AKU SUKA KAU
Bab 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 April 2017
Untuk pembaca budiman, penggunaan dialog lebih kepada Sabahan. Terima kasih. :)
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
236

Bacaan






Bab 1

MASAM saja muka Paridah apabila makcik-makcik sebelah bapanya itu tidak habis-habis memperlekehkan kerja yang dia buat sekarang. Apa yang mereka tak puas hati ni? Dia tak kerja, panjang berjela mereka omel gadis itu tidak reti cari kerja. Asyik tahu duduk rumah dan tak buat kerja. Sakit telinga dia jadinya.

Ingatkan bila dia sudah bekerja sekarang, berhentilah mereka akan mengumpat dirinya. Rupanya tetap macam dulu. Kali ini upgrade sikit. Kata mereka, tak sesuai dengan kelulusan yang dia pegang. Ada ijazah, tapi sayang kerja di kantin sekolah sahaja!

Eh! Suka hati dialah nak kerja di mana. Lagipun kerja di kantin sekolah tu pun tetap namanya kerja, kan. Daripada dia duduk tercongok saja di rumah, satu sen pun tak akan masuk. Itu lebih baik dari mengharap ihsan mak dan bapanya bagi duit belanja.

“Yang aku pelik tu, makcik-makcik aku saja yang bising. Pakcik-pakcik aku tak ada pula yang kisah. Agaknya, mulut perempuan memang celupar kan?” omel Paridah sakit hati.

Merlin tersengih kecil. Lucu pula dia dengar luahan sahabat baru merangkap rakan sekerjanya di kantin sekolah tersebut. Walaupun umur mereka beza 3 tahun namun mereka satu kepala.

“Macam kaulah, dari tadi tak berhenti umpat makcik sendiri, kan?” balas Merlin. Paridah mencebik jadinya.

“Aku bukannya apa, Lin. Sakit hati saja. Tapi aku tak simpan dalam hati pun. Mulut saja ni yang jahat sikit, tapi hati aku baik tau.” Tidak lupa Paridah puji dirinya sendiri.

Merlin ketawa kecil. Amboi, puji diri nampak.

“Tak apalah, Pida. Biarlah mereka-mereka tu mengata kau apa-apa, yang penting kau tahu niat kau bekerja di kantin ni sebab nak cari duit halal. Bukan sebab lain,” tutur Merlin lagi. Sebagai sahabat, kata-kata seperti itulah yang wajib keluar dari mulut mereka. Bukan menambah bara yang semakin menyala.

Paridah angguk-angguk kepala. Setuju dengan kata-kata sahabatnya itu. Kemudian dia pandang skrin telefonnya. Ada empat minit lagi sebelum murid-murid di Sekolah Rendah Kebangsaan Petagas tersebut keluar rehat dan mengambil makanan yang telah mereka sediakan di situ sejak setengah jam yang lepas.

Get ready, diorang nak keluar dah,” beritahu Paridah sambil memandang lorong menuju ke arah kantin sekolah tersebut. Merlin angguk saja.

Kedua gadis itu telah ditugaskan oleh pihak kantin sekolah untuk menjaga bahagian Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sekolah. Mana-mana murid yang layak mendapat akan diberi, murid selebihnya yang tidak dapat akan beli makanan di kantin utama sekolah. Tujuan RMT itu sendiri adalah untuk mengurangkan beban keluarga yang berpendapatan rendah untuk anak-anak yang bersekolah.

*****

USAI makan malam bersama semua ahli keluarganya, Paridah dan Fazrin bergotong-royong mencuci pinggan mangkuk yang kotor di singki. Kedua beradik yang beza umur 7 tahun itu berbual kosong tentang hal-hal biasa.

Sementara Mak Kalsom dan Pak Ismail duduk-duduk di ruang tamu sambil melihat rancangan berita di TV9 ketika ini.

Selesai tugas mereka di dapur, barulah keduanya masuk ke ruang tamu lalu duduk di kerusi yang kosong yang muat buat mereka berdua. Mata masing-masing menghala pada kaca tv. Pelbagai berita yang berlaku membuatkan empat ahli keluarga itu fokus.

“Macam-macam,” omel Pak Ismail sebaik berita menyiarkan tentang penderitaan rakyat Rohgyia yang berlaku di Thailand ketika ini. Penderitaan rakyat itu seolah-olah tiada akhirnya meski pelbagai usaha dari pihak kerajaan untuk membantu.

Pantas tiga wanita berbeza usia tersebut mengalihkan pandangan pada Pak Ismail.

“Semoga saja mereka diberi kekuatan untuk menempuhi ujian ini. Allah tak akan sekali-kali menguji hambanya melebihi hadnya,” tambah Pak Ismail. Terangguk-angguk mereka semua. Setuju dengan kata-kata Pak Ismail tadi.

Kini pandangan Pak Ismail tumpah pada anak sulungnya pula. Wajah polos anaknya itu dipandang agak lama sehingga menimbulkan rasa kurang enak di hati Paridah. Apa pulalah bapa aku nak cakap ni.

“Sampai bila kamu kerja di kantin?” soal Pak Ismail tiba-tiba.

Terangkat terus kening Paridah. Dia tidak tahu mahu bereaksi apa. Senyum, geleng kepala atau diam saja. Dia sendiri takut mahu buka mulut. Dia pandang maknya pula.

“Kenapa bang?” tanya Mak Kalsom, menggantikan Paridah yang tidak tahu mahu balas apa pada soalan suaminya tadi.

Satu keluhan keluar dari mulut Pak Ismail. Ada sesuatu yang mengganggu hati lelaki tua tersebut. Pasti berkaitan masa depan anak sulungnya itu. Sudah semestinya mulut-mulut makciknya yang tidak berhenti mempersoalkan kerja yang sedang dia buat sekarang.

“Kalau boleh, carilah kerja lain. Bapa… tak suka kamu kerja terus di sana. Makcik kamu…” belum habis Pak Ismail bersuara, Paridah terlebih dahulu meningkah.

“Pida tau, bapa janganlah risau.” Perlahan Paridah bersuara. Ada nada sayu pada ayat gadis itu. Moodnya untuk menonton tv bersama sudah lari entah ke mana. Lantas dia berdiri dan meminta diri untuk masuk ke dalam bilik. Langkah lemah gadis itu dipandang sepi oleh mereka semua.

“Pida bukan sengaja mahu kerja di kantin, bang. Abang sendiri tau kan, budak tu sudah berusaha cari kerja tapi sampai sekarang belum dapat apa-apa jawapan lagi.” Panjang lebar Mak Kalsom bersuara. Menyatakan rasa kurang senang dengan tindakan suaminya tadi.

Pak Ismail angguk kepala kecil. Dia tidak meningkah namun tidak bererti dia setuju dengan kata-kata isterinya itu. Sudah terlalu penat mendengar rungutan dan umpatan dari ahli keluarganya sendiri, akhirnya dilepaskan pada anak yang tidak bersalah.

Fazrin tidak bersuara. Dia jadi serba-salah untuk terus duduk di situ menyaksikan ketegangan yang berlaku antara mak dan bapanya. Lalu dia meminta diri untuk masuk ke dalam bilik. Bukan ke bilik tidurnya, tapi bilik kakak sulungnya itu.

Sekali ketuk, Paridah mengizinkan dia masuk. Perlahan Fazrin masuk ke dalam. Kakaknya sedang duduk di meja belajarnya dengan laptop yang terpasang. Fazrin duduk di tepi katil kakaknya. Memerhati gadis itu sedang buat apa.

“Kakak buat apa tu?” soal Fazrin berbasa-basi. Dia sendiri tidak tahu mahu berbual apa sedang hati kakaknya itu dia tidak tahu sedang berirama apa. Sedih, marah atau kecewa dengan kata-kata bapa mereka tadi.

“Cari kerja macam selalu, Rin,” beritahu Paridah, tidak berselindung. Saban hari dia buka laman web cari kerja, namun yang dimahukan itu tidak pernah kunjung tiba. Sudah beribu resume yang dia hantar pada syarikat-syarikat yang menawarkan pekerjaan kosong, namun hingga saat ini satu pun tidak ada yang balas. Entah, mana silapnya pada resume itu, Paridah buntu sendiri.

“Kak Pida percaya pada rezeki yang sudah diatur kemas untuk kita kan? Insya-ALLAH, saat tu akan tiba. ALLAH tahu apa yang terbaik untuk kita, kak. Jadi jangan pernah merasa kecewa.” Fazrin cuba membakar semangat kakaknya yang mungkin sudah layu dek kata-kata bapa mereka tadi.

Perlahan Paridah anggukan kepala. Dia mengerti maksud adiknya, dan dia tahu rezeki itu ALLAH yang tentukan sebab itu dia tidak pernah berhenti berusaha menghantar resume meski jawapan menawarkan sebarang jawatan padanya tidak pernah singgah di e-melnya. Tak apa, rezeki aku akan ada nanti. Apa yang penting, jangan pernah putus asa!

Satu senyuman manis dihadiahkan pada adik satu-satunya itu. Kalau bukan mak yang pujuk dia, pasti adiknya ini yang akan menyejukkan hatinya. Harapkan bapanya, kena ceramah adalah.

Walaupun begitu, dia tidak salahkan bapanya. Dia tahu bapanya terbeban dengan kata-kata makcik-makciknya, sebab itu bapanya begitu. Tak apa, selagi kerja yang aku buat ni halal, pedulilah apa orang lain nak kata. Asal aku dapat membantu meringankan beban mak dan bapa, itu sudah cukup buat aku lega.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku