Budak Bambam Itu
Bab 23
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
351

Bacaan






Sepanjang perjalanan ke Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor, Adilah tidak senang duduk. Dia resah memikirkan keadaan di sekolah itu. ‘Bagaimana agaknya pelajar-pelajar di situ? Adakah mereka baik? Ataupun sombong? Adakah aku akan dibuli?’

“Jauh lagikah, papa?” tanya Adilah.

Encik Arifin ketawa mendengar soalannya. “Masuk kali ini sudah lebih 10 kali kamu tanya. Kenapa takut sangat?”

“Papa, kita balik sajalah. Saya tak nak bersekolah di situ. Saya takut.” Adilah menggigit bibir.

Encik Arifin dan Mama Zai hanya ketawa mendengar kata-katanya.

“Saya serius. Saya tak nak bersekolah di situ. Saya tak nak duduk asrama. Nanti tentu saya kena buli. Saya tak nak!”

Adilah mula buat perangai mengada-ngadanya. Bukan niatnya mahu menyusahkan papa dan Mama Zai, tetapi tiba-tiba sahaja dia jadi sangat takut. Dia tidak dapat membayangkan keadaan nanti. Dia takut mahu berpisah dengan keluarganya. Dia tidak tahu bagaimana mahu tinggal di asrama.

“Janganlah fikir sangat. Tak ada apa-apalah. Asyik fikir, memanglah bertambah takut,” pujuk Encik Arifin.

‘Senang saja papa cakap, bukan papa yang perlu tinggal di asrama. Bukan papa yang terpaksa berhadapan dengan persekitaran baru!’ bisik hatinya.

“Kita sudah sampai pun,” kata Encik Arifin.

Adilah terlopong melihat keadaan sekolah itu. Kawasannya sungguh luas. Kelihatan ada beberapa orang pelajar lain yang datang bersama ibu bapa mereka. Tentu mereka juga pelajar baru sepertinya.

Buat pertama kali, dia menjejakkan kaki di tanah sekolah ini, hatinya penuh debaran. Di sini, di sekolah ini, akan terlakar kehidupan barunya. Adilah tidak pasti sama ada dia akan berjaya di sini ataupun tidak, tetapi seperti kata Mama Zai, tidak salah mencuba.

Selesai mendaftar dan meletakkan beg di asrama, tibalah masa hendak berpisah dengan keluarganya. Adilah memeluk Encik Arifin. “Saya sayang papa,” bergetar suaranya.

Encik Arifin mencium dahi Adilah. “Belajar rajin-rajin. Sekarang kamu bukan budak-budak lagi, perlu berfikir dengan matang.”

Adilah mengangguk. Semua pesan papa disimpan dalam ingatannya.

Adilah memeluk Mama Zai. “Saya sayang mama. Tolong jaga papa.”

Mama Zai mencium kedua-dua belah pipinya. Kelihatan air mata Mama Zai mengalir. Adilah turut sebak namun dia cuba menahan diri daripada menangis.

“Jaga diri baik-baik. Apabila perlukan apa-apa, telefon Mama Zai.”

Adibah juga dipeluknya. Erat. Dialah adik kesayangan Adilah.

Memerhati kereta papanya menghilang, air mata Adilah menitis. Dalam hati dia bertekad, dia datang bersama harapan keluarga, dia akan pulang membawa kejayaan untuk mereka.


****

Adilah kembali ke dorm bagi mengemas barang-barangnya. Melihatkan almari yang kecil, Adilah jadi serba salah. “Muatkah?” Adilah memandang dua beg besar barang-barangnya. Menyesal pula tidak mendengar pesan Mama Zai supaya tidak membawa terlalu banyak baju.

Adilah perasan ada yang memandang beg-begnya lalu tergelak. Malu pula rasanya.

“Assalamualaikum, saya Reen.”

Adilah menoleh. Membalas senyuman, menjawab salam dan menyambut tangan yang dihulur.

“Saya Adilah.”

“Saya pun pelajar tingkatan empat tetapi saya bersekolah di sini sejak tingkatan satu.”

“Oh....” Adilah kehilangan kata-kata. Kekok.

Reen terus duduk di atas katilnya. “Awak ditempatkan di kelas apa?”

“Kelas 4 Permata.”

“Betulkah? Baguslah! Kita sekelas. Nanti, awak duduk di sebelah saya, ya? Meja di sebelah saya kosong.”

Adilah sekadar mengangguk. Tangannya mula mengeluarkan pakaian-pakaian daripada beg.

“Banyaknya barang awak. Awak bawa baju berapa helai?” tanya Reen.

“Tidak banyak. Baju tidur tujuh pasang, T-Shirt tujuh helai, seluar sukan tujuh helai, baju kurung untuk kelas persediaan malam tujuh pasang, dan baju sekolah tujuh pasang.” Beria-ia Adilah menjawab.

Reen terlopong memandangnya. “Banyaknya! Tak perlulah bawa baju tidur dan T-shirt sampai tujuh helai. Ini asrama. Almari asrama kecil saja. Lagipun, selepas basuh, boleh pakai semula. Tak ada orang pun kisah kalau awak ulang pakai baju tidur yang sama dua, tiga kali seminggu,” jelas Reen panjang lebar. Adilah cuma tersengih. Malunya! Nampak sangat tidak biasa duduk di asrama!

Reen tersenyum, menyedari muka Adilah sudah merah. “Tak mengapa, dulu saya pun begini. Sampai tak muat almari. Hujung minggu, saya suruh ayah saya datang, angkut barang-barang yang tak perlu, bawa balik rumah.”

‘Betul juga. Nampaknya, terpaksalah papa datang hujung minggu ini!’ Dalam hati, Adilah membuat rancangan.


*****

Perasaan takut dan rasa terasing kian hilang apabila Reen dan rakan-rakan yang lain menegurnya dengan mesra. Mungkin, tempat asing ini bakal melakar kenangan dan kejayaan baru dalam hidupnya! Minggu pertama di sekolah baru agak menakutkan dan meletihkan. Adilah bimbang dengan penerimaan kawan-kawan.

Adilah juga bimbang tidak dapat mengikut peraturan di asrama. Maklumlah dia sudah biasa bebas di rumah. Di sini mereka perlu bangun pagi, menunggu giliran menggunakan tandas, tidur di dalam dorm, makan di dewan makan. Semua ini perkara baru, namun agak menyeronokkan.

Hari ketiga, Adilah dipanggil oleh pelajar senior. Waktu itu, waktu rehat. Adilah dikehendaki pergi ke bilik kaunseling. Adilah jadi serba salah. Adakah ini permulaan dia akan dibuli? Oh, tidak!

“Pergilah. Arief itu pemimpin pelajar. Kalau awak ingkar arahannya, silap hari bulan, dia beri nama awak kepada guru disiplin.” Terima kasih kepada Reen yang hanya menambah debar dalam hati Adilah.

Adilah mengeluh panjang. Dengan hati yang berat dia melangkah menuju ke bilik kaunseling. Di hadapan pintu bilik kaunseling yang terbuka, ada seorang pelajar lelaki berdiri, membelakangkannya. Mungkinkah dia yang mencari Adilah?

Adilah pantas menyapa, “Assalamualaikum.”

“Wa’alaikumussalam.” Pelajar itu berpaling memandangnya. “Kenapa lambat?” Keras suaranya.

“Maaf, saya tidak jumpa bilik ini. Saya tersesat,” Adilah memberi alasan.

“Ambil ini.” Pelajar lelaki itu menghulurkan sehelai kertas lukisan dan sekotak pensel warna.

Adilah memandangnya kehairanan. “Untuk apa?”

Pelajar lelaki itu merenungnya tajam. “Saya nak awak lukis gambar bunga matahari.”

Adilah terkejut dengan arahannya. Tergagap-gagap Adilah cuba membantah, “Maksud awak... tapi saya...”

“Tidak ada tapi-tapi. Petang nanti, waktu kelas persediaan, saya mahu tengok lukisan awak. Saya tunggu awak di sini.” Dia terus berlalu meninggalkan Adilah keseorangan di tepi koridor itu.

Adilah mengeluh sendiri. ‘Lagi-lagi melukis! Dalam banyak-banyak perkara kenapa dia suruh aku melukis? Ini sekolah sains, suruhlah jawab kuiz sains ataupun matematik. Aku taklah pandai sangat sains, tapi bolehlah aku gigihkan diri menjawab. Ataupun suruh kemas bilik kaunseling pun aku sanggup walaupun aku taklah rajin mana pun. Tak ikhlas pun, aku tetap akan buat. Ini melukis? Melukis? Ish....” Adilah menaiki tangga sambil berterusan membebel seorang diri.

“Dia nak apa?” tanya Reen sebaik sahaja Adilah muncul di pintu belakang kelas. Adilah meletakkan kertas lukisan dan kotak pensel warna di atas meja.

“Cakaplah, apa dia nak? Dia yang beri kertas dan pensel warna ini?” desak Reen.

Adilah mengangguk lantas melabuhkan punggung di kerusinya. Meja dia dan Reen bersebelahan. “Dia suruh saya melukis.” Lemah suara Adilah.

“Melukis?” Reen memandang Adilah dengan wajah keliru.

“Ya, melukis.”

“Kenapa pula? Rasanya tak pernah pula saya dengar dia suruh junior melukis. Tentu dia nak kenakan awak. Pelik. Arief bukan jenis yang suka buli orang,” Reen terus mengomel.

Dalam hati, Adilah menyumpah seranah pelajar tingkatan lima bernama Arief itu. Geram memang geram. Namun, hendak buat macam mana. Terima sahajalah seadanya.

‘Tak mengapa, bersabar sajalah,’ Adilah cuba memujuk hati. Baru beberapa hari, tidak mungkin dia mengalah! Pindah sekolah? Tidak patut... tidak patut.... Mustahil mahu kembali ke sekolah lama, sesudah beria-ia dia mengucapkan selamat tinggal kepada rakan kelas. Pasti dia ditertawakan.

Tengah hari itu, Adilah tidak pergi ke dewan makan. Dia sibuk menyiapkan lukisan bunga matahari yang diminta pelajar senior yang bernama Arief itu.

Selepas berhempas-pulas, akhirnya Adilah berjaya juga menyiapkan lukisan itu. Biarpun lukisan itu tidak cantik, dia berpuas hati kerana sekurang-kurangnya, apabila Adilah bertanya pada Reen, Reen dapat meneka yang lukisan itu adalah bunga matahari pada tekaan pertama tanpa sebarang keraguan.

Itu satu pencapaian bagi Adilah!


*****

“Sudah siap?” Arief bertanya tanpa mendongak.

Adilah pergi mencari Arief seperti yang diarahkan. Beberapa orang pelajar lain yang berada di dalam bilik kaunseling berbisik sesama sendiri. Mungkin pelik melihat. Adilah buat tidak nampak. Adilah sendiri pun pelik dengan situasi yang dia perlu tempuh ini.

Adilah menyuakan lukisan itu kepada Arief tanpa berkata apa-apa. Dalam hati, berulang kali dia berdoa supaya tiada masalah. Semoga pelajar senior ini berpuas hati. Semoga episod membuli ini tamat di sini. Noktah, titik, sekian terima kasih, tanpa ada apa-apa sambungan.

“Boleh tahan,” kata Arief.

Adilah tersenyum lega. Nampaknya, dia tidak akan didenda. “Kalau tak ada apa-apa lagi, boleh saya pergi sekarang?”

“Nanti dulu.” Arief mendongak.

Dan harapan Adilah pun layu berguguran seperti daun kering. Sangkanya tadi semuanya tamat di sini. “Ada apa lagi?” tanya Adilah.

“Bunga ini di mana?” tanya Arief pula.

Berkerut dahi Adilah dibuatnya. “Apa? Saya tak faham maksud awak.”

“Bunga ini sebenarnya di padang ataupun di dalam rumah?” tanya Arief lagi.

Adilah bertambah hairan. Dalam hati, dia tertanya sendiri, ‘Ada bezakah? Yang penting itu bunga matahari!’

“Saya pun tak pasti. Semasa melukis, saya tak fikir pun fasal itu,” selamba Adilah menjawab. Sebenarnya Adilah sudah mula bosan. Adilah tahu Arief sengaja mahu mempermainkannya.

“Saya tanya, bukan apa... dalam lukisan awak ini langsung tak menunjukkan kehadiran angin.”

Adilah semakin tidak faham. ‘Apa masalah pelajar lelaki ini sebenarnya?’

“Pentingkah? Awak suruh saya lukis bunga matahari, awak tak cakap pun perlu tunjukkan ada angin ataupun tak!”

Arief tersenyum. Meluatnya Adilah melihat senyuman Arief. Dia rasa mahu ketuk kepala Arief dengan kotak pensel warna.

“Jadi, sekarang awak dah tak lukis gambar bunga matahari ditiup angin kencang?”

Adilah terlopong mendengar pertanyaan Arief. “Apa awak cakap? Bunga matahari ditiup angin kencang?”

Arief mengangguk. “Ya, bukankan dulu awak lukis bunga matahari ditiup angin kencang?

Berkerut dahi Adilah merenung Arief. Bunga matahari ditiup angin kencang? Kata-kata itu mengingatkan Adilah kepada seseorang. Kepada satu insiden. Kepada satu kenangan.

‘Adakah dia... tetapi... tak mungkin dia....’

“Apa khabar? Lama sungguh kita tak berjumpa.” Arief tersengih lagi.

“Hakim?”

“Awak tak ingat, ya? Nama saya Arief Hakim. Oh, mungkin awak tak cam saya sebab saya dah tinggi dan kurus. Bukankah dulu saya ada cakap, apabila besar, saya akan jadi tinggi, kurus, dan juga kacak!” Bersahaja Arief meluahkan kata-kata itu.

Jadi, budak katik dan bambam itu kini sudah tinggi, kurus dan... hmm sedap jugalah mata Adilah memandang.

Tapi, ada satu perkara Adilah masih tidak faham. Bukankah mereka sebaya? “Tetapi, bukankah awak sepatutnya di tingkatan empat seperti saya? Macam mana pula....”

“Saya lompat kelas. Tentu awak gagal ujian lompat kelas!” Arief mengenyit mata.

Adilah mencebik. Hakim ketawa. Akhirnya Adilah turut ketawa. Adilah tidak pernah menyangka yang dia berpeluang bertemu Hakim lagi. Perasaannya sekarang bercampur aduk. Gembira, keliru, terperanjat, dan seronok. Dia rasa seperti dapat makan nasi lemak dengan sambal dan timun lebih dalam satu pinggan saiz XXXL. Terlalu mengujakan!

“Awak cam saya?” tanya Adilah.

“Saya tak mungkin lupa wajah awak sampai bila-bila.”

Wah, senyuman Adilah meleret mendengar kata-kata Hakim. Sebenarnya dalam hati Adilah rasa hendak marah pada Hakim. Mengapa Hakim tidak pernah tulis surat padanya? Namun, sengaja Adilah tidak bangkitkan dahulu isu itu. Sekurang-kurangnya sehingga minggu orientasi tamat. Adilah perlukan pertolongan Hakim. Mengetahui yang dia kini kawan baik pemimpin pelajar, tentu dia tidak akan dibuli! Bijak, bukan!

Tidak sangka betul Adilah dapat bertemu kembali guardian angel yang akan melindunginya. Kalau dia tidak mendapat 8A dan tidak ditawarkan belajar di sini, tentu dia tidak dapat bertemu semula dengan Hakim. Adilah sangat gembira. Rupa-rupanya, menjadi pelajar pandai banyak keistimewaannya.

Satu daripadanya, sudah tentulah Hakim kini kembali berada di sisinya sebagai pelindung!

‘Hakim, you are my guardian angel!’



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku