Tali Kasih
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 09 April 2017
Hulurkan aku cintamu seikhlas hati...
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
861

Bacaan






“Kenapa kau marah budak lelaki tu, Lina? Tak baik tau,” nasihat Puan Rohani lembut selepas anak muda yang tidak bersalah itu berlalu pergi meninggalkan mereka.

“Macam mana Lina tak marah, ibu. Dia tu tak patut bawa Aiman pulang. Kalau jadi apa-apa dengan Aiman, siapa yang nak bertanggungjawab. Pandai-pandai saja nak bawa anak orang.” Erlina masih belum puas berleter. Sakit betul hatinya apabila memandang wajah anak muda tadi. Terasa ingin dipijak-pijak sampai lumat. Mujurlah Puan Rohani ada bersamanya. Kalau tidak, entah perkara apa yang bakal berlaku kepadanya.

“Erm...Lina, Lina. Janganlah kau ikut sangat rasa marah kau tu. Sepatutnya kau berterima kasih dengan budak tu. Sudah untung dia hantar Aiman sampai rumah. Nak harapkan kau, sampai esok Aiman tercegat kat sekolah tu. Kau ni betul-betul tak ada rasa perikemanusiaan langsung.”

Puan Rohani hanya menggeleng melihat kerenah anak bongsunya itu. Perangai tetap macam budak-budak. Hal sikit macam itu pun mahu dibesarkan. Aiman di sisinya hanya tersenyum melihat perbalahan kecil yang berlaku antara neneknya dengan mamanya.

“Mama janganlah marah lagi. Abang tu tak salahlah. Aiman yang salah. Patutnya Aiman tunggu mama tadi. Maafkan Aiman, ya,” ucap Aiman meminta maaf. Tubuh Erlina dipeluknya erat-erat. Sayang benar dia akan ibu saudaranya itu. Dia sudah biasa memanggil Erlina dengan panggilan mama.

Aiman merupakan anak kepada kakak Erlina yang meninggal dunia kira-kira lima tahun yang lalu akibat kemalangan. Kakaknya maut bersama abang iparnya kerana kereta yang dipandu hilang kawalan sehingga merempuh sebuah lori treler. Ketika itu mereka berdua dalam perjalanan pulang ke kampung abang iparnya. Mujurlah saat itu, Aiman tidak dibawa sekali. Dia bersyukur kerana ALLAH telah menyelamatkan nyawa Aiman dari tragedi malang berkenaan.

Semenjak itu, tugas mengasuh dan mendidik Aiman diambil alih oleh Erlina. Puan Rohani pula hanya membantu setakat mana yang mampu. Sebab itu Erlina amat menyayangi Aiman seperti anaknya sendiri walaupun dia belum berkahwin lagi.

Usianya baru menjangkau 22 tahun. Terlalu muda untuk merasai alam perkahwinan, apatah lagi menjaga anak kecil seperti Aiman. Erlina juga masih belum mempunyai teman lelaki sampai ke saat ini. Kasih dan sayangnya hanya dicurahkan untuk Aiman seorang. Hanya Aiman pengarang jantungnya sampai bila-bila.

“Mama, abang tadi tu baik sangat dekat Aiman tau. Dia belanja Aiman makan aiskrim. Sedap sangat.” Beria-ia benar Aiman bercerita perihal Rizal kepadanya. Erlina hanya tersenyum tawar mendengar cerita Aiman.

“Lain kali jangan ikut orang tak kenal. Sudah berapa kali mama pesan. Kita tak tahu sama ada orang itu baik atau jahat. Aiman ingat pesan mama ni baik-baik, ya.” Erlina mengingatkan anak saudaranya itu berulang-ulang kali sambil mengusap lembut rambut Aiman.

“Mama ni. Kalau abang tu jahat, mesti dia dah culik Aiman tahu tak. Abang tu baiklah. Aiman suka berkawan dengan abang tu. Nanti kita jumpa abang tu lagi, ya. Boleh ya, mama. Bolehlah...” Aiman merengek-rengek manja.

Puan Rohani tergelak kecil mendengar kata-kata cucunya itu. Erlina pula tetap membisu tanpa kata. Permintaan Aiman itu tidak mampu ditolak kerana bimbang Aiman berkecil hati. Dalam masa yang sama, dia berperang dengan perasaan sendiri sama ada perlu menunaikan permintaan Aiman atau sebaliknya.

Setelah agak lama membisu, akhirnya dia bersuara semula. “Aiman tahu ke rumah abang tu kat mana?” tanya Erlina inginkan kepastian. Hatinya terlalu berat untuk menuturkan kata, tetapi entah kenapa lidahnya terasa ringan sahaja mengatur gerak.

Aiman tersenyum sambil menunjukkan sehelai kad nama dan sekeping gambar berukuran pasport yang tergenggam kemas di tangannya. Erlina terpempan seketika apabila melihat gambar lelaki tadi berada dalam simpanan Aiman. Tanpa disuruh, dia terus merampas gambar itu dari tangan Aiman.

“Macam mana Aiman boleh dapat gambar dan alamat abang tu, hah?” Intonasi suara Erlina kedengaran meninggi. Aiman terus menundukkan wajah ke lantai.

“Sebenarnya, Aiman ambil sendiri masa nak keluar dari kereta tadi. Aiman nak simpan gambar abang tu. Nanti boleh tengok kalau rindu. Maafkan Aiman, mama.” Suara Aiman berubah nada. Dia tunduk sahaja ke bawah.

“Apa? Sejak bila Aiman pandai mencuri barang orang ni. Mama tak pernah ajar pun. Mama nak buang saja gambar ni. Tak ada guna kalau Aiman simpan. Hendak buat apa, menyemak sahaja di rumah. Pergi masuk bilik!” Kali ini Erlina tidak dapat mengawal emosi. Aiman terus berlalu ke bilik sambil menangis teresak-esak. Puan Rohani mengikuti cucunya itu dari belakang. Malas dia melayan kepala angin Erlina.

Erlina mengeluh panjang. Gambar dan alamat pemuda yang dimarahi petang tadi dipandang lama. Wajah itu ditatap lagi. Manis sungguh senyuman jejaka itu. Semanis orang yang dia jumpa sebentar tadi. Dia berkira-kira sama ada ingin membuang gambar itu atau menyimpannya sahaja. Untuk apa dia menyimpan gambar itu di rumahnya? ‘Ah, baik aku buang sahaja.’ Hatinya berbisik resah.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku