Dosa Cinta Adam
Bab
Genre: Cinta
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 12 April 2017
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)
1046

Bacaan







Angin petang meyapu daun-daun di sekeliling kuburan. Pak Hasan memandang dengan rasa menyampah. Daun-daun itu perlu dibersihkannya esok. Itulah yang dilakukannya selama ini sebagai penjaga kubur di situ. Namun di sudut hatinya merasa bertuah kerana diberikan satu tanggungjawab yang dapat mendekatkan dirinya kepada Allah. Setiap kali menguruskan jenazah, setiap kali itulah dia merasa betapa kerdilnya dia sebagai seorang manusia. Setiap jenazah yang menghuni kuburan itu juga penuh dengan pelbagai cerita . Cuma apa yang sampai ditelingannya ditanamkan dalam-dalam agar tidak dikatakan mengumpat jenazah berkenaan.

Bunyi berkeriut zink bangsal dipukul angin mengganggu Pak Hassan. Peluhnya menebas sebentar tadi kering ditiup angin. Kudrat tuanya hanya mampu untuk bekerja beberapa jam sahaja sebelum lelahnya kembali. Matanya kini tertumpu pada sekujur tubuh anak muda yang kerap berkunjung ke salah sebuah kubur di situ. Pemuda yang selalu berjeket hitam itu akan membuka lembaran kertas di atas kuburan itu sebelum terkumat kamit membaca doa. Kemudian dia akan mengalirkan airmata untuk beberapa ketika sebelum kembali menyambung bacaannya. Pemuda itu akan berada lebih kurang satu jam sebelum pulang dengan kereta Honda Civic putih yang diletakkan di kawasan berdekatan. Rasa ingin tahu Pak Hassan semakin kuat apabila melihat pemuda itu yang bukan dari Kampungnya.

“ Kubur siapa?” tegur Pak Hassan kepada pemuda tersebut sebaik dia lalu berhampiran bangsal tempat dia berehat.

Pemuda berjekat hitam itu tersentak dengan teguran itu. Dia terdiam sebentar sebelum bergegas meninggalkan Pak Hassan. Langkahnya dilajukan ke arah kereta tanpa berkata sepatah perkataan pun. Pak Hassan tersenyum melihat gelagat itu. Dia cuma mahu bertegur sapa sahaja.

******************************************************************

Awan redup petang memberikan tenaga kepada Pak Hassan untuk bekerja. Sudah satu jam dia menebas, namun belum ada tanda-tanda letih. Tiba-tiba dia terdengar bunyi benda jatuh dibelakangnya. Pemuda berjeket hitam terbaring melungkup di atas kuburan. Pak Hassan mencampakkan sabitnya sebelum bergegas kearah pemuda itu. Dia melangkah beberapa kubur sebelum sampai kepada pemuda tersebut.

“ Masyaallah, pitam rupanya budak ni” getus Pak Hassan sebaik menyentuh kepala pemuda tersebut. Tubuh muda tesebut diangkat dan dibawa ke bangsal. Tenaga tuanya digagahkan untuk bergerak melangkahi kubur-kubur menuju ke bangsal. Peluh mula memercik dari dahinya memikul beban berat pemuda itu. Sebaik sampai, tubuh itu segera dibaringkan diatas pankin. Pemuda itu mulai sedar dan menggerak-gerakkan kakinya. Matanya masih tertutup. Pak Hassan mengambil bekas air yang dibawanya. Air dipercikkan ke muka pemuda tersebut perlahan lahan. Pemuda itu bingkas bangun sebaik merasa air dicurahkan kemukannya. Dia lantas bangun berdiri. Mukanya yang mencengkung diusap berkali-kali.

“Nak ke mana tu?” jerkah Pak Hassan melihat pemuda tersebut berjalan ke arah keretanya.

“Tunggu dulu. Kamu tu belum sedar sangat. Nanti pitam lagi!!” Sambung Pak Hassan.

Langkah lemah pemuda itu terhenti. Perlahan-lahan dia berpusing untuk kembali ke bangsal berjumpa Pak Hassan.

“Kamu ni siapa ? “ soal Pak Hassan sebaik pemuda itu melabuhkan kembali punggungnya di bangsal itu.

“ Saya Adam. Dari Kampung seberang” jawab pemuda itu. Dia kelihatan tidak selesa menjawab. Seolah-oleh ada sesuatu yang disembunyikanya.

“ itu kubur siapa?” soal Pak Hassan lagi. Soalan yang diajukannya beberapa hari lepas tetapi belum terjawab. Adam terdiam sebentar. Kemudian menjawab perlahan. “ Awek saya “

Pak Hassan memahami frasa itu. Riak muka sedih terpancar di muka Adam. Dia menghembus nafas sambil memandang ke arah kuburan. Rasa penyesalan jelas terpancar.

“Boleh Pakcik tahu sebab matinya”

Kali ini Pemuda itu terdiam lebih lama. Dia seolah-olah tidak mahu menjawab.

Pak Hassan bagkit untuk mengambil sabitnya yang ditinggalkan sebentar tadi. Dia tidak mahu menunggu lama jika pemuda itu hanya membisu.

“ Dia meninggal sebab salah makan ubat.” Itulah jawapan yang sampai ke telinga Pak Hassan sebelum dia melangkah ke kawasan memotong rumput. Adam masih lagi berada di bangsal. Rasa serba salah membuatkan Pak Hasan kembali ke bangsal.

“ Pak Cik yang kebumikannya dua minggu lepas. Tak dengar apa pun cerita dari keluarganya. Orang kampung cakap dia mati sebab pendarahan dalaman” sambung Pak Hassan sebaik menyimpan sabitnya. Dia menuangkan air sejuk kedalam gelas yang tersedia sebelum menyerahkan kepada Adam.

“ Kenapa kamu kerap ke sini?’ Soalnya pula.

“Saya mahu menebus dosa saya pada Maria, Pak Cik. Saya berdosa sangat.” Adam memulakan cerita. Teman wanitannya yang meninggal itu bernama Maria. “Kami berkawan sejak sekolah menengah. Dialah kekasih hati saya selama ini.”

Pak Hassan meneguk air yang dituangkannya. Hatinya tertarik untuk mendengar cerita selanjutnya dari pemuda itu.

“Saya yakin kami akan bersama sehingga akhir hayat, namun ini yang terjadi. Selama ini tiada apa yang dapat memisahkan kami. Setiap apa yang saya buat akan saya ceritakan kepadanya. Siang dan malam kami akan berbual atau Berchatting.” Cerita Adam terhenti kerana sebak.

“sekarang ni dia sudah pergi jauh sangat.” Adam meneguk perlahan air yang diberikan oleh Pak Hassan.

“ Saya berdosa sangat-sangat pak cik. Tak tahulah tuhan ampunkan dosa saya atau tidak” Ulang Adam lagi.

“sebabnya apa kamu kata macam tu.” Soal Pak Hassan berminat.

Adam tunduk memandang tanah sebelum menjawab. “Hubungan kami dah jauh pakcik. Dah macam suami isteri. Cuma keluarga sahaja yang tidak tahu. Kami dah tak dapat mengawal diri macam dulu-dulu. Sejak bapa belikan saya kereta. Kami selalu sahaja berjumpa sebaik sahaja lepas kerja.”

“Masyaallah. Sampai ke situ kamu rupanya.” Balas Pak Hassan perlahan.

“Saya memang nak kahwin dengan Maria. Cuma mak dan ayah kami tidak yakin dengan kami. Agaknya sebab itulah kami jadi macam ini.” Adam cuba menghuraikan apa yang tertanam di kepalanya.

“Itu bukan alas an untuk kamu tidak mengenal dosa dan pahala. Takkan ibu bapa kamu tidak mengajarkan agama kepada kamu.” Tegur Pak Hassan.

Adam tersenyum tawar. Tangannya menyeluk ke dalam jeket dan mengeluarkan kertas yang selalu dibacanya semasa di kuburan. Kertas itu diserahkan kepada Pak Hassan.

“ itulah yang selama ini say a baca untuk Maria pak Cik.” Ujarnya.

Pak Hassan meneliti satu persatu ayat-ayat al fatihah, al nas, al alaq dan al ikhlas yang tertulis dalam tulisan rumi. Ayat-ayat itu ditaip kemas menggunakan Komputer. Pak Hassan mengeleng-gelengkan kepala.

“Satu huruf jawi pun saya tak kenal Pak Cik. Sembahyang pun ikut-ikut orang sahaja. Saya sedih sangat bila sembahyangkan mayat Maria dulu. Apa pun saya tak baca. Yang mampu saya buat adalah menangis. Saya harap tuhan akan terima doa saya untuk Maria.” Adam bercerita dengan mata berkaca.

“ Kamu perlu banyak bersabar Adam. Semua yang jadi adalah ketentuan Illahi” Pak Hassan cuba memujuk.

“ Saya sedih sangat sebab Maria pergi bersama anak kami.” Sambung Adam lagi.

Kali ini Pak Hassan turut merenung jauh. Anak muda yang bersamanya ini sudah jauh dari yang dijangkakannya. Titik-titik noda yang ada kini menjadi barah yang meracun kehidupannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana tidak diuji sebegitu oleh tuhan. Tidak ada kata-kata yang keluar dari mulutnya untuk menyambung cerita Adam.

Adam tiba-tiba menangis teresak-esak. Pak Hassan yang berada bersebelahan menjadi serba salah.

“saya yang bunuh Maria pakcik. Saya yang bunuh Maria dan anak kami” jerit Adam dalam tangisnya. “ Kalau saya tak bagi ubat buang janin yang kawan saya bagi tu, tentu Maria masih ada.”

Adam teresak esak menahan tangis. Kali ini semua yang terbuku dihatinya dikeluarkan.

“ Saya sayangkan Maria sepenuh hati..seikhlas mungkin..tidak ada perempuan lain dalam hati saya selain dia. Walaupun saya anak orang kaya dan dia hanya budak kampung biasa. Saya yakin dia akan bahagiakan saya. Bila dia cakap dah mengandung, saya jadi panik. Kami tak mahu semua orang tahu perkara yang memalukan ini. Sebab itu saya minta dia makan ubat tu.” Sambung Adam teresak-esak.

Pak Hassan menepuk bahu Adam bagi meredakan tangisannya. Dia sendiri kaget dengan cerita Adam. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Baginya tidak ada jalan yang terbaik untuk Adam melainkan bertaubat. Dia memandang simpati kearah Adam.

“Budak ni perlu dibantu. Kalau tak, makin jauh akidahnya nanti” bisik hatinya.

“ Kamu dah tak pening lagi.” Pak Hassan mengubah topik. Baginya tidak harus terus membiarkan Adam melayan perasaan. Pemuda itu perlu bangkit untuk berubah.

“ dah baik sikit Pak Cik. Terima kasih banyak-banyak” ujar Adam. “ Saya kena balik sekarang. Nanti mak tertunggu-tunggu saya pulak”

Pak Hassan menyerahkan kembali kertas yang dipegangnya kepada Adam. Adam melipatnya sebelum menyimpannya kembali ke dalam jaketnya.

“ Boleh saya minta pakcik tolong sikit “ Tanya Adam.

“Insyaallah, setakat mana yang pakcik mampu. Apa yang boleh Pakcik tolong?”

“ Boleh Pakcik tolong ajarkan saya surah Yassin. Saya dah lama nak bacakan untuk Maria tapi tak pernah kesampaian. Yang dalam tulisan rumi saya cari tak jumpa”

“ Pak Cik boleh bantu kalau itu yang kamu mahu. Takkan kamu nak belajar di kawasan kubur ni?”

Adam memandang tepat kepada Pak Hassan sebelum menjawab. “ Di sini saya dekat dengan Maria, Pak Cik. Saya akan rasa tenang kalau dekat dengannya. Saya pun tak banyak masa untuk belajar. Sibuk dengan kerja dan urusan keluarga sahaja. Apa yang saya buat ni pun tak ada yang tahu, termasuk keluarga saya. Saya harap Pak Cik dapat rahsiakannya. Pakcik ajarkanlah saya di sini sahaja setiap petang.”

Pak Hassan mengangguk faham. Dia sendiri pun dapat merasakan kesedihan anak muda itu. Matanya menyorot susuk tubuh Adam ke arah keretanya sebelum menghilang menuju kea rah jalan raya.

**********************************************************************

Angin seoi-sepoi bahasa seperti selalu. Pak Hassan memandang langit sekali lagi. Dia gusar kerana Adam belum sampai pada masa yang dijanjikannya. Biasanya anak muda itu akan menemaninya membersihkan kawasan kubur itu sebelum dia mengajarkan bacaan Yassin seperti selalu. Anak muda itu juga sudah mula bersembahyang dan mengerjakan rukun Islam yang lainnya dengan baik. Sudah beberapa minggu Adam belajar dengan Pak Hassan.

“ Assalamualaikum Pak Hassan” Suatu suara kedengaran dari jauh. Pak Hassan sangat kenal dengan suara tersebut. Pasti ada yang sesuatu yang tidak baik jika Penghulu kampung datang ke kawasan kubur mencarinya. Pak Hassan menjawab salam sambil melambai tangan memberitahu arah tempat dia berada.

“ Ada apa tok” Tanya Pak Hassan sebaik Tok Penghulu sampai.

“ Kamu tolong sediakan liang petang ni. Ada mayat yang nak dikebumikan lepas asar. Ada dua budak lagi akan datang tolong kamu nanti.” Arah Tok Penghulu.

“Mayat siapa Tok?” Soal Pak Hassan lagi.

“ Budak kampung seberang, tapi bapanya menerima wasiat supaya dia dikuburkan di sini. Dia meninggal kemalangan kereta selepas sembahyang subuh. Aku nak pergi mengumpulkan AJK masjid sekarang. ” Jelas penghulu sebelum berlalu.

“ kalau tak silap nama budak tu, Adam”Sambung Tok Penghulu.

Pak Hassan tersentak dengan pernyataan itu. “Innalillahiwainnailaihirajiun” ucapnya perlahan.Matanya mula berkaca tetapi ditahannya. Dia langsung tidak menghiraukan tok penghulu yang member salam dari jauh. Dia segera menuju ke kawasan bersebelahan kubur Maria.

Kali ini pak Hassan terpaku sekali lagi. Satu liang yang digali kira-kira sejengkal berada bersebelah kubur Maria. Cangkul yang digunakan masih berada di situ. Pak Hassan tidak menyangka Adam telah menggali liang di situ selama ini. Apa yang diketahuinya cuma Adam selalu membuang rumput-rumput yang ada sekitar kubur itu dengan cangkul yang diberikannya.

Dia mengambil cangkul yang ada dan mula mengorek tanah di tapak tersebut. Kerja-kerja Adam yang tertangguh itu disambungnya. Hatinya merasa hiba dengan kehilangan tersebut. Dia merasa terusik dengan pengalaman bersama dengan anak muda itu. Namun tanggungjawabnya perlu diteruskan.

“Semoga Allah menerima taubatmu anak muda!” doanya di dalam hati.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku