajar sahaja.

“Saya bosanlah,” Adilah mengeluh. Keluhan yang entah berapa puluh, ataupun mungkin juga ratus kali sudah diluahkan.

“Jangan cakap begitu. Malas belajar, macam mana nak berjaya? Baru bersusah sedikit, dah tak larat? Ingat, cikgu selalu pesan, berakit-rakit ke hulu, berenang-berenang ke tepian, bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian.”

Adilah mencebik. Seperti selalu, Haziq dan nasihatnya! Bosan betul!

Sebenarnya, dia kagum dengan Haziq. Walaupun sibuk dengan tugas sebagai ketua pengawas, Haziq masih mampu menjaga prestasi pelajarannya. Selain itu, Haziq juga aktif dalam bidang sukan. Dia mewakili sekolah dalam perlawanan bola sepak.

Adilah pula? Tidak ada apa-apa yang disertainya. Dia hanya pelajar biasa. Biasa dalam pelajaran, juga biasa dalam kokurikulum.

Adilah tahu kawan-kawan pelik melihat Haziq rapat dengannya. Yalah, mereka ibarat langit dengan bumi. Adilah juga tahu ramai yang cemburu termasuklah, Nita, musuh lamanya itu.

Kini, mereka sekelas kembali. Sesuatu yang sungguh tidak digemarinya! Hmm... sudah di tahun akhir sekolah rendah, entah sampai bila hendak bermusuh. Masalahnya, Adilah memang tidak rasa mahu berbaik dengan Nita.

“Saya tak suka awak rapat dengan Haziq.” Nita dengan muka masam menegur Adilah.

“Jadi?” Adilah cukup malas melayan budak perempuan yang seorang ini.

“Jadi, jangan rapat dengan dia lagi!” Nita bersuara keras.

“Suka hati sayalah nak rapat dengan sesiapa pun. Lagipun, bukannya saya ganggu hidup awak!” Adilah sengaja melawan.

“Sedarlah diri! Awak bukannya budak pandai. Lainlah saya, saya pengawas. Setiausaha pula. Saya lebih sesuai dengan Haziq!”

Akhirnya Adilah faham maksud Nita. ‘Oh, rupa-rupanya Nita minat pada Haziq.’ Adilah tersenyum, rasa geli hati pun ada.

“Tak bolehkah awak tak dengki pada saya? Beginilah, apa kata awak beritahu Haziq yang awak suka dia? Bukanlah lebih mudah? Lagipun, kalau awak nak sangat Haziq itu, ambillah, saya beri percuma! Cuma... saya tak pastilah Haziq suka awak ataupun tak!”

Merah padan muka Nita. Mungkin dia malu. Mungkin juga geram. Biarlah, Adilah memang suka lihat dia marah begitu. ‘Padan muka!’

Apabila difikirkan, Adilah pelik dengan Nita. Baru darjah enam, sudah gatal hendak bercinta. Dia cukup tidak faham. Hendak kata Nita tidak pandai berfikir, tidak juga. Lagipun, apabila ada ujian Nita selalu dapat markah yang lebih baik berbanding dia. Malah, Nita juga antara pelajar terpandai sedangkan Adilah sendiri antara pelajar tercorot di dalam kelas.

“Apa sebenarnya masalah Nita? Kenapa dia tak berfikir seperti aku? Kita budak-budak. Budak-budak tak sesuai bercinta! Susah sangatkah hendak faham?” Adilah membebel sendirian.


*****


“Awak nak tahu satu rahsia?” Adilah tersengih-sengih. Waktu itu mereka di perpustakaan. Sesi study group sedang berlangsung. Petang itu mereka berempat mengulang kaji subjek matematik. Adilah terasa seperti dia sudah kembali bijak matematik. Kembang kuncup hidungnya apabila dia tiba-tiba mengajar Haziq dan sepupu kembarnya tadi.

Amni dan Auni ke tandas. Memang kembar itu berkepit sahaja, pergi ke mana-mana selalu berdua. Memandangkan mereka tidak ada, apa lagi, Adilah mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan gosip paling hangat hari itu.

“Apa?”

“Nita suka awak.” Dengan segera Adilah memberitahu Haziq. Dia memang sengaja mahu memalukan Nita!

“Jangan main-mainlah. Kita budak-budak lagi.” Haziq tidak berminat. Tumpuannya kembali kepada buku latihan matematiknya.

Adilah muncung. “Awak tak percaya, awak tanyalah dia sendiri.”

“Kalau betul pun dia suka saya, kenapa awak bocorkan rahsia dia? Awak nak malukan dia, ya?” Pandangan Haziq masih pada buku latihan.

“Taklah. Saya cuma beritahu awak. Manalah tahu, awak pun suka dia.” Adilah cuba membela diri.

Haziq mengangkat kepala, memandang Adilah. Dia kemudiannya menggeleng. “Tak baik awak buat begini. Kalau awak di tempat dia, awak pun tentu malu, bukan?”

Adilah terdiam. Haziq memang selalu begini. Berterus terang. Walaupun dia layak dilabelkan sebagai kawan baik Haziq, tidak semua perbuatannya diterima Haziq. Apabila ada apa-apa yang Haziq tidak suka, dia tanpa segan silu berterus terang.

“Saya tahu awak tak baik dengan dia. Awak sengaja, bukan?” Haziq terus mendesaknya supaya mengaku.

“Awak tolaklah dia. Tentu dia malu. Pada masa yang sama, saya dapat kenakan dia.” Akhirnya Adilah meluahkan niat jahatnya.

“Teruklah awak!”

“Teruk sangatkah?” Adilah tersengih mengharap simpati.

Haziq mengangguk. “Memang teruk. Daripada buat begitu, lebih baik kita belajar. Ingat, UPSR dah dekat! Tak perlulah buang masa untuk perkara yang tak berfaedah.”

“Apa yang tak berfaedahnya?” Auni menyampuk. Dia duduk di sebelah Adilah. Dia dan kembarnya Amni yang baru pulang dari tandas cuba memahami inti pati perbualan Adilah dan Haziq.

“Tak ada apa-apalah. Awak dah siap latihan nombor empat?” Mujur Haziq tidak memanjangkan cerita. Kalau tidak, harus Adilah terpaksa pula mendengar nasihat Auni yang lebih serius berbanding Amni.

“Tentu ada apa-apa. Cakaplah,” Amni tidak puas hati.

“Sudahlah, sila fokus ya,” Haziq sekali lagi bertegas. Amni mencebik namun terus mengambil buku latihannya. Mereka kembali fokus. Cuma Adilah yang masih dengan angan-angannya. Punah harapan dia mahu melihat Nita dimalukan. ‘Jahat sangatkah aku?’

Adilah kemudiannya tersengih sendirian. Apabila difikirkan semula, memang jahat pun! Namun, yang lebih jahat, dia langsung tidak rasa bersalah kerana membuka rahsia Nita kepada Haziq dengan niat memalukan Nita. Teruk betul!


*****


“Tujuh bulan dari sekarang, kamu akan dapat adik baru. Tahniah!” Encik Arifin tersenyum semasa menyampaikan berita yang sungguh mengejutkan Adilah. Mama Zai juga tersenyum lebar.

Err... perlukah ucapan tahniah itu? Bukankah sepatutnya kata-kata itu Adilah yang ucapkan kepada Mama Zai dan papa?

Oh Tuhan, kejutan apakah ini? Adilah tahu dia sepatutnya gembira tetapi entah mengapa dia tidak mampu tersenyum. Ada bermacam-macam perkara yang bermain dalam fikirannya.

“Kamu suka?” Mama Zai pula bertanya.

Tiba-tiba Adilah rasa menyampah betul dengan soalan Mama Zai. ‘Kalau saya jawab tak suka, adakah adik baru itu tak akan muncul dalam hidup kita?’

Sudah tentu jawapannya tidak! Jadi, buat apa tanya? Sama ada dia suka ataupun tidak, dia tahu adik baru itu tetap akan muncul.

“Saya dah habis makan, saya naik dahulu. Saya nak siapkan kerja sekolah.” Adilah bangkit dari kerusi.

“Kamu belum jawab soalan Mama Zai.” Adilah tidak mempedulikan kata-kata papanya. Dia terus berlari ke bilik. Di dalam bilik, dia menangis.

Mama Zai mengetuk pintu biliknya. “Boleh Mama Zai masuk?”

Adilah menjawab, “Saya mengantuk, saya nak tidur.”

“Tetapi...”

“Selamat malam, Mama Zai.”

Di sebalik pintu, kedengaran langkah kaki Mama Zai menjauh.

Tangisan Adilah semakin lebat. ‘Tak lama lagi, papa akan ada anak lain. Adakah papa akan melupakan aku?’

Tiba-tiba Adilah jadi takut. Mama sudah lama menghilang. Mahu tidak mahu, Adilah hanya ada papanya sebagai tempat bergantung. ‘Selepas ini apa akan jadi pada aku?” Akhirnya, Adilah terlena bersama persoalan itu.

Buat pertama kali dalam sejarah sebagai pelajar, dia terlupa menyiapkan latihan matematik yang cikgu beri.


*****

“Macam mana boleh lupa buat?” Haziq membebel.

Pagi itu, sampai sahaja di sekolah, Adilah kelam-kabut menyiapkan latihan matematik. ‘Malas betul aku nak layan dia ni. Sepatutnya dia tolong aku, bukankah dia pelindung aku?’ bisik hati kecil Adilah.

Tangan dan otaknya terus bekerja menjawab soalan. Nasib baiklah soalan matematik, cepat juga dia menjawab. Sekiranya bahasa Inggeris, habislah dia.

Selesai menjawab, Adilah tersengih memandang Haziq.

“Buat apa malam tadi sampai tak buat kerja?” Haziq masih tidak puas hati.

“Menangis,” selamba Adilah menjawab.

“Menangis? Kenapa pula awak menangis?” Haziq mula menunjukkan sikap prihatinnya. Pada masa itu, baru terserlah sikapnya sebagai pelindung. Adilah rasa gembira. Ada juga yang ambil berat akan dirinya.

Adilah pantas menjawab, “Saya akan dapat adik baru.”

“Wah, betulkah? Tahniah. Bagusnya! Kenapa awak menangis? Oh, pasti sebab terlalu teruja dan terharu nak dapat adik. Yalah selama ni awak seorang tentu bosan. Saya gembira bagi pihak awak.”

Amboi panjang betul luahan “tumpang gembira” Haziq. Adilah membeliakkan mata melihat reaksi Haziq. Rasa hendak tolak Haziq jatuh. Reaksi Haziq bukanlah seperti yang diharapkan. Adilah berharap Haziq turut bersimpati dengan nasibnya, bukannya tumpang gembira!

“Tak perlulah ucap tahniah. Saya tak gembira pun.” Adilah menjeling Haziq.

Dahi Haziq berkerut. “Kenapa pula awak tak gembira?”

Adilah mengeluh perlahan. Dia meluahkan kerisauannya, “Nanti, tentu papa tak sayang saya lagi.”

Haziq tersenyum. “Tak mungkinlah. Awak janganlah fikir yang bukan-bukan. Saya pun ada adik, tiga orang. Tetapi, ibu dan ayah saya tetap sayang saya.”

“Situasi kita tak sama!” bantah Adilah.

Haziq menggaru kepala. “Apa yang tak sama?”

“Awak dengan adik-adik awak sama ibu, bukan?”

Haziq mengangguk.

“Saya bukan anak Mama Zai. Jadi, saya dan adik baru tak sama ibu. Papa sayang Mama Zai lebih daripada mama. Jadi, tentu nanti papa sayang adik baru lebih daripada saya.”

Senyuman Haziq hilang, wajahnya kelihatan keliru. Haziq terus menggaru kepala. “Susah juga.” Adilah menghela nafas berbentuk keluhan.

Haziq kembali tersenyum. “Tak mengapalah, kalau tak ada orang sayang awak, biar saya saja sayang awak. Awak kawan baik saya.”

Adilah mencebik tetapi kemudian tersenyum. Haziq pelindung yang baik. Sangat baik!

“Walaupun saya rasa geli-geleman mendengar kata-kata awak itu, terima kasih banyak-banyak. Saya sangat menghargai niat baik awak. Dan... walaupun awak selalu sindir saya dan agak “skema” orangnya, saya pun anggap awak kawan baik saya.

Wah, Adilah pun macam Haziq. Panjang betul luahan hati Adilah.

Senyum Haziq perlahan-lahan hilang. Wajahnya tiba-tiba berkerut. “Saya rasa saya perlu ke tandas sekarang.”

“Kenapa? Awak sakit perut ya?”

“Tak, tekak saya loya, nak muntah sangat-sangat!” Tawa Haziq pecah.

Cis!


****


“Kenapa kamu asyik berkurung dalam bilik?” Adilah sedang berbaring sambil membaca novel ketika neneknya masuk ke biliknya.

“Saja.” Dia duduk bersila menghadap neneknya yang juga duduk di katilnya.

Nenek tersenyum lalu bertanya lagi, “Kamu tak nak tengok adik kamu?”

“Dah tengok semalam,” jawab Adilah acuh tak acuh.

“Hari ni belum lagi kan?”

Adilah merengus. “Nanti saya pergilah tengok. Adik bukan ke mana-mana pun. Ada dalam bilik Mama Zai.”

“Kamu tak sayang adik kamu ya?” tanya nenek lagi. Sengaja menduga hati Adilah.

“Kenapa nenek cakap macam tu? Tak baik nenek buruk sangka pada saya.” Muncung mulut Adilah panjang ke depan mendengarkan soalan nenek.

“Jadi, kamu sayang adik kamu?” Ish, nenek ini.

“Bolehlah,” jawab Adilah. Seolah-olah tidak ikhlas sahaja nadanya.

Nenek ketawa. “Nenek tahu, kamu cemburu.” Dicuit hidung Adilah.

Adilah mencebik. “Mana ada! Tak ada sebab saya nak cemburu.”

Nenek ketawa lagi lalu memeluk Adilah. Kepala Adilah diusap. “Kamu jangan bimbang. Kasih sayang papa, Mama Zai, dan nenek kepada kamu tak pernah berkurang hanya kerana kehadiran adik kamu.”

Adilah diam membatu.

Nenek menyambung lagi, “Memanglah buat masa ni, Mama Zai macam tak pedulikan kamu. Dia tak memasak untuk kamu macam dulu dan banyak habiskan masa dengan Adibah. Mama Zai sedang berpantang. Adik kamu pula baru berusia dua minggu, perlukan penjagaan rapi. Sebab itu nenek datang. Nenek bukan saja nak jaga Mama Zai dan bayi. Nenek nak jaga kamu juga. Nanti kita masak sama-sama, boleh?”

Adilah menghela nafas panjang. “Okey,” jawabnya sepatah. Hatinya terasa tenang sedikit dengan pujukan neneknya.

Memanglah dia terasa hati. Papa dan Mama Zai nampak begitu gembira dan teruja. Papa asyik peluk dan cium adik barunya itu. Namun, apabila difikirkan semula, dia tidak tergamak hendak membenci adiknya itu sebab Adibah memang comel. Semua bayi pun comel. Semua bayi pun orang suka.

Tanpa dipaksa, perasaan sayang muncul dengan sendirinya dalam hati Adilah. Cuma dia tidak zahirkan dengan tindakan kerana... ego mungkin. Dia tidak mahu nampak terlalu teruja mendapat adik baru. Ditambah pula, dia bimbang dia akan tersisih.

“Walaupun Adibah dan kamu berlainan ibu, nenek harap kamu lupakan perbezaan itu. Dia tetap adik kandung kamu. Kamu dah besar, dah jadi kakak. Kamu perlu melindungi adik kamu.” Panjang lebar pesan nenek.

Ah, sudah! Sesak dada Adilah mendengar amanat nenaknya itu. Dia perlu jadi pelindung adiknya? Adilah sendiri pun terkial-kial mencari pelindung, kini dia perlu menjadi pelindung adiknya?

Adilah menggaru kepala. Err... rasanya tidak perlu. Mama Zai kan ada. Lainlah dia... mama dia tidak ada.

‘Mama, masa terus berlalu, banyak perkara dah berlaku dalam hidup saya. Mama baliklah, banyak yang nak saya ceritakan kepada mama. Mama tak rindu saya?’




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku