CINTA SEMEKAR ALLIUM
Bab 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
511

Bacaan






HUJAN turun renyai-renyai di luar. Cawan teh diletakkan atas piring. Minuman berwarna keemasan itu ditatang dengan sebelah tangan menuju ke suatu bahagian. Bauan buku-buku menyerbu ke rongga. El memerhatikan dinding cermin yang terletak di belakangnya. Taman yang tersergam seperti selalu itu basah dengan cecair jernih, berlumba-lumba ingin menyembah rumput yang tumbuh melata di kaki bumi. Cantik lukisan alam kini diwarnai dengan tangisan sang awan.

Hujan seakan memahami hati,

Yang mulai lencun kebasahan,

Yang sebelum ini kontang,

Gersang;

Terbiar tak dipedulikan.

El, Mac 2015

Buku nota memuatkan puisi-puisi nukilan El ditutup dan diketepikan. Kakinya disilangkan setelah melabuh duduk. Cawan mengisi teh beraroma delima itu dibawa ke bibir. Dihirup perlahan-lahan. Terdapat ribuan bahan bacaan di dalam bangunan dua tingkat berbentuk segiempat tepat tersebut. Milik abang sulungnya, Auf. Lebih kepada sebuah kedai buku yang menghimpunkan bahan bacaan santai juga ilmiah di tingkat bawah. Manakala, ruang kamar istirahat di tingkat atas.

Sebuah buku ditarik daripada tindihan beberapa buah buku di atas meja. Persuasion tulisan Jane Austen itu mendapat perhatiannya kini. Karya penulis tersebut memang banyak terdapat di dalam Little Reading Hut. Seketika matanya lurus memandang ke hadapan. Pintu utama sememangnya dibuka buat pengunjung masuk melihat-lihat, membeli bahan bacaan sama ada baru mahupun lama atau membuat pinjaman buku dan sebagainya.

Pemain LP ditekan sebelum lagu lama kegemarannya menghuni ruangan tersebut. Step by Step dendangan New Kids On The Block rancak menjadi lagu latar. Usai menunaikan solat zohor di tingkat dua harapnya dalam sela masa setengah jam itu tiada sesiapa yang akan mengganggu El untuk beristirahat.

Namun itu sesuatu yang tidak mungkin terjadi bilamana dapat dilihat figura seseorang yang sedang mengibas-ngibaskan pakaiannya di depan pintu masuk sana.

Minah ni tak baca ke tulisan kat papan luar tu?”

El bangkit daripada duduknya sebentar tadi. Dia berjalan ke bahagian hadapan. Bunyi hujan semakin jelas menderu-deru jatuhnya ketika dia berada di muka pintu kaca yang sedia tertutup.

“Cik.” Tegurnya sopan. Eh, pandai pulak El nak bersopan sekarang! “Maaf ya, tak boleh diri kat sini.”

Shuu yang masih lagi menguraikan tempias air hujan di bajunya memusingkan tubuh bila diri ditegur secara tiba-tiba. Tak boleh diri kat sini? Amboi, kedekutnya mamat ni!

“Maksud awak?”

“Nampak papan tu?” telunjuk El terarah pada papan hitam di sebelah kanannya.

Mata Shuu mencerun ke arah yang dimaksudkan. Setiap perkataan yang tercatat di atas papan berwarna hitam itu dibaca perlahan. Mulutnya ternganga.

“Tidak dibenarkan berdiri di depan pintu masuk?” Wajahnya dipanggung memerhatikan lelaki itu semula. Tumpang berteduh aje pun, bukan Shuu nak mencuri. “Sekarang tengah hujan. Awak nak saya berdiri kat mana? Sana?” Telunjuk Shuu lurus menghala ke suatu arah. Kalau begitulah maksud pemuda tersebut memang Shuu akan basah kuyup menunggu di situ.

El mengangguk. Shuu yang bertanya nyata terkejut dengan anggukan lelaki itu. “Sama ada cik berdiri di sana atau terus je masuk ke dalam. Asalkan bukan berdiri di depan pintu.”

“Oh...” Barulah Shuu faham. Sangkanya dia langsung tidak dibenarkan berada di situ. Shuu melihat jam tangan di pergelangan. Masa kini berbaki dua puluh enam minit. Papan hitam itu dipandang sekali lagi. Cukupkah masa yang berbaki sementara dia menanti hujan teduh? Tak mungkin dia ingin kembali ke Prisma dalam keadaan hujan turun sebegitu lebat.

“Tapi, kat situ tulis ‘CLOSE’? Boleh ke saya masuk?” soal Shuu lagi.

El tak kejam sampai perlu menghalang setiap pelanggan yang nak keluar masuk walaupun rehat yang diperuntukkan buat dirinya hanya setengah jam. Tengok cuaca juga keadaan. Takkan orang yang hampir basah lencun dibiarkan sahaja berdiri di luar? El masih ada hati perut walau dalam tempoh tersebut seboleh mungkin dia tak mahu diganggu. Itu masa untuknya bersendiri. Auf sendiri tidak faham dengan perangai El yang meletakkan peraturan sebegitu di kedai buku miliknya, diberi nama Little Reading Hut.

“Masuk la.” Pelawanya sambil memandu arah.

Laluannya lurus tak ada bengkang-bengkok. Dari depan sudah nampak kerusi untuk mereka duduk di sebelah dalam. Ada tiga buah meja ditemani sepasang kerusi setiap satunya tersusun saling berdekatan untuk mereka yang hadir membaca di dalam kedai buku terbabit.

Suasana sejuk begini memang sesuai sangat pekena teh panas secawan. “Duduklah dulu. Saya bawakan minuman panas untuk awak.” Sudah hilang panggilan ‘cik’ berganti ‘awak’ nampaknya, El? Dasar arjuna sungguh!

Piring kecil diambil dari rak. Sebiji cawan diletakkan di atasnya. Teko motif flora berciri kedesaan Inggeris itu diangkat sebelum dituang cairan berwarna keemasan dalam cawan berpiring tadi. Pantri minuman itu letaknya tidak jauh. Mampu dicapai melalui pengamatan Shuu.

Teh hangat beraroma itu diletakkan begitu hampir dengan tangan Shuu yang terletak elok di atas meja. Sedari tadi berada di dalam Little Reading Hut bersama-sama gadis itu, El dapat mengesan haruman yang dipakai. Merebak ke pelusuk kedai buku tersebut.

Chanel No 5.

“Minumlah. Teh bujang aje.” Teh bujang pun bukan sebarangan perisa, pomegranate tea tau! Cuma sekarang ni tak de la biskut, kek atau kuih-muih yang mampu El sajikan. Dia bukan macam kakak iparnya, Linda. Wanita itu gemar mengadakan tea party dengan saudara-mara juga kenalan rapat di kediaman keluarganya. Membuatkan El semakin terbiasa dengan lagak kehidupan mewah wanita itu.

Sambil memegang tangkai cawan mata Shuu bergerak-gerak memerhatikan segenap isi dalaman kedai buku itu. Dia menyisip teh tersebut sebelum bauan delima yang segar dapat dihidu. Pandai sungguh lelaki itu membancuh minuman tersebut.

Kegemaran Shuu adalah kopi dari Coffee Bean & Tea Leaf yang menjadi pilihannya saban hari. Kata abangnya, ketagihan Shuu kepada kopi memang di tahap kronik. Bila sesekali dijamu dengan minuman berasaskan teh dapatlah Shuu menurunkan sedikit ketagihannya kepada kopi.

“Ini kedai buku ke?” Shuu masih memerhati keliling. Nak kata bookcafe ala-ala hipster, memang tak nampak gaya langsung. Macam kedai buku second hand namun moden dan kemas terpelihara.

“Lebih kurang.” Asal tak dipanggil kedai teh sudahlah.

Kedai buku yang juga merupakan tempat menghimpun, mengumpul serta menampilkan karya penulis dari dalam dan luar negara milik abang sulungnya, Auf. El ambil alih menjaga dan menguruskannya. Selalunya jika Auf ada urusan di luar negara bukan cenderahati yang dibeli memenuhi bagasi tetapi buku-buku yang lebih menarik tumpuannya untuk dibawa pulang sebagai koleksi.

Mereka adik-beradik memang gilakan buku. Berbeza dengan Tia, adiknya yang bongsu. Tia lebih gemarkan bahan bacaan untuk seni hiasan dalaman dan lanskap. Bertepatan dengan minat dan pekerjaannya sebagai pereka lanskap dalam taman dan kediaman. Segalanya di Little Reading Hut termasuklah taman mini di belakang kedai merupakan hasil kerja Tia dalam menata rias.

Kini, El turut melakukan rutin yang sama. Tapi, El tak macam Auf. El lebih sukakan naskhah penulis pojok dari Malaysia dan Indonesia. Sebab itu rajin juga dia turun ke Indonesia jika ada bahan bacaan yang ingin dicari. Bertemu dengan teman-teman di sana hasil perkenalan di dunia maya meluaskan lagi pencarian El ke serata negara dan tidak tertumpu setakat di dua buah negara itu saja. Minat dan kegilaan mereka tiga beradik yang gemar membaca membuatkan Puan Akma dan Encik Uwais hanya mampu geleng kepala.

Tangga kayu beroda yang terletak di sudut kiri rak buku itu diperhatikan. Rak berpara setinggi empat meter itu padat membariskan banyak buku-buku koleksi milik mereka dua beradik. Sudah hampir enam tahun Auf membuka Little Reading Hut. Lokasi bagi individu yang gemarkan bahan bacaan berbeza dan sukar diperolehi di Malaysia.

“Awak dari mana? Kerja area sini eh?” soal El melihatkan gaya gadis itu yang ditonton dari atas ke bawah tidak memberikan sebarang pembayang pekerja-pekerja yang bekerja di bangunan sederet berdekatan Little Reading Hut.

“Mengajar tuisyen di Prisma,” jawab Shuu.

“Pusat Tuisyen Prismatic ke?” Hanya itu pusat tuisyen yang terdapat di Prisma seperti dinyatakan sebentar tadi. El tak pasti pula jika ada pusat tuisyen lain di bangunan tersebut. Masuk Prisma pun hanya kerana menyinggah ke restoren di tingkat bawah.

“Cikgu la ni?” tokok El lagi.

Err...” Shuu pasti dirinya tidak layak langsung hendak digelar sebagai guru bila sekadar membantu pengoperasian pusat tuisyen milik abangnya, Hafidz. Tetapi malas hendak membuat penjelasan lanjut membuatkan dia mengiakan sahaja.

Terdapat seorang tenaga pengajar yang mengambil cuti kecemasan akibat masalah keluarga membuatkan Shuu menggantikan tugas sebagai guru tuisyen tersebut untuk sementara waktu. Setakat mengajar subjek Matematik juga Matematik Tambahan untuk pelajar-pelajar SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tidaklah sesukar mana.

Shuu bangun tiba-tiba. “Boleh saya tengok-tengok?” Ujarnya meminta kebenaran.

Go on.” Dihantar langkah gadis itu dengan ekor mata sebelum tumpuannya kembali pada Persuasion. Penanda buku dari poskad kiriman Aqis dialihkan ke mukasurat terakhir pembacaan. Namun, tidak lama fokus El menguliti buku berkulit warna kuning yang dipegang tadi bilamana gadis yang langsung tidak diketahui namanya itu lebih mencuri perhatian.

Dari sebuah rak ke sebuah rak Shuu beralih. Dia belum menemukan bahan bacaan yang betul-betul memikat hatinya. Benarlah kata Encik Shuhaime, jika memang ingin mencari sesebuah buku untuk dibaca, akan kelihatan di depan mata bahan bacaan tersebut. Tajuknya bakal menarik diri untuk menggapainya.

“Jumpa yang sesuai?”

“Belum lagi.” Penat Shuu mendongak dari atas ke bawah semata-mata ingin meneliti tajuk juga nama penulis yang terpamer. Dia masih belum nampak buku yang diidam-idamkan.

“Awak nak saya syorkan buku yang bagus?”

Buku yang bagus? Shuu mengalihkan mukanya ke sebelah kanan. Kadang-kadang pendapat orang lain juga boleh diambil kira.

Kepalanya mengangguk. “Boleh juga.”

“Jap eh...” El berpatah ke sebelah kiri menempatkan rak buku yang lain. Dia mendongak sambil tangan kanannya bergerak menyentuh buku-buku yang tersusun rapi sebelum berhenti pada sebuah buku yang tebalnya mungkin tak sampai satu sentimeter. Buku itu ditarik dan dia mengerling tajuk muka depan.

SURAT KECIL UNTUK TUHAN – AGNES DAVONAR

“Ini.” Buku tersebut diserahkan. Tak pasti jika ia mampu menarik minat gadis tersebut untuk membacanya.

“Oh!” Sekilas membaca tajuk juga penulisnya Shuu yakin bukan calang-calang kedai buku tersebut menampilkan bahan bacaan sedemikian rupa.

“Kenapa? Dah pernah baca eh?” Kalau dah pernah, El masih boleh mengesyorkan buku-buku yang lain. Banyak lagi pilihan buku berbentuk motivasi dan memberi inspirasi sebegitu ada di Little Reading Hut.

“Pernah cari sebelum ni tapi tak jumpa. Sold out aje kat setiap kedai buku yang saya pergi.” Hendak membuat pesanan secara atas talian, kos penghantaran yang dikenakan dari Indonesia ke Malaysia lebih mahal berbanding harga buku yang tertera. Tak sangka pula Shuu dipertemukan dengan buku yang dicari-cari selama ini. Ternyata lelaki itu seperti dapat menduga fikirannya.

“Saya beli masa turun ke Ubud. Merata toko buku di sana jual buku ni.” Tak tahu pula di Malaysia agak sukar didapati. El pun jarang-jarang memerhati kedai buku arus perdana yang wujud di Malaysia. El kalau turun ke Indonesia, sekitar Jakarta dan Ubud adalah lokasi yang paling disukai untuk dia memburu buku-buku pengkarya tempatan.

“Awak busy ke hari ni?” tanya El lagi.

“Tak.”

“Kalau tak busy boleh duduk di sini sambil membaca. Nak buat pinjaman pun no problem.”

Shuu meneliti jam comel di pergelangan kiri. Masih ada banyak masa sebelum waktu maghrib menjelma. Sekurang-kurangnya daripada dia pulang awal boleh sekali harung saja tunggu Hafidz balik dari pusat tuisyen.

“Saya baca kat sini aje la nampaknya.” Sempat atau tidak untuk dihabiskan pembacaannya itu belakang kira.

“Tarahal.” El bergerak ke belakang. Dia duduk semula di kerusinya diikuti oleh gadis tersebut. Kini, mereka diam membaca buku di tangan masing-masing. Sesekali sempat jugalah El menilik gadis itu. Tidak banyak pergerakannya. Hanya bebola matanya yang beralih dari kiri ke kanan. Khusyuk seakan tiada orang sekeliling yang memerhati setiap tindak-tanduknya langsung.

Semerta ingatan El jatuh pada Aqis yang memiliki perwatakan yang sama jika membaca sesuatu. Tumpuannya memang melekat. Orang lain langsung tidak diendahkan. Kalau yang dibaca itu sekadar akhbar, ruangan iklan turut tidak terkecuali menjadi santapan matanya. Entah apa yang menarik El sendiri kurang periksa.

“Ada apa-apa ke kat muka saya?” Kepala memang tidak diangkat namun suara yang kedengaran diikuti dengan pergerakan tangan memegang bahagian muka menunjukkan Shuu tahu dirinya sedang diperhati.

Err...” Terkedu El sesaat. “Awak buat saya teringat kat kawan saya.” Ucap El jujur.

Kalaulah benar Aqis itu sekadar kawan, mungkin El tidak perlu mewujudkan rasa yang bukan-bukan di dalam hati setelah hampir lima bulan dia tidak dapat berhubung dengan gadis beralis lentik itu. Ke manalah Aqis menghilang? Tiada khabar yang diucap bahkan poskad yang dikirim selama ini buat El turut terhenti diterima dalam kantung pos. Selalunya dalam setiap bulan bakal ada sekeping poskad yang dikirim buat El dari negara matahari terbit tersebut. Adakah Aqis sudah lupa padanya?

“Kenapa? Muka saya sama macam dia?” Lumrahlah kalau pelanduk dua serupa. Tapi, takkanlah dekat sangat Shuu menjumpai seseorang yang wajah seiras dengannya sekarang.

“Taklah. Cuma, dia kalau membaca sebiji macam awak. Khusyuk, tak toleh kiri kanan langsung.”

“Ingatkan apalah tadi.” Shuu malas nak memanjangkan perbualan. Sikapnya yang gemar fokus dalam melakukan sesuatu menjadikan dia seorang yang cukup pendiam. Harapnya lelaki itu tidak terkesan dengan balasan kata daripadanya tadi.

Lama juga Shuu duduk membaca di Little Reading Hut sehingga tidak sedar sudah membawa ke petang dia berada di situ. Keseronokan menguliti buku yang dipegang semenjak awal tadi membuatkan dia hampir-hampir sahaja tidak mendengar panggilan telefon yang berdering. El turut terkejut mendengarkan nada dering yang berlagu memenuhi suasana.

“Amboi, layan 300.”

Shuu yang mendengar kata-kata lelaki itu tidak memberikan sebarang reaksi. Memang begitulah dia meletak nada dering buat ahli keluarganya. Tangannya mencapai telefon bimbit dalam tas tangan sebelum permukaan skrin sesentuh itu dilarikan dengan menggunakan telunjuk kiri. Telefon bimbit ditekap ke telinga. Butir percakapan Hafidz didengari dengan teliti satu demi satu.

Hmmm... aah, masih dekat-dekat sini. Abang dah siap, kan? Shuu tunggu kat bawah Prisma aje la.”

“Syu ke nama dia? Comel.” Perlahan sahaja El menyebut. Terungkai sedikit nama gadis itu yang sedari tadi hanya menggunakan kata ganti nama ‘saya, awak’ bila bercakap dengan El. Dalam hatinya turut tertanya-tanya. Takkan hanya Syu sahaja?

Telefon bimbit diselitkan dalam tas tangan. Shuu berkira-kira hendak mengangkat punggung. Namun, baru dia teringat buku yang dipegang. Macam mana pula ni? Hampir separuh haul bacaannya. Takkan nak letak balik?

“Kenapa?”

“Saya dah kena gerak.” Membebel Hafidz kalau tak nampak bayang Shuu di depan pintu utama Prisma.

“Okey.” Dah orang nak angkat kaki, takkanlah El hendak menghalang.

Err... macam mana dengan buku ni?” soal Shuu mengenangkan baru beberapa mukasurat dia membaca buku terbabit.

“Awak masih nak baca?”

Shuu mengangguk. Bukan selalu dia ada peluang macam ni. Baca buku percuma. Buku yang jarang-jarang dia jumpa di kedai kerana penulisnya berasal dari negara seberang. Banyak tulisan dari seberang yang telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu namun Shuu lebih suka keaslian dari karya yang sebenar.

“Kalau macam tu boleh aje pinjam. Permohonan keahlian tak lama, bayaran pun tak mahal.”

“Okeylah. Kalau macam tu saya pinjam buku ni. Macam mana nak daftar jadi ahli?” Untung-untung lepas ni Shuu tiada masalah hendak mencari bahan bacaan. Datang sahaja terus ke Little Reading Hut. Pilihan buku-buku yang ditawarkan memang menarik dan berbaloi untuk Shuu menjadi ahli.

“Bawa kad pengenalan?”

“Kejap.” Shuu membuka tas tangan sebelum dompet kecil dikeluarkan. Dia menarik kad pengenalan yang tersisip dalam ruangan khas lantas diserahkan kepada lelaki itu. Mujur sahaja gambar yang tertera di permukaan kad tersebut comel macam tuannya. Tak adalah Shuu segan tak semena.

El bangun dan bergerak ke kaunter yang terdapat di sebelah kanan. Papan kekunci komputer yang terdapat di kaunter itu ditekan. Dia memasukkan data yang diperlukan ke dalam sistem intranet Little Reading Hut.

Shuu binti Shuhaime. Dah macam jenama produk kecantikan Shu Uemura bila disebut oleh El berulang kali. Sangkanya ejaan nama gadis itu adalah Syu. Rupa-rupanya, S-H-U-U. Tarikh lahir gadis itu turut ditilik berdasarkan nombor kad pengenalan yang tertera.

Makaih, beza empat tahun dengan aku rupanya! Pangkat kakak la ni?” El menelan liur. Ingatkan usia gadis itu lebih muda daripadanya. Tak tahu pula lebih tua. Memang benar bahawa raut wajah juga penampilan seseorang itu tidak mudah untuk ditebak. Sesiapa pun bisa terpedaya.

“Ini kad pengenalan awak. Dan, ini pula kad keahlian untuk meminjam buku di Little Reading Hut. Kalau nak beli buku-buku yang terpilih ada potongan harga dua puluh peratus untuk ahli.”

“Berapa saya kena bayar?”

“RM20 aje. Keahlian seumur hidup.”

“Ini duitnya.” Dua keping not kertas berwarna merah itu kini bertukar tangan. Boleh tahan murah harga yang dikenakan. Berbaloi juga Shuu menjadi ahli. Dengan harga sebegitu dia boleh membaca pelbagai bahan bacaan di dalam kedai tersebut semahunya.

“Buku tu awak masih nak pinjam, kan?”

“Ya.”

El tersenyum mendengarkan jawapan pendek tersebut. Dia meminta agar buku itu diberikan kepadanya untuk proses imbasan. Buku yang diterima diimbas dengan alat imbasan sebelum dimasukkan dalam beg kertas berlogokan Little Reading Hut.

“Berapa hari tempoh peminjaman ditetapkan?”

“Seminggu. Tapi, kalau nak tambah tempoh hanya tinggal telefon nombor yang tertera dalam kad keahlian. Tempoh peminjaman akan diperbaharui. Tak payah berulang-alik datang kedai.”

Beg kertas mengandungi buku yang dipinjam itu ditarik dari kaunter. Shuu rasa tidak perlu lagi dia berlama-lama di situ.

“Terima kasih.” Ucap Shuu ingin berlalu.

“Sama-sama.” Balas El yang memerhati pergerakan gadis tersebut keluar dari pintu utama kedai.

Kini, Shuu bergerak meninggalkan Little Reading Hut menuju ke deretan bangunan di sebelah kanan. Bimbang sekiranya Hafidz sudah berada di tingkat bawah Prisma. Pasti abangnya tercari-cari jika tidak nampak Shuu di lokasi yang dijanjikan.

Hujan telah lama berhenti. Berhati-hati Shuu menyusun langkah mengelak lopak-lopak air yang terbentuk di permukaan tar jalan. El yang melihat dan menghantar pemergian Shuu hanya mampu bersandar dan mengeluh perlahan di muka pintu utama Little Reading Hut. Terasa harinya yang ceria tadi seperti kosong semula. Tak tahu mengapa dia mesti berperasaan begitu sekarang.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku