Dik Nak Cerita Hantu Tak
Bab Bisikan Maut
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 April 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
338

Bacaan






“Dhia, awak tengok budak baru masuk kelas kita tu, tak banyak bersuara kan? Kenapa ya agaknya?” Ria membisikkan kata pada Dhia.

“Nanti kita tegur. Kasihan pula saya tengok dia seperti kera sumbang tiada kawan.” Dhia bersimpati pada seorang gadis yang baru masuk ke kelas mereka pada pagi itu.

Agak lewat guru kelas masuk pada pagi itu dan memberi ruang pada Dhia untuk menegur gadis yang baru masuk. Dia sememangnya tidak banyak bersuara dan lebih berminat melihat gelagat rakan-rakan sekelas sambil tersenyum. Dia memang murah dengan senyuman. Dhia mengajak Ria menemaninya untuk menegur gadis itu.

“Hai, saya Dhia dan ini Ria. Siapa nama awak?” Dhia ramah ingin berkenalan.

Namun gadis itu hanya tersenyum tanpa mahu membuka mulutnya. Dhia dan Ria saling berpandangan dengan sikap gadis itu.

“Awak ni bisu ke? Tiada suara?” Ria agak lantang menyatakan pendapatnya apabila gadis itu masih berdiam diri.

“Saya tak bisu tapi jika saya bersuara, semua akan maut,” gadis itu berbisik tidak sebagaimana manusia biasa ketika bertutur.

Dhia dan Ria kebingungan. Kenapa pula jika dia bercakap semua akan maut? Mereka tidak faham dengan maksud gadis itu.

“Apa maksud awak?” tanya Dhia memandang tepat ke anak mata gadis itu.

“Saya menanti nyawa yang akan dikorbankan. Maka saya akan berbisik jika ada yang ingin nyawanya menjadi milik saya,” gadis itu ketawa tetapi hampir tidak kedengaran.

Tiba-tiba sahaja telinga Dhia terasa sakit begitu juga dengan Ria.

“Aduh! Sakitnya!” Dhia memegang telinganya.

“Kenapa telinga kita tiba-tiba sakit ni Dhia?” Ria juga mengalami perkara yang sama setelah mereka mendengar bisikan gadis yang berada di hadapan mereka.

“Ria, telinga awak berdarah.” Dhia menekup mulutnya.

“Telinga awak pun.” Ria juga menyatakan perkara yang sama.

“Darah? Saya suka. Biar saya keringkan darah di telinga awak berdua,” tanpa menunggu jawapan daripada Dhia dan Ria gadis itu terus menjilat telinga kedua-duanya sehingga kering darah yang sedang mengalir. Apa yang buat mereka terkejut adalah lidah gadis itu menjadi sepanjang-panjangnya ketika menjilat darah mereka berdua.

“Apa awak buat ni?” Dhia agak marah dengan perlakuan gadis itu.

“Awak dah gila ke?” Ria juga memarahi gadis itu.

“Jika darah keluar dari telinga awak berdua maka nyawa awak berdua adalah milik saya,” wajah gadis yang sedang tersenyum itu sudah bertukar menjadi wajah yang amat menakutkan tetapi yang hairannya hanya mereka berdua sahaja yang dapat melihat perubahan wajah yang buruk itu.

“Awak bukan manusia!” Dhia cuba menjauhi gadis itu.

“Sudah saya katakan, jika bisikan saya sampai pada awak maka maut akan menemui awak,” gadis itu senyum lagi tetapu cukup menakutkan.

Dhia dan Ria kembali ke tempat mereka sambil mengerang kesakitan yang luar biasa. Apa yang menghairankan mereka adalah tiada siapa di antara rakan sekelas mereka perasan akan hal ini seolah-olah hanya mereka berdua sahaja berada di dalam kelas.

Dhia dan Ria menjerit kesakitan sebelum badan masing-masing menjadi kejung dan kaku. Hanya gadis itu sahaja yang dapat melihat apa yang terjadi sebenarnya. Gadis itu mengeluarkan lidah panjangnya untuk menyedut nyawa Dhia dan Ria sehingga mereka menjadi patung tidak bernyawa lagi.

Apabila guru mereka masuk ke kelas, gadis itu diminta memperkenalkan diri lalu dengan rasa bangga gadis itu bangun untuk melaksanakan misi terakhirnya iaitu mengambil semua nyawa mereka untuk mengekalkan kesegaran dirinya agar tidak ditimpa sakit lagi.

“Nama saya Marhein. Saya adalah penjemput maut kamu semua,” Marhein ketawa mengilai setelah melepaskan bisikan mautnya.

Seketika kemudian, seisi kelas mengalami kesakitan telinga sehingga mengeluarkan darah. Marhein tidak buang masa lalu dia menjilat setiap darah yang keluar sebelum berbisik lagi sehingga nyawa mereka disedutnya. Seisi kelas menjadi kaku bagaikan patung walaupun mereka semua sudah tidak bernyawa lagi.

Marhein keluar dari kelas itu dan meneruskan misinya mencari nyawa di sekolah baharu pula agar kesihatan tubuhnya benar-benar sihat dari segala penyakit. Dia tidak mahu sakit lagi. Sakit tubuh badannya bagaikan hendak mati sahaja. Dia ingin sihat sepenuhnya. Maka perjanjian dengan syaitan itu telah dimeterai hanya untuk kelihatan dia benar-benar sihat dari lembik tidak bermaya. Hanya maut mereka di sekelilingnya adalah penawar kepada segala penyakit yang ditanggungnya.

Marhein tersenyum puas setelah misinya di sekolah itu berjaya. Bisikannya merupakan bisikan maut kepada sesiapa yang mendengar.

TAMAT



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku