Budak Bambam Itu
Bab 25
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
216

Bacaan







Hujung minggu itu, Encik Arifin bersama Mama Zai dan adik tirinya, Adibah datang melawat. Selepas bersalam dengan mereka Adilah terus bertanyakan lukisan bunga mataharinya.

Encik Arifin menggeleng. “Kalau ya pun, bawalah bersabar.”

Mana boleh sabar! Alah, papa tak faham. Ini fasalguardian angel saya! Orang yang penting dalam hidup saya! rungut Adilah dalam hati. Dia tidak berani meluahkannya. Tentu papa hairan. Tentu papa bertanya apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan guardian angel. Dia malas mahu terangkan pada papanya.Alah, kalau beritahu pun, papa bukannya faham! Lainlah kalau mama, mama tentu faham. Mama tentu tumpang gembira! Mama, kenapa mama tak datang melawat saya?’

Saya tak sabar nak tengok. Dah lama sangat tak tengok lukisan itu.” Adilah tersenyum meminta simpati.

Encik Arifin menggeleng. “Ada di dalam bonet.”

Di dalam bonet? Pecahlah nanti bingkai kaca tu!” Adilah segera meluru ke bahagian belakang kereta.

Encik Arifin membuka bonet. “Papa letak dalam kotak berbalut surat khabar.” Dia segera membuka kotak berwarna coklat lalu mengeluarkan bingkai yang dibalut dengan surat khabar. Bingkai gambar itu dihulurkan kepada Adilah.

Adilah segera membuka bungkusan surat khabar itu. Dia tersenyum menatap gambar itu. Seketika dia ketawa kecil. “Buruk juga lukisan ni kan, papa.”

Baru sedar ke? Dulu, kamu juga yang beria-ia nak bingkaikan!” sindir Encik Arifin Tawa Adilah terus bergema.

Sudahlah, mari kita makan. Mama masakkan makanan kegemaran kamu. Nasi lemak sambal kerang.”

Timun dengan telur rebus ada?”

Mama Zai tersenyum. “Ada. Banyak pun, makanlah kamu puas-puas. Marilah, kita makan di dewan makan.”

Err….” Adilah serba salah.

Kenapa?” tanya Mama Zai.

Sebenarnya, saya nak makan dengan kawan-kawan di asrama. Mama bawa banyak, kan?” Adilah tersengih mengharap.

Banyak, tentu ada lebih. Kita makan dulu, selepas tu, kamu bawa naik atas,” cadang Encik Arifin.

Tapi....”

Mama Zai susah payah masak untuk kamu. Pukul empat pagi dah bangun masak. Apa salahnya kita makan bersama? Kami datang jauh-jauh, takkan sekadar nak hantar kamu makanan terus balik?” tegas Encik Arifin menegurnya.

Kak Dila ni teruklah. Memang dah tak sayang kami.” Adibah yang dari tadi menyepi menyampuk. Dia menjeling Adilah. Adilah tersentak. Tiba-tiba baru dia sedar kedinginan Adibah. Ketika mereka bersalaman tadi pun, Adibah langsung tidak memeluknya.

Tak apalah....” Mama Zai cuba meredakan ketegangan yang melanda.

Adilah mengetap bibir. Dia mula rasa bersalah. Macam manalah dia tergamak melebihkan kawan berbanding keluarga sendiri! Dia memandang Mama Zai lalu memegang tangannya. “Jom, kita makan. Saya pun dah lapar!”

Mama Zai tersenyum lalu mengangguk.

Adilah cuba mencapai tangan Adibah namun Adibah pantas mengelak lalu memeluk tangan papa mereka. Adilah tergamam. Namun, dia berpura-pura tidak ada apa-apa yang berlaku.

Tengah hari itu, mereka makan bersama. Sesekali Encik Arifin dan Mama Zai ketawa kecil mendengar cerita Adilah. Adilah sibuk bercerita kehidupan di asrama. Banyak perkara asing ditempuhnya. Dia masih kekok dengan rutin baru hidupnya, namun dia sedaya upaya menyesuaikan diri.

Sesekali Adilah menjeling Adibah yang tunduk merenung nasi di pinggan. Adibah senyap. langsung tidak menyampuk perbualan mereka. Biasa dia petah bercakap. Adilah tahu ada yang tidak kena dengan adik tirinya yang berusia lima tahun itu.

Macam mana sekolah tadika, Adibah?”

Biasa,” jawab Adibah pendek.

Tak rindu kakak?”

Tak.”

Adibah…,” tegur Mama Zai perlahan.

Cikgu di sekolah kata tak baik cakap bohong. Saya cakap yang betul… salah ke?” balas Adibah kasar.

Adilah tersentak. Namun dia segera memaniskan muka. “Dia malu, mama. Takkan nak cakap depan semua orang, jatuhlah standard!”

Encik Arifin dan Mama Zai ketawa kecil. Adibah mencebik.

Sebelum mereka beredar, Mama Zai sempat membisikkan sesuatu di telinga Adilah. Rupa-rupanya Adibah merajuk kerana Adilah tidak menelefonnya minggu lepas semasa hari jadinya. Adilah menepuk dahi.Alamak, macam manalah aku boleh lupa! Tak apa, nanti aku pos hadiah. Tentu dia terkejut,rancang Adilah dalam hati.


*****

Petang itu, buat pertama kalinya selepas bertahun-tahun, Adilah kembali menggantung gambar matahari ditiup angin kencang. Dia menggantungnya di bahagian dalam pintu lokarnya. Hatinya berbunga riang setiap kali matanya memandang lukisan itu. Dia yakin, kali ini, dia tidak akan bertukarguardian angellagi.

Apa awak buat tu?” Reen menyergah Adilah.

Awak ni, sakit jantung saya!”

Alah, awak tu selalu terperanjat, siapa suruh berangan?”

Adilah mencebik.

Gambar apa ni? Buruknya!” kutuk Reen. Amboi, jujurnya.

Lawalah!” bangkang Adilah.

Memanglah lawa tapi yang lawaframe, lukisan ni… ish…” Reen menggeleng. Sengaja menyakat Adilah.

Lukisan ni bernilai okey!”

Lukisan macam ni bernilai? Nilai duit tak mungkinlah. Mestisentimental value, kan?”

Adilah tersenyum lalu mengangguk dengan laju.

Ceritalah!” Reen cuba mengorek rahsia.

Adilah menggeleng. “Tak nak!”

Alah, tak sporting langsung!” Reen membuat mimik muka meminta simpati.

Saya nak pinjam kata-kata seseorang…”

Apa?”

Biarlah rahsia!”

Boring!” Reen mencebik lalu berjalan ke katilnya dan terus duduk bersila. Berpura-pura merajuk.

Adilah hanya ketawa kecil. “Alah, janganlah merajuk! Saya yang lukis masa sekolah rendah. Saya sayang sebab lukisan itu yang menemukan saya dengan kawan yang paling saya sayang.”

Jangan cakap kawan awak itu adalah Arief Hakim!”

Kalau betul, kenapa?”

Hmm… tak ada apa-apa. Alamak, saya nak pergi tandas! Dah beberapa saya kali sembelit, doakan saya!” Reen bergegas keluar meninggalkan Adilah yang terpinga-pinga. Sembelit? Macam-macam hal!

Seketika, senyuman Adilah kembali. Seronoknya hidup!‘Tuhan, terima kasih kerana menghantar kembali Hakim ke dalam hidup saya!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku