AKU SUKA KAU
Bab 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 April 2017
Untuk pembaca budiman, penggunaan dialog lebih kepada Sabahan. Terima kasih. :)
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
230

Bacaan






Bab 2

BALIK dari sekolah, Paridah singgah kedai runcit sebelum balik rumah. Mahu beli keperluan dapur yang sudah tidak ada. Semalam dia sempat lihat apa-apa yang kurang, kerana itu petang ini dia guna duit gaji hariannya hari ini untuk beli apa yang patut.

Mesej yang datang dari Fazrin dibaca sekilas kemudian dia balas cepat. Katanya dia berada di kedai runcit. Sekejap lagi dia akan balik. Kemudian adiknya itu pula balas minta belikan aiskrim harga seringgit kalau ada duit lebih.

Tersenyum Paridah membaca mesej adiknya itu. Kesiannya adik aku. Minta belanja pun yang murah-murah saja. Tak apalah, nanti aku dah dapat kerja yang elok aku janji aiskrim mahal yang berharga sampai belas-belas ringgit tu bakal aku belikan untuknya nanti.

Selesai mengambil keperluan dapur yang dia kehendaki, Paridah berlalu ke kaunter pembayaran. Pakcik berbangsa Pakistan itu sudah tersenyum memandang ke arahnya kerana sudah kenal benar dengan Paridah.

“Kira pakcik,” pinta Paridah. Tidak lama barang beliannya dikira, Paridah bayar seperti yang tertera di skrin mesin kira duit tersebut. Langsung tidak mengeluh meski duit gaji harinya ini tidak sampai sepuluh ringgit selepas membuat bayaran tadi.

“Thank you, pakcik,” sua Paridah dan berlalu. Pakcik Mehmed angguk dan tersenyum saja.

Ketika gadis itu mahu keluar dari kedai runcit tersebut, tubuhnya dilanggar kuat oleh seseorang hinggakan dia hampir saja terduduk. Mujur dia masih mampu mengimbang badannya dari terjatuh. Terus dia hantar pandangan tajam pada kelibat yang melanggarnya tadi.

“Mata letak kat mana? Lutut?”

Merah padam muka Paridah sebaik ayat itu pula yang keluar dari mulut lelaki yang melanggarnya tadi. Sudahlah langgar dia, dia pula yang kena marah. Ini sudah lebih! Paridah tarik nafas dalam-dalam lalu hembus perlahan. Barulah dia ada rasa lega sedikit. Wajah lelaki yang melanggarnya tadi dipandang lama. Melakar wajah lelaki sombong itu di matanya agar suatu hari nanti dia tidak akan lupa pada wajah yang punya tingkah kurang ajar ini.

“Amboi… pandang aku macam tu, ingat aku takutlah tu!” tingkah lelaki itu lagi. Makin sakit hati Paridah jadinya. Kalau terus berhadapan dengan lelaki ini, ada yang dia tarik rambut nanti.

Paridah ambil keputusan keluar saja dari situ tanpa menjawab kata-kata lelaki biadab tadi. Biarlah, bukan dia dapat apa-apa pun kalau balas ayat lelaki itu balik. Terus saja dia jalan laju tanpa toleh belakang. Huh! Malang betul nasib aku jumpa orang macam ni.

Rizqiey mencebik bibirnya. Bahu kiri yang terlanggar gadis itu tadi disapu-sapu bagai ada kotoran yang singgah di badannya. Lagakmacholah katakan.

Pakcik Mehmed yang melihat situasi itu hanya geleng kepala. Sudahlah langgar orang, ucap maaf pun tidak. Macamlah dia tidak nampak siapa yang siapa langgar tadi. Macamlah mulut jadi berkudis kalau meminta maaf. Pelik betul dengan budak-budak zaman sekarang.

“Pakcik, ada Maggi tak?” laung Rizqiey sambil mencari benda yang dimahunya.

Pakcik Mehmed hanya melunjurkan jari telunjuknya ke arah rak di hujung sekali di mana Maggi yang dicari lelaki muda itu tadi.

Rizqiey berlalu ke situ. Satu bungkus Maggi perisa Laksa diambilnya lalu menuju ke kaunter. Usai membuat pembayaran, Rizqiey mula berlalu.

“Kerja apa, nak?” soal Pakcik Mehmed cuba beramah-mesra.

Langkah Rizqiey terhenti sekejap. Dia toleh ke arah Pakcik Mehmed sambil angkat kening.

“Kenapa pakcik?” tanya Rizqiey pula.

“Apapun kerja kamu, baik yang berjawatan tinggi sekalipun. Jangan pernah pandang rendah pada orang bawahan kamu. Mana tahu yang rendah itulah bakal berada di atas kamu suatu hari nanti.” Panjang lebar pula Pakcik Mehmed berhujah membuatkan Rizqiey kurang mengerti maksud lelaki berbangsa Pakistan itu.

“Er… pakcik…” belum sempat Rizqiey bersuara, Pakcik Mehmed meningkah laju.

“Respect. Humble.” Rizqiey menelan air liurnya sendiri. Kata-kata Pakcik Mehmed buat dia malu sendiri. Perlahan dia anggukan kepala dan meminta diri dari situ. Malu dia jadinya.

Pakcik Mehmed tersenyum kecil.

*****

SAMPAI di rumah, Rizqiey terus ke dapur. Meletakkan bahan yang dibelinya tadi lalu menuju ke ruang tamu. Di situ dia termenung sendiri. Mengingat kembali kata-kata Pakcik Mehmed padanya. Respect. Humble.

Dua perkataan yang sangat mudah untuk diucap, tapi kenapa sukar untuk dilaksanakan. Satu hembusan nafas kasar keluar dari bibirnnya. Apa yang orang tua itu cakap tadi memang benar.

Pasti kejadian dia terlanggar seseorang tadi telah membuatkan Pakcik Mehmed menyampaikan satu hujah yang buat Rizqiey rasa malu kini. Kerana ego yang dijulang, gadis yang kelihatan belasan tahun yang dilanggarnya tadi diherdik kasar. Padahal, kedua mereka memang tidak sengaja melakukannya. Mulut pedas tadi ditampar perlahan.

Cakap maaf saja pun, bukan cakap nak ajak kahwin. Tapi perkataan maaf itulah yang paling buat mulut Rizqiey berat mahu luah. Tak pasal-pasal budak tu label dia antara lelaki yang wajib dijauhi!

“Kau dari mana?” rakan serumahnya, Murshid bertanya sebaik keluar dari dalam bilik tidurnya. Langkah terus dipanjangkan ke sofa.

Sekilas Rizqiey memandang wajah sahabat merangkap rakan sekerjanya itu.

“Dari pekan. Beli Maggi,” beritahu Rizqiey. Remote diambil lalu menukar siaran ke TV9.

“Maggi saja? Sayur-sayur?” soal Murshid pelik.

Rizqiey angguk kepala.

“Aku malas nak makan berat-berat malam ni. Maggi sajalah aku lantak nanti. Kenapa, kau nak makan kat luar ke nanti?” balas Rizqiey. Mata tetap jatuh pada rancangan tv yang sedang bersiaran. Kartun Spongebob yang tidak pernah-pernah buat dia kering gusi.

“Aku nak keluar bandar nanti. Kau nak ikut tak?”

“Keluar dengan siapa?” soal Rizqiey mahu tahu.

Sengihan Murshid tidak sukar ditebak. Pasti salah seorang cikgu di sekolah mereka mengajar itu yang diajak keluar. Rizqiey geleng kepala.

“Kau ni… tak ada perempuan macam tak boleh hidup,” bebel Rizqiey kemudian.

Membulat mata Murshid jadinya. “Hey… perempuan dan lelaki memang diciptakan untuk berpasangan tau,” hujah Murshid.

Rizqiey mencebik. Yela tu. Kau memang playboy pun. Sindir Rizqiey dalam hati.

“Habis kau? Takkan nak membujang sampai ke tua?”

Rizqiey diam saja. Malas mahu membalas. Baginya, soal itu bukan utama baginya. Istilah bercinta tidak pernah hadir dalam hatinya. Dia lebih suka menyendiri. Tidak sakit hati dan terkongkong. Hidup lebih bebas tanpa perlu fikirkan perasaan orang lain.

“Bukan juga. Aku masih muda belia lagi, malas mahu fikir pasal benda-benda ni semua. Kalau dah jumpa yang betul-betul berkenan nanti, aku ajak kahwin terus. Tak perlu bercinta bagai, nanti banyak masa dan duit aku keluar. Waste my time. Faham?” Bukan main panjang lebar lagi Rizqiey berhujah.

Murshid tersengih jadinya. Dia tahu sahabat merangkap rakan sekerjanya itu bukan macam dia. Yang suka tukar-tukar pasangan. Tapi misinya cuma satu, cari seorang yang bakal menemaninya sampai janji ALLAH datang untuk hamba-hambanya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku