CINTA SEMEKAR ALLIUM
Bab 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
244

Bacaan






“EL...”

El mengangkat muka. Ditilik empunya suara yang menyapanya. Tak sangka gadis yang dirindui itu kini berada di depan mata. Lambaian kecil yang menyapanya itu disambut dengan wajah tercengang juga mulutnya yang sedikit melopong. Rasa tak percaya pula melihatkan figura yang berdiri di depan matanya sekarang sedang menguntum senyuman paling indah pernah dilihat dan dirindukan.

“Awak!” El hampir tergamam melihatkan keberadaan Aqis di Little Reading Hut.

Hihihi... sihat?”

“Alhamdulillah. Awak sihat? Mana awak menghilang? Lima bulan senyap tanpa khabar. Awak ke mana sebenarnya ni? Langsung tak telefon, mesej mahupun kirim poskad macam selalu.” Apa di Jepun semua alat atau bentuk telekomunikasi sudah diharamkankah sehingga dia tidak dapat berhubung dengan Aqis?

Hahaha! Sabar, tanya satu-persatulah.” Masih seperti tadi tidak lekang senyuman Aqis terlukis di bibirnya.

El yang berada di kaunter beralih keluar. Dia mengajak Aqis untuk duduk di kerusi yang ada. Teliti gadis itu diperhati demi mengubati rasa rindu yang menggunung. Senyumannya subur bertunas di bibir.

“Awak sihat?”

“Macam yang awak nampak. Alhamdulillah saya sihat. Awak pula?”

“Saya sakit.” Andai rindu itu adalah penyakit yang sukar untuk dilihat dan diubat, El sudah lama berada di dalamnya. Sakit rindu pada orang jauh yang kini berada di depan mata, sukar ditafsir hanya dengan permainan kata-kata.

“Sakit?” Atas bawah Aqis melihat keadaan lelaki itu. Betulkah El sakit? Kenapa macam segar-bugar saja rupanya?

“Sakit rindu.” Jawabnya bersahaja. Jarang-jarang ungkapan rindu itu keluar dari mulut El. Tetapi, kali ini dia tidak mahu terbejat sahaja tanpa meluahkan apa yang dirasai sukmanya. Benarlah cintanya kepada Aqis sentiasa membuatkan El terawang-awang hingga menembusi awan-awan di langit atas sana. “Ke mana awak menghilang sampai lima bulan senyap?”

Lega Aqis mendengarkan. Bimbang jika sekiranya El benar-benar sakit dan Aqis tidak dapat menolong. “Saya sibuk sikit. Berpindah kerja juga berpindah rumah. Agak kelam-kabut sebenarnya nak manage semua benda dalam satu masa. Faham-faham jelah hidup di Jepun semuanya bergerak dengan pantas.”

Sibuk? Alasan yang bagi El langsung tak logik. “Sampai tak boleh mesej satu pun?”

Sorry, my bad.” Banyak hal yang berlaku dalam tempoh lima bulan Aqis menyepikan diri. Antara berani atau tidak untuk dia berkongsi cerita dengan El. Melihatkan keterujaan lelaki itu membuatkan hasratnya terpaksa dimatikan sahaja. Lain kali sajalah diberitahu pada lelaki itu sebab sebenar dia mendiamkan diri sebegitu lama.

It’s okay. Awak ada depan mata ni saya dah cukup bersyukur.” Pedulikanlah dengan alasan-alasan yang lain. Itu semua sudah tidak penting. Rasa lega melihat Aqis sekarang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. “Awak balik ni ambil cuti ke macam mana?”

“Aah, ambil cuti lama sikit. Lagipun hujung minggu ni Angah saya kahwin. Jadi, kenalah saya balik.”

“Angah kahwin? Wah, senyap-senyap aje Angah sorok calon isteri!” El rapat juga dengan Taufiq tetapi tak terfikir pula untuk bertanya tentang Aqis selama gadis itu menyepi. Perkara yang bagi El seharusnya dielak apabila berjumpa dengan Taufiq adalah bercakap perihal adik perempuannya, Aqis.

“Saya sendiri pun tak tahu. Bulan lepas baru Angah cakap dengan family, dia nak kahwin. Terkejut jugalah mama dengan papa dengar berita tiba-tiba tu. Majlis sebelah perempuan dah lepas tapi saya tak dapat join.” Tas tangan yang dipegang atas riba kini dibuka. Sekeping kad undangan walimatul urus milik abangnya ditarik dan diserahkan kepada El yang tekun memerhati.

“Saya dah jemput ni jangan lupa datang.”

Hee... insya-Allah.” Kad tersebut diambil sebelum isinya dikeluarkan dari sampul. Tertera nama mempelai juga tarikh majlis di muka hadapan. “Taufiq dan Najah.” Cantik sekali pilihan kad undangan yang dibuat. Kalau El berkahwin nanti, dia inginkan kad undangan yang ringkas namun cantik seperti itu. Bukankah ia antara fragmen yang patut disimpan sebagai kenangan?

Free tak sekarang? Ingat nak ajak awak lunch.” Memandangkan kehadiran Aqis tepat di waktu makan tengah hari harap adalah kesempatan untuk mereka makan bersama. Sekejap pun jadilah.

“Saya puasa sunat hari ni.” Hari Isnin dan Khamis memang menjadi kemestian buat El untuk berpuasa sunat. Sudah terbiasa sehingga kekok pula jika dia meninggalkan.

“Oh, ye ke? Hmmm... tak pela kalau macam tu.”

“Apa kata saya temankan awak makan. Lagipun dah memang waktu lunch, kan?” Kasihan pula jika dia membiarkan gadis itu perut kosong atau makan seorang diri.

“Awak tak kesah? Macam tak sesuai pula kalau saya seorang aje yang makan.” Aqis masih tahu adab.

“Laa... bukan apa pun. Saya dah biasalah.” Selalu saja Auf mengajaknya keluar makan sedangkan dia tahu El berpuasa. Bagi El pula semua itu tiada masalah. Dia yang ikhlas hendak berpuasa. Kenapa perlu marah jika ada yang makan di depan mata?

El bangun dari duduknya seraya mendekati kaunter. Dompet juga telefon bimbit yang terletak dalam laci dicapai. Kunci kedai atas kaunter digenggam bersama. Lama-lama berada di Little Reading Hut, ada pula perut seseorang yang berbunyi dondang sayang karang!

“Jom?”

Aqis menurut sahaja. Dia berjalan di belakang El menuju ke pintu utama. Bila berdiri di luar dia dapat melihat belakang tubuh lelaki itu yang sedang mencangkung sambil mengunci pintu di sebelah bawah. Bila El berdiri dan memusingkan tubuh lekas sahaja Aqis memalingkan wajahnya ke tempat lain. Tidak mahu dirinya tertangkap sedang memerhatikan setiap tindak-tanduk lelaki itu.

“Awak nak makan kat mana? Fast food? Masakan panas? Nasi campur?”

“Nasi campur. Lama tak makan masakan Melayu jadi balik ni nak makan puas-puas.”

“Jemu dah dengan sushi?”

Hahaha! Boleh tahanlah.” Bukan selalu pun Aqis menikmati sushi di Jepun. Dia sendiri hidup berdikari jadi memasak adalah pilihan utamanya dalam berjimat-cermat. Mujur mama selalu mengirimkan stok bahan kering untuk memasak dari Malaysia. Tak adalah susah mana dia menguruskan kehidupan berkelana di negara orang. Janji kukuh dia memegang jati diri sebagai seorang Muslim dan pandai menjaga diri. Kurang sedikit kebimbangan orang tuanya membenarkan Aqis bekerja dan menetap di sana.

“Kalau macam tu kita ke Prisma. Ada banyak restoren baru buka kat tingkat bawah. Bolehlah awak pilih nak makan apa.”

“Bukan dulu banyak fast foodkat situ? Dah buka restoren baru ya?” Sudah lama Aqis tidak pulang ke Malaysia apatah lagi menyinggah ke Little Reading Hut. Inikan pula nak meninjau restoren-restoren sedia ada di Prisma tersebut. Memang jarang termasuk dalam senarai lokasi yang bakal dikunjungi setiap kali ke mari.

Yup!”

“Okey.”

Jarak Prisma dan Little Reading Hut yang terletak tidak melebihi seratus meter membuatkan mereka lebih selesa menapak ke sana. El hanya duduk memerhati sementara Aqis membuat pesanan. Sempat lagi matanya meliar ke kiri dan kanan. Selalunya tingkat bawah Prisma yang dipenuhi dengan restoren itu menjadi destinasi untuk pekerja-pekerja sekitar menjamu selera.

Skrin telefon bimbit yang sengaja disetkan dalam isyarat senyap itu tiba-tiba sahaja menyala-nyala di atas meja. Kelihatan nama Auf menyapa mata. El menjawab panggilan tersebut seperti biasa.

“Aah... teman kawan makan jap.” El menggaru pelipis yang terasa gatal. Banyak sangat soalan daripada Auf menujah telinganya. “Angah puasalah. Along ni, temankan makan bukan buat puasa Angah batal.” Terangguk-angguk dia mendengar balasan kata Auf di hujung talian. “Ye, jap lagi Angah balik. Berapa kali nak ingatkan ni?” Selesai sang abang menyampaikan pesanan, panggilan ditamatkan.

Aqis meletakkan tray memuatkan makanan juga minuman yang dipesan. Seketika dia jadi segan untuk duduk di depan El memandangkan lelaki itu berpuasa. Akhirnya, Aqis membuat keputusan untuk duduk di sebelah lelaki itu sahaja.

“Awak pesan apa?” El memang mengetahui bahawa Aqis gemarkan masakan Melayu seperti nasi berlauk ataupun makanan panas. Kadang-kadang sahaja dia memesan menu berasaskan mi.

“Asam pedas ikan tenggiri dengan kerabu mangga.” Menyebutnya sahaja sudah buat Aqis kecur liur. Tidak mudah memasak lauk sebegitu di Jepun apabila jadual kerjanya begitu padat. Memadai dengan masakan yang ringkas seperti telur goreng, ikan goreng mahupun tomyam makanan laut. Janji perut Aqis kenyang.

“Baca doa lepas tu makan elok-elok. Saya ada banyak soalan nak tanya sebagai ganti lima bulan merindu orang jauh.”

Merindu orang jauh? Adakah Aqis yang dimaksudkan? Kalau dah namanya lima bulan, betullah tu. Aqis tertawa juga di akhirnya. Mana mungkin dia tidak faham kegusaran El. Lima bulan itu terlalu banyak perkara yang hendak difokuskan sehingga Aqis rasa dia mengabaikan El cukup lama. Itu baru sahaja percintaan jarak jauh. Kalau dekat tetapi tidak berhubung sebegitu lama macam ada masalah pula dalam perhubungan mereka berdua.

Usai Aqis menyudahkan makan tengah harinya mereka berbual-bual di situ seketika. Menjejaki semula lima bulan yang berlalu itu dengan pelbagai soalan juga berkongsi cerita di antara satu sama lain. Ada ketikanya Aqis tertawa mendengarkan seloroh El. Lelaki itu tidak kurang dengan usikan juga gurauannya setiap kali mereka bertemu. Barangkali itu modalnya melepaskan rindu.

“Lain kali jangan senyap lagi. Saya tak suka.” Jujur El meluahkan rasa hatinya.

“Maaf. Tak sengaja.” Sedar akan silapnya membuatkan Aqis terpaksa mengakui bahawa dia yang bersalah kerana mendiamkan diri sebegitu lama.

“Kalau sebulan tu saya masih boleh tahan jika awak betul-betul sibuk. Ni sampai lima bulan, saya jadi risau. Awak dahlah sorang-sorang kat sana. Silap saya juga kerana tak tanya Taufiq.” Lainlah jika ada ahli keluarga Aqis yang turut menemankannya di Jepun, ini dia seorang sahaja. Tugas Aqis sebagai Pengurus Pemasaran di syarikat perbankan membuatkan dia selalu bertukar-tukar cawangan sekitar Tokyo, Nagoya dan Kyoto. Itu berdasarkan apa yang diceritakan oleh Aqis kepadanya sebentar tadi.

Hihihi, risau juga awak kat saya ya?”

“Mahunya tak risau. Dah nak masuk dua tahun setengah awak kerja di Jepun. Bila nak pindah balik Malaysia?”

Hmmm...” Aqis semacam berfikir. “Dalam dua tahun lagi.”

“Dua tahun lagi?” Dua tahun tu lama Aqis!

“Yelah, dua tahun. Pejam celik sekejap aje dua tahun tu tau!” Aqis sendiri ingin menimba pengalaman sebanyak mungkin dengan dalam bidang perbankan di Jepun. Tak mahulah sekadar dua tahun setengah sahaja seperti yang dilalui setakat ini.

Penantian itu sesuatu yang benar-benar menjerut rasa bagi pasangan bercinta. Sedangkan selama dua tahun setengah Aqis di luar negara membuatkan El sentiasa bimbang, inikan pula hendak ditambah lagi dua tahun. Memang tak senang duduk jadinya El memikirkan. Dia tiada hak untuk mempersoalkan kerjaya gadis itu tetapi dengan berjauhan ia benar-benar menguji hati masing-masing untuk terus setia.

Aqis pula seorang gadis yang cantik dan berperwatakan menarik. Tuturnya lemah lembut dan sangat menghormati orang tua. Gadis itu pandai menyesuaikan diri walau di mana sahaja dia berada bahkan disenangi oleh orang lain dengan cepat. Buktinya ahli keluarga El turut menyenangi peribadi gadis itu. Jadi, tidak hairan jika ada yang terpikat dengannya. Mahu Aqis tersangkut dengan mamat Jepun, gigit jarilah El nanti!

“Dua tahun tu umur awak dan saya dah berapa?”

Aqis terdiam sambil mencongak. “29 tahun.”

El melepas nafas perlahan. Sedangkan ramai teman baik El yang seusia dengannya sudah berkahwin dan memiliki anak, dia juga yang jauh ketinggalan menyulam cinta di belakang. Encik Uwais dan Puan Akma sudah kerap berleter di telinga El. Bilalah anaknya itu ingin menamatkan zaman solo? Perhubungan mereka bukanlah suatu rahsia dalam kalangan keluarga masing-masing.

“Bila giliran kita nak jamu orang lain nasi minyak?”

Ala, kita masih muda lagi, kan? Tak kesahlah kalau lambat sikit nak jamu orang lain makan nasi minyak.” Aqis sendiri tidak mahu terlalu berharap.

Sesuatu perhubungan itu tidak semestinya perlu diakhiri dengan pernikahan atau hidup berdua semata-mata. Masih banyak yang ingin dicapai Aqis dalam kehidupan mendatang. Semakin lama semakin dia merasakan bahawa sendiri itu lebih baik berbanding hidup berdua. Itu apa yang ditimba sepanjang hidup berkelana di Jepun seorang diri.

El mengeluh apabila jawapan Aqis tidak memuaskan hatinya. Baginya Aqis itu terlalu mandiri dan lebih mementingkan kerjaya berbanding perhubungan yang berlangsung. Bukan mudah dia mendapatkan gadis itu tujuh tahun lalu. Tidak mungkin El hendak mengalah begitu sahaja selepas bertahan selama ini.

“Sama aje alasan awak dari dulu.”

Aqis tersenyum. Bukan tidak pernah mereka berbicara akan hal yang sama. Namun itulah jawapan yang selalu Aqis berikan sebagai langkah selamat. Mengikat hati lelaki itu dalam masa yang sama membiarkan dia bebas dengan impiannya. Mereka memiliki keinginan masing-masing. Aqis tidak mahu perhubungan yang mengongkong dan menyekat untuk dia terus mengembangkan kariernya.

Percintaan bukan tiket untuk pasangan menjadi penghalang setiap kemahuan diri. Definisi percintaan bagi Aqis hanyalah tali yang menghubungkan. Kuat tangan yang memegang hujung tali di antara kedua-duanya menentukan selama mana mereka harus berpegang pada rasa yang wujud. Andai pegangan tali itu terlerai, ia patut disandarkan kepada tangan mana yang melepaskan terlebih dahulu.

Tiba-tiba sahaja pandangan El terpaku pada susuk seorang gadis yang baru sahaja melangkah masuk ke ruangan restoren di mana mereka berada sekarang. Rasa macam kenal. Tapi, El ingat-ingat lupa gerangan namanya.

“Siapa ek?”

“Tengok siapa?” Aqis tertanya-tanya. Dia ikut menelusuri arah anak mata El yang tertumpu ke suatu sudut. Kelihatan seorang gadis sedang memegang dompet kecil di tangan sambil meneliti senarai menu yang terletak di atas kaunter, bersedia untuk membuat pesanan.

“Kenal ke?” soal Aqis inginkan kepastian. Mengenangkan El jarang-jarang fokus perihal orang lain membuatkan Aqis penasaran untuk mengetahui siapakah gadis tersebut yang kini mencuri seluruh tumpuan lelaki di depannya.

Sue, ermm? Haa... Shuu. “Laa... yang tumpang berteduh hari tu rupanya.”

“Tumpang berteduh?” Aqis masih menilik gerangan gadis yang dimaksudkan. Boleh tahan orangnya. Tak adalah tinggi mana namun bertubuh kecil molek dan nampak begitu muda. Barangkali sebaya atau saja lebih muda daripada Aqis dan El.

“Cantik.” Ikhlas Aqis melahirkan pujian bilamana tumpuan El kembali kepadanya di sebelah. “Muda sangat kalau awak nak pikat.” Seloroh Aqis menutup debar di dada. Takkanlah El berminat dengan gadis sebegitu?

“Pangkat kakak tu. Empat tahun lebih tua daripada kita.” Tidak berselindung El menyatakan kebenaran yang diketahuinya.

“Ooh.” Aqis lega dengan info tersebut. Jangan El menyimpan perasaan yang berlebihan daripada rasa hormat kepada gadis itu sudahlah. Beza usia empat tahun bukan persoalan andai hati sudah berkenan. Sedangkan beza usia berpuluh tahun pun boleh bertemu jodoh, inikan pula sekadar empat tahun.

“Dia cari tempat kosong ke?”

“Entah.” El menjongket bahu. Malas sebenarnya nak masuk campur dalam urusan orang lain.

“Panggilah dia duduk semeja dengan kita. Kasihan pula sebab dah tak ada tempat kosong sekarang.” Ruang restoren sememangnya sudah penuh di waktu tersebut. Berpusu-pusu pekerja di sekitar hadir untuk menjamu selera.

“Tak naklah, saya bukan kenal dia. Sekali tu aje dia tumpang berteduh kat kedai sebab hujan.”

“Kalau saya panggil dah sah-sah dia tak kenal. Awak panggilah.”

Hmmm... yelah.” El memanjangkan leher demi mendapatkan tumpuan gadis yang sedang menatang tray sambil mencari tempat duduk itu. Seketika mata mereka bertaut bila El mengangkat tangan dan melambai ke arahnya.

Shuu meninjau ke kiri dan ke kanan bagi mencari tempat makan yang kosong. Namun, matanya terhenti melihatkan seseorang sedang memerhatinya tak berkelip berserta tangannya diangkat ke udara. Dia kurang pasti sama ada lambaian lelaki di sebelah sana itu ditujukan buatnya atau bukan. Bila dia mengecam gerangan lelaki itu seperti pernah ditemuinya sebelum ini, yakinlah Shuu bahawa dirinya yang menjadi tumpuan dua pasang mata di meja tersebut.

“Ada apa dia panggil aku ni?” Rasa curiga kian menguasai diri. Lambat-lambat kakinya diayun menuju ke meja menempatkan seorang jejaka dan seorang gadis yang sedang ralit memerhatikannya.

“Shuu, kan?” soal El inginkan kepastian. “Seorang aje?”

“Oh, awak yang kerja kat kedai buku sebelah tu, kan?” Baru kini Shuu sedar individu yang dimaksudkan itu pernah ditemui di Little Reading Hut beberapa hari lepas.

“Duduklah, makan kat sini.” Pelawa Aqis. Hendak menunggu El mengajak banyak pula soal jawab yang tidak berkait. Orang tu dahlah datang hendak makan. Boleh pula El berbasa-basi akan topik yang tidak penting. “Saya Aqis, kawan El.”

“El?” El mana pulak ni?

“El tu nama saya.” Selamba saja El mengakui diri.

“Okey.” Tak adalah penting mana pun mengetahui nama lelaki itu tetapi dah orang nak beritahu Shuu dengar aje la.

“Duduklah sini. Lagipun tak de tempat kosong sekarang.” Ajak Aqis sekali lagi.

“Kalau macam tu saya tumpang duduk sini la.” Shuu duduk bertentangan dengan Aqis. Dia memerhatikan pinggan yang berada di atas meja. Hanya ada satu sahaja itu pun sudah separuh nasi berlauk di dalam pinggan itu dihabiskan. Siapa pula di antara mereka berdua yang sedang berdiet sekarang? Atau, sepinggan makan berdua? Alahai, romantisnya...

“Saya aje yang makan. Dia cuma temankan sebab berpuasa.” Tanpa diminta ringan pula mulut Aqis memberitahu. Faham dengan pandangan mata Shuu walaupun gadis itu tidak bertanya apa-apa. Dapat dirasakan bahawa gadis yang empat tahun lebih tua daripada mereka itu memang tidak banyak bercakap.

“Oh...” Shuu seperti ingin menepuk dahi. Suka hati sahaja dia meneka bahawa Aqis atau El sedang berdiet. Dia menadah tangan demi membaca doa. Naik segan juga menikmati rezeki di depan mata apabila setiap tingkahnya diperhati malah lelaki itu sedang berpuasa. Terasa kekok saat setiap suapan itu masuk ke dalam mulut. Masalah betul makan di depan strangers!

“Kerja kat sini ke?” Ramah sungguh Aqis menyoal.

El hanya diam memasang telinga. Dia arif bahawa Shuu merupakan seorang tenaga pengajar di Pusat Tuisyen Prismatic. Cuma subjek juga jadual kerjanya yang bagaimana sahaja tidak diketahui oleh El.

“Tolong sikit-sikit kat pusat tuisyen milik abang saya di tingkat atas.”

“Cikgulah ni?” soal Aqis.

Seakan deja vu bila Shuu mendengar dialog yang sama keluar dari mulut El tempoh hari dengan apa yang diperkatakan oleh Aqis sekarang. “Saya bukan cikgu. Saya hanya tolong untuk beberapa hari." Jauh sangat bidang tugas seorang guru tu dengan profesion Shuu yang sebenar.

“Awak bukan cikgu?” tanya El inginkan kepastian. Mati-mati dia menyangkakan bahawa Shuu seorang guru.

Laju Shuu mengangguk. Terhenti suapannya bila tajam pandangan lelaki itu tertumpu ke wajah. Normallah jika sesiapa pun menyangkakan bahawa dia seorang guru sekiranya dikhabarkan bekerja di Pusat Tuisyen Prismatic. El yang buat andaian secara terus. Shuu tak suruh pun.

“Ada cikgu tuisyen yang ambil cuti kecemasan. Jadi, saya tolong gantikan tempat cikgu tu buat beberapa hari.”

“Ingatkan awak memang kerja kat situ.” Datar saja suara El kedengaran melahirkan kata-kata tersebut. Padanlah jarang-jarang dia melihat Shuu di Prisma atau saja kawasan berhampiran. Rupanya gadis itu tidak bekerja secara tetap di pusat tuisyen terbabit.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku