Tali Kasih
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 09 April 2017
Hulurkan aku cintamu seikhlas hati...
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
181

Bacaan






“Cuba adik ingat betul-betul. Rumah adik yang mana satu. Jauh lagi tak dari sini?” Rizal bertanya lembut kepada Aiman. Sudah puas dia mencari rumah Aiman sejak tadi, namun rumah yang dimaksudkan oleh Aiman tidak juga kelihatan. Hairan juga dia, bagaimanalah Aiman boleh tidak cam rumah sendiri. Pelik betul.

“Saya tak berapa ingatlah, bang. Selalunya mama yang hantar pergi sekolah. Di rumah pun, saya jarang keluar bermain dengan kawan-kawan. Tapi, dah nak dekat sampai ni. Tak berapa jauh lagi sampailah,” balas Aiman bersahaja. Dia cuba memerhatikan kawasan taman perumahan yang dilaluinya sekarang. Anak kecil sepertinya memang selalu lupa. Padahal sudah banyak kali mamanya menunjukkan jalan menuju ke rumahnya.

“Tak apalah, dik. Kita cuba cari lagi ya.” Rizal tetap sabar melayan kerenah Aiman. Barangkali anak itu benar-benar lupa. Lagipun rumah di kawasan taman perumahan itu terlalu banyak. Dia sendiri pening kepala mencari arah jalan rumah Aiman.

Ketika melalui sebuah rumah yang berdekatan dengan taman permainan, tiba-tiba Aiman melihat kelibat mamanya yang baru turun dari kereta. Dia menjerit-jerit memanggil mamanya kerana terlalu gembira.

“Mama, mama!” ucapnya lalu turun mendapatkan Erlina.

Erlina yang sedikit terkejut terus memeluk erat anaknya itu. Tidak menyangka, rupa-rupanya Aiman menaiki sebuah kereta mewah yang tidak diketahui siapa pemiliknya. Beberapa minit kemudian, Rizal keluar dari perut kereta sambil melemparkan senyuman manis kepadanya. Erlina buat-buat tidak tahu. Mukanya masam seperti cuka.

“Maafkan saya, puan. Err, cik...” Tergagap-gagap Rizal bersuara setelah melihat sendiri rupa mama Aiman. Dari pengamatannya, gadis yang berada di hadapannya itu terlalu muda daripada usianya. Betulkah ini mama Aiman? Keliru dia dibuatnya.

Erlina memandang Rizal dari atas hingga ke bawah seperti orang tidak puas hati. Tangannya sudah mencekak pinggang.

“Saudara ni tak tahu malu ke bawa anak orang, hah. Siapa yang izinkan saudara bawa anak saya ni? Pandai-pandai saja,” herdik Erlina kuat. Dia mengarahkan Aiman masuk dulu ke dalam rumah kerana dia ada urusan yang perlu diselesaikan dengan pemuda tidak waras di hadapannya itu. Tahap kemarahannya sudah berada di tahap kemuncak.

“Maafkan saya, puan. Saya tidak ada niat nak bawa anak puan. Saya cuma kasihan tengok dia seorang diri di sekolah tadi. Sebab itu saya ajak dia naik kereta saya.” Lembut sahaja suara Rizal menuturkan kata. Walau berdebar, dia tetap menatap wajah gadis itu. Dia berani kerana benar. Apa yang perlu ditakutkan.

“Itu masalah saya sendiri. Awak tak perlu masuk campur. Saya cepat ke, lambat ke, tak ada kena-mengena dengan awak tahu tak. Awak tak payah nak susahkan diri hantar anak saya pulang. Saya tahu tugas saya sebagai seorang ibu. Sebelum saya naik angin, lebih awak berambus dari sini. Berambus!” Erlina sudah hilang sabar. Dia tidak mahu berkompromi lagi dalam soal yang membabitkan anaknya. Nyawa Aiman ibarat nyawanya juga.

Rizal hanya diam tanpa sebarang kata. Segala herdikan yang diluahkan oleh Erlina tidak memberi kudis baginya. Biarlah gadis itu marah selagi dia boleh marah. Niatnya memang ikhlas untuk membantu, bukan ada maksud tersirat. Dia terus berlalu begitu sahaja meninggalkan Erlina sendirian.

Dalam hatinya, masih berteka-teki tentang status diri gadis itu. Benarkah Aiman itu anaknya? Kenapa terlalu muda orangnya. ‘Ah, biarlah. Bukan ada sangkut-paut dengan aku pun.’ Rizal malas mengusutkan fikiran memikirkan hal gadis itu. Hatinya sedikit tercalar apabila dituduh begitu rupa. Tidak bolehkah dia bercakap elok dengannya. Em, memang dasar perempuan tak tahu mengenang budi orang.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku