Budak Bambam Itu
Bab 20
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
276

Bacaan







Bab 19


Masa terus berlalu. Adilah sudah berusia 15 tahun. Di tingkatan tiga, dia berbasikal ke sekolah. Tidak, bukanlah Adilah rajin sangat hendak mengayuh basikal sebenarnya. Namun, ada sebab lain dia gigihkan diri berbasikal ke sekolah. Sebabnya, orang yang diminatinya pun berbasikal. Ya, seperti tidak percaya pula, tetapi Adilah minat pada seorang pelajar lelaki yang juga di tingkatan tiga. Budak lelaki itu berpindah ke sekolah Adilah semasa penghujung tingkatan dua.

Pukul 7.00 pagi. Itulah waktu Adilah sampai di sekolah. Awalnya! Apabila naik bas, dia hanya sampai pada pukul 7.15 pagi.

‘Tak mengapalah. Demi dia, aku sanggup korbankan masa tidur aku. Demi mencapai kejayaan, kita perlu melakukan pengorbanan! Inilah pengorbanan bagi merealisasikan cinta pertama aku!’ Itulah tekad Adilah.

Malangnya, sudah tiga minggu Adilah mengayuh basikal, mereka belum pun bertegur sapa. Setiap kali bertembung dengannya, Adilah pasti cepat-cepat buat tidak nampak. Bukannya Adilah sombong tetapi, dia gelabah. Jadi, bagi menutup rasa gugup, Adilah lebih rela berlagak sombong. Masalah betul! Bila agaknya impian mahu berkenalan dengan jejaka idaman hati akan tercapai kalau macam ini gayanya?

“Reza minta nombor telefon awak,” beritahu Umaira tiba-tiba pada satu hari.

Adilah buat muka selamba, tetapi dalam hati Tuhan sahaja yang tahu. Rasa mahu melompat ke langit kerana terlalu teruja. Makan nasi lemak sambal dan timun lebih pun rasanya tidak mampu melawan keterujaan ini.

“Reza? Reza yang mana?” tanya Adilah. Amboi, pura-pura tidak kenal pula.

“Reza budak 3 Bestari. Reza mana lagi?”

“Oh, dia. Kenapa dia minta nombor saya? Awak bagi?” Dalam hati, tidak putus-putus dia berdoa supaya Umaira memberikan jawapan yang positif yang akan membuka jalan kepada sebuah perhubungan. Ya, tidak tahu sejak bila, geletis semacam pula Adilah.

“Tak, saya tak bagi. Saya cakap pada dia, saya takut awak marah. Yalah, dulu awak pernah pesan jangan beri nombor telefon rumah awak pada budak lelaki. Nanti ayah awak marah,” beritahu Umaira.

Adilah tersenyum menahan rasa geram dan kecewa. Rasa teruja yang melangit tadi terus menjunam. Hancur berkecailah sebuah impian gedik Adilah. ‘Umaira, kenapalah awak lembab sangat? Awak tak perasankah yang kawan awak ini tergila-gilakan Reza? Kalau tak, tak mungkin saya gigih sangat berbasikal ke sekolah! Buat penat saja!’ Kata-kata itu hanya terluah dalam hatinya.

“Nasib baik awak tak beri.” Hanya itu yang mampu diluahkan dalam senyuman yang langsung tidak ikhlas.

“Saya dah agak, tentu awak cakap begitu.” Umaira tersengih. Gembira betul dia kerana merasakan sudah membuat keputusan paling bijak dan terbaik untuk kawannya itu.

‘Terlepas peluang aku! Menyampah betul!’

Petang itu, Adilah tidak terus pulang ke rumah. Dia melepak di kantin sekolah. Memikirkan cara terbaik supaya dapat berkenalan dengan Reza. Gigih betul Adilah. Kalaulah dia segigih ini untuk berjaya dalam pelajaran, alangkah bagusnya.

“Kami nak belajar bersama-sama. Awak nak sertaistudy group kami?” Umaira dan beberapa pelajar lain mempelawanya.

Adilah menggeleng. “Tak mengapalah. Lain kali saja. Saya nak balik awal hari ini.”

‘Macam mana nak belajar apabila dalam fikiran hanya terkenangkan Reza?’ rungut Adilah dalam hati.

Melampau betul Adilah. Ke mana menghilangnya tekad Adilah yang tidak mahu terlibat dalam cinta zaman sekolah? Bukankah dari sekolah rendah Adilah anti dengan perkataan cinta? Sejak bila Adilah berubah tekad?

Adilah melangkah ke tempat letak basikal dengan perasaan yang kecewa. “Kenapalah Umaira lurus sangat?” rungutnya sendirian.

“Hai, kenapa balik lambat hari ni?” suatu suara menyapanya.

Adilah mengangkat kepala sambil tersenyum memandang Fairus. “Tadi lepak di kantin. Malas nak bersesak-sesak. Tunggu lengang sedikit, baru balik.”

Baginya itu alasan yang terbaik. Memang pun! Waktu balik, pelajar-pelajar berebut-rebut mahu mengambil basikal mereka. Adilah tidak suka. Leceh! Sudahlah dia bukan ikhlas sangat mahu mengayuh basikal.

“Awak?” tanya Adilah pula.

“Saya tunggu kawan.”

“Oh.” Adilah membuka kunci basikal dan mula menyorong basikal.

Mereka tidak dibenarkan mengayuh basikal sehinggalah di pintu pagar, terutamanya semasa loceng pulang baru berbunyi. Bukan apa, guru-guru bimbang, mereka yang berbasikal berlanggar sesama sendiri ataupun terlanggar pelajar lain yang berjalan.

“Hai,” suatu suara menyapanya. Adilah sangka kawan Fairus yang menegur mereka. Apabila Adilah menoleh, dia jadi gugup.

‘Reza!’

Dengan pantas, Adilah menyorong basikal. Dia tidak menoleh lagi. Seperti selalu, Adilah selalu terlepas peluang kerana gugup apabila berhadapan dengan Reza.

Sampai di pintu pagar, Adilah mula mengayuh. Fikirannya masih pada Reza. Sapaannya tadi membuatkan hati Adilah berbunga, namun kurang lima saat hati yang berbunga itu pun layu. ‘Rugi. Rugi. Tentu Reza fikir aku sombong. Ish.‘

Sedang basikalnya laju menuruni bukit, Adilah ternampak satu benda bergerak, melompat-lompat. ‘Ya Allah, katak! Nak langgar ataupun elak?’ fikirnya.

Adilah segera menekan brek malangnya sudah terlewat. Dalam keadaan kelam-kabut hendak mengelak daripada melanggar katak, Adilah terbabas. Apa lagi, terjatuhlah dia macam nangka busuk. Sakitnya pinggang Adilah dihempap basikal!

“Awak tak apa-apa?” Reza muncul menolongnya. Reza mengangkat basikal Adilah.

Adilah pantas bangun dan menepuk-nepuk pakaiannya bagi membuang kotoran yang melekat. Sempat ditajamkan tudungnya. Dia cuba menghadiahkan senyuman paling comel yang mampu diberikan. Mukanya merah padam menahan malu bercampur sakit.

“Terima kasih,” ucap Adilah perlahan.

“Awak luka?”

Adilah menggeleng tetapi, lututnya terasa pedih, begitu juga dengan siku.

‘Tentu berdarah,’ rungut Adilah dalam hati.

“Awak boleh kayuh basikal lagi? Kalau tak boleh, tolak saja basikal. Saya temankan awak,” pelawa Reza.

Sebenarnya, tidaklah teruk sangat keadaan Adilah. Tidak ada masalah baginya mengayuh tetapi peluang begini susah hendak dapat.

“Lebih baik saya tolak saja basikal. Tak mengapalah, awak tak perlu temankan saya.” Itu cakap mulut, dalam hati, Adilah berharap sangat Reza menemankannya. Dapatlah mereka berkenalan dengan lebih rapat.

Reza menyorong basikal mendekati Adilah. “Kita tolak sama-sama.” Reza tersenyum.

“Alah, kena tolak? Lambatlah kita sampai rumah,” tiba-tiba kedengaran suara menyampuk.

Adilah tersentak lalu menoleh. Kelihatan seorang gadis bercekak pinggang di samping basikal berwarna merah jambu yang ditongkatkan. Mukanya masam. Dalam hati, Adilah tertanya-tanya sendiri. ‘Bila masa pula dia ada di situ? Kenapa aku tak sedar pun kewujudan dia?’

“Kalau nak cepat, kamu kayuhlah,” balas Reza yang kemudian memandang Adilah. “Awak abaikan saja adik saya.”

“Mana boleh. Saya kena teman juga. Mana boleh lelaki dan perempuan berdua-duaan,” bantah si adik yang memakai tag nama Mila.

“Kakak nampak macam okey saja, apa kata kita kayuh saja? Kami temankan kakak sampai rumah, okey?” Gigih betul Mila mahu membantutkan hasrat Adilah.

“Kakak sakit kaki,” balas Reza cuba membela.

“Dia okeylah, tak terhincut-hincut pun. Kain pun tak koyak, maksudnya tak luka teruklah tu.” Jujur betul adik Reza ini. Geram pula Adilah dibuatnya. Ish... punah-ranah impian Adilah yang baru hendak berbunga. Sangkanya tadi, dapatlah dia peluang beramah mesra dengan budak lelaki yang diminatinya dalam diam. Nampaknya, tidak kesampaian.

Kesudahannya, mereka mengayuh basikal bersama-sama. Tidak mengapalah. Walaupun tidak dapat peluang berbual panjang, dapat juga peluang mengayuh basikal bersama. Kesakitan akibat jatuh tadi terasa berbaloi.

Hari itu adalah hari yang paling bahagia dalam hidup Adilah! Err... sekurang-kurangnya, itulah yang dia fikirkan pada masa itu.



*****


Sejak hari itu, hubungan Adilah dan Reza semakin rapat. Mereka selalu pulang bersama. Hmm... bukan berdua, tetapi bertiga dengan Mila. Walaupun Mila mulut kadangkala berbisa dan mengeluarkan kata-kata yang menikam kalbu, namun sebenarnya dia seorang yang ramah dan baik. Tidak semena-mena Adilah juga jadi rapat dengan Mila.

Setiap kali Adilah mahu ke tandas, dia sengaja melalui kelas Reza biarpun ada jalan lain yang lebih dekat menuju ke tandas. Reza juga begitu. Sanggup berjalan jauh. Biasalah, mula-mula memang bersemangat. Mereka makan bersama pada waktu rehat. Err... juga bersama Mila.

Selepas waktu persekolahan, mereka belajar bersama-sama di perpustakaan. Hmm... juga bersama Mila.

Namun, hakikatnya, mereka lebih banyak leka melayan perasaan daripada belajar. Mujur Mila ada. Mila sering membuatkan mereka terpaksa fokus kepada pelajaran.

“Baik abang fokus belajar. Kalau tak, nanti saya beritahu emak, abang ke perpustakaan bukan nak belajar tetapi nak dating,” ugut Mila.

“Yalah, abang belajarlah ni.” Reza mendengus. Kacau daun sungguh adiknya itu.

“Dari tadi, tak siap satu pun latihan, belajar apanya!” bebel Mila lagi.

Pandangan Mila berubah kepada Adilah. “Kakak pun, sila belajar rajin-rajin ya. Adik-beradik kami pandai-pandai belaka. Saya sebenarnya dapat masuk sekolah asrama penuh, tapi saya tolak sebab tak nak duduk jauh dari keluarga. Kakak kenalah dapat keputusan baik juga. Barulah boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kami adik-beradik.” Tajam menikam jantung Adilah kata-kata jujur dan berbisa Mila. Adilah tersenyum sumbing. Mukanya terasa panas. Ya, dia tahu dia budak kelas tidak berapa pandai tetapi, tidak perlulah jujur sangat!

“Abaikan adik saya. Mulut dia memang tak ada insurans.”

Adilah tersenyum kelat menahan malu. “Tak apa, betullah apa dia kata.”

“Bagus! Berusaha!” sampuk Mila tanpa rasa bersalah.


*****

“Oh, rupa-rupanya awak pun minat pada Reza, ya!” usik Umaira.

Adilah cuma tersengih mendengar kata-kata Umaira.

“Kalau saya tahu, tentu saya beri nombor telefon rumah awak semasa dia minta dulu.”

“Tak mengapa, dia dah tahu pun nombor telefon rumah saya,” balas Adilah jujur.

“Tentulah awak dah bagi. Maklumlah…,” usik Umaira lagi dengan senyum lebar.

Adilah tersipu-sipu. “Janganlah cakap begitu, kami kawan sajalah.”

“Yalah, teman tapi mesra!”

Adilah cuma ketawa mendengar kata-kata Umaira. Ketawa bahagia! Gedik sangat!

Lebih membahagiakan Adilah, setiap pagi pasti ada nota pendek daripada Reza di tempat letak buku bawah mejanya. Walaupun sekadar, ‘assalamualaikum,good morning, ataupun hai, sudah cukup membuatnya tersenyum lebar.

“Saya sukakan awak.” Petang itu, Reza akhirnya berterus terang.

Hati Adilah berbunga riang. “Saya pun sukakan awak.”

“Saya pun suka kalau abang dan kakak fokus pada pelajaran,” sampuk Mila. Ya, Mila seperti biasa akan berada di mana-mana Adilah dan Reza berada.

“Ish, kalau sesekali tak menyampuk tak boleh ke?” tegur Reza.

Adilah buat tidak dengar. Sudah lali.

“Jadi, mulai hari ini, kita….”

“Rakan belajar! Kita berusaha untuk cemerlang dalam pelajaran,” sampuk Mila lagi.

Adilah pantas mengangguk. Kata-kata Mila sudah tidak didengarnya. Maklumlah sedang angau. Sebenarnya jauh di sudut hati, Adilah rasa kelakar. Dia tidak pernah terfikir yang pada satu ketika, dia akan mengalami semua ini. Kini, dia mula mengerti perasaan kawan-kawan yang asyik berteman tapi mesra. Rupa-rupanya perasaan ini sungguh menyeronokkan juga menakutkan.

Sampai bila perasaan ini akan bertahan? Ataupun adakah perasaan ini akan membinasakan? Hmm... buat masa ini, Adilah malas mahu fikir.



Bab 20


“Apa kata hari Sabtu kita keluar bersama?” ajak Reza.

“Pergi mana?” tanya Adilah.

“Jalan-jalan. Jangan risau, Mila tak ikut.” Reza tersenyum.

Adilah pantas menggeleng. “Tak naklah. Kalau papa tahu, tentu dia marah.”

Mila tidak ikut lagilah dia risau. Walaupun Mila selalu menuturkan kata-kata yang menjengkelkan, dan buat Adilah rasa hendak tampal mulut Mila dengansellotape namun Adilah rasa selamat dengan kehadiran Mila.

Mila selalu bertindak sebagai jam loceng yang mengejutkan dia daripada asyik melayan perasaan dan mengingatkan dia supaya tidak lupa tanggungjawab sebagai pelajar. Kadangkala Adilah rasa seperti Mila pelindungnya dan bukannya Reza.

Reza cuba memujuk, “Cakaplah awak nak pergi kedai buku.”

“Biasanya papa ataupun Mama Zai yang bawa saya pergi kedai buku.”

“Cakaplah awak nak pergi kedai buku dengan kawan.” Gigih betul Reza.

“Nanti tentu Mama Zai kata biar dia saja yang bawa saya dan kawan pergi kedai buku.”

Reza mengeluh. “Bosanlah, itu tak boleh, ini tak boleh. Lecehlah!”

“Setiap hari kita jumpa di sekolah, tak cukupkah?” Adilah mulai rimas. ‘Kalau ya pun bercinta, takkan mahu berkepit 24 jam!’ rungut hati kecil Adilah.

“Jumpa di sekolah lain, tak sama. Lagipun Mila ada, suka menyampuk.”

“Apa yang tak samanya? Apabila keluar, jalan-jalan, pergi minum. Di sekolah pun, kita minum sama-sama di kantin. Sama saja. Baguslah Mila ada. Kalau berdua saja, yang ketiga syaitan.”

Reza mendengus. “Saya nak juga rasa pergidating dengan awak.”

“Sekarang ini, bukankah kita sedangdating?”

Adilah rasa pelik.Dating macam mana lagi yang Reza mahukan? Sekarang, mereka duduk berdua, di gazebo, di dalam kawasan sekolah. Tiada orang lain pun yang ganggu mereka. Cuma mereka berdua. Mila ada, tetapi dia ke tandas sekejap. Jadi, dalam tempoh lima minit ataupun kurang, mereka bebas bercakap apa-apa sahaja. Mengenai pelajaran, mengenai perasaan. Kalau mahu bercakap soal masa depan pun tidak mengapa!

Masalahnya, mereka sama-sama tidak pernah sentuh soal masa depan. Mungkin kerana mereka sedar hubungan itu hanya cinta monyet. Memandangkan hubungan mereka samar-samar, tidak perlulah buang masadating bersungguh-sungguh!

Reza mendengus. “Jadi, kesimpulannya awak nak keluar dengan saya ataupun tak?”

“Tentulah tak nak!” Tanpa keraguan Adilah menuturkannya.

“Awak tak nak, sudah!” Reza terus bangkit meninggalkan Adilah.

Petang itu, buat pertama kalinya selepas sebulan mereka berkawan rapat, mereka tidak pulang bersama.

“Tergamak Reza tinggalkan aku!” rungut Adilah.

“Tak mengapa, saya ada,” Mila seperti selalu memang suka menyampuk. Dia pantas mengayuh beriringan dengan Adilah.

“Kakak bergaduh dengan abang fasal apa?” Mila cuba mengorek rahsia. Tadi, apabila dia pulang dari tandas, abangnya sudah tiada. Muka Adilah masam mencuka. Menyesal pula dia berlama di tandas untuk membetulkan tudung yang senget, terlepas peluang dia menonton adegan hero dan heroin bergaduh.

“Tak ada apa-apa,” balas Adilah ringkas.

“Okey, nanti saya tanya abang.” Kata-kata selamba Mila buat darah Adilah mendidih. Namun dia tidak lagi bersuara. Basikal dikayuh laju.

Mila yang ketinggalan di belakang menjerit, “Kakak marah saya ataupun abang?”

Semakin laju kayuhan Adilah. Malas hendak layan!


*****


‘Reza merajukkah?’

Esoknya, tiada nota pendek untuk Adilah. Memikirkan perkara itu, Adilah jadi geram. Menyampah pula! Lelaki pun hendak merajuk! Patutnya dia yang merajuk. Ini, tidak, Reza pula yang mengada-ngada. Malas dia hendak layan. Lantaklah. Jangan harap dia mahu pujuk.

Seminggu hubungan mereka dingin. Adilah sengaja tidak memujuk Reza. Biarkan. Kalau Reza mahu merajuk sampai tahun hadapan pun Adilah tidak kisah. Tidak teringin pun hendak pujuk!

‘Macam mana nak jadi pelindung yang baik kalau merajuk tak tentu pasal! Sepatutnya, dia melayan aku dengan lebih baik berbanding pelindung-pelindung aku sebelum ini. Sebabnya dia bukan saja jadi pelindung aku tetapi juga pakwe aku! Ini tidak. Teruk betul!’ Geram betul Adilah apabila memikirkannya.

“Sampai bila awak hendak senyap?” Akhirnya Reza mengalah, menegurnya. Petang itu, Reza menunggunya di tempat letak basikal. Seperti biasa, dia tidak keseorangan.

“Yalah, lama betul kakak senyap. Saya yang stres sebabmood abang tak baik.” Dan seperti biasa juga, ada suara yang akan menyampuk.

“Kakak sangka abang awak yang dah tak nak tegur kakak lagi.” Adilah bercakap kepada Mila. Sengaja buat tidak nampak Reza.

“Awak marah, ya?” tanya Reza.

“Bukankah abang Mila yang marah kakak?” Adilah menyindir Reza. Mila menahan tawa. Alahai, tidak semena-mena dia termasuk dalam adegan drama yang langsung tidak menarik ini. Klise sangat hero dan heroin merajuk sebab benda remeh.

“Janganlah marah. Saya minta maaf.” Reza membuat mimik muka meminta simpati.

Adilah menjeling Reza. “Saya tak suka awak merajuk tak tentu fasal. Rimas.” Adilah berterus terang. Yalah, tidak kuasa dia hendak memujuk. Banyak lagi perkara lain yang lebih berfaedah yang boleh dilakukan.

Reza tersengih. “Okey, saya janji tak akan merajuk lagi.”

“Baguslah, kalau dah tak merajuk dan bergaduh. Saya pun rimas melihat gelagat abang dan kakak. Tolonglah, saya dah cakap banyak kali, sila fokus kepada pelajaran. Tak perlulah nak merajuk-merajuk macam ni, buang masa dan tenaga saja.” Mila memang tidak mampu lagi berlagak seperti tunggu kayu. Lemas betul dia melihat gelagat mereka.

Reza dan Adilah buat tidak dengar sahaja bebelan Mila. Nampak sangat Mila yang baru di tingkatan satu lebih matang berbanding mereka.

“Okey, dah selesai, mari kita balik,” Mila bersuara lagi.

Adilah sebenarnya rasa hendak marah lagi tetapi mengenangkan rindu seminggu tidak bertegur, dia tersenyum mengalah. Yalah, kata berteman tapi mesra, seminggu seperti orang asing, siapa mampu tahan! Lagipun, kalau dia terus merajuk lagi, harus Mila akan berterusan membebel menegurnya. Yang itu, telinga dia memang tidak boleh tahan!


*****

“Ada apa awak hendak jumpa saya?” tanya Adilah kasar.

“Kenapa awak macam tak suka jumpa saya?”

“Memang pun saya tak suka jumpa awak. Saya tak suka berkawan dengan awak!” Memang Adilah geram dan rasa meluat sangat. Entah mengapa perasaan benci membuak-buak apabila melihat Reza.

“Apa masalah awak sebenarnya? Awak dah bosan berkawan dengan saya, ya?” Suara Reza meninggi.

“Kalau awak nak merokok, terpulang. Tetapi, kalau awak pilih rokok, saya tak berminat nak berkawan dengan awak lagi!”

“Rokok?” Reza dan Mila bertanya serentak.

“Ya, rokok. Jangan nak berdalih. Saya jumpa rokok di dalam beg awak minggu lepas.”

“Oh, rokok tu. Sebab itu awak terus balik tanpa tunggu kami?” Waktu itu Reza dan Mila beli makanan. Adilah pula duduk menunggu mereka.

“Eh, kakak selongkar beg abang? Ish... ish....” Mila menggeleng.

Adilah berpaling ke arah Mila lalu dengan pantas membela diri, “Taklah. Kakak bukan selongkar, kakak nak pinjam kalkulator, sebab tu buka beg Reza.” Pandangannya beralih kepada Reza, “Saya tak sangka awak merokok. Memang Tuhan nak tunjuk pada saya.”

Reza tersenyum sinis. “Jadi, isu rokoklah yang buat awak marah sangat dengan saya?”

“Ya!”

“Apa salahnya kalau saya merokok?” tanya Reza bersahaja.

Adilah rasa hendak ketuk kepala Reza. Adakah patut dia tanya soalan itu!

“Banyak salahnya! Pertama, awak pelajar. Pelajar tak dibenarkan merokok apatah lagi di dalam kawasan sekolah. Kedua, merokok membahayakan kesihatan awak. Ketiga, awak tak bekerja, jadi awak menyalahgunakan duit belanja sekolah yang ibu bapa awak beri. Keempat, awak membahayakan nyawa orang di sekeliling awak setiap kali awak menghembus asap rokok. Kelima dan paling penting, sudah keluar fatwa merokok itu haram. Mustahil awak tak tahu! Awak tak perlukan sebab lain kalau sudah kata merokok haram.”

“Panjang lebar syarahan awak untuk saya ya. Hmm... masalahnya, awak pun bukannya baik sangat. Awak ingat saya tak tahu dulu semasa tingkatan dua, awak selalu ponteng sekolah. Tak tahulah awak pergi mana dan buat apa. Tak payahlah nak berlagak baik sangat,” sindir Reza.

Reza tersenyum sinis dan kemudian menyambung, “Entah-entah awak jadi bohsia!”

Tergamak Reza tuduh Adilah begitu. Adilah rasa hendak tumbuk muka Reza waktu itu juga.

“Abang, janganlah melampau sangat. Tak baik tuduh kakak macam tu. Saya tak rasa kakak seliar itu.” Seperti biasa Mila mesti mahu menyelit.

“Mila, kamu jangan masuk campur urusan orang dewasa,” Reza menegur adiknya.

“Dewasalah sangat. Beza umur kita bukan berpuluh tahun ya. Dua tahun saja. Sudahlah. Rimas betul saya. Abang dan kakak, kalau dah tak suka, tak payah berkawan. Lagi senang, saya tak perlulah jadi peneman. Bolehlah saya fokus kepada hidup saya. Ini tak, asyik nak kena awasi abang dan kakak supaya tak tersasar daripada landasan. Penat tau jadibodyguard tak bergaji. Sudah-sudahlah ya, lebih baik kita fokus belajar.” Panjang lebar nasihat Mila yang nampak sangat lebih pandai berfikir daripada Adilah dan Reza.

Adilah menghela nafas panjang. Dia memandang Reza. Inikah budak lelaki yang dia sampai gila angau? Kenapa sekarang perasaan itu tiba-tiba hilang? Inikah yang dikatakan cinta monyet ataupun hanya crushyang bersifat sementara?

Adilah baru sahaja mahu melangkah ke arah pintu apabila guru disiplin, Cikgu Amar menyinga memandang mereka.

“Baru tingkatan tiga dah menggatal? Ikut saya ke bilik pengetua.” Keras suara Cikgu Amar.

“Tapi cikgu, kami bukan berdua. Kami bertiga,” bantah Adilah.

“Memanglah bertiga. Yang ketiga jadi tukangcoverline. Apa nak jadi budak-budak zaman sekarang. Tak tahulah nak kata apa.”

‘Masalah betul! Kenapalah aku bodoh sangat setuju hendak berjumpa Reza di dalam kelasnya? Kalau aku di tempat Cikgu Amar pun, aku syak yang bukan-bukan!’ rungut Adilah dalam hati.

Terpaksalah mereka bertiga berjalan di belakang Cikgu Amar dengan wajah pesalah yang tertangkap.

“Ini semua salah awak,” separuh berbisik Adilah memarahi Reza.

Reza menjawab dengan bersahaja, “Siapa suruh awak datang? Bukannya saya paksa awak pun!”

“Ini semua salah abang dan kakak. Tak fasal-fasal saya terbabit. Rosaklah reputasi saya sebagai pelajar cemerlang, baik, dan naif.”

Okey, pelajar cemerlang dan baik memang Adilah akui, tetapi... err... naif? Hmm... Adilah tidak pasti bahagian mana yang naif dalam diri Mila.

“Sudah, jangan bising. Kamu bertiga tunggu di sini. Saya mahu masuk jumpa pengetua,” beritahu Cikgu Amar.

Adilah mengeluh panjang. Aduhai, masalah lain pula menjelma.


*****


Menunggu di kaki lima pejabat sekolah, Adilah berpeluh, rasa hendak terkucil, rasa hendak menangis. Pendek kata macam-macam rasa. Dia lihat Reza juga gelisah cuma sengaja berpura-pura selamba. Biasalah, berlagak macam tidak ada apa-apa, sedangkan menggigil kepala lutut. Mila pula asyik tutup muka dengan buku. Bimbang betul dengan reputasinya. Kasihan Mila, tidak semena-mena terperangkap sama.

Pelajar yang lalu-lalang tersengih-sengih memandang mereka. Adilah sangat yakin, esok pagi cerita mereka tentu gempar satu sekolah. Yalah, muncul di pejabat dengan guru disiplin, tentulah ada kes. Lelaki dan perempuan, kes apa lagi? Tentulah menggatal! Lemah kepala lutut Adilah memikirkannya.

“Kamu bernasib baik kerana pengetua tidak ada. Beliau sudah balik.”

‘Selamat!’ Mereka bertiga melepaskan nafas lega.

“Mari ikut saya ke bilik pengawas,” arah Cikgu Amar.

Mereka menurut sahaja perintah Cikgu Amar.

“Apa yang kamu buat berdua-duaan di dalam kelas?”

“Kami cuma bercakap. Kami bukan berdua, kami bertiga,” Adilah menjawab perlahan, sambil membetulkan tuduhan Cikgu Amar.

“Dah tak ada tempat lainkah di dalam kawasan sekolah ini? Tak boleh bercakap di kantin? Di padang? Di gazebo? Di taman mini? Di tempat yang ada ramai orang lalu-lalang. Kenapa tempat tertutup yang sunyi juga yang kamu pilih?” Cikgu Amar melepaskan berdas-das tembakan.

Adilah terus tunduk. Tidak tahu bagaimana mahu menjawab.

“Saya akan hubungi ibu bapa kamu.”

“Cikgu, tolong jangan buat begitu. Habislah saya,” cepat sahaja Adilah merayu. Biarlah dia malu di hadapan Reza dan Mila, tetapi dia tidak sanggup papa tahu perkara ini.

“Tahu takut. Masa buat tak ingat pula! Tak takut pula!” sindir Cikgu Amar.

Adilah menggigit bibir. Dia geram dengan tuduhan itu sebab mereka memang tidak buat apa-apa! Lainlah kalau dia memang menggatal dengan Reza, hendak kutuk macam mana pun dia terima. Masalahnya, dia tidak buat! Dia rasa menyampah pula dengan Cikgu Amar.

“Cikgu, tolong beri kami peluang. Lagipun, Adilah dan adik saya tak salah. Saya yang ajak Adilah berjumpa di kelas saya. Mereka ada ajak saya ke kantin tetapi saya yang tak mahu. Kalau cikgu nak hukum, hukumlah saya seorang. Tolong lepaskan Adilah dan Mila,” Reza tiba-tiba bersuara.

Adilah tersentak. Tidak menduga Reza sanggup menyelamatkannya. Sebagai abang, tentu Reza akan menyelamatkan Mila, tetapi dia? Bukankah mereka baru bertengkar?

Cikgu Amar membisu seketika. “Kamu bernasib baik sebab pengetua tak ada. Beginilah, ini amaran saya yang pertama dan terakhir. Kalau saya tangkap kamu berdua-duaan lagi, saya akan ambil tindakan. Kamu mungkin digantung sekolah.”

“Tapi kami bertiga,” Mila menyampuk. Tidak puas hati.

Cikgu Amar merenung tajam Mila. “Saya anggap kamu rakan subahat. Mereka sebenarnya nak berdua-duaan tetapi takut kena tangkap, sebab itu ajak kamu.” Cikgu Amar kemudian ketawa. “Kamu ingat saya akan terpedaya? Tak mungkin! Saya guru yang hebat dan cekap. Setakat taktik murahan begini, kamu tak mungkin dapat tipu saya!” Cikgu Amar membetulkan cermin matanya dengan lagak macam orang baru memang pertandingan silang kata.

“Tapi mereka tak ajak saya. Saya yang nak....” Reza pantas menekup mulut Mila. Meronta-ronta Mila dibuatnya kerana terperanjat dan tidak puas hati.

“Cikgu, abaikan saja adik saya. Terima kasih ya.” Reza segera menarik Mila keluar. Adilah pula terus menutup pintu sebaik sahaja mereka berada di kaki lima.

“Kenapa abang halang saya? Saya tak puas hati betul kena tuduh macam tu,” bentak Mila.

“Lagi lama kita di dalam, lagi bahaya. Macam mana kalau Cikgu Amar ubah fikiran?”

Mila mendengus. “Tengok, sebab abang dan kakak, saya dituduh rakan subahat. Argh, bencinya! Hancur reputasi saya sebagai pelajar cemerlang, baik, dan naif!”

‘Naif lagi?’ Adilah hanya mampu menghela nafas panjang. Yang pasti, dia bersyukur papa tidak dipanggil. Kalau tidak, dia tidak dapat bayangkan apa akan jadi pada dirinya.

“Saya minta maaf,” kata Reza kepada Adilah. Diabaikan sahaja adiknya yang sibuk benar dengan isu reputasi.

Adilah mengangguk. “Jangan merokok lagi. Merokok itu hukumnya haram,” Adilah mengingatkan Reza.

“Ish, kakak ni tak habis lagi fasal rokok? Siapa kata abang merokok? Abang tak merokoklah. Kakak yang salah faham,” sampuk Mila.

“Tapi...” Adilah memandang Reza. “Awak tak merokok?”

Reza tersenyum sinis. “Apa perasaan awak bila saya tuduh awak jadi bohsia?”

“Marahlah! Saya rasa nak tumbuk muka awak.” Nada suara Adilah kembali tinggi.

Reza ketawa. “Saya pun marah tapi taklah sampai nak tumbuk muka awak. Lelaki sejati takkan pukul perempuan. Saya bukan lelaki zalim.”

Adilah mencebik.

Reza menyambung, “Rokok yang awak jumpa di dalam beg saya tu bukan saya punya. Ada budak masukkan. Saya pun tak tahu siapa yang masukkan dan bila rokok itu diletakkan di dalam beg saya. Mungkin nak elakspot check. Saya tak perasan pun. Bila balik rumah baru saya sedar. Terus saya buang.”

Adilah memandang Reza dengan mimik muka antara hendak percaya ataupun tidak.

“Terpulanglah awak nak percaya ataupun tak. Walau apa pun, terima kasih kerana memberi nasihat yang panjang lebar. Saya akan ingat nasihat awak.”

Muka Adilah tiba-tiba terasa panas. Beria-ia dia membebel macam bagus tadi, rupa-rupanya dia yang tuduh tanpa usul periksa. Alahai. Jadi, sia-sialah kemarahan dia?

“Kesimpulannya, abang dan kakak jadi putus ataupun tak?”

“Mila!” Adilah dan Reza bersuara hampir serentak. Akhirnya, mereka sama-sama ketawa.

“Kawan?” tanya Reza.

Adilah tersenyum lalu mengangguk. “Sampai bila-bila.” Itulah keputusan yang mereka sama-sama ambil. Akhirnya mereka menjadi ‘hanya kawan’.

“Hore!” Mila bersorak. Amboi, dia pula terlebih gembira dengan perpisahan itu. Perpisahanlah sangat!

Memang dari awal Adilah sudah menjangkakan, cinta monyet tidak mungkin bertahan lama. Lagipun, bukankah persahabatan lebih menyeronokkan? Tidak perlu rasa cemburu. Tidak perlu rasa marah. Antara kawan, tidak perlu minta maaf kerana kawan tidak akan melakukan perkara yang memerlukannya meminta maaf.

Tiba-tiba Adilah rasa lega dan bebas. Bebas daripada sakit angau yang... hmm... meletihkan dan membuang masa. Fahamlah Adilah. Bukan sekarang waktunya. Masanya akan tiba kelak, apabila Adilah sudah bersedia....



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku