Budak Bambam Itu
Bab 17
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
225

Bacaan







Hari ini genap usia Adilah 14 tahun. “Apa yang kamu mahu sempena hari jadi kamu?” tanya Encik Arifin ketika mereka bersarapan.

“Saya mahu mama.” Dia tidak berniat untuk mengungkit perkara itu. Namun, entah mengapa jawapan itu yang meluncur laju daripada bibirnya.

Senyuman pada wajah Encik Arifin hilang. Begitu juga dengan Mama Zai. “Kenapa tiba-tiba ungkit lagi?” Nada suara Encik Arifin berubah keras.

“Papa, dah tujuh tahun mama pergi. Papa tak pernah beritahu sebabnya. Mama tak pernah pulang menjenguk saya. Telefon pun tak pernah. Saya rindukan mama. Saya betul-betul rindukan mama!” Adilah meluahkan isi hatinya.

Memang benar, sejak darjah lima, Adilah tidak pernah bertanya berkenaan Puan Kartina lagi, tetapi itu tidak bererti yang dia sudah lupakan mama! Tidak pernah satu hari pun berlalu tanpa dia memikirkan dan merindui mama. Setiap kali rindu, dia hanya mampu berdoa kepada Allah supaya melindungi mama dan semoga mama pulang kepadanya.

“Papa dan Mama Zai dah pun ada anak baru. Tak bolehkah pulangkan saya semula kepada mama?”

Adilah tahu pertanyaannya agak kasar. Namun itulah yang difikirkannya selama ini. Mungkin selama ini, mamanya menyepi kerana tidak sampai hati merampasnya daripada papa. Mungkin.

‘Sekarang, papa dan Mama Zai sudah ada Adibah, apa salahnya beri peluang aku hidup dengan mama?’ bisik hati kecilnya.

“Jangan cakap ikut sedap mulut saja. Kamu tak tahu apa sebenarnya yang berlaku.” Suara Encik Arifin agak keras. Adilah tahu papanya marah.

“Memang saya tak tahu apa-apa sebab papa tak pernah beritahu apa-apa! Cakaplah papa, di mana mama? Kenapa mama tinggalkan saya?” Adilah terus mendesak.

“Sudahlah. Jangan begini. Pergilah sekolah. Kamu dah lambat,” Mama Zai cuba memujuk namun Adilah tidak peduli.

“Mama Zai jangan masuk campur. Papa tanya saya hendak apa sebagai hadiah hari jadi, ini jawapan saya. Saya nak mama saya!” Adilah tidak berniat berkasar dengan Mama Zai, namun itulah yang dilakukannya.

“Masalahnya mama kamu tak nak kamu lagi!” Kata-kata Encik Arifin membuatkan Adilah terkejut. Terasa seperti jantungnya direntap.

“Papa tipu!” jerit Adilah.

“Mama kamu tinggalkan keluarga ini kerana mahu bersama lelaki lain! Kekasih lama dia sebelum dia berkahwin dengan papa! Faham?”

“Tipu!” Adilah tidak percaya. Mustahil!

“Kadangkala kenyataan memang menyakitkan,” Encik Arifin bersuara perlahan.

“Papa tipu! Tipu! Tipu!” Adilah berlari keluar dari rumah. Dia tidak sanggup mendengar semua itu. Adilah benar-benar tidak sanggup!

‘Tak mungkin mama tak nak aku lagi. Mustahil!’ Hatinya terus memberontak. Menafikan kata-kata papa. Namun, jauh di sudut hati, dia tidak mampu menolak hakikat itu. Benar, kebenaran kadangkala menyakitkan. Sungguh menyakitkan!

Adilah tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaan hatinya. Tidak diduga, ini hadiah hari jadi yang diterimanya. Harapan yang selama ini melangit hancur berkecai.

‘Mama, sampai hati mama!’


****

Dengan air mata bercucuran, Adilah berjalan tanpa hala tujuan. Adilah tidak ke sekolah. Dia tidak mahu pulang ke rumah. Dia tidak tahu ke mana hendak dituju.

“Adilah, buat apa di sini?”

Adilah menoleh. “Hana, awak buat apa di sini? Awak ponteng sekolah, ya?”

“Kalau saya ponteng sekolah, awak pula?” Hana menyindirnya. Adilah tersenyum tawar.

“Marilah lepak dengan saya.”

“Tak mengapalah.” Adilah menolak dengan baik. Dia tahu Hana bukan pelajar yang baik. Hana selalu ponteng sekolah. Di sekolah macam-macam gosip buruk tentang Hana bertebaran. Adilah tidak mahu cari penyakit. Dia tidak mahu terjebak.

“Marilah, daripada awak merayau seorang diri, bahaya,” ajak Hana.

Akhirnya dia mengalah dengan pujukan Hana. Adilah duduk melepak bersama Hana dan rakannya, Lily di sebuah restoran makanan segera.

Satu yang Adilah kagum, Hana mengajaknya ke surau untuk bersolat apabila tiba waktu solat. Malah, Hana solat pada awal waktu. Adilah malu sendiri. Selama ini, dia sering melengah-lengahkan solat.

“Jadi tak projek malam ini?” tanya Lily.

Hana mengangguk. “Jadi, macam biasa.”

Adilah tidak menyampuk. Sebaliknya dalam hati, dia sudah tertanya-tanya sendiri. Projek apa? Dadanya mula berdebar-debar.

“Okeylah, saya nak balik.” Jam menunjukkan hampir pukul 6.00 petang.

“Awak tak nak ikut program malam ini?” pelawa Lily.

Adilah tidak menjawab. Tidak tahu hendak jawab apa. Hari itu hari Jumaat. Malam Sabtu. Malam minggu. Program apa? Soalan itu hanya berlegar dalam fikiran Adilah. Adakah program lumba haram seperti yang diperkatakan? Banyak khabar angin kata Hana suka melepak dengan mat rempit.

“Tak payah ikut. Awak balik dulu. Lain kali saja awak ikut ya.” Hana buat keputusan bagi pihak Adilah.

“Okey,” balas Adilah pendek. Persoalan itu terus tergantung. Program apa sebenarnya yang mereka katakan? Hendak ditanya, serba salah pula. Entah kenapa, Adilah sebenarnya tidak sanggup tahu perkara sebenar. Dia pulang tanpa jawapan.


****

“Kamu pergi mana sampai maghrib baru nampak batang hidung?” Pertanyaan Encik Arifin tidak diendahkan. Adilah terus berjalan menuju ke bilik.

“Dila, mandi, solat maghrib. Selepas itu, turun makan, ya,” Mama Zai bersuara lembut.

“Saya tak lapar,” jawab Adilah mendatar. Langsung tidak ditoleh kepada Mama Zai yang bertanya.

Adilah terus ke bilik. Malas mahu berhadapan dengan mereka. Mujur dia ada beli roti. Bolehlah dia makan roti malam itu. Memanglah tidak cukup untuk dia yang kuat makan. Namun, dia memang malas mahu berhadapan dengan papa dan Mama Zai.

Selesai makan malam, Mama Zai mengetuk pintu biliknya yang seperti selalu, berkunci. “Mama Zai ada simpan lauk untuk kamu di dalam peti sejuk. Nasi dalam periuk elektrik. Kalau lapar, nanti kamu panaskan.”

Adilah tidak menjawab. Dia buat-buat tidak dengar sahaja. Marahnya masih menggunung. Tidak tahu kepada siapa kemarahan itu ditujukan. Kepada mama yang meninggalkannya? Kepada papa yang tidak berterus terang selama ini? Kepada Mama Zai yang mungkin melayan dia dengan baik kerana simpati? Ataupun kepada dirinya sendiri yang terlalu naif, menunggu mama pulang padahal mama memang sengaja meninggalkannya?

Sejak hari itu, hubungan Adilah dengan keluarga semakin renggang. Manakala hubungannya dengan Hana semakin rapat.


*****

“Sejak akhir-akhir ini awak rapat dengan Hana.” Tiba-tiba sahaja Ida mengungkit berkenaan Hana.

“Jadi?” tanya Adilah.

Walaupun ada kawan di sekolah yang tidak suka dia berkawan dengan Hana, dia tidak peduli. Adilah seronok berkawan dengan Hana. Adilah tidak peduli apa orang lain kata mengenai Hana. Baginya, Hana kawan yang baik. Okey, memanglah dia tidak kenal rapat Hana. Namun, dia selesa apabila berada bersama Hana.

“Awak bukan tak tahu perangai Hana. Ponteng sekolah, satu hal. Semua orang tahu dia gadis yang liar.”

“Taklah, sepanjang saya dengan dia, saya tak pernah nampak dia bergaul bebas dengan mana-mana lelaki,” Adilah cuba membela Hana.

“Itu yang awak nampak, yang awak tak nampak?” bangkang Ida.

Adilah pantas bertanya, “Jadi, awak pernah nampak dia bersosial tak ingat dunia dengan budak lelaki?”

Ida mendengus. “Taklah. Saya tak kata saya pernah nampak, tetapi semua orang pun cakap macam tu. Sebagai kawan yang prihatin, saya cuma ingatkan awak. Saya tak nak awak terjebak. Itu saja. Kalau awak tak nak percaya dan dengar nasihat ikhlas daripada saya ini, terpulanglah. Jangan awak menyesal di kemudian hari, sudah.” Ida berlalu meninggalkan Adilah.

Adilah mengeluh. Bukan Ida sahaja pernah cakap begitu kepadanya. Kawan-kawan yang lain juga pernah menegur. Namun baginya, mereka hanya tahu cakap. Mereka tidak nampak pun apa yang berlaku.

Adilah yakin mereka tidak tahu pun Hana seorang yang menjaga solat dan auratnya. Hana juga setakat ini tidak pernah mengajak dia buat perkara yang bukan-bukan. Mereka sekadar duduk bersembang, makan-makan, kadangkala berdua, kadangkala bersama kawan Hana, Lily dan beberapa orang lagi. Lily dan rakan-rakan yang lain sebenarnya lebih tua daripada mereka.

Biarlah apa orang hendak kata, dia tidak peduli. Itu pendirian Adilah. Walau apa pun, dia dapat merasakan Hana budak baik. Dia memilih untuk mengikut kata hatinya.

Namun, kadangkala terdetik juga rasa ragu. Bagaimana kalau kata hatinya salah? 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku