KUCING JELMAAN (AKU JUGA MAKHLUK TUHAN)
Bab
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 08 April 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)
313

Bacaan






Sebelum memulakan perjalanan tadi perut Salman sudah berbunyi-bunyi rentak keriuk-keriuk kelaparan minta diisi. Tidak sempat Salman hendak menjamah makan malam masakan emaknya di rumah sebelum bertolak balik ke bandar. 

Kelam-kabut dia mengemas pakaian sebaik saja dapat panggilan telefon daripada majikannya yang mengesa dia masuk kerja keesokkan hari juga kerana ada mesyuarat tergempar. Bengang dibuatnya apabila cutinya yang berbaki lagi sehari di kampung terpaksa dikorbankan begitu saja.

Kurang asam punya bos! Nasiblah dia memang kuli hendak tak hendak, sudi tak sudi dia terpaksa turutkan saja arahan orang atasan. Salman sempat menyumpah seranah majikannya itu sementara menunggu pesanan makanan nasi gorengnya yang masih belum sampai-sampai. Dalam perjalanannya yang masih jauh itu, Salman berhenti sekejap untuk singgah makan di sebuah warung tepi jalan.

‘’Lambat lagi ker bang? Saya dah kebulur ni.’’

Masuk kali ni dah berapa kali Salman bertanyakan soalan yang sama. Nampak sangat dia dah kelaparan. Dari tadi tak senang duduk selagi makanannya tak sampai ke meja. Tukang ambil order makanannya tadi pun dah mula gelisah apabila setiap kali bertembung dengan mata tajam Salman yang seakan mahu menerkam dia saja dari tadi. Tahulah lapar jangan dibuat pasal pula dia nanti menjadi korban pelanggannya yang nampak sedang pelahap ini. Kecut perut lelaki yang bekerja di warung tepi jalan tersebut.

‘’Haaa…sampai pun…Lambat sangat!Nasib aku tak mati kebulur!’’

Bebel Salman sebaik saja makanannya sampai. Budak yang menghantar makanan itu hanya tersengih sumbing saja. Tanpa membaca bismillah apatah lagi baca doa makan Salman terus mencekik nasi goreng pattaya yang sudah sedia terhidang depan mata.

Tiba-tiba sedang enak dia menjamu selera Salman berasa tidak selesa apabila kakinya digesel-gesel oleh seekor kucing yang kotor dan berbau busuk.Dia yang berang dengan aksi mengada-ngada kucing tersebut terus saja menendang kucing yang berwajah pelik itu.

Kucing berbulu tombok hitam putih itu mempunyai sepasang telinga yang hodoh. Telinganya sebelah kecil dan sebelah besar. Ada kudis dan kurap di serata badannya. Salman berasa jijik. Loya tekaknya melihat keadaan kucing yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Putus terus selera tekaknya yang sedang enak mencekik tanpa pandang kiri kanan sebentar tadi.

‘’Berambuslah kau! Jijiklah aku tengok kau ni! Dahlah kotor!Ishhhhhh….!!!’’

Salman memaki hamun kucing yang tidak bersalah itu. Kucing itu mengiau kesakitan apabila Salman berkali-kali menyepak tubuhnya tanpa belas kasihan menggunakan kasut Croc bertapak tebal 3 inci. Puas hatinya apabila dapat menyepak terajang binatang tersebut.

Memang dari dulu lagi dia bencikan kucing walaupun ramai yang berkata kucing adalah haiwan kesayangan Nabi. Kucing adalah pembawa rezeki. Kucing itu, kucing ini…Aghhh…Peduli apa dia dengan semua itu! Haiwan perlu dilayan seperti haiwan. Martabatnya tidak sama seperti manusia walaupun hakikatnya haiwan juga makhluk ciptaan Tuhan. 

Tidak bagi Salman. Sesekali pun dia tidak akan merendahkan martabatnya. Haiwan langsung tiada nilai dimatanya. Ujar Salman dengan nada bongkak. Terlalu bongkak. Terus lupa dengan kekuasaan Dia yang satu. Sedangkan semua makhluk dianggap mulia disisi Tuhan.

Salman meneruskan perjalanannya sebaik saja perut penuh diisi. Puas ditahan mata yang mula mengantuk. Itulah bahananya melantak lagi macam ular kekenyangan. Manalah tak layu mata nak memandu jauh pulak tu. Seperti biasa untuk menghilangkan rasa kantuk Salman menghisap rokok. Dari satu batang ke satu batang habis dihembusnya. Berkepul-kepul asap rokok berterbangan ke udara apabila Salman membuka sedikit tingkap keretanya itu. 

Angin malam yang sejuk mendinginkan tubuhnya yang sedikit gempal. Tidak perlu lagi dia membuka penghawa dingin keretanya. Jimat minyak. Tambah-tambah lagi tengah bulan macam ini poketnya mula kering. Disebabkan itu jugalah dia sanggup ikut jalan kampung tengah-tengah malam ini. Kalau ikut lebuhraya mahunya melayang lagi duit dia membayar duit tol pulak.

‘’Meow…meow…meow…’’

Tiba-tiba kedengaran sayup-sayup bunyi suara kucing yang seakan sedang merintih-rintih. Sayu bunyinya memecah kesunyian malam. Salman berasa pelik dengan bunyi tersebut. Seingatnya kucing tadi sudah jauh ditinggalkannya di warung tersebut. Macam mana pula tiba-tiba ada bunyi kucing dalam keretanya sekarang ini.

Gila! Memang gila! Tubuh Salman tiba-tiba berasa seram sejuk. Menggigil! Kecut perut dia ketika itu apabila melihat kucing yang berwajah hodoh tadi sedang berada di tempat duduk belakang dalam keretanya. Sejak bila? Salman hanya tertanya-tanya sendiri dalam hati. Langsung tidak berani untuk bersuara. 

Salman menjeling sejenak melalui cermin pandang belakang. Mata kucing tersebut sedang tajam memerhatikannya. Mata haiwan itu kelihatan bercahaya. Merah menyala. Seakan ada dendam yang tersimpan. Seriau Salman dibuatnya. Cepat-cepat Salman memberhentikan keretanya di tepi jalan. Dia mahu menghalau kucing pelik itu berambus daripada keretanya. Sudahlah bau busuk!

‘’Keluar kau sekarang kucing hodoh,busuk!Hishhh gelilah aku!’’

Salman menendang kucing itu keluar daripada keretanya. Tiba-tiba dengan tidak semena-mena kucing tersebut berubah wajah. Kucing itu bertukar menjadi satu makhluk yang amat mengerikan. Kedua-dua belah biji matanya tersembul keluar.

Darah menitik-nitik keluar daripada bebola matanya yang sudah hampir terkeluar itu. Cecair pekat kemerahan yang menitik keluar dari bebola matanya itu berbau busuk hamis darah. Terus hilang rupa kucing yang kasihan tadi.

Saiz badannya yang kecil tadi semakin lama semakin membesar. Kini yang wujud di depan mata Salman adalah sejenis makhluk yang amat menakutkan. Badan makhluk ini besar dua kali ganda daripadanya dan berbulu lebat. Telinganya masih lagi pelik seperti kucing tadi iaitu sebelah besar sebelah kecil. 

Badannya yang berbulu lebat itu penuh dengan kesan kurap. Ulat-ulat kecil kelihatan sedang menjalar-jalar di sekitar badannya yang berbulu lebat itu. Salman mula berasa cuak dengan apa yang dilihatnya di depan mata. Mustahil! Memang mustahil! Macam mana kucing mengemis tadi boleh bertukar menjadi makhluk menakutkan seperti ini?Syaitan?Hantu?Aghhh…Mustahillah!

‘’Hihihihihi….hihihihihihi….’’

Makhluk bermuka hodoh itu mula mengilai pula. Semakin lama semakin nyaring ia mengilai. Tubuhnya yang berbulu panjang mula mengerbang ditiup angin malam. Ulat-ulat yang banyak menjalar di badan makhluk itu mula melayang ke tubuh Salman apabila ditiup angin. 

Puas Salman menepis ulat-ulat busuk tersebut daripada terus melekat di badannya. Salman menjadi semakin takut. Mengigil satu badannya menyaksikan sesuatu yang dianggap mustahil di depan matanya kini. Manakan mungkin seekor kucing kurap tadi mampu bertukar menjadi makhluk hodoh bertubuh sebesar ini. Gila!

Salman cuba mencubit pipinya sekuat hati. Aghhh..sakit! Sah dia tidak bermimpi. Dengan badan yang mengeletar ketakutan Salman cepat-cepat masuk ke dalam kereta dan mengunci keretanya. Peluh jantan sudah mula membasahi seluruh muka dan badannya. Salman tercungap-cungap mencari nafas sambil cuba menghidupkan enjin keretanya berkali-kali. 

Disaat getir seperti ini pulalah keretanya membuat hal susah mahu dihidupkan enjinnya. Berkali-kali Salman mencuba tetap gagal. Salman memberanikan diri memandang cermin pandang belakang.

Sah ! Kucing yang sudah bertukar menjadi makhluk hodoh itu tadi sudah menyelinap masuk semula dan duduk di kerusi belakang keretanya! Berkali-kali Salman menelan air liur yang terasa perit di tekak. Nafasnya seakan tersekat! -TAMAT-



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku