Budak Bambam Itu
Bab 24
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
329

Bacaan








Adilah tersenyum sendirian. Sesekali dia ketawa kecil. Suara Hakim kembali terngiang-ngiang di telinganya. “Jadi sekarang awak dah tak lukis gambar bunga matahari ditiup angin kencang?”

Adilah menggeleng dalam senyuman yang kian melebar. Dia gembira bertemu kembali dengan Hakim. Kegembiraan itu berganda apabila Hakim masih mengingat peristiwa yang menjadi titik tolak persahabatan mereka. Bunga matahari ditiup angin kencang.

Aku mesti suruh papa cari di dalam stor. Aku nak letak di dalam lokar. Dapatlah aku tatap setiap hari. Tak sangka betul dapat jumpa Hakim lagi. Dunia ni memang sederhana kecil,” bisik Adilah.

Sambil melangkah menaiki tangga menuju ke kelas 4 Permata, Adilah menyanyi riang. LaguKubahagia nyanyian Melly Goeslaw bergema membingitkan suasana.

Tiba-tiba suara orang berdeham mengejutkan Adilah. Adilah menoleh. Wajah yang kurang dikenalinya menyapa layar pandangnya.

Kalau ya pun nak menyanyi, biarlah betul ikuttune. Rosak lagu orang dibuatnya,” sindir pelajar lelaki itu.

Merah padam muka Adilah menahan malu. Memang dia sedia maklum dia bukan setakat tidak pandai melukis, dia juga tiada bakat dalam bidang seni lain termasuklah menyanyi. Banyak kali Adilah mengingatkan diri supaya tidak menyanyi terutama di kawasan awam, namun kadangkala apabila terlampau teruja, dia terlupa pantang larang itu. Contohnya sebentar tadi.

Bukan niat dia mahu merosakkan suasana yang aman damai yang diselangi kicau burung. Masalahnya, Adilah terlalu gembira sehinggakan tanpa sedar meluahkan kegembiraannya dalam bentuk nyanyian yang sangatlah tidak mesra pendengaran. Bukan bahagia, tetapi merana dan boleh menanah telinga orang yang mendengarnya.

Sudah tentu Adilah tidak minta maaf di atas keterlanjurannya.‘Aku sedar diri, tetapi tak perlulah sindir dia begitu. Entah-entah dia nyanyi lebih teruk daripada aku, ada hati kutuk aku. Cis!Dia terus mengatur langkah tanpa mempedulikan pelajar lelaki itu. Sambil menaiki tangga di hadapan pelajar lelaki itu, otak Adilah ligat berputar, mencari idea untuk membalas semula. Tiba-tiba dia tersengih.

Langkahnya sengaja diperlahankan. Dia tahu lelaki itu cuba memotong namun dihalangnya. Apabila lelaki itu ke kiri, dia ke kiri. Apabila lelaki itu ke kanan, dia ke kanan.

Saudari, ini bukan tempat bermain. Mungkin awak tak kisah masuk kelas lambat tetapi saya kisah!” Agak kasar dan keras suara lelaki itu.

Adilah memberhentikan langkah. Dia berpeluk tubuh lalu berpaling. “Kalau nak cepat sangat, terbanglah!” Adilah mencebik.

Lelaki itu memandang Adilah dengan pandang sinis. “Maaf, saya tak ada masa nak melayan awak. Pergilah cari orang lain untuk layan perangai budak-budak awak tu!”

Pelajar lelaki itu melangkah memotong Adilah. Dia kini menaiki tangga di hadapan Adilah. Dia menaiki tangga dengan laju. Sekelip mata dia meninggalkan Adilah yang sudah tercungap-cungap.

Sombong! Macam bagus! Benci betul! Geram... geram... geram!” Wah, beria-ia betul Adilah meluahkan kemarahannya. Seketika dia menggeleng. Nafas ditarik dalam lalu dihembus perlahan. Dia mengukir senyum.‘Bawa bertenang, Adilah.Hari yang baik tak patut dirosakkan oleh entah siapa-siapa, putus hati Adilah.

Sampai di muka pintu. Reen sudah tersengih menunggu Adilah. Reen mengangkat kening.

Adilah mengangkat bahu tanda tidak mengerti dengan isyarat Reen.

Buat-buat tak faham pula?” Reen tidak berpuas hati.

Memang saya tak faham. Kenapa awak angkat kening? Adakah awak pun spesis Ziana Zain? Pandai angkat kening,” balas Adilah bersahaja lalu melangkah masuk menuju ke mejanya.

Apa yang berlaku? Arief terima lukisan awak?” Reen mengekori di belakang. Masih mahu mengorek rahsia.

Adilah melabuhkan punggung. Reen duduk di kerusi hadapan, menghadap Adilah. “Cakaplah cepat! Apa yang berlaku?” gesa Reen lagi.

Adilah hanya tersenyum. “Saya tak mungkin lupa wajah awak sampai bila-bila.” Suara Hakim terus terngiang-ngiang, buat Adilah rasa melayang.

Saya pun tak pernah lupa awak, Hakim,bisik hati kecil Adilah. Memang, itulah hakikatnya. Dalam banyak-banyak guardian angel yang ditemuinya, Hakim paling istimewa. Malah, perasaannya kepada Hakim mendalam. Sukar digambarkan dengan kata-kata. Dia selesa bersama Hakim. Dia rasa selamat. Rasa dilindungi. Kini, perasaan itu kembali mekar. Bersama ikatan yang kembali terjalin.

Hakim, awaklah pelindung saya. Saya yakin kita takkan terpisah lagi.Hatinya terus berbisik bersama-sama harapan yang melangit.

Pang!

Astagfirullahalazim!” Senyuman Adilah mati serta-merta. Matanya terbeliak. Dadanya diurut perlahan. “Awak ni buat saya terkejut saja. Ada apa?”

Reen ketawa melihat gelagat Adilah. “Awak ni, asyik berangan saja! Penat saya tunggu nak dengar cerita awal.”

Adilah mencebik. “Awak ni, buat lemah semangat saya pula! Tak ada apa-apa yang menarik pun untuk awak tahu.”

Selagi awak tak cerita, selagi itu saya akan mengganggu hidup awak.” Reen tersengih sambil mengenyit mata. “Cakaplah, cakaplah, cakaplah!” Merayu-rayu pula Reen.

Adilah menggeleng. Dia belum bersedia berkongsi ceritanya dengan Hakim dengan sesiapa pun. “Tak ada apa-apa.”

Reen merenung Adilah. “Tentu ada apa-apa. Tadi sebelum pergi, bukan main takut lagi. Sekarang, bukan main lebar senyuman. Mustahil tak ada apa-apa.” Reen mencebik. Dia memandang Adilah dengan penuh curiga.

Betul, saya...” Belum sempat Adilah menghabiskan kata-katanya, ada suara yang mencelah.

Kepada yang tak nak belajar, janganlah bising. Orang lain hendak belajar!”

Suasana menjadi sepi seketika. Adilah dan Reen menoleh ke belakang. Terkejut Adilah melihat wajah pelajar lelaki yang bersuara. Pandangan mereka bertaut seketika. Pelajar itu tenang dan bersahaja merenung Adilah yang tergamam seketika. Itulah pelajar yang sama yang menegurnya di tangga tadi.

Reen mengalih pandangan memandang Adilah. Suara Reen mendatar, “Abaikan saja. Dia memang begitu.”

Adilah kembali memandang Reen. “Siapa dia? Tak pernah nampak pun.”

Izham Johar. Dia masuk lambat sebab demam campak. Sebab tu masa awak baru datang dia tak ada. Baru muncullah tu agaknya. Pagi tadi, dia tak ada pun.”

Serius betul dia,” komen Adilah.

Tak juga. Dia okey sebenarnya. Ikutmood dia. Mungkin dia stres sebab takut ketinggalan dalam pelajaran. Dia memang golongan yang serius belajar,” terang Reen.

Oh…” Panjang muncung Adilah. Dia mencuri pandang Izham yang tunduk, tekun membaca buku. Daripada pandangan sisi, Adilah terus memerhati Izham. Entah mengapa, hatinya jadi meluat.

Berlagak!kutuknya dalam hati.


*****


Tunggulah saya, awak nak ke mana?” Reen separuh menjerit.

Kelas persediaan petang sudah tamat, Adilah mahu bergegas keluar dari kelas. Fikirannya tertumpu pada satu perkara sahaja. Telefon awam!

Saya nak cepat ni. Nak telefon papa. Nanti panjang pula barisan.” Adilah terus menghilang di sebalik daun pintu. Sesungguhnya sepanjang waktu prep dia langsung tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Misinya hanya satu. Dia mahu menelefon papanya secepat mungkin.

Adilah berlari menuruni tangga. Kakinya segera menghala ke telefon awam di aras bawah blok C.

Fuh, nasib baik tak ada orang.” Adilah tersengih lalu segera mencari duit syiling di dalam begnya. “Alamak!” Dia mengeluarkan duit syiling yang ada. Hanya ada beberapa keping duit lima sen. Adilah mendengus. Dia merenung telefon di hadapannya dengan perasaan hampa.

Kalau nak renung lama-lama telefon tu tak salah, tak ada sesiapa larang, tapi apa kata awak ke tepi sikit. Boleh saya guna sambil awak tenung puas-puas!” Suatu suara menyapanya.

Adilah mengeluh lalu berpaling. “Jangan menyibuk boleh tak?” Kata-kata itu meluncur laju tanpa disedarinya. Sepantas kilat dia berasa kesal apabila melihat dompet kecil yang dipegang oleh Izham.Tentu banyak duit syiling dia. Kenapalah aku kasar sangat,’ keluh Adilah dalam hati.

Saudari, boleh ke tepi sikit?” ulang Izham lagi.

Adilah pantas mengukir senyum. “Hai, awak. Saya Adilah. Kita sekelas.”

Jadi?”

Sebagai rakan kelas, menjadi tanggungjawab awak untuk menghulurkan bantuan kepada rakan sekelas yang dalam kesusahan.” Adilah terus buat muka minta simpati. Sesekali matanya merenung dompet kecil yang dipegang Izham.

Apalah yang awak merepek ni? Apa kata awak tolong ke tepi. Itu dah kira awak tolong rakan kelas awak iaitu saya yang nak guna telefon tu. Jadi, tunggu apa lagi?”

Saya nak tukar duit syiling boleh?” Dengan pantas Adilah menghulurkan dua keping duit kertas RM1 kepada Izham.

Kalau saya kata tak boleh?” Amboi, nampak sangat Izham hendak mempermainkan Adilah. Balas dendam mungkin?

Tak apa, cuma saya kesiankan awak.” Adilah mula memutar belit kata-katanya.

Kenapa kesian pula?”

Awak terlepas peluang menambah pahala dengan berbuat kebaikan.”

Izham ketawa kecil. “Oh, tukar duit pun dapat pahala?”

Yalah, sebab awak tukar dengan niat nak menolong saya!” Dalam hati, Adilah sendiri tidak yakin dengan hujahnya.Lantaklah, janji aku boleh pujuk dia!

Hmm... nanti saya fikirkan.” Izham sengaja berlengah.

Sementara awak fikir, boleh tak awak berdua ke tepi. Ramai lagi nak guna telefon.” Tiba-tiba ada suara lain menyampuk.

Betul saya sokong!” sahut yang lain pula.

Adilah dan Izham terkejut lalu menoleh. Kelihatan beberapa orang pelajar beratur di belakang mereka. Masing-masing memandang mereka dengan muka serius sambil berpeluk tubuh.

Adilah menggigit bibir, berbalas pandang dengan Izham. Sengaja berpura-pura sedih bagi meraih simpati.

Nah.” Izham menghulur duit syiling berjumlah RM2 kepada Adilah.

Adilah tersenyum lalu dengan pantas mengambilnya lalu segera memasukkan duit syiling sebanyak RM1 lalu mendail nombor telefon bimbit papanya.

Helo, papa. Tolong carikanframe gambar bunga matahari yang saya lukis dulu. Ada di dalam stor.” Tanpa salam mahupun bertanya khabar, Adilah terus menyatakan hajatnya.

Apa kena kamu ni?” Suara Encik Arifin kedengaran nyaring.

Papa dengar tak. Tolong cari ya.Frame masa saya sekolah rendah dulu. Caritau! Okeylah, saya nak telefon mama sekejap. Assalamualaikum.” Adilah terus memutuskan talian dan mendail nombor telefon bimbit mamanya pula. Sambil menunggu panggilannya dijawab dia menambah duit syiling.

Assalamualaikum, mama?”

Waalaikumussalam. Ya, sayang. Dah habis kelas?”

Dah. Mama, saya ada berita gembira!” Adilah terlalu seronok sehingga tidak sedar suaranya terlalu kuat.

Ada apa?”

Saya dah jumpa dia semula.”

Dia? Siapa?”

Guardian angelsaya!”

Angel?”

Ya, Arief Hakim. Dia belajar satu sekolah dengan saya.” Adilah ingin berbual panjang namun, duitnya sudah habis. “Eh, okeylah mama, nanti saya telefon lagi. Assalamualaikum.” Adilah meletakkan gagang lalu tersenyum puas. Dia berpaling. Dia tersentak apabila semua mata memandangnya. Namun, dia terus mengatur langkah tanpa mempedulikan mata-mata yang memandangnya.

Tanpa disedarinya, nama yang disebutnya menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pelajar-pelajar lain yang mendengar. Kenapa nama Arief Hakim yang disebutnya?

Beberapa langkah, Adilah menyedari yang dia diekori seseorang. Daripada ekor matanya dia dapat merasakan Izham Johar yang mengekorinya.

Kenapa dia ikut aku? Entah-entah, dia nak beritahu nama dia. Tentu dia ingat aku tak tahu nama dia lagi.Adilah tersenyum sendirian. Namun, dia segera berpaling. Mukanya sengaja dimasamkan. “Buat apa awak ikut saya?” Kasar suara Adilah.

Awak tanya saya? Awak tu, tak rasa nak bayar hutang ke?” balas Izham.

Adilah ternganga seketika kemudian tersengih. Merah mukanya menahan malu. Segera dihulurkan duit kertas dalam genggamannya. Tanpa berkata sepatah pun, dia terus mengatur langkah laju.

Cis, ingatkan nak berkenalan, rupa-rupanya nak kutip hutang. Malunya!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku