Budak Bambam Itu
Bab 19
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
252

Bacaan







Masa terus berlalu. Adilah sudah berusia 15 tahun. Di tingkatan tiga, dia berbasikal ke sekolah. Tidak, bukanlah Adilah rajin sangat hendak mengayuh basikal sebenarnya. Namun, ada sebab lain dia gigihkan diri berbasikal ke sekolah. Sebabnya, orang yang diminatinya pun berbasikal. Ya, seperti tidak percaya pula, tetapi Adilah minat pada seorang pelajar lelaki yang juga di tingkatan tiga. Budak lelaki itu berpindah ke sekolah Adilah semasa penghujung tingkatan dua.

Pukul 7.00 pagi. Itulah waktu Adilah sampai di sekolah. Awalnya! Apabila naik bas, dia hanya sampai pada pukul 7.15 pagi.

‘Tak mengapalah. Demi dia, aku sanggup korbankan masa tidur aku. Demi mencapai kejayaan, kita perlu melakukan pengorbanan! Inilah pengorbanan bagi merealisasikan cinta pertama aku!’ Itulah tekad Adilah.

Malangnya, sudah tiga minggu Adilah mengayuh basikal, mereka belum pun bertegur sapa. Setiap kali bertembung dengannya, Adilah pasti cepat-cepat buat tidak nampak. Bukannya Adilah sombong tetapi, dia gelabah. Jadi, bagi menutup rasa gugup, Adilah lebih rela berlagak sombong. Masalah betul! Bila agaknya impian mahu berkenalan dengan jejaka idaman hati akan tercapai kalau macam ini gayanya?

“Reza minta nombor telefon awak,” beritahu Umaira tiba-tiba pada satu hari.

Adilah buat muka selamba, tetapi dalam hati Tuhan sahaja yang tahu. Rasa mahu melompat ke langit kerana terlalu teruja. Makan nasi lemak sambal dan timun lebih pun rasanya tidak mampu melawan keterujaan ini.

“Reza? Reza yang mana?” tanya Adilah. Amboi, pura-pura tidak kenal pula.

“Reza budak 3 Bestari. Reza mana lagi?”

“Oh, dia. Kenapa dia minta nombor saya? Awak bagi?” Dalam hati, tidak putus-putus dia berdoa supaya Umaira memberikan jawapan yang positif yang akan membuka jalan kepada sebuah perhubungan. Ya, tidak tahu sejak bila, geletis semacam pula Adilah.

“Tak, saya tak bagi. Saya cakap pada dia, saya takut awak marah. Yalah, dulu awak pernah pesan jangan beri nombor telefon rumah awak pada budak lelaki. Nanti ayah awak marah,” beritahu Umaira.

Adilah tersenyum menahan rasa geram dan kecewa. Rasa teruja yang melangit tadi terus menjunam. Hancur berkecailah sebuah impian gedik Adilah. ‘Umaira, kenapalah awak lembab sangat? Awak tak perasankah yang kawan awak ini tergila-gilakan Reza? Kalau tak, tak mungkin saya gigih sangat berbasikal ke sekolah! Buat penat saja!’ Kata-kata itu hanya terluah dalam hatinya.

“Nasib baik awak tak beri.” Hanya itu yang mampu diluahkan dalam senyuman yang langsung tidak ikhlas.

“Saya dah agak, tentu awak cakap begitu.” Umaira tersengih. Gembira betul dia kerana merasakan sudah membuat keputusan paling bijak dan terbaik untuk kawannya itu.

‘Terlepas peluang aku! Menyampah betul!’

Petang itu, Adilah tidak terus pulang ke rumah. Dia melepak di kantin sekolah. Memikirkan cara terbaik supaya dapat berkenalan dengan Reza. Gigih betul Adilah. Kalaulah dia segigih ini untuk berjaya dalam pelajaran, alangkah bagusnya.

“Kami nak belajar bersama-sama. Awak nak sertaistudy group kami?” Umaira dan beberapa pelajar lain mempelawanya.

Adilah menggeleng. “Tak mengapalah. Lain kali saja. Saya nak balik awal hari ini.”

‘Macam mana nak belajar apabila dalam fikiran hanya terkenangkan Reza?’ rungut Adilah dalam hati.

Melampau betul Adilah. Ke mana menghilangnya tekad Adilah yang tidak mahu terlibat dalam cinta zaman sekolah? Bukankah dari sekolah rendah Adilah anti dengan perkataan cinta? Sejak bila Adilah berubah tekad?

Adilah melangkah ke tempat letak basikal dengan perasaan yang kecewa. “Kenapalah Umaira lurus sangat?” rungutnya sendirian.

“Hai, kenapa balik lambat hari ni?” suatu suara menyapanya.

Adilah mengangkat kepala sambil tersenyum memandang Fairus. “Tadi lepak di kantin. Malas nak bersesak-sesak. Tunggu lengang sedikit, baru balik.”

Baginya itu alasan yang terbaik. Memang pun! Waktu balik, pelajar-pelajar berebut-rebut mahu mengambil basikal mereka. Adilah tidak suka. Leceh! Sudahlah dia bukan ikhlas sangat mahu mengayuh basikal.

“Awak?” tanya Adilah pula.

“Saya tunggu kawan.”

“Oh.” Adilah membuka kunci basikal dan mula menyorong basikal.

Mereka tidak dibenarkan mengayuh basikal sehinggalah di pintu pagar, terutamanya semasa loceng pulang baru berbunyi. Bukan apa, guru-guru bimbang, mereka yang berbasikal berlanggar sesama sendiri ataupun terlanggar pelajar lain yang berjalan.

“Hai,” suatu suara menyapanya. Adilah sangka kawan Fairus yang menegur mereka. Apabila Adilah menoleh, dia jadi gugup.

‘Reza!’

Dengan pantas, Adilah menyorong basikal. Dia tidak menoleh lagi. Seperti selalu, Adilah selalu terlepas peluang kerana gugup apabila berhadapan dengan Reza.

Sampai di pintu pagar, Adilah mula mengayuh. Fikirannya masih pada Reza. Sapaannya tadi membuatkan hati Adilah berbunga, namun kurang lima saat hati yang berbunga itu pun layu. ‘Rugi. Rugi. Tentu Reza fikir aku sombong. Ish.‘

Sedang basikalnya laju menuruni bukit, Adilah ternampak satu benda bergerak, melompat-lompat. ‘Ya Allah, katak! Nak langgar ataupun elak?’ fikirnya.

Adilah segera menekan brek malangnya sudah terlewat. Dalam keadaan kelam-kabut hendak mengelak daripada melanggar katak, Adilah terbabas. Apa lagi, terjatuhlah dia macam nangka busuk. Sakitnya pinggang Adilah dihempap basikal!

“Awak tak apa-apa?” Reza muncul menolongnya. Reza mengangkat basikal Adilah.

Adilah pantas bangun dan menepuk-nepuk pakaiannya bagi membuang kotoran yang melekat. Sempat ditajamkan tudungnya. Dia cuba menghadiahkan senyuman paling comel yang mampu diberikan. Mukanya merah padam menahan malu bercampur sakit.

“Terima kasih,” ucap Adilah perlahan.

“Awak luka?”

Adilah menggeleng tetapi, lututnya terasa pedih, begitu juga dengan siku.

‘Tentu berdarah,’ rungut Adilah dalam hati.

“Awak boleh kayuh basikal lagi? Kalau tak boleh, tolak saja basikal. Saya temankan awak,” pelawa Reza.

Sebenarnya, tidaklah teruk sangat keadaan Adilah. Tidak ada masalah baginya mengayuh tetapi peluang begini susah hendak dapat.

“Lebih baik saya tolak saja basikal. Tak mengapalah, awak tak perlu temankan saya.” Itu cakap mulut, dalam hati, Adilah berharap sangat Reza menemankannya. Dapatlah mereka berkenalan dengan lebih rapat.

Reza menyorong basikal mendekati Adilah. “Kita tolak sama-sama.” Reza tersenyum.

“Alah, kena tolak? Lambatlah kita sampai rumah,” tiba-tiba kedengaran suara menyampuk.

Adilah tersentak lalu menoleh. Kelihatan seorang gadis bercekak pinggang di samping basikal berwarna merah jambu yang ditongkatkan. Mukanya masam. Dalam hati, Adilah tertanya-tanya sendiri. ‘Bila masa pula dia ada di situ? Kenapa aku tak sedar pun kewujudan dia?’

“Kalau nak cepat, kamu kayuhlah,” balas Reza yang kemudian memandang Adilah. “Awak abaikan saja adik saya.”

“Mana boleh. Saya kena teman juga. Mana boleh lelaki dan perempuan berdua-duaan,” bantah si adik yang memakai tag nama Mila.

“Kakak nampak macam okey saja, apa kata kita kayuh saja? Kami temankan kakak sampai rumah, okey?” Gigih betul Mila mahu membantutkan hasrat Adilah.

“Kakak sakit kaki,” balas Reza cuba membela.

“Dia okeylah, tak terhincut-hincut pun. Kain pun tak koyak, maksudnya tak luka teruklah tu.” Jujur betul adik Reza ini. Geram pula Adilah dibuatnya. Ish... punah-ranah impian Adilah yang baru hendak berbunga. Sangkanya tadi, dapatlah dia peluang beramah mesra dengan budak lelaki yang diminatinya dalam diam. Nampaknya, tidak kesampaian.

Kesudahannya, mereka mengayuh basikal bersama-sama. Tidak mengapalah. Walaupun tidak dapat peluang berbual panjang, dapat juga peluang mengayuh basikal bersama. Kesakitan akibat jatuh tadi terasa berbaloi.

Hari itu adalah hari yang paling bahagia dalam hidup Adilah! Err... sekurang-kurangnya, itulah yang dia fikirkan pada masa itu.



*****


Sejak hari itu, hubungan Adilah dan Reza semakin rapat. Mereka selalu pulang bersama. Hmm... bukan berdua, tetapi bertiga dengan Mila. Walaupun Mila mulut kadangkala berbisa dan mengeluarkan kata-kata yang menikam kalbu, namun sebenarnya dia seorang yang ramah dan baik. Tidak semena-mena Adilah juga jadi rapat dengan Mila.

Setiap kali Adilah mahu ke tandas, dia sengaja melalui kelas Reza biarpun ada jalan lain yang lebih dekat menuju ke tandas. Reza juga begitu. Sanggup berjalan jauh. Biasalah, mula-mula memang bersemangat. Mereka makan bersama pada waktu rehat. Err... juga bersama Mila.

Selepas waktu persekolahan, mereka belajar bersama-sama di perpustakaan. Hmm... juga bersama Mila.

Namun, hakikatnya, mereka lebih banyak leka melayan perasaan daripada belajar. Mujur Mila ada. Mila sering membuatkan mereka terpaksa fokus kepada pelajaran.

“Baik abang fokus belajar. Kalau tak, nanti saya beritahu emak, abang ke perpustakaan bukan nak belajar tetapi nak dating,” ugut Mila.

“Yalah, abang belajarlah ni.” Reza mendengus. Kacau daun sungguh adiknya itu.

“Dari tadi, tak siap satu pun latihan, belajar apanya!” bebel Mila lagi.

Pandangan Mila berubah kepada Adilah. “Kakak pun, sila belajar rajin-rajin ya. Adik-beradik kami pandai-pandai belaka. Saya sebenarnya dapat masuk sekolah asrama penuh, tapi saya tolak sebab tak nak duduk jauh dari keluarga. Kakak kenalah dapat keputusan baik juga. Barulah boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kami adik-beradik.” Tajam menikam jantung Adilah kata-kata jujur dan berbisa Mila. Adilah tersenyum sumbing. Mukanya terasa panas. Ya, dia tahu dia budak kelas tidak berapa pandai tetapi, tidak perlulah jujur sangat!

“Abaikan adik saya. Mulut dia memang tak ada insurans.”

Adilah tersenyum kelat menahan malu. “Tak apa, betullah apa dia kata.”

“Bagus! Berusaha!” sampuk Mila tanpa rasa bersalah.


*****

“Oh, rupa-rupanya awak pun minat pada Reza, ya!” usik Umaira.

Adilah cuma tersengih mendengar kata-kata Umaira.

“Kalau saya tahu, tentu saya beri nombor telefon rumah awak semasa dia minta dulu.”

“Tak mengapa, dia dah tahu pun nombor telefon rumah saya,” balas Adilah jujur.

“Tentulah awak dah bagi. Maklumlah…,” usik Umaira lagi dengan senyum lebar.

Adilah tersipu-sipu. “Janganlah cakap begitu, kami kawan sajalah.”

“Yalah, teman tapi mesra!”

Adilah cuma ketawa mendengar kata-kata Umaira. Ketawa bahagia! Gedik sangat!

Lebih membahagiakan Adilah, setiap pagi pasti ada nota pendek daripada Reza di tempat letak buku bawah mejanya. Walaupun sekadar, ‘assalamualaikum,good morning, ataupun hai, sudah cukup membuatnya tersenyum lebar.

“Saya sukakan awak.” Petang itu, Reza akhirnya berterus terang.

Hati Adilah berbunga riang. “Saya pun sukakan awak.”

“Saya pun suka kalau abang dan kakak fokus pada pelajaran,” sampuk Mila. Ya, Mila seperti biasa akan berada di mana-mana Adilah dan Reza berada.

“Ish, kalau sesekali tak menyampuk tak boleh ke?” tegur Reza.

Adilah buat tidak dengar. Sudah lali.

“Jadi, mulai hari ini, kita….”

“Rakan belajar! Kita berusaha untuk cemerlang dalam pelajaran,” sampuk Mila lagi.

Adilah pantas mengangguk. Kata-kata Mila sudah tidak didengarnya. Maklumlah sedang angau. Sebenarnya jauh di sudut hati, Adilah rasa kelakar. Dia tidak pernah terfikir yang pada satu ketika, dia akan mengalami semua ini. Kini, dia mula mengerti perasaan kawan-kawan yang asyik berteman tapi mesra. Rupa-rupanya perasaan ini sungguh menyeronokkan juga menakutkan.

Sampai bila perasaan ini akan bertahan? Ataupun adakah perasaan ini akan membinasakan? Hmm... buat masa ini, Adilah malas mahu fikir.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku