Suka Sama Suka
Bab 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 April 2017
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
600

Bacaan






Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Shah Alam – 8.00 pagi

SETELAH memarkir kereta dan mematikan enjen, Zarul menoleh memandang Elis. Begitu tekun mata Elis memerhati sekitar bangunan yang tersergam indah di hadapannya. Senyuman pula tidak lekang di bibir. Zarul ikut tersenyum seperti Elis. Dia dapat merasakan Elis benar-benar mahu mengubah kehidupannya. Langkah sudah diambil sejauh ini, masakan Elis terfikir untuk mengundur diri pula?

“Elis?” Zarul menegur dengan nada lembut.

Elis tidak mendengar panggilan Zarul. Tetap memandang bangunan di hadapannya.

Tergeleng-geleng kepala Zarul melihat telatah Elis. Ehem-ehem, dia berdehem kuat. “Eleh?” Kali ini, dia menguatkan volum suaranya.

Elis tersentak. Semerta menoleh memandang Zarul. “Err… kau panggil aku ke, Zarul?”

Terjongket sebelah kening Zarul mendengar soalan Elis. “Taklah…” Spontan jawapan itu meluncur dari bibirnya.

Elis tercengang. “Haa?”

Zarul sengih-sengih. Terfikir satu ayat pick up line.Baik punya! “Cuba kau pandang belakang.” Dia mengarah Elis.

Tanpa menunggu lama, Elis semerta memusingkan tubuhnya ke belakang. Kemudian kembali memandang Zarul semula. “Mana ada orang.”

“Ada…” kata Zarul.

Berkerut dahi Elis. “Siapa?”

“Hantu.”

“Hantu?” Elis menjeling. “Merepeklah kau! Mana ada hantu!” bebelnya.

Zarul sengih lagi. “Memang kita tak boleh nampak hantu. Tapi kau tu umpama hantu. Mana taknya, aku bercakap macam tunggul kayu tapi kau buat derk aje. Kau memang hantu punya oranglah!” Dia terus ketawa. Puas hati kerana berjaya mengenakan Elis.

Elis terkesima. Ceh, dia terkena lagi! “Dahlah, jom kita keluar!” Cepat-cepat dia membolos keluar dari perut kereta.

Zarul ikut sama keluar dari perut kereta.

“So, kau dah bawa semua dokumen yang diperlukan untuk daftar SPM?” soal Zarul.

Elis terus senyum lebar. “Dari semalam lagi aku dah siap!” jawabnya penuh semangat. Bagaikan terngiang-ngiang lagu gemuruh nyanyian Faizal Tahir di telinganya kini.

Bila bertalu rentak di kalbu, hasrat yang tersirat semakin kuburu. Bila bergema laungan gembita, harapan bernyala nadiku berganda. Gemuruh jiwa, semangat membara. Dari puncak ingin ke angkasa. Berkalungkan bintang berkelipan. Menyerlah jauh dari yang biasa.

Itulah yang dia rasakan kini. Hasratnya semakin bertalu-talu memukul kalbu, tidak sabar untuk diburu. Dan kini dia sudah mengambil langkah pertama untuk mengejar impian yang berkelipan di dada langit. Dia semakin bersemangat untuk memetik bintang di angkasa! Kau kena kuat, Elis Nou’rell!

“Baguslah!” puji Zarul.

Mata Elis kini merenung ke arah khemah pendaftaran untuk calon SPM. Begitu ramai calon yang ingin mendaftar untuk mengulangi peperiksaan penting yang bakal menentukan arah tuju hidup itu.

“Tunggu apa lagi?” Tiba-tiba Elis bersuara.

“Apa dia?”

“Jomlah!” Meluru Elis menuju ke khemah pendaftaran itu. Meninggalkan Zarul.

Zarul pun apa lagi? Terus mengejar Elis dari belakang.

SELESAI menghidangkan makanan dan minuman buat para penumpang, Ashraf kembali ke sudut pantri kecil itu. Kelihatan Farhan, pramugara yang bertugas bersamanya di awan biru kali ini, memandangnya. Dan kali ini destinasi mereka ialah di Bali. Berkerut dahi Farhan melihat wajah sugul Ashraf.

“Ash?” tegur Farhan.

Ashraf tersentak. Hilang lamunannya. “Ada apa, Han?” soalnya, terpinga-pinga memandang Farhan.

“Kau okey ke ni?” Soalan berbalas dengan soalan.

Ashraf senyum kelat. “Aku okey.” Sepatah dia membalas.

Farhan mencebik. “Okey ke macam ni? Muka macam tahi kucing, kau boleh cakap kau okey? Nasib baik kau pandai coverdepan penumpang tau. Senyum lebar sampai ke gigi, tayang muka manis. Kalau tak, confirmada penumpang yang kompelin pasal kau tau.”

Ashraf tergamam. “Muka aku teruk sangat ke?”

“Tadi okey, sekarang macam minta penampar,” jawab Farhan.

Ashraf terus terdiam.

“Cuba kau cerita kat aku, Ash. Kau ada masalah ke?” korek Farhan. Mereka sememangnya rapat sedari jalani latihan cabin crewlagi. Bermacam-macam rahsia dikongsi bersama. Sungguh, Farhan selesa bersama Ashraf. Masing-masing saling berkongsi pandangan dan nasihat.

Ashraf melepaskan keluhan. “Mak aku…”

Berkerut dahi Farhan. “Kenapa dengan mak kau?”

Ashraf memicit dahi. “Mak aku desak aku cari Kak Elis. Aku dah tak tahu nak cari kat mana lagi. Merata tempat aku pergi. Setiap negeri aku jelajahi. Entah mana kakak aku tu menyorok? Aku tak tahu! Aku dah penat, Han,” keluhnya dengan nada lemah.

Farhan ikut sama mengeluh. “Kau tak cuba contact dia ke, Ash?”

“Macam mana aku nak contactkalau nombor telefon sedia ada dalam phoneaku ni tak ada dalam perkhidmatan?” balas Ashraf.

Farhan berdecit. “Macam mana aku nak tolong kau, eh?”

Ashraf menjongket bahu. “Entahlah…”

Farhan kembali membisu.

“Aku dah tak tahu nak buat apa lagi, Han. Aku serba salah dengan mak aku. Dia beria-ia nak aku cari Kak Elis. Dan sebagai seorang anak, aku nak tunaikan harapan ibu aku. Aku tak sanggup tengok mak aku terus ratapi kehilangan kakak aku. Hari-hari dia tunggu depan muka pintu, tunggu kepulangan kakak aku, tapi…” Tidak berdaya rasanya Ashraf hendak meneruskan kata lagi. Sebak memikirkan apa yang telah berlaku pada famili mereka. Ah, silapnya juga!

“Haa…” Tiba-tiba Farhan memetik jari.

Terkebil-kebil mata Ashraf melihat telatah Farhan.

“Apa kata kalau kau upah penyiasat persendirian. Suruh dia kesan keberadaan kakak kau yang hilang tu,” cadang Farhan bersungguh-sungguh.

Ashraf tersenyum. Betul juga kata Farhan. Mengapa dari dulu lagi, dia tidak terfikirkan cara itu? Ah, dungunya dia! “Betul juga. Kenapalah aku tak terfikir dari dulu lagi?” balasnya.

Farhan tersenyum. “Aku faham, Ash. Kau tengah kusut fikirkan permintaan mak kau tu. Sebab tulah kau tak boleh nak fikir apa-apa. Dan sebagai seorang kawan, aku kena tolong redakan kekusutan di kepala kau tu. Aku harap cadangan aku ni sedikit sebanyak dapat bantu kau, Ash,” balasnya bersungguh-sungguh.

Ashraf ikut sama tersenyum. “Sangat-sangat membantu, Han. Terima kasih banyak-banyak,” balasnya.

“Sama-sama,” balas Farhan.

Mereka bangun, lalu memulakan kembali menjalankan tugas mereka melayani para penumpang.

SELESAI mendaftar peperiksaan SPM, Zarul dan Elis meluangkan masa bersama-sama di Restoran McDonalds, berdekatan dengan UiTM Shah Alam. Setelah memesan makanan, mereka menunggu di ruang menunggu. Menanti hidangan yang dipesan siap. Sementara menunggu, mereka berbual-bual.

“Zarul?” tegur Elis.

Zarul menoleh memandang Elis. “Ya?”

“Aku nak tanya sesuatu, boleh?” Elis menyoal, meminta keizinan.

Berkerut dahi Zarul. “Nak tanya pun kena minta izin dulu ke, hmm?” balasnya.

Elis memuncung bibir. “Aku tanya ni bersebab. Manalah tahu kalau-kalau kau tak selesa dengan soalan yang aku nak tanya ni. Sebab tulah aku minta izin kau dulu. Aku tak nak kau sembur aku sebab tak suka dengan soalan aku ni haa…” sindirnya.

Zarul hanya mencemik. Banyak mulut pula dia ni. “Kau nak tahu tak apa perbezaan kau dengan ayam?”

Elis tercengang. “Beza apa, kau ni? Mentang-mentang orderayam goreng McDonald tadi. Lepas tu, nak samakan aku dengan ayam. Apa kes?” marahnya.

Zarul tersengih-sengih.

Elis tepuk dahi. “Dia tersengihlah pula. Cepatlah bagitahu, apa beza aku dengan ayam?”

Zarul masih tersengih. “Kalau ayam suka berkokok, kau pula suka bercakap tak henti. Antara kau dan ayam ada satu persamaan. Persamaannya ialah suara kau dan ayam membingitkan telinga sesiapa aje yang mendengar.” Dia terus bantai gelak. Puas hati kerana sudah berjaya mengenakan Elis.

Buntang terus mata Elis. “Ha ha ha…” Dia tepuk tangan sebanyak tiga kali. “Pandai buat ayat pick up linekan?” tambahnya, menyindir Zarul.

Zarul terus ketawa.

Elis berdecit. “Dahlah… tak payahlah main-main. Aku serius ni!”

“Okey, okey,” Zarul menyembunyikan tawanya. “Kau nak tanya apa?” sambungnya.

“Kalau nak dibandingkan taraf pekerjaan kau dengan aku, bagai langit dengan bumi. Kau kerani, aku pula cleaner. Kau boleh pilih kawan dari kalangan orang yang kerja sama dengan kau. Aku ni banyak kekurangan. Kau mesti ada banyak keistimewaan. Kenapa kau beria-ia nak tolong aku, Zarul?” Itulah persoalan yang menikam benak Elis bertubi-tubi.

Zarul mengukir senyuman. “Kenapa kena bandingkan taraf pekerjaan kita? Kita bukan hidup di zaman kuno tau. Zaman sekarang ni, orang dah tak pandang taraf kita. Orang ukur tahap kejayaan kita. Orang akan puji bila tengok kita berjaya dalam hidup. Macam tulah bila kita gagal, orang akan keji kita.”

Tekun Elis mendengar jawapan Zarul.

“Macam aku ni, aku tak kisah nak berkawan dengan sesiapa. Bagi aku, manusia ni fitrahnya sama aje di sisi ALLAH. Buktinya? Soalan Malaikat Munkar dan Nakir ketika kita hadapi di dalam kubur sama aje. Siapakah Tuhan-Mu, siapakah Nabi-Mu, apakah agama-Mu, apakah kiblat-Mu, siapakah saudara-Mu, apakah pegangan dan iktikad-Mu, apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu? Jadi buat apa kita nak pandang rendah pada orang, betul tak?” sambung Zarul bersungguh-sungguh.

Elis terus terdiam. Tergamam mendengar hujah Zarul. Dan dia juga terasa betapa kerdilnya dia di sisi ALLAH. Lalai dalam menunaikan tuntutan agama.

Zarul kembali memandang wajah Elis. “Soalan kau tu dah terjawab kan?”

Elis tersenyum, lalu mengangguk.

“Baguslah,” balas Zarul.

“Lagi satu, aku…”

Belum sempat Elis menghabiskan kata, nombor giliran mereka naik di skrin. Menandakan makanan yang dipesan mereka telahpun siap disediakan.

“Kau tunggu kat sini kejap. Aku pergi ambil makanan ya?” arah Zarul.

Elis hanya mengangguk sebagai jawapan.

Lantas, Zarul menyusun langkah menuju ke kaunter.

Elis menghantar susuk tubuh Zarul melalui pandangan mata. Sejujurnya, dia berasa kagum dengan perwatakan Zarul. Dan satu lagi, dia sudah semakin selesa bersahabat dengan Zarul. Zarul tidak sama seperti manusia yang pernah dia kenali dahulu. Zarul ikhlas ketika menjalinkan persahabatan. Dan keikhlasannya jelas terpamer melalui lirikan mata dan tingkah lakunya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab PROLOG | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 4 | Bab 5 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku