KAPAK BERDARAH
Bab
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 08 April 2017
Penilaian Purata:
677

Bacaan






Suzaiman membuka kedua-dua belah kelopak matanya perlahan-lahan.Gelap-gelita. Hanya bunyi derapan tapak kaki yang kedengaran. Semakin lama bunyi tapak kaki itu semakin menghampirinya. 

Suzaiman berasa sedikit sesak nafas apabila berada dalam keadaan gelap dengan keadaan seluruh tubuhnya berikat di kerusi. Dia turut terbersin beberapa kali apabila debu kekotoran di tempat misteri tersebut mula menganggu rongga hidungnya. Satu tubuh yang tidak kelihatan siapa gerangannya berdiri tegak di depannya kini.

‘’Errr…kau…err siapa?’’

Tergagap-gagap Suzaiman bersuara. Dia seakan takut melihat bayangan tubuh dalam gelap itu.

‘’Kau…siapa ha?Aku kat mana ni???’’

Sekali lagi Suzaiman bertanya. Kali ini lontaran suaranya kedengaran lebih jelas dan berani.

‘’Kau di neraka!’’Garau suara itu pula menjawab. Suzaiman terkesima dengan jawapan yang langsung tidak diduganya itu.

‘’Ne…raka?Bohong!’’Tepis Suzaiman.

‘’Kau memang berada di neraka. N.E.R.A.K.A…Neraka, faham!Neraka ciptaan aku untuk orang bangsat macam kau!’’

Suara garau itu mengeja pula perkataan NERAKA sambil ketawa mengejek kepada Suzaiman. Tak guna! Carut Suzaiman dalam hati. Dalam keadaan masih takut-takut itu otaknya tidak dapat berfikir dengan waras bagaimana caranya untuk dia melepaskan diri daripada tempat kegelapan yang digelar neraka oleh suara garau itu tadi.

‘’Tolong lepaskan aku! Aku sanggup bayar berapa saja kau nak!’’

Pujuk Suzaiman pula. Suara garau itu masih galak ketawa mengejek. Semakin lama semakin nyaring bunyi tawanya. Tegak bulu roma Suzaiman dibuatnya.

Ting…!Pandangan Suzaiman yang gelap-gelita tadi mula terang benderang apabila lampu kalimantan dihidupkan dan disuluh tepat ke mukanya yang sudah keluar merintik peluh-peluh jantan. Mata Suzaiman silau. Terkebil-kebil matanya sebelum dia dapat melihat dengan lebih jelas. 

Satu susuk tubuh sedang tegap berdiri di hadapannya kini. Mata lelaki itu sedang tajam memerhatikannya. Wajahnya separuh bertutup memakai mask. Renungan itu seperti sedang menunggu masa mahu menikamnya. Lelaki itu sedang memegang sebilah kapak di sebelah tangannya. Suzaiman menelan air liur berkali-kali. Perit tekaknya.

Gila! Apa bedebah ni nak buat dengan kapak tu?Dia nak bunuh aku ker?Pelbagai persoalan mula muncul di benaknya. Suzaiman semakin gelisah. Semakin laju peluh-peluh jantan turun membasahi seluruh tubuhnya.Lencun.

‘’Kau…nak buat apa?Tolong…errr…Lepaskan aku..To..long…Kau nak duit aku boleh bagi.’’

Suara itu mengekek ketawa kembali. Kapak yang berada di tangannya sengaja diacah-acahkan ke muka Suzaiman. Suzaiman mengelak. Lelaki bersuara garau itu mengacukan kapaknya kearah tangan Suzaiman yang berikat dengan tali itu. Terlerai sudah ikatan di tangan Suzaiman. 

Suzaiman berasa sedikit lega walaupun bahagian kaki dan tubuhnya masih lagi berikat. Sekurang-kurangnya tangannya berasa sedikit bebas. Mungkin lelaki itu setuju dengan tawarannya mahu memberikan duit tadi. Suzaiman tersenyum yakin bahawasanya duit mampu membeli segala-galanya.

‘’Kali ini duit takkan mampu tolong kau keluar dari neraka jahanam ni!Kau takkan terlepas!’’

Sambung suara garau itu lagi. Lelaki itu seakan senyum mengejek disebalik topeng muka yang dipakainya itu. Suzaiman kelihatan sedikit hampa. Dia sempat mengelap peluh-peluh jantan yang sudah membasahi seluruh mukanya. 

Terketar-ketar tangannya kerana ketakutan apabila mata lelaki itu masih tajam memandangnya. Seakan ada dendam yang mahu dilunaskan. Secara tiba-tiba tangan kanan Suzaiman dicerkam kuat.

‘’Aghhhhh…!!!!Sakittttt!!!Tolong…Jangan bunuh aku!’’

Suzaiman menjerit kesakitan yang teramat sangat sebaik saja jari-jemarinya di tangan sebelah kanan dikapak oleh lelaki misteri itu tanpa belas kasihan. Terpelanting kelima-lima jari-jemarinya itu ke dinding dan darahnya terpercik di wajah lelaki tersebut. Topeng mulutnya dibuka dengan rakus dan percikan darah daripada jari-jemari Suzaiman yang dipotongnya tadi dijilatnya penuh nikmat. 

Suzaiman seakan loya melihat perilaku aneh lelaki kejam yang tergamak memotong kelima-lima jari tangan kanannya itu. Suzaiman mengetap mulutnya menahan kesakitan yang mencucuk-cucuk. Pandangannya sudah mula berpinar-pinar. Suzaiman mula mengamati wajah lelaki yang seakan dikenalinya itu. Ketawa lelaki itu semakin nyaring menyapa gegendang telinganya sambil menjilat-jilat jari-jemarinya yang berlumuran dengan darah berbau hanyir .

‘’Kau gila!!!’’

Pekik Suzaiman sambil memegang kepalanya yang terasa berpusing. Kepalanya pening apabila menghidu bau hanyir darah yang masih lagi meleleh di jari-jemarinya yang sudah terpotong itu. Lelaki tersebut berpaling semula kepada Suzaiman. Dia bengang apabila Suzaiman sewenang-wenangnya menuduhnya gila.

‘’Heyyyy bedebah apa kau cakap tadi? Kau cakap aku gila ye?Haaa…Memang! Memang aku gila! Aku gila sebab melayan bos yang tak berperikemanusian macam kau!’’

PAP!

Kapak yang berada di tangan lelaki itu dihayunkan ke muka Suzaiman. Nasib baik Suzaiman sempat mengelak sebelum wajahnya pula terbelah dua. Cis kurang ajar! Marah Suzaiman dalam hati. Entah benda gila apa pula yang mahu dilakukan oleh lelaki kurang siuman ini. 

Ya, baru sekarang Suzaiman mengecam muka lelaki itu. Farhan!Pekerja dia!Budak despatch di pejabatnya. Budak yang selalu kena maki hamun dengannya. Budak yang selalu dibuli oleh pekerja-pekerja lain termasuklah dia, sebagai boss. Berani budak ini mahu mencari pasal dengannya!

‘’Kau memang dah gila Farhan! Baik kau lepaskan aku. Heyyy…aku ni bos kau lah!Kau memang nak kena pecat ke ha!’’

Jerkah Suzaiman. Walaupun tenaganya sudah semakin lemah tetapi dia perlu pertahankan dirinya daripada terus menjadi mangsa lelaki yang semakin mengganas itu.

‘’Ooo…kau ingat nama aku…Heyyy…dengar sini…Aku tak kisahlah kena buang keje ke apa ke!Kau tu memang patut dihukum! Kau tak layak langsung jadi boss! Kau patut mati! Aku dah ciptakan neraka jahanam ni untuk orang macam kau!’’

Lelaki yang bernama Farhan itu ketawa mengejek kembali. Semakin takut dan terbelalak mata Suzaiman melihat aksi gila pekerjanya bernama Farhan itu. Farhan sempat berjoget-joget dengan kapak yang masih ditangannya itu. Dia menjilat sisa darah yang masih melekat di kapaknya. Matanya tajam memandang Suzaiman yang sedang menahan kesakitan memegang separuh jari-jemarinya yang sudah dikapak sebentar tadi. 

Suzaiman menelan air liurnya bekali-kali. Cuak. Nampak sangat budak ini sudah lama berdendam dengan dia. Matilah dia macam ni! Sudahlah jari-jemarinya masih berdenyut-denyut kesakitan lagi. Pedih.Ngilu. Semuanya bercampur-aduk.

‘’Baiklah. Aku mintak maaf sebab selalu maki kau macam-macam…Kerah kau buat kerja itu ini, padahal tu bukan kerja kau. Aku janji aku takkan pecat kau…Aku akan up gaji kau…Kalau kau nak duit, cakap je berapa aku sanggup bagi! Yang penting kau lepaskan aku…Boleh kan?’’

Suzaiman cuba taktik memujuk pula. Mudah-mudahan lelaki itu tertarik dengan tawarannya. Tetapi jangan bermimpilah dia akan tunaikan kata-katanya itu. Kata-katanya tadi sekadar untuk memancing perhatian lelaki gila ini supaya melepaskannya.

‘’Kau tipu! Aku takkan percaya kata-kata orang munafik macam kau! Jangan sampai anu kau pun aku kapakkan! Kau nak?’’

Sepantas kilat Suzaiman menahan tangannya di bahagian tersebut. Risau dia kalau-kalau Farhan benar-benar melakukan perkara yang disebutnya itu. Berderau darah Suzaiman dibuatnya dengan ugutan lelaki tersebut. Sudahlah jarinya sudah terpotong takkan tut tut dia pun mahu dipotong. 

Aghhh…parah! Suzaiman sempat mengucap dalam hati. Berdebar-debar laju hati dia dibuatnya. Lencun seluruh tubuhnya dengan peluh-peluh jantan yang semakin rancak turun membasahi baju kemeja yang dipakainya. Sementara itu, Farhan terduduk menghadap Suzaiman. Riak air mukanya seakan kecewa.

‘’Aku tak suka kau kerah aku buat macam-macam. Aku ni umpama balaci kau je. Macam takde harga diri. Kau tujal-tujal kepala aku walaupun benda tu aku tak buat salah. Kau maki aku macam-macam. Aku tak dapat nak bela diri aku, sebab apa? Sebab aku kuli, kau boss! ‘’

Farhan mengeluh. Dia meluahkan apa yang terbuku dihatinya selama ini. Suzaiman khusyuk mendengar sambil otaknya ligat memikirkan cara untuk melepaskan diri.

‘’Dunia ni memang tak adil. Kenapa orang bawahan macam aku ni selalu kena tindas dengan orang atasan macam kau?Tak boleh ker kau dengar masalah orang-orang kerdil macam aku ni?Aku kecewa sangat…Kecewa tau tak!’’

Farhan bangun. Dia mengambil satu tong yang mengandungi cecair. Farhan mencurahkan cecair di dalam tong tersebut ke tubuh Suzaiman. Kebasahan Suzaiman dibuatnya.

‘’A…aa..air apa ni?Kau…kau… nak buat apa lagi dengan aku ha?’’

Tanya Suzaiman tergagap-gagap. Dia semakin cuak. Bau cecair yang membasahi seluruh tubuhnya itu berbau pelik. Seakan bau….

‘’Aku nak bakar kau! Orang macam kau memang layak dibakar rentung dalam neraka ciptaan aku ni!HAHAHA…!’’

Farhan mengeluarkan pemetik api yang berada di kocek seluarnya itu.

‘’Jangan…!!!Tolong jangan buat aku macam ni!Maafkan aku!!!’’

Suzaiman merintih-rintih sayu meratap merayu bagai kepada Farhan. Sayangnya sudah terlambat. Farhan sudah nekad dengan keputusannya. Bak kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. 

Alang-alang dah buat benda gila teruskan saja. Bisik suara hati jahat Farhan lagi. Sebenarnya syaitan yang berbisik. Tidak sabar-sabar syaitan mahu bersorak kemenangan dengan perbuatan Farhan yang terang-terangan dilaklat oleh Allah S.W.T. itu. Tanpa teragak-agak lagi Farhan mencurahkan baki cecair dalam tong tersebut ke badannya pula.

‘’Kita mati bersama-sama ye, boss. Aku pekerja yang setia.’’

Bisik Farhan di telinga Suzaiman. Farhan sempat tersenyum kepada Suzaiman sambil mengenyitkan sebelah matanya.Wajah Suzaiman pucat lesi. Langsung tak terkata. Pemetik api dihidupkan. Akhirnya mereka berdua mati rentung terbakar dalam neraka buatan sendiri. –TAMAT-



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku