Budak Bambam Itu
Bab 22
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
358

Bacaan







Adilah duduk bersila di atas katil. Termenung. Helaian surat yang diterima petang tadi bersepah di atas katil. Sepatutnya gembira dengan kehadiran surat itu. Entah mengapa perasaan keliru dan takut dalam hatinya mengatasi perasaan gembiranya.

“Boleh mama masuk?” Sapaan Mama Zai mengejutkannya.

Adilah menoleh memandang Mama Zai yang berdiri di muka pintu. “Masuklah.”

Mama Zai duduk di sebelahnya. “Kenapa kamu termenung? Kamu tak gembira?” tanya Mama Zai.

Adilah melepaskan keluhan panjang. “Saya bimbang. Saya bukannya budak pandai.”

Mama Zai tersenyum. “Kalau tak pandai, tak mungkin kamu dapat 8A? Apa kata kamu belajar untuk percaya kepada diri sendiri.”

“Mungkin saya bernasib baik kali ini.” Benar, dia tidak yakin, mungkin kebetulan. Mungkin juga pemeriksa salah beri markah! Mungkin juga kesalahan komputer! Entahlah... yang pasti dia pun terkejut dengan keputusan PMR yang diperolehnya.

Mama Zai menggeleng. “Bukan nasib tetapi usaha. Bukankah Allah sudah berjanji, hanya manusia yang dapat mengubah nasib diri sendiri?”

Adilah terdiam. Ada benarnya kata-kata Mama Zai. Tiada apa-apa yang mustahil selagi kita berusaha. Benarkah begitu?

“Kamu dah buat keputusan?” tanya Mama Zai lagi.

“Bagaimana kalau di asrama nanti, saya tak dapat sesuaikan diri? Bagaimana kalau pelajaran saya merosot? Bagaimana kalau saya yang paling bodoh?” Bertubi-tubi soalan diutarakan. Soalan-soalan ini yang menyesakkan nafasnya, yang memeningkan kepalanya, yang membuatnya rasa hendak muntah.

Mama Zai terus tersenyum mendengar soalan-soalannya.

Hakikatnya, memang Adilah takut. Belajar di sekolah berasrama penuh adalah sesuatu yang membanggakan tetapi juga menakutkan. Tawaran belajar di Sekolah Menengah Sains Selangor yang diterima tengah hari tadi memang berita baik. Dia sepatutnya gembira tetapi sebaliknya dia jadi runsing. Banyak perkara yang bermain dalam fikirannya.

“Cuba dulu. Kalau kamu tak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sana, tak mengapalah. Sekurang-kurangnya kamu dah cuba dan tahu jawapannya. Sebaliknya, kalau kamu takut mencuba, sampai bila-bila pun kamu tak dapat jawapannya.”

Adilah mengeluh. Entahlah, sekali lagi dia merasakan kata-kata Mama Zai ada betulnya tetapi, dia masih ragu-ragu.

“Semua ini perkara baru. Sesiapa pun di tempat kamu tentu rasa bimbang. Asalkan kamu berusaha dan sentiasa berfikiran positif, insya Allah, tiada apa-apa yang sukar ditempuh.” Mama Zai terus memberi kata-kata perangsang.

Adilah mengangguk lemah. Benar, dia perlu beri peluang kepada diri sendiri. Mungkin dia bukan pelajar yang sentiasa cemerlang seperti kebanyakan pelajar lain yang belajar di sekolah berasrama penuh tetapi tiada salahnya mencuba.

Lagipun siapa kata sekolah asrama penuh hanya untuk pelajar yang sentiasa cemerlang? Nama pun pelajar, tentu ada pasang surutnya! Ada masa dapat nombor satu tetapi tidak mustahil pada masa lain dapat nombor tercorot!

“Baiklah, saya cuba. Lagipun, mungkin di sana saya berubah menjadi lebih rajin. Ini peluang saya belajar berdikari.” Adilah tersenyum lalu memeluk Mama Zai.

Kalau ditanya tujuh tahun lalu, apabila terpaksa berjauhan dengan Mama Zai, adakah dia akan merindui Mama Zai, tanpa perlu berfikir, jawapannya adalah tidak sama sekali! Adilah sangat pasti dengan jawapan itu. Namun sekarang, jawapannya adalah sebaliknya. Ya, dia akan merindui Mama Zai. Juga papa dan Adibah.

Encik Arifin ternyata orang yang paling gembira menerima berita itu. Malah mungkin kegembiraannya melebihi Adilah. Mungkin kerana Adilah adalah anak yang sering menyusahkan. Mungkin kerana itu berita ini jauh lebih bermakna buat diri papanya.

Siapa sangka dia mampu dapat 8A? Adilah sendiri pun susah hendak percaya! Sampai sekarang terasa di awang-awangan.

“Papa bangga dengan kamu,” ucap Encik Arifin sambil memeluk Adilah.

Adilah jadi sebak. Itulah kali pertama papa berkata begitu. Papa bangga dengannya! Bagi Adilah, kata-kata Encik Arifin itu jauh lebih bermakna daripada semua ucapan tahniah yang diterimanya.

“Ini hadiah untuk kamu.” Encik Arifin menghulurkan sehelai kertas yang berlipat.

Adilah jadi hairan.

“Ambillah.”

Adilah memandang Encik Arifin, keliru.

Namun, Adilah mengambil kertas yang dihulurkan oleh papanya. Dia buka lipatan kertas itu. Tertera satu alamat lengkap dengan nombor telefon. Alamat itu alamat sebuah rumah di Selangor.

Adilah mendongak, mencari wajah papanya.

“Alamat siapa ni?” tanya Adilah keliru.

“Mama sudah pulang ke Malaysia. Sekarang dia bersama keluarga barunya tinggal di sana. Kalau kamu nak pergi jumpa mama, papa boleh bawakan.”

Adilah benar-benar kelu. Terkejut mendengar kata-kata papanya itu.

“Selama ini, bukan papa tak nak bawa kamu berjumpa mama tetapi mama tak ada di sini. Mama kamu ke UK bersama suami barunya. Baru dua bulan lepas dia balik. Itu pun papa tahu melalui kawan mama.”

Adilah terus membatu. Mama, orang yang paling dirindui Adilah. Mama, orang yang paling dia mahu temui. ‘Mama, pelindungku,’ keluh hatinya.

“Biarlah dulu. Kalau mama ingat pada saya, mama tahu di mana nak cari saya.” Perlahan dan mendatar suara Adilah.

“Kamu pasti?” Encik Arifin nyata terkejut mendengar kata-kata Adilah. Bukankah selama ini Adilah yang sibuk mendesak, mahu bertemu mama? Sekarang, lain pula ceritanya.

Adilah mengangguk dan kemudian tersenyum tawar. “Buat masa sekarang, saya belum bersedia.”

Encik Arifin memeluknya erat. Adilah menangis dalam pelukan papanya. Perlahan dan semakin kuat. Semakin kuat tangisan Adilah, semakin erat pelukan Encik Arifin.

Akhirnya Adilah membuat keputusan. Bukannya dia tidak sayang. Bukannya dia tidak rindu. Namun, entah mengapa hatinya berat mahu mencari mama. Adilah berharap Puan Kartina yang mencari dia. Biarlah dahulu. Suatu hari nanti, apabila dia sudah tidak mampu menanggung rindu dalam hati, dia akan cari mama. Itulah tekadnya.

‘Mama, saya harap suatu hari nanti, kita akan bertemu lagi.’


*****


Impian mahu mendengar namanya diumumkan di perhimpunan akhirnya menjadi kenyataan. Dia dan 14 orang pelajar lain yang mendapat 8A diberi penghormatan berdiri di atas astana di hadapan seluruh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru. Mereka dihadiahkan tepukan gemuruh.

Adilah tersenyum bangga. Dia pasti Cikgu Mazlin turut berkongsi kegembiraan dengannya. Hanya Cikgu Mazlin yang benar-benar tahu isi hatinya. Cikgu Mazlin, dialah pelindung Adilah selepas Adilah dan Reza bersetuju menjadi ‘hanya kawan’.

Sesuatu yang aneh, buat pertama kalinya, Adilah yang akan meninggalkan pelindungnya. Bukan seperti selalu, mereka yang meninggalkannya. Hari terakhir di sekolah, Adilah memeluk erat Cikgu Mazlin.

“Terima kasih. Budi baik cikgu, hanya Tuhan yang dapat membalasnya.”

“Belajar rajin-rajin, jadi orang berguna pada agama, bangsa, dan negara. Itu sudah cukup sebagai balasan,” pesan Cikgu Mazlin.

Sesuatu yang tidak diduga, Adilah tiba-tiba menangis. Tiba-tiba hatinya berat mahu meninggalkan sekolah ini. Tiga tahun di sini, banyak kenangan pahit manis yang dilaluinya di sini.

“Tahniah.” Ida menghulurkan tangan.

“Terima kasih, tahniah untuk awak juga.” Adilah tersenyum mesra. Mereka berpelukan erat.

Rakan-rakan sekelas yang lain juga mengucapkan tahniah kepadanya. Adilah tersenyum gembira. Akhirnya, tercapai hasratnya mahu membuktikan kepada mereka semua yang dia juga mampu mendapat keputusan cemerlang.

“Tak sangka kamu berjaya dapat 8A. Prestasi kamu selama ini menakutkan saya. Saya bangga dengan kamu,” luah Puan Lim, guru matematiknya.

Adilah tersenyum mendengar pengakuan jujur gurunya itu. Adilah tahu bukan Puan Lim seorang sahaja yang terkejut. Ramai lagi yang terkejut, termasuklah dirinya sendiri!


****

“Tahniah. Jangan lupakan saya,” ucap Reza.

“Awak cinta pertama saya. Biarpun cinta monyet, awak tetap cinta pertama saya. Saya tak mungkin lupakan awak.” Adilah meluahkan dalam gurauan.

Reza ketawa kecil mendengar jawapan Adilah. “Kalau tak keberatan, apa kata hari ini kita seperti dulu?”

Adilah mengangguk. Rasanya dia faham maksud Reza.

Petang itu, mereka beriringan menyorong basikal. Sengaja mereka tidak mengayuh, mereka mahu berbual lebih lama.

“Awak juga akan bertukar sekolah?” tanya Adilah.

Reza mengangguk. “Saya akan bertukar ke sekolah teknik.”

“Nak jadi arkitek, ya?” teka Adilah.

Reza ketawa. “Kalau saya mampulah.”

“Awak pasti berjaya,” Adilah memberi galakan.

“Awak pula? Masuk sekolah sains, nak jadi doktor, ya?”

Adilah sekadar ketawa. “Doktor? Tidak rasanya. Saya nak jadi....” Adilah gagal meneruskan kata-kata.

Entahlah. Dia pun tidak pasti. Baru dia sedar selama ini dia tidak mempunyai cita-cita. Kalau dahulu semasa di sekolah rendah, apabila guru bertanya, dia akan jawab guru, peguam, dan pelukis.

Ya, pelukis seperti mama. Masalahnya, dia tidak mewarisi bakat mama.

‘Jadi, apa cita-cita aku? Nampaknya, aku perlu menetapkan cita-cita hidupku. Seperti kata Cikgu Mazlin, kalau hendak berjaya, kita perlu ada matlamat. Matlamat jangka masa pendek dan panjang.’ Sempat lagi Adilah mengelamun.

“Bila daftar?” Soalan Reza mematikan lamunan Adilah.

“Hari Isnin. Awak?”

“Sama.”

Tiba-tiba mereka jadi kekok. Mereka berdua terus membisu sehingga sampai di rumah Adilah.

“Okeylah, selamat tinggal. Ada jodoh, kita jumpa lagi,” ucap Reza.

Adilah mengangguk seraya tersenyum. “Selamat tinggal, Reza.” Ada rasa sayu tatkala meluahkan kata-kata itu.

“Ucap pada abang saja? Saya?” Mila akhirnya bersuara selepas membisu di sepanjang perjalanan. Sesuatu yang jarang berlaku. Biasanya rajin sahaja dia mencelah. Mungkin kerana mahu beri peluang kepada Adilah dan Reza berbual. Mungkin juga dia sebak mahu berpisah dengan Adilah.

Adilah tersengih. “Terima kasih sebab sudi tolak basikal. Tentu awak bosan. Kakak sayang awak.” Dipeluk Mila erat-erat.

“Ish, tak payahlah peluk-peluk. Geli!” Mila meleraikan pelukan Adilah. Dia mencebik. Adilah hanya tersengih.

“Pindah sekolah baru nanti, jangan berkhayal lagi. Jangan sibuk nak berteman tapi mesra. Pelajar sekolah itu tentu pandai-pandai belaka. Kakak kena berusaha gigih supaya boleh berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan mereka.” Seperti biasa Mila memang suka memberi nasihat ala-ala orang tua.

“Baiklah, Mila. Kakak akan berusaha!” Adilah buat muka bersungguh-sungguh. Lengkap menjulang penumbuk ke langit.

Mila mencebik lagi. Mereka akhirnya sama-sama ketawa.

Adilah memerhati Reza dan Mila mengayuh basikal sehingga mereka hilang daripada pandangannya dengan senyuman. Dalam hati, dia membisikkan ucapan selamat tinggal dan doa. Dunianya bersama Reza dan Mila sudah tamat. Kini, mereka akan membawa haluan masing-masing. Adilah berharap, apabila mereka bertemu kelak, mereka sama-sama berjaya dalam hidup.

Ketika hendak membuka pintu pagar, baru dia menyedari ada kereta asing diparkir di tepi jalan rumahnya. ‘Mungkin ada tamu,’ hatinya membuat kesimpulan. Adilah terus membuka pintu pagar, menyorong basikalnya masuk.

“Mereka pasti istimewa kepada kamu. Kamu tunggu sampai mereka hilang daripada pandangan mata.”

Adilah terkejut dengan sapaan itu. Suara yang dirinduinya sekian lama. Adilah tidak menoleh sebaliknya terus menyorong basikalnya. “Ya, mereka sebahagian daripada hidup saya. Selepas ini, tak tahu bila lagi akan bertemu sebab masing-masing akan menjalani kehidupan berbeza,” jawabnya.

Adilah meletakkan basikal di tempat biasa, tepi dinding. Dia menoleh, mencari wajah yang dirindui sekian lama. Mereka bertentang mata.

“Apa khabar?” Adilah memaksa diri bersuara.

Puan Kartina tersenyum. Manis seperti dahulu. “Mama rindu kamu.”

Air mata yang tertahan akhirnya gugur jua. Perlahan dan kian lebat. Tanpa disedarinya, dia teresak-esak dalam pelukan mama. Puan Kartina juga menangis.

“Maafkan mama. Mama tak berniat meninggalkan kamu. Mama sayang kamu. Maafkan mama. Mama tahu kamu marahkan mama. Maafkan mama.”

Ya, telahan Puan Kartina tiada salahnya. Sebetulnya rasa marah Adilah kepada Puan Kartina menggunung. Sebelum ini memang dia rasa mahu mengamuk, mahu meluahkan kekecewaannya. Mahu meluahkan kehampaannya.

Namun, entah mengapa, apabila bersua kembali dengan mama, kemarahan itu terus lenyap. Mungkin kerana rasa rindu kepada mama mengatasi rasa amarahnya.

Apabila esakan mereka kian reda, mereka duduk berbual di buaian.

“Mama dah berkahwin lain. Namanya Iskandar. Kami ada anak seorang. Lelaki. Baru lima tahun umurnya. Nanti, apabila kamu datang rumah mama, mama kenalkan,” Puan Kartina berterus terang.

“Jadi, dia...guardian angel mama?” Adilah merenung mamanya.

Puan Kartina tersenyum kelat. “Maafkan, mama,” separuh berbisik dia bersuara. Wajahnya menggambarkan rasa kesalnya. Adilah tahu mamanya rasa bersalah meninggalkannya.

“Terima kasih kerana datang cari saya. Beberapa hari lepas, papa ada beritahu alamat mama. Namun, saya tak nak papa bawa saya jumpa mama. Saya takut. Saya takut mama dah lupakan saya. Sebab itu, saya lebih rela tunggu mama datang,” Adilah berterus terang.

Puan Kartina menggenggam erat tangan Adilah. “Mama tak pernah lupakan kamu. Mama sentiasa sayang kamu.” Bersungguh-sungguh dia menuturkannya.

“Saya pun sayang mama. Saya rindu mama.”

Bagi Adilah, kedatangan Puan Kartina jauh lebih menggembirakannya berbanding keputusan PMR dan tawaran belajar ke asrama penuh.

Petang itu, mereka berbual panjang. Adilah bercerita tentang hidupnya sepanjang ketiadaan Puan Kartina. Mungkin mamanya mahu menebus kembali masa-masa yang berlalu yang sudah menjarakkan mereka.

“Jadi sekarang kamu tak adaguardian angel?”

“Mama dah balik. Saya tak perlukan yang lain.”

Puan Kartina tersenyum lalu mengusik Adilah, “Antara semuaguardian angel kamu, siapa yang paling istimewa?”

Adilah tersenyum sendirian. “Biasa-biasa sahaja. Semua baik.” Hakikatnya, antara semua yang pernah hadir dalam hidupnya, ada seorang yang paling dia suka, yang paling dia ingat.

Malam itu, mama Adilah tidur di biliknya. Adilah terharu kerana Encik Arifin tidak membenci bekas isterinya. Mama Zai juga melayan mama dengan baik.

“Nanti, apabila bersekolah di Kuala Selangor, hujung minggu, balik rumah mama, ya? Mama dah sediakan satu bilik khas untuk kamu.”

Adilah mengangguk. Dia bahagia. Benar-benar bahagia.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku