Budak Bambam Itu
Bab 16
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
312

Bacaan







Masuk ke tingkatan satu, Adilah kembali menjadi pendiam. Pelindungnya, Haziq tidak dapat bersamanya lagi. Haziq pelajar cemerlang. Tentunya tidak sesuai belajar di sekolah harian biasa. Berita terakhir yang didengarnya, Haziq diterima belajar di Sekolah Alam Shah. Adilah pula hanya mendapat dua A, jadi selayaknya dia di sini, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru.

Mereka terputus hubungan begitu sahaja. Mungkin Adilah sendiri tidak berusaha bersungguh-sungguh memelihara persahabatan mereka. Namun, bukankah sebagai pelindung, Haziq perlu sentiasa di sisinya? Bagaimana Haziq mampu melindunginya kalau mereka begitu jauh?

Begitulah kehidupan Adilah, silih berganti orang yang datang sebagai ‘pelindungnya’.

“Ya Allah, macam mana aku boleh tak nampak longkang yang besar ini!” rungut Adilah. Sedar-sedar, dia sudah terduduk di dalam longkang.

‘Itulah, berkhayal saja! Padan muka!’ dalam hati, Adilah mengutuk diri sendiri.

Tiba-tiba sahaja ada tangan dihulur. Mahu membantunya bangkit. Adilah mendongak. Mencari

wajah si pemilik tangan.

“Awak tidak apa-apa?” Sebuah senyuman manis terukir pada bibirnya.

‘Nak terima pertolongan ini ataupun tak? Nak kata darurat, taklah sangat. Berdosa pula nanti.’ Adilah berkata-kata dalam hati. Akhirnya, Adilah menggeleng. “Tak mengapa, saya boleh bangun sendiri.”

“Okey,” jawab budak lelaki itu. Sudahnya dia hanya bantu mengutip buku-buku Adilah yang bertaburan.

Budak itu menunggu Adilah yang sibuk menepuk-nepuk pakaiannya yang sudah kotor. Menyedari yang gelagatnya masih diperhatikan, entah mengapa, tiba-tiba sahaja Adilah berpeluh. Dadanya berdegup kencang. Mukanya terasa merah dan panas. ‘Apa agaknya dalam fikiran budak itu? Tentu dia ketawakan aku dalam hati.’

“Lain kali, semasa berjalan, jangan berangan-angan. Nasib baik tak luka. Kalau luka, siapa yang susah? Saya juga yang susah.” Pelajar lelaki itu tersengih memandangnya sambil menghulurkan buku-buku Adilah.

Adilah mencebik. ‘Buat lawak konon!’

“Terima kasih,” ucap Adilah, mengambil buku-bukunya lalu segera mengatur langkah. Tidak mampu bertentang mata lebih lama dengan pelajar itu. Malu!

“Adilah!”

Jeritan itu mematikan langkahnya. ‘Macam mana dia tahu nama aku?’ Adilah berbisik dalam hati. Dia berpaling. “Ada apa lagi?” Kelat mukanya, tanda malas melayan.

“Amboi, kasarnya. Saya dah tolong awak. Apa kata awak belanja saya minum? Air sirap limau pun jadilah!”

Adilah mengeluh. Macam-macam pula. Ini ikhlas ataupun tidak menolong?

“Baiklah, air saja! Jangan minta lebih-lebih!” Adilah sengaja mengeraskan suara seolah-olah mengugut. Pelajar lelaki itu ketawa. Adilah kekal dengan muka serius.

Mereka melangkah ke kantin.

“Awak nampak tua. Awak belajar di tingkatan berapa?” Memang mulut tidak ada insurans betul Adilah.

“Saya bukan tua, tetapi lebih matang berbanding awak.” Tersengih-sengih budak lelaki itu. Tingkatan tiga. Tingkatan 3 Alfa.”

‘Alfa? Alamak, kelas budak pandai!’ Adilah tiba-tiba rasa rendah diri.

“Oh, saya tingkatan satu. Tingkatan 1 Delta.” Adilah serba salah, malu menyebut nama kelasnya yang tergolong antara kelas tercorot. “Macam mana awak tahu nama saya?” tanyanya lagi.

“Awak? Saya dua tahun lebih tua. Sepatutnya awak panggil saya abang.”

Adilah mencebik. ‘Perasan! Tak kuasa aku!’ Iqbal hanya ketawa melihat reaksi Adilah.

“Dah terpampang di buku awak, kalau saya tak nampak, terpaksalah pakai cermin mata!” jawab budak lelaki yang bernama Iqbal itu.

Adilah perasan ada pelajar yang berbisik dan memerhati mereka tetapi dia buat tidak nampak sahaja. Dalam hati, terasa bangga juga dapat berbual dengan pelajar senior. ‘Bukan senang hendak dapat peluang begini,” bisik hati kecilnya. Waktu itu, dia tidak tahu apa yang menantinya. Apabila sudah tahu, memang dia menyesal tak sudah!


*****

Sejak berbaik dengan Iqbal, Adilah semakin popular di sekolah. Ramai yang kagum kerana dia dapat berdampingan dengan Iqbal dan kawan-kawannya. Baru Adilah tahu rupa-rupanya Iqbal antara pelajar lelaki tingkatan tiga yang popular dan diminati oleh ramai pelajar perempuan tingkatan satu, dua, dan tiga. Yang kakak-kakak tingkatan empat dan lima pun ada yang tergedik-gedik hendak menjadikan Iqbal adik angkat. Alahai. Macam-macam.

Sebelum ini memang Adilah tidak pernah peduli dengan senaraiTop 10 pelajar lelaki dan perempuan. Biasalah, Adilah dengan dunianya sendiri. Sebabnya, dia tidak pernah layak pun masuk senarai itu! Jadi, rasanya tidak perlulah dia membuang masa mengambil tahu.

Lain pula keadaannya sekarang. Tiba-tiba sahaja dia jadi popular. Tiba-tiba sahaja dia menjadi pesaing! Pesaing merebut Iqbal. Wah, geli-geleman Adilah mengenangkan gosip yang tiba-tiba muncul itu. Tidak ada maknanya dia mahu bersaing dengan sesiapa pun.

Sebenarnya Adilah bukan sahaja rapat dengan Iqbal. Secara tidak sengaja dia termasuk dalam kumpulan rakan-rakan Iqbal. Ada beberapa orang senior lain, dua pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan.

Adilah lebih merasakan seperti mereka adalah pelindungnya, maklumlah pelajar senior! Lagipun mereka baik dan sering membantu Adilah dalam pelajaran. Namun, yang orang nampak adalah hubungan baiknya dengan Iqbal sebab Iqbal paling menonjol.

“Seronoknya kalau saya jadi Adilah. Berpeluang rapat dengan Iqbal.”

“Yalah. Tadi saya nampak Iqbal belikan dia air sirap. Kalau Iqbal belikan untuk saya, mahu pengsan saya dibuatnya!”

“Untung Adilah. Iqbal pandai, kacak. Pendek kata lengkap.”

Adilah hanya tersenyum. Malas mahu menerangkan hakikat sebenar. Yang mereka buat-buat tidak nampak, Iqbal beli enam bungkus air sirap sebenarnya. Bukan untuk Adilah seorang. Alahai!Yang mereka tidak tahu, Iqbal biasa-biasa sahaja di mata Adilah. Tidak kacak pun. Maklumlah cita rasa setiap orang kan berbeza!

Sesungguhnya dia tidak terpikat pun dengan Iqbal. Kalaulah mereka faham....

Dalam pada pujian yang melimpah-ruah, ramai juga yang iri hati dan mengutuk Adilah. Namun, dia buat tidak tahu sahaja. Malas hendak ambil peduli.

“Tengok tu, asyik mengendeng saja dengan Iqbal! Meluat saya tengok. Entah apa yang Iqbal nampak pada Adilah itu.”

“Memang, saya pun meluat. Pelik betul saya dengan Iqbal. Dalam banyak-banyak pelajar di sekolah ini, Adilah yang dipilih? Tak faham betul saya!”

“Si Adilah tu, gedik betul saya lihat!”

Adilah buat tidak dengar sahaja. Sabar itu separuh daripada iman.

“Yalah. Sudahlah tidak pandai, hodoh pula. Mak cik yang jual air pun lebih cantik daripada dia. Menyampah betul saya tengok.”

“Memang pun, biasalah. Nak tumpang glamor Iqbal. Dia manalah popular. Kalau tak sebab Iqbal, tak ada sesiapa pun sedar kewujudan dia!”

Adilah masih buat tidak dengar. Biarlah apa orang hendak kata. Sehinggalah pada satu petang yang pada mulanya damai dan tenang sahaja, dirosakkan suasana itu oleh mulut-mulut yang bolehlah dilabel sebagai tiada insurans!

“Tengoklah tu, belajar konon! Padahal berangan-angan. Entah-entah sedang fikir taktik hendak pikat Iqbal.”

“Saya pun rasa begitu. Meluatnya saya tengok. Pandai betul bermuka-muka.”

“Saya dengar dia budak bodoh. Selalu dimarah dengan cikgu. Selalu dapat nombor belakang-belakang semasa sekolah rendah dulu.”

“Memang betul pun. Adik sepupu saya, Nita satu kelas dengan dia. Memang dia bodoh. Malas pula. Cuma dia bernasib baik. Selalu berkawan dengan pelajar lelaki yang glamor. Dulu, semasa darjah enam, dengan Haziq.”

“Haziq mana pula ni?”

“Oh, dia bukan pelajar sekolah ni. Kata adik sepupu saya, Haziq ketua pengawas semasa sekolah rendah. Budak pandai. Dia suka Nita tetapi Adilah buruk-burukkan Nita di depan Haziq.”

“Teruknya, tak pernah saya jumpa perempuan tak tahu malu begitu! Kecil-kecil dah buat perangai tak senonoh.”

Nita? Haziq? Amboi, melampau betul si Nita. Walaupun sudah tidak satu sekolah, sempat lagi memburukkan Adilah? Memang patutlah Adilah tidak terasa sedikit pun mahu berbaik-baik dengan Nita semasa minggu terakhir di darjah enam dahulu.

Kakak-kakak ini pula, bukan main lagi bergosip. Mulanya, Adilah hendak bersabar sahaja. Namun apabila sudah lebih-lebih, sesiapa pun di tempat dia tentu tidak dapat bersabar. Dia menarik nafas panjang, lalu bangun daripada kerusi. Dia berjalan ke meja mereka.

“Assalamualaikum, kakak-kakak.”

“Wa’alaikumussalam. Ada apa?” Adilah memandang tag nama kakak yang menjawab salam. Zarina.

“Saya tak kenal pun kakak-kakak ini semua. Saya rasa kakak-kakak pun tak kenal saya. Saya juga rasa saya tak pernah buat perkara yang menyusahkan kakak-kakak semua.” Panjang lebar mukadimah Adilah. Tangannya di kedua belah sisi sudah menggenggam penumbuk, menahan amarah.

“Jadi?” Yang bernama Ain pula bertanya. Wajahnya begitu angkuh.

“Jadi, janganlah buang masa kakak-kakak dengan bercakap mengenai saya. Ini perpustakaan. Bukankah lebih elok kakak-kakak semua belajar? Peperiksaan dah dekat, ataupun kakak-kakak semua ini lebih suka kumpul dosa?”

“Jaga sedikit mulut awak. Jangan kurang ajar dengan kami.” Zarina bangkit daripada kerusi.

“Tolong senyap. Ini perpustakaan, bukan pasar. Kalau mahu berbual, sila cakap di luar.” Belum pun sempat Adilah menjawab, pengawas perpustakaan datang menegur.

Adilah memandang mereka semua dengan perasaan yang membara. Namun dia tidak bersuara lagi. Dia kembali ke meja mengambil buku-bukunya lalu keluar dari perpustakaan.

“Leceh betul! Hilangmood nak belajar! Baru ingat nak jadi budak rajin,” dia merungut sendiri.

“Adilah!”

Pada masa ini, dia cukup meluat mendengar suara itu. Tuan punya suara itu yang menyusahkan hidupnya sampaikan tidak semena-mena dia pula jadi popular. Kalau popular yang positif tidak mengapa, ini menjadi bahan kutukan dan dikatakan tidak sedar diri.

Adilah menoleh. “Awak nak apa?”

“Amboi, kasarnya. Awak kenapa? Macam harimau kelaparan saja saya tengok!” Iqbal cuba bergurau.

“Tolong jangan bercakap dengan saya lagi. Apabila terserempak pun, buat-buat tak nampak sajalah!” Adilah merengus lalu mengatur langkah. Dia malas mahu melayan Iqbal.

Iqbal mengejar Adilah. Mereka jalan beriringan.

“Tunggulah dulu. Kenapa pula awak marah-marah?”

“Semua orang kutuk saya. Kata saya tak sedar diri, sudahlah bodoh, hodoh pula! Ada hati nak berkawan dengan awak, menumpang populariti awak. Saya tak suka! Saya tak teringin pun menjadi popular. Walaupun saya bukanlah rajin sangat, tapi saya datang sekolah sebab nak belajar, bukannya nak jadi popular!” Adilah meluahkan rasa geram yang dipendamnya selama ini.

“Jadi, kita tak boleh berkawan sebab orang tak suka kita berkawan?” tanya Iqbal.

Adilah mendengus. “Di sekolah ini, ada ramai yang nak berkawan dengan awak. Petik jari saja, semua menawarkan diri. Awak carilah kawan lain.”

“Saya tak nak kawan lain. Saya mahu berkawan dengan awak.” Iqbal bertegas.

“Kenapa pula awak beria-ia nak berkawan dengan saya? Tak ada faedahnya!” Adilah mendengus. Menyampah pula dia dengan Iqbal. Sesungguhnya Adilah tidak suka dipaksa ataupun didesak.

“Sebab awak seperti adik saya,” luah Iqbal perlahan.

Langkah kaki Adilah terhenti. Begitu juga dengan Iqbal.

Adilah memandang Iqbal. “Adik? Saya tak tahu pun awak ada adik perempuan?” Suara Adilah mula kendur.

Mereka akhirnya duduk berbual di kantin. Suasana hingar-bingar tidak dipedulikan. Iqbal berkongsi cerita. “Adik saya meninggal dunia tahun lepas. Dia dilanggar lori semasa melintas jalan, pulang dari sekolah. Dia sebaya awak. Kalau dia masih hidup, saya yakin awak dan dia tentu berkawan baik.”

Air muka Iqbal berubah menjadi keruh. Pasti Iqbal sedih mengenangkan adiknya. Rasa bersalah pula Adilah dibuatnya. ‘Buat apalah aku tanya soalan itu? Tak fasal-fasal dia teringat cerita sedih,’ Adilah merungut dalam hati.

“Awak mengingatkan saya pada adik saya. Sebab itu saya suka berkawan dengan awak. Saya anggap melindungi awak adalah tanggungjawab saya.”

Adilah terdiam mendengar kata-kata Iqbal. ‘Dia nak melindungi aku. Kenapa pula aku menolak? Bukankah selama ini aku sentiasa berharap ada orang yang melindungi aku?’

Hakim dan Haziq, masing-masing tidak pernah menawarkan diri. Sebaliknya Adilah yang perasan sendiri menjadikan mereka pelindungnya. Sekarang ada orang menawarkan diri. Apa salahnya? Iqbal perlukan seorang adik perempuan dan dia pula perlukan seorang pelindung. Bukankah itu adil?

Adilah menarik nafas panjang. “Saya minta maaf sebab buat awak sedih.”

“Tak mengapa. Saya pun minta maaf kalau awak rasa dipergunakan. Saya tahu awak bukan adik saya, tetapi bukankah tak salah saya sayang awak seperti adik kandung? Saya tak ada niat lain. Jangan bimbang, awak bukantaste saya.” Iqbal tersengih.

Amboi, sempat lagi! “Baiklah, mulai hari ini, saya akan abaikan kutukan orang. Oh, ya. Awak juga bukantaste saya!” Adilah menjelir lidah.

Mereka ketawa serentak. Nampaknya, Adilah sudah dapat pengganti Haziq. Iqbal, akan melindunginya. Hore!


*****

Sejak hari itu Adilah tidak lagi ambil peduli. Seperti yang dijangkakan, lama-kelamaan pelajar sekolah itu bosan memperkatakan mengenai hubungannya dengan Iqbal. Adilah bukan lagi cik popular. Namun dia tidak kisah. Hubungannya dengan Iqbal semakin rapat. Mereka selalu ke perpustakaan bersama-sama pada waktu rehat dan selepas waktu persekolahan.

Bukan berdua, sebaliknya berenam. Adilah rasa seronok dikelilingi oleh abang-abang dan kakak-kakak yang ambil berat tentangnya. Kadang-kadang dia rasa seperti bukan Iqbal seorang, tetapi mereka semua melindunginya.

Memang mereka berlima sudah berkawan rapat sejak sekolah rendah. Hanya Adilah yang tiba-tiba masuk kumpulan itu. Mereka yang lain menerimanya kerana sedia maklum Adilah mengingatkan Iqbal kepada adiknya yang sudah tiada. Lalu mereka semua melayan Adilah dengan baik.

Apabila Iqbal dan kawan-kawannya ada kelas tambahan, Adilah menunggu di gazebo. Kemudian, mereka berenam belajar bersama-sama. Iqbal ataupun kawan-kawan yang lain akan menyemak kerja sekolah Adilah. Maklumlah, mereka budak pandai. Iqbal banyak mengajar Adilah. Juga kawan-kawan Iqbal yang lain.

“Pukul empat setengah nanti, kami ada latihan hoki,” beritahu Iqbal. Dia merujuk kepada dirinya dan dua orang lagi kawan mereka.

“Jadi?” Adilah pura-pura tidak faham. Adilah tahu sebenarnya Iqbal mahu Adilah melihat mereka berlatih. Malas betul Adilah mahu berpanas terik.

Iqbal berterus terang, “Awak tak suka tengok saya bermain hoki?”

“Bosanlah. Awak tahu tak, panas duduk di tepi padang. Lagipun saya ada banyak lagi kerja sekolah yang tak siap. Esok ada kuiz sejarah. Awak juga yang selalu pesan supaya saya belajar rajin-rajin.” Panjang lebar alasan Adilah. Hakikatnya dia tidak seperti kakak-kakak yang dua orang lagi, gigih menyokong kawan-kawan mereka. Siap bawakan air dan makanan ringan.

“Yalah, baliklah, tetapi jangan cakap saja. Balik rumah, pastikan awak belajar untuk kuiz esok. Nanti saya tanya, awak dapat jawab ataupun tak.”

Adilah mencebik.

Adilah tahu Iqbal sengaja mencabarnya. Selama ini, apabila kuiz sejarah diadakan, dia antara yang tercorot. Tercorot di atas kertas sahaja tidak mengapa juga, ini paling lambat duduk.

Apabila kuiz sejarah diadakan, ada dua kaedah yang digunakan. Satu, kuiz bertulis. Satu lagi kuiz lisan. Adilah paling menyampah apabila kuiz secara lisan diadakan.

Pada mulanya semua pelajar diarahkan berdiri. Sesiapa yang tahu jawapannya akan angkat tangan dan jawab soalan yang dikemukakan. Sekiranya betul, dibenarkan duduk.

Selalunya, Adilah antara yang terakhir dapat duduk. Itu pun selepas Cikgu Zaharah kata, “Sudah banyak kali saya pesan, sejarah perlukan pembacaan yang banyak. Kamu perlu ingat fakta-fakta, tarikh kejadian dan huraian kejadian. Semua itu penting. Sudah, duduk. Lain kali, pastikan kamu mengulang kaji sebelum kuiz diadakan.”

Dalam erti kata lain, Adilah tidak dapat menjawab mana-mana soalan yang dikemukakan. Dia dan beberapa orang pelajar yang seangkatan dengannya dibenarkan duduk kerana masa pelajaran sejarah hampir tamat. Itu sahaja!

“Kali ni, saya tentu dapat jawab! Tengoklah!” Adilah mencebik.

Iqbal ketawa kecil.

Kadangkala Adilah malu dengan Iqbal dan kawan-kawannya yang dikatakan pelajar harapan sekolah. Adilah pula? Entahlah. Hendak kata dia malas, sejak dia berkawan dengan Iqbal, dia semakin rajin. Mungkin memang dia dilahirkan kurang cerdik. Hmm... kasihan Adilah.

Tambahan pula, mata pelajaran matematik yang dibanggakannya dahulu pun tidak lagi berpihak kepadanya. Ujian minggu lepas, Adilah dapat C. Dia rasa hendak pengsan semasa tengok kertas ujian. Mengapalah teruk sangat?

“Cik Adilah Arifin, kata hendak balik, asyik berangan sahaja, sampai malam pun awak takkan sampai rumah!” Suara Iqbal mematikan lamunannya. Ini lagi satu masalah Adilah. Masih kuat berkhayal. Mungkin kerana kuat berkhayal, dia hilang tumpuan.

“Saya nak baliklah ni!” Adilah menjelir lidah. Iqbal suka sangat menyakatnya. Sebagai pelindung, Iqbal sepatutnya menghormatinya, bukannya mengejeknya! Namun, Adilah tetap suka berkawan dengan Iqbal. Walau bagaimanapun, ada sesuatu yang dia tidak gemar. Iqbal selalu menganggap dirinya abang angkat Adilah. Adilah tidak suka! Geli-geleman okey!

“Tolong jangan cakap kepada semua orang yang saya adik angkat awak.” Pernah suatu ketika Adilah meluahkan ketidakpuasan hatinya.

“Kenapa pula?”

“Saya tak selesa. Geli sangat!” Memang sejak sekolah rendah, Adilah tidak suka dengan perkara itu. Adik angkat, kakak angkat, abang angkat. Adilah tidak suka dengan perhubungan sebegitu.

“Saya suka.” Iqbal tersengih. “Lagipun, memang saya anggap awak adik saya.”

“Saya tak kisah awak anggap saya adik awak tetapi tak perlulah labelkan sebagai adik angkat. Kita jadi kawan sajalah.” Sampai bila-bila Adilah tetap tidak setuju.

Iqbal menggeleng. “Saya tak fahamlah awak! Apa yang yang gelinya?”

“Entah tetapi saya memang tak suka. Tak selesa. Awak jangan cakap begitu lagi.”

Pada mulanya Iqbal tidak bersetuju namun lama-kelamaan dia akur. Sebetulnya Adilah sendiri tidak pasti mengapa dia tidak suka dengan gelaran sebegitu. Yang penting, dia memang tidak suka.

Persahabatan mereka berjalan dengan lancar. Iqbal pelindung yang baik. Iqbal selalu di sisinya semasa susah dan senang. Adilah berkongsi kesedihan dan kegembiraan dengan Iqbal dan juga kawan-kawannya. Adilah bahagia apabila ada lima pelindung sekali gus!

Malangnya, apabila Adilah naik ke tingkatan dua, Iqbal tidak lagi bersekolah di situ. Dia berpindah ke MRSM Jasin. Kawan-kawan Iqbal yang lain juga ada yang ke sekolah berasrama penuh, MRSM, dan ada yang ke sekolah teknik. Maka tinggallah Adilah sendirian lagi.

‘Aku peliklah, semua pelindung aku bijak-bijak belaka dan semua meninggalkan aku kerana berpindah ke sekolah untuk pelajar terpilih,’ fikir Adilah. “Entahlah. Mungkin, aku memang ditakdirkan keseorangan.

Alahai... nasib badan. Adilah Arifin, sila bertabah!




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku