Budak Bambam Itu
Bab 21
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
283

Bacaan







Sejak peristiwa itu, Adilah bertekad mahu belajar bersungguh-sungguh. Dia mahu jadi budak pandai! Adilah mahu semua yang memandang rendah padanya terperanjat besar apabila keputusan PMR diumumkan kelak.

“Pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru adalah Adilah Arifin!”

Apabila namanya diumumkan semasa perhimpunan, tentu mereka semua terlopong.

“Adilah Arifin? Betulkah? Ataupun pengetua salah umum?”

“Tahniah! Maafkan saya sebab kutuk awak selama ini.”

“Wah, pandailah awak. Saya, satu A pun tak ada. Awak dapat 8A. Malu saya!”

“Apakah rahsia kejayaan Cik Adilah Arifin?”

Adilah tersenyum sendirian mengenang keadaan pada masa itu kelak. Tentu seronok.

Dia berharap Mila pun akan terkejut sama. Maklumlah, Mila selalu sindir-sindir dia.

“Kakak, tak sangka betul kakak pandai macam saya. Tahniah. Selepas ini, dapatlah kakak berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan saya.” Ya, tidak syak lagi. Pasti Mila akan berkata begitu.

Pada masa itu, dia jadi popular. Bukan sebagai pelajar bodoh yang terhegeh-hegeh pada Iqbal tetapi pelajar cemerlang. Bukan juga sebagai kaki ponteng sekolah yang liar. Bukan juga pelajar gatal yang ditangkap dengan pelajar lelaki. Sebaliknya, sebagai pelajar cemerlang. Pelajar paling cemerlang!

“Adilah Arifin!”

“Saya, cikgu!” Adilah tersentak. Alamak….

“Tak bolehkah sehari dalam hidup kamu, kamu tak berkhayal? Peperiksaan tinggal empat bulan sahaja lagi. Apa hendak jadi dengan kamu ini?”

Adilah tertunduk merenung meja. Sudah tingkatan tiga. Setiap tahun, malah saban waktu, dia ditegur kerana tidak menumpukan perhatian di dalam kelas. Mukanya sudah seperti muka tembok! Sudah tidak tahu hendak kata tebal berapa inci setiap kali ditegur. Hmm... nampaknya, mahu tidak mahu, kali ini dia perlu berubah. Betul-betul berubah!

Langkah pertama yang diambil adalah melangkah masuk ke bilik yang paling ditakuti oleh hampir semua pelajar, bilik kaunseling. Hanya ada dua tanggapan yang diberikan kepada pelajar yang melangkah masuk ke dalam bilik ini. Pertama, pelajar itu mahu menyertai program pembimbing rakan sebaya. Kedua, pelajar itu bermasalah dan memerlukan bimbingan.

Adilah tahu, hendak dilabelkan berada dalam kategori pertama terasa sangat janggal. Dikatakan antara pelajar tercorot, tentunya dia tidak layak menjadi pembimbing! Jadi bagi mereka yang ternampak langkah kakinya, tentu mereka meletakkannya dalam kategori kedua. Biarlah! Adilah tidak mahu peduli.

“Ada apa-apa yang dapat saya bantu?” Cikgu Mazlin tersenyum memandang Adilah.

“Saya nak jadi pelajar cemerlang. Saya nak dapat 8A dalam PMR nanti. Cikgu boleh bantu saya?” Adilah bercakap dengan bersungguh-sungguh.

Cikgu Mazlin masih tersenyum. “Ada tiga pertolongan yang kamu perlukan.”

“Apa dia?” tanya Adilah.

“Pertama daripada diri kamu sendiri. Usaha kamu. Kedua, daripada guru-guru dan yang ketiga yang paling penting sebenarnya, daripada Tuhan.”

Adilah tersentak namun terus tersenyum. Dia faham maksud Cikgu Mazlin.

Sejak hari itu, Adilah kerap bertemu Cikgu Mazlin. Guru yang banyak memberi dorongan dan semangat.

Selain itu, Cikgu Mazlin juga mengajarnya cara-cara mendisiplinkan diri termasuklah membuat jadual waktu harian dan paling penting, mematuhi jadual waktu itu. Masa dia berangan-angan kian berkurang tetapi dia tidak kisah. Buat apa duduk termenung, mengharapkan sesuatu tanpa berusaha? Itu kerja yang sia-sia namanya.

Wah, macam bagus pula Adilah sekarang. Padahal termenung adalah hobinya. Tidak mengapalah, buat masa sekarang, dia tangguhkan dahulu aktiviti kesukaannya itu.

“Saya dengar daripada guru kelas kamu, prestasi pelajaran kamu semakin baik,” kata Cikgu Mazlin suatu hari.

“Terima kasih. Cikgu yang banyak menyedarkan saya.” Benar, Adilah terhutang budi dengan guru itu.

“Bagaimana keadaan di rumah? Sudah buat apa yang saya cadangkan?” tanya Cikgu Mazlin.

Adilah tersenyum tawar lalu menggeleng.

“Kenapa?”

“Saya tak berani. Tiba-tiba rasa malu.”

“Tak salah sesekali merendahkan diri. Lagipun, memang patut pun kamu yang beralah,” pujuk Cikgu Mazlin.

“Baiklah, saya cuba.” Adilah memasang azam.


*****

Malam itu, Adilah akhirnya memberanikan diri melakukannya.

“Papa, Mama Zai, saya ada perkara nak cakap.” Selepas makan malam, dia meluahkan hasratnya.

“Ada apa?” Encik Arifin terus menutup televisyen.

Adilah melutut di hadapan papanya. Tangan papa disalam dan dikucup. Kemudian Adilah beralih mendekati Mama Zai, tangannya juga disalam dan dikucup. Kedua-dua mereka kelihatan terkejut. Adilah dapat melihat mata papa bergenang air mata. Mungkin menahan sebak.

“Saya minta maaf kerana selama ini banyak menyusahkan papa dan Mama Zai. Saya tahu, saya bukanlah anak yang baik. Saya selalu sakitkan hati papa dan Mama Zai. Saya berjanji selepas ini saya tak akan buat perangai lagi.”

Encik Arifin mengusap kepala Adilah. “Papa sayang kamu dunia akhirat. Papa minta maaf kalau kamu rasa papa bukan ayah yang baik kepada kamu.”

Pantas Adilah menggeleng. “Papa baik. Papa ayah yang baik. Cuma saya yang suka memberontak. Maafkan saya.”

Adilah memandang Mama Zai. “Terima kasih kerana selama ini Mama Zai sabar melayan kerenah saya. Walaupun Mama Zai bukan ibu kandung saya tetapi Mama Zai jalankan tanggungjawab lebih daripada sepatutnya. Terima kasih.” Panjang lebar Adilah meluahkan isi hatinya.

Adilah lihat Mama Zai menangis sebelum memeluknya erat. Sambil mengusap kepalanya Mama Zai bersuara, “Tak mengapa, Mama Zai pun minta maaf kalau ada apa-apa tindakan Mama Zai yang buat kamu bersedih. Mama sayang kamu. Kamu anak mama.”

Adilah juga menangis. Malam itu, suasana di dalam rumahnya agak pilu. Namun dia tahu, ini adalah permulaan. Permulaan kepada suatu kebahagiaan, dengan izin Tuhan.

‘Mama, saya minta maaf kerana hati saya mengkhianati mama. Saya sudah pun menerima Mama Zai sebagai pengganti mama. Mama, saya tak benci mama, cuma rindu kepada mama kian pudar. Mungkin juga saya dah berhenti berharap. Entahlah....’

‘Mama, saya tak pasti adakah saya akan mencari mama apabila besar kelak. Namun, saya akan tetap mendoakan mama. Kalau mama tergerak hati untuk pulang bertemu saya, saya tetap akan memeluk mama.’

‘Mama tetap angel dalam hati saya.’



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku