Chandelier
Bab 7
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 April 2017
Penilaian Purata:
(9 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
737

Bacaan







Kirana membelek acuan tembaganya. Acuan yang keras dibelek dengan hati-hati dan bibirnya mengukir senyuman kepuasan.

‘Ku Syakira, aku akan jadikan kau lampu hias chandelier yang paling menawan hingga tiada orang mampu menahan untuk memandang kecantikan kau.’ Bisik Kirana lalu tertawa kemenangan.

Acuan tembaga mula dipecahkan sedikit demi sedikit hingga menampakkan warna kuning keemasan tembaga hasil campuran organ dan darah Ku Syakira. Pecahan acuan tanah liat diketepikan. Tembaga dikilatkan menggunakan mesin yang sedia ada. Percikan api sedikit pun tak dihiraukan. Segenap inci tembaga itu dikilatkan dan digilap sehingga warna kuning keemasannya berkilau cantik.

“Cantik konon. Kau nak sangat orang pandang, kan? Mulai dari saat ini, memang orang akan pandang kau tanpa jemu. Sekali pandang tak jemu, seperti mana masa hidup kau dulu. Baru nama Ku Syakira. Cik Puan Ku Syakira dah jadi chandelier Kirana.” Kirana ketawa mengilai lalu mencampakkan tembaga yang sudah digilap itu ke dalam bekas berisi air yang berfungsi mengekalkan kilatan tembaga. Bergema loteng dengan hilai tawa Kirana.

Lima hari lamanya Kirana mengadap chandelier Ku Syakira. Dari proses membentuk juntaian manik-manik kristal hinggalah mencantumkannya ke tembaga yang telah diukir halus. Kini hampir 90 peratus lampu hias chandelier nya hampir siap. Hanya tinggal meletakkan mentol yang bersesuaian dan digilap sekali lagi.

Selama lima hari itu juga, Tok Penghulu berulang alik ke rumah agam Kirana dan memberitahu perkembangan pencarian Ku Syakira. Semakin lama, semakin kurang orang yang membantu dalam pencarian itu. Hinggakan Tok Penghulu memutuskan untuk menghentikan pencarian dan menganggap Ku Syakira mati dibaham binatang buas. Yang hanya menjadi tanda tanya, mengapa Ku Syakira berada di bangsal.

Berita itu disambut dengan tangisan oleh Mak Munah dan Pak Deraman namun lama kelamaan mereka berdua redha dalam ketentuan Ilahi. Kirana meneruskan rutin kehidupannya seperti biasa bersama Mak Munah dan Pak Deraman. Di mata penduduk kampung, Kirana merupakan gadis naif yang kehilangan keluarga tercinta dan dalam masa yang sama bertuah kerana memiliki harta pusaka yang tak ternilai harganya.

Kopi yang masih panas ditiup dan dicicip perlahan-lahan. Ubi keledek dicapai dan dicicah kelapa parut. Semenjak ketiadaan Ku Syakira, hanya Pak Deraman yang sudi menemaninya bersarapan pagi. Mak Munah sering mengelak dengan beralasan sudah bersarapan di rumah bersama anak cucunya. Padahal bukan Kirana tak nampak, Mak Munah hanya bersarapan setelah dia usai sarapan.

“Pak Deraman, nanti tolong bawa turun lampu saya di loteng ya. Lampu lama di ruang tamu Pak Deraman tanggalkan dan nanti minta pekerja bawakan ke kedai bonda. Yang nak bawa turun dari loteng tu saya nak letak di ruang tamu. Nanti Pak Deraman minta pekerja kedai pasangkan sekali ya.” Pesan Kirana dengan panjang lebar. Ternyata lampu hias chandelier Ku Syakira telah siap sepenuhnya. Pak Deraman hanya mengangguk sambil mengunyah ubi keledek.

“Mak Munah...”

“Ya Cik Puan.” Sahut Mak Munah dari dapur. Terkedek-kedek Mak Munah mendapatkan Kirana.

“Nanti Mak Munah tolong lapkan lampu chandelier saya bila Pak Deraman dah bawa turun ya. Sekejap lagi saya nak ke kedai bonda. Lama saya tak jenguk. Entah apa yang jadi di kedai tu. Oh ya, Pak Deraman. Nanti tolong uruskan majlis bacaan Yassin di surau ya. Di rumah ni tak payah buat, kesian dengan Mak Munah nak mengemas nanti. Mak Munah kalau larat, tolong masak dan hantar ke surau. Dalam sampul ni, ada duit belanja. Selebihnya, upah Mak Munah dan Pak Deraman. Kalau tak cukup, bagitahu saya.” Mak Munah hanya mengangguk dan sampul duit bertukar tangan. Dari raut wajah mak Munah, jelas ketara kesedihan yang ditanggungnya.

“Saya ke kedai dulu. Petang nanti baru saya balik. Pak Deraman jangan lupa gantung lampu saya tu” pesan Kirana sekali lagi.

“Baik, Cik Puan. Nanti Pak Deraman panggil budak kedai tolong gantungkan.” Kirana bingkas bangun meninggalkan meja makan setelah meninggalkan pesan pada kedua-dua mereka.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku