Budak Bambam Itu
Bab 18
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
307

Bacaan








“Seminggu berapa kali awak ponteng sekolah?” jujur Adilah bertanya.

Hana ketawa. “Kenapa tiba-tiba awak tanya?”

“Jawablah. Berapa hari awak tak datang sekolah dalam seminggu?” desak Adilah.

Usai ketawa, Hana tersengih lebar. “Awak tanya seperti saya kerap ponteng sekolah. Awak rasa secara purata, berapa hari dalam seminggu saya ponteng sekolah, dan berapa hari dalam sebulan?”

Adilah mendengus. “Manalah saya tahu, awak kelas lain. Saya tak pernah semak rekod kehadiran awak. Lagipun saya selalu dengar macam-macam cerita tentang awak.”

Hana gadis cantik yang popular. Daripada cerita yang Adilah dengar, dahulu semasa tingkatan satu dia pelajar pintar dan menjadi kesayangan guru. Malah, sepatutnya tempatnya bukan di sekolah itu. Dia mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh berdasarkan keputusan UPSR, namun menolaknya kerana tidak mahu tinggal di asrama.

Sehinggalah satu hari, Hana tiba-tiba berubah. Dia mulai ponteng sekolah dan pelajarannya merosot. Sehingga kini, tiada siapa pun tahu sebab sebenar Hana berubah. Yang bertebaran hanyalah cerita negatif tentang Hana.

Hana tersengih. “Sebab itu saya tak suka awak cari saya di sekolah. Saya tak nak awak rapat dengan saya waktu sekolah. Nanti awak pun dikutuk orang. Awak tentu pernah dengar tentang perumpamaan mempunyai rakan yang baik dan jahat seperti berkawan dengan penjual minyak wangi dan tukang besi.

Adilah menggeleng. “Tak pernah dengar pun.”

“Ish, awak ni. Itu pun tak pernah dengar?”

“Tak. Saya memang tak pernah dengar. Jadi apa kaitan penjual minyak wangi, tukang besi, saya, dan awak?”

Hana tersengih. “Awak patut mencari kawan yang seperti penjual minyak wangi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan kita, sama ada kita membelinya ataupun hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah ataupun baju kita terbakar, ataupun kita mendapat bau busuk. Saya tak nak awak mendapat ‘bau busuk’ saya.”

Panjang lebar penerangan Hana. Memang Hana selalu buat endah tak endah dengan Adilah apabila bertembung di sekolah. Fahamlah Adilah kini sebab-musababnya.

“Masalahnya, saya tak ada kawan lain. Lagipun, kalau awak rasa awak busuk, kenapa awak tak cuba jadi wangi? Err... jangan salah faham. Bukanlah saya kata badan awak busuk. Maksud saya... dalam konteks perangai.” Adilah tidak pasti adakah Hana akan berkecil hati dengan kata-katanya. Kalau Hana merajuk, dia akan hilang kawan. Lebih parah, kalau Hana mengamuk. Menyesal pula Adilah kerana lepas mulut. Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Alahai!

Mujur Hana hanya tersenyum.

“Biarlah kalau orang anggap saya busuk. Saya cuma harap saya tak busuk di mata Allah.”

Adilah tersentak. Mendalam sungguh kata-kata Hana, tetapi apakah maksudnya?

“Saya tak faham.”

“Awak ada dengar macam-macam tentang saya, tetapi selain melepak, pernahkah awak lihat saya buat perkara-perkara yang orang kata itu?”

Adilah menggeleng. Baru beberapa kali dia melepak dengan Hana. Selalunya Hana suruh Adilah ke sekolah apabila dia ajak melepak. Malah ada masa dia suruh Adilah pulang awal kerana dia kata dia ada urusan. Urusan apa? Adilah tidak pernah tahu.

Yang pasti, Adilah tidak pernah lihat Hana merokok, ataupun bertepuk tampar dengan lelaki. Tudungnya labuh menutup dada, tidak pernah ditanggalkan di tempat awam, kecuali di dalam surau. Pakaiannya pula memang ranggi tetapi longgar. Kakinya bersarung stoking. Auratnya lengkap terjaga. Memang nampak seperti perempuan baik-baik.

Hmm... yang pasti Adilah sendiri sebenarnya keliru. Hana, gadis misteri di matanya. Banyak persoalan yang perlukan jawapan. Hana adalah teka-teki yang Adilah tidak jumpa pembayang untuk menyelesaikannya.

“Saya sebenarnya tak kenal awak,” akui Adilah.

“Kenapa awak suka lepak dengan saya kalau awak tak kenal saya? Awak tak takut saya bawa pengaruh negatif kepada awak? Zaman sekarang, jangan mudah percaya orang.” tanya Hana, sengaja menguji Adilah.

Adilah menjawab perlahan, “Entahlah. Saya tak tahu nak pergi mana. Saya tak suka duduk di rumah, jadi saya lepak dengan awak.”

“Kenapa pula awak tak suka duduk rumah?” tanya Hana lagi.

“Apabila berada di rumah, saya teringat mama,” beritahu Adilah.

“Di mana mama awak?”

Adilah mengangkat bahu. “Entah, selama ini saya sangka mama tinggalkan saya kerana papa ada perempuan lain. Rupa-rupanya mama yang berubah hati. Dia tinggalkan saya dan papa kerana mahu berkahwin dengan lelaki lain.”

Hana tersenyum tawar mendengar luahan Adilah. “Setiap orang ada masalah masing-masing. Orang yang berani akan menghadapinya, tetapi hanya orang penakut seperti kita yang akan cuba lari daripada masalah,” balas Hana.

Adilah terasa! Benar-benar terasa dengan kata-kata Hana tetapi dia tidak mampu menyanggahnya. Bukankah memang itu yang sedang dilakukannya? Dia cuba melupakan masalahnya dengan mencipta masalah lain. Ponteng sekolah adalah satu bentuk eskapisme bagi Adilah.

Eskapisme adalah tindakan atau kecenderungan melarikan diri daripada kenyataan dengan menumpukan fikiran kepada sesuatu perkara lain (biasanya yang kurang baik) daripada masalah yang dihadapi sebagai langkah untuk mencari ketenangan. Itulah yang Adilah lakukan.

“Mari, ikut saya,” pelawa Hana.

“Awak nak bawa saya ke mana?” Jantung Adilah mula berdegup kencang. Adakah hari ini dia akan terjebak ke dalam masalah moral remaja? Oh tidak.

“Saya nak bawa awak melihat dunia,” jawab Hana dengan senyuman penuh makna.

Ah, sudah! Sempat lagi kalau dia mahu “berundur” sekarang.


*****

“Awak selalu ke sini? Awak tak sihat?” tanya Adilah. Hana yang sebelum ini penuh misteri, semakin misteri di matanya!

Hana tersenyum. “Tidaklah selalu. Saya cuma ke sini apabila saya bosan dengan hidup.”

Mereka kini berada di hospital. Memang tidak ada dalam senarai andaian Adilah. Dalam banyak-banyak tempat, hospital yang dipilih Hana? Kenapa hospital?

Berkerut dahi Adilah. “Maksud awak?”

“Apa perasaan awak apabila berada di sini?” tanya Hana pula.

Adilah menghela nafas panjang. Dia berfikir seketika sebelum menjawab. “Macam-macam saya rasa, tak tahu nak cakap.” Sudahnya hanya itu yang mampu diluahkan.

Mereka duduk di bangku di laluan utama. Kelihatan ramai orang lalu-lalang di hadapan mereka dengan matlamat masing-masing. Mata Adilah terus memerhati sekitar. Daripada gaya mereka, Adilah dapat mengagak, ada yang mahu mendapatkan rawatan, ada yang mahu melawat orang sakit. Ada yang berjalan tegak, ada yang tidak bermaya, ada yang bertongkat, ada yang berkerusi roda. Ada yang senyum dan ketawa, ada muram dan kelihatan rungsing. Malah ada juga yang mengalirkan air mata. Masing-masing dengan cerita tersendiri.

Hana tersenyum lagi. “Saya sebenarnya benci hospital. Kalau boleh saya tak nak datang sini, tetapi saya rasa perlu ke sini.”

“Untuk apa?”

“Supaya saya belajar bersyukur dengan apa yang saya ada.”

Adilah mengangguk. Ya, tiba-tiba sahaja Adilah rasa lega. Sekurang-kurangnya dia tidaklah diuji dengan penyakit kronik yang memerlukan dia berulang-alik ke hospital. Ahli keluarganya juga sihat walafiat. Neneknya di kampung yang sudah berusia pun masih sihat.

Hana tiba-tiba bangun. “Okey, mari kita ke tempat seterusnya.”

“Ke mana pula?”


*****


Adilah hanya memerhati tingkah Hana. Suara Hana kelihatan ceria melayan seorang tua yang bercerita. Kemudian, dia melayan pula sekumpulan adik-adik yang nampak begitu riang apabila dapat makan kek coklat dan aiskrim.

Selepas ke hospital, Hana membawa Adilah ke sebuah rumah. Sebelum itu, mereka singgah membeli kek coklat dan aiskrim. Oh Hana, si gadis yang penuh misteri.

“Awak ke hospital apabila rasa bosan dengan hidup. Kenapa pula awak ke sini?”

Hana tersenyum. “Sebab yang sama, sebab saya bosan dan supaya saya bersyukur dengan hidup saya.”

Adilah menghela nafas panjang. Hana dengan jawapannya. “Rasanya awak selalu ke sini. Awak nampak mesra dengan mereka.”

Hana tersenyum lagi.

“Esok tak sekolah, awak boleh balik lambat? Ataupun awak nak tak tidur di rumah saya?”

“Kenapa?” Adilah mula rasa tidak sedap hati.

“Sebab malam ini ada program. Saya nak bawa awak,” jelas Hana.

“Err... program apa? Tak naklah.” Pantas Adilah menolak. Dia tidak berani mengambil risiko.

Hana ketawa kecil. “Awak takut ya. Tak apa, lain kali saja, apabila awak dah bersedia. Apabila awak dah percayakan saya.”

Adilah terdiam. Malu kerana Hana tahu dia tidak percayakan Hana. “Saya bukan tak percaya... saya...” Apa ya alasan yang patut diberikan?

Hana senyum. “Jangan bimbang, saya tak kisah pun.”


*****


“Awak rasa betulkah apa yang saya buat sekarang?” Suatu hari, Adilah bertanya kepada Hana.

Dahi Hana berkerut. “Saya tak faham maksud awak.”

“Saya tak suka ponteng sekolah sebenarnya,” luah Adilah.

“Baguslah, jangan ponteng lagi,” balas Hana ringkas sebelum menyedut air minuman.

“Saya dah fikir masak-masak, daripada kita buang masa melepak, lebih baik kita belajar rajin-rajin. Kita tunjukkan pada semua orang yang kita mampu berjaya. Walaupun kita berlainan kelas, kita boleh belajar bersama-sama di perpustakaan.”

Hana yang sedang menikmati ayam goreng terhenti. “Kita?”

“Ya. Memandangkan awak dulu adalah pelajar pintar, saya rasa awak patut kembali jadi cemerlang dan tolong saya untuk jadi cemerlang juga.” Adilah tersengih-sengih, bersemangat betul dia.

“Kenapa tiba-tiba awak ajak saya belajar? Kalau awak tak suka melepak dengan saya, tak mengapa. Saya tak kisah. Selama ini pun saya tak pernah galakkan awak ponteng sekolah. Awak tak sesuai jadi budak nakal.”

“Bukan begitu. Saya bukan tak suka lepak dengan awak. Saya suka berkawan dengan awak. Cuma saya rasa bosanlah, kawan-kawan sekelas saya semua tak suka awak. Mereka kata awak liar.”

Hana tersenyum tawar. “Saya tahu. Seperti yang saya cakap dulu, saya tak kisah pandangan orang.”

“Tetapi saya kisah. Sangat-sangat kisah. Awak kawan saya. Saya tak suka dengar mereka kutuk awak. Lagipun saya rasa awak baik,” Adilah meluahkan isi hatinya.

Hana hanya ketawa.

Persahabatan mereka mungkin bermula dalam keadaan yang salah namun ia sangat bermakna bagi Adilah. Kali ini, Hana bukan sahaja pelindungnya, Sebaliknya dia merasakan yang dia juga perlu melindungi Hana. Ya, bagi Adilah, meereka perlu saling melindungi antara satu sama lain.

“Jadi, macam mana? Setuju?” tanya Adilah dengan penuh berkobar-kobar.

Hana mengangkat bahu. “Tengoklah dulu, kalau saya rajin.”

“Janji, esok awak pergi sekolah, ya?” Adilah masih mahu memujuk Hana.

“Malam ini ada program. Saya mungkin balik lambat.” Program lagi. Entah program apa sebenarnya yang Hana ikut. Adilah tidak pernah ikut serta sebab dia ragu-ragu. Hendak desak Hana berterus terang dia serba salah. Walaupun dia yakin Hana baik orangnya, entah kenapa dia merasakan program malam Hana bukan program baik. Mungkin Adilah termakan cerita-cerita orang. Nampaknya Adilah tidak sepenuhnya percaya kepada Hana yang dianggapnya kawan rapat itu.

“Alah, janganlah pergi,” Adilah cuba memujuk.

Hana menggeleng. “Tak boleh, saya dah janji dengan orang.”

“Okey, tapi esok kita jumpa di sekolah, ya?”

Hana tersenyum. “Kalau ada rezeki.”

Malam itu, Adilah tidur dengan semangat baru. Dia mahu bersama-sama Hana belajar bersungguh-sungguh. Dia mahu melindungi Hana. Ya, Hana pelindungnya dan dia pelindung Hana. Biarlah kalau semua orang tak suka mereka. Asalkan mereka bersatu hati, berusaha bersungguh-sungguh, tentu mereka mampu berjaya. Lagipun Hana memang asalnya pelajar cemerlang. Pasti tidak ada masalah untuk Hana kembali jadi pelajar cemerlang. Tinggi betul harapan Adilah.


*****


Pagi-pagi lagi Adilah menjengah ke kelas Hana. Namun, bayang Hana tidak kelihatan. ‘Hmm... mungkin dia datang lambat,’ Adilah menyedapkan hati.

Apabila loceng berbunyi, dia sempat menjengah kelas Hana sekali lagi. “Hana tidak datangkah?” Adilah bertanya Nurul, rakan kelas Hana.

Nurul menjeling. “Hai, awak geng lepak dia, awak tanya saya pula? Bukankah sepatutnya awak lebih tahu?” Mendidih Adilah mendengar jawapan sinis Nurul.

“Apa masalah awak? Saya tanya elok-elok, jawablah baik-baik.” Adilah merengus lalu beredar ke kelasnya.

Mata pelajaran pertama adalah pendidikan Islam. Adilah tidak dapat menumpukan perhatian. Adilah kecewa dengan Hana. Namun, dia tidak mahu berputus asa.

‘Aku akan pujuk dia lagi,’ Adilah bertekad.

Malangnya, sekali lagi Adilah kehilangan. Tengah hari itu, di sekolah gempar dengan berita kematian seorang pelajar tingkatan 2 kerana terhumban dari skuter. Pelajar itu adalah Hana.

“Nasib baik awak tak ikut dia,” Ida bersuara.

Adilah tunduk membisu.

“Kalau tak, mungkin awak senasib dengan Hana,” sambung Ida lagi.

Adilah terus tunduk. Menahan air mata yang hampir mengalir.

“Itulah, saya dah kata, jangan berkawan dengan dia...”

Tanpa menunggu lebih lama, Adilah meluru keluar dari kelas. Dia menangis sepuas hati di dalam tandas sekolah. Dia tidak sangka semua ini akan terjadi. Segala-galanya terlalu mengejut. Adilah tidak tahu bagaimana hendak menghadapinya.

Adilah hampa. Terlalu hampa. Semangatnya yang berkobar-kobar mahu belajar bersama Hana layu terkulai. Pulang ke rumah, Adilah membisu. Dia tidak memberitahu apa-apa kepada papa dan Mama Zai.

Esoknya, gempar lagi di sekolah. Berita kematian Hana dipaparkan dalam akhbar. Pujian untuk Hana melangit. Rupa-rupanya program malam Hana bukan seperti yang disangkakan. Hana bukannya melepak dengan mat rempit, jauh sekali terlibat dalam perlumbaan haram. Hana menyertai NGO yang mengagihkan makanan untuk gelandangan. Hana antara sukarelawan termuda yang aktif dalam NGO itu.

Kenapa Hana suka ponteng sekolah?

Kenapa Hana suka ke hospital?

Kenapa Hana suka ke rumah perlindungan?

Semua persoalan akhirnya terjawab.

Hana disahkan menghidap leukemia peringkat akhir. Namun, dia enggan menerima rawatan, sebaliknya mahu menikmati hari-hari terakhir dalam hidupnya. Itu cerita ibunya. Ternyata usia Hana tidak panjang, namun dia meninggal bukan kerana sakit leukemia yang dihidapinya. Hana, si gadis misteri yang hidupnya dikeji rakan-rakan, matinya dipuji. Ternyata Hana bukanlah tukang besi, sebaliknya penjual minyak wangi.

Adilah terkilan kerana dia sendiri ada menyimpan rasa curiga kepada Hana dan tidak sempat meminta maaf. Sejak hari itu, Adilah berubah lagi. Dia tidak lagi ponteng sekolah. Dunianya kini hanya di sekolah dan rumah. Namun, dia terus gagal menjadi pelajar cemerlang. Dia terus hidup dalam khayalan.

Terasing.

Sendiri.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku