AKU SUKA KAU
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 April 2017
Untuk pembaca budiman, penggunaan dialog lebih kepada Sabahan. Terima kasih. :)
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
323

Bacaan






Bab 3

SEKITAR jam 6.30 pagi, Paridah dan rakan-rakan pekerja di kantin sekolah rendah tersebut sudah berada di sana. Masing-masing sibuk menyediakan sarapan untuk diri sendiri.

Meski pihak kantin membenarkan dia menggunakan bahan-bahan di kantin untuk buat minuman panas, namun Paridah lebih selesa bawa paket minuman perisa Nescafe 3 in 1 dari rumah. Senang dan tidak perlu tambah apa-apa. Kemudian gadis itu ambil mee goreng dalam setengah mangkuk dan sebiji kuih lenggang untuk mengisi perutnya.

Dia dan Merlin sama-sama duduk bersarapan sementara tugas untuk menyediakan makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sekolah belum bermula. Sambil bersarapan, mereka bersembang kosong.

“Assalamualaikum!” sapa satu suara tiba-tiba.

Berkerut serta-merta dahi Paridah. Orang mana pulalah yang terlebih ramah pagi ni. Sudah dua minggu dia bekerja di kantin sebaik sekolah bermula tahun ini, ini baru kali pertama ada orang yang mengucapkan salam sekuat hatinya, bagai semua pekerja dalam kantin tersebut pekak badak.

“Walaikum salam Cikgu Rizqiey,” Makcik Maya, merangkap pekerja paling lama di situ menyambut salamnya bersama senyuman. Lagak mereka berbual bagai sudah kenal terlalu lama.

Paridah dan Merlin hanya memandang dari tempat mereka duduk bersarapan. Tidak lepas memandang wajah cikgu muda yang sedang berdiri di hadapan kaunter kantin.

“Handsome juga kan cikgu ni?” bisik Merlin nakal.

Pantas kepala Paridah menoleh padanya.

“Kenapa? Berkenan?” usik Paridah kemudian.

“Eh… siapalah kita ni dengan dia. Dia tu cikgu, kita ni pekerja kantin sekolah saja. Manalah dia nak pandang,” balas Merlin laju.

Paridah tertawa kecil. “Tau tak apa,” jawab Paridah.

“Dua minggu baru muncul, dari mana cikgu?” soal Makcik Maya.

“Kebetulan sepupu kahwin minggu lepas, terpaksalah saya minta cuti lebih. Sebab tu lambat masuk kerja,” beritahu Rizqiey. Matanya masih jatuh pada pelbagai jenis kuih yang terhidang di hadapan mata. Sampai dia tidak tahu mahu makan apa. Lalu dia ambil pinggan dan mengambil sebiji kuih lenggang, donut dan piang.

“Aik, sepupu? Majlis kamu bila pula?” Kedengaran tawa dari cikgu muda tersebut.

“Kenapa makcik? Ada calon ke?” balas Rizqiey, saja mahu bergurau dengan orang tua tersebut.

“Tu, ada dua anak dara lepasan sekolah. Pilihlah mana satu kamu berkenan.” Segera mata Rizqiey beralih pada dua orang gadis yang duduk sambil memandang ke arahnya.

Serentak mata kedua gadis tersebut membulat. Terkejut besar kerana tiba-tiba mereka jadi bahan topik perbualan dua orang dewasa tersebut. Kelam-kabut mereka pandang tempat lain.

Makcik Maya sudah tersenyum geli hati. Mengena juga usikannya tadi.

Rizqiey yang kini memandang ke arah dua orang anak dara yang disebut oleh Makcik Maya tadi segera mengerutkan dahi. Wajah salah seorang anak dara yang sedang duduk menghadap hadapan mengingatkan dia pada kejadian semalam.

Perlahan Paridah angkat muka, mahu lihat kalau cikgu muda tadi sudah tidak berada di situ. Namun lelaki itu masih berdiri di situ sambil memandang ke arahnya dengan kening yang hampir bertaut.

Seketika mereka berdua berpandangan.

Tidak lama kemudian dahi Paridah pula yang berkerut. Eh? Bukankah…

Tiba-tiba matanya terbeliak besar. Kerja cikgu rupanya. Patutlah kerek semacam, langgar aku macam langgar tiang elektrik. Sombong! Kutuk Paridah dalam hati.

“Er… kalau yang tu, tak berkenanlah saya, makcik,” sua Rizqiey kemudian beredar ke meja hadapan.

Sekali lagi mata Paridah terbeliak besar. Kurang asam! Ingat aku nak sangat dengan dia agaknya. Perasan!

“Jangan ambil hati, Pida, Lin. Cikgu Rizqiey tu memang begitu, suka bergurau.” Makcik Maya bersuara.

Kini wajahnya jadi pandangan Paridah dan Merlin. Dua gadis itu pantas tersenyum kecil.

“Alah, makcik. Bukan kami anggap serius pun.Chill lah,” balas Merlin begitu positif.

Paridah mengangguk setuju pada kata-kata rakannya itu. Dalam hati hanya dia saja yang tahu, betapa geramnya dia pada sikap kurang ajar cikgu muda itu semalam.

Kalau kau di tempat aku semalam, Lin. Aku tak tahu ayat kau akan sama macam hari ni atau akan jadi diam macam aku sekarang. Malas nak komen apa-apa.

*****

PUNYALAH besar Kota Kinabalu ni, di kantin sekolah ni pula aku boleh jumpa dia balik. Entah-entah tempat tinggal pun sama. Dahlah semalam jumpa dia di kedai runcit Pakcik Mehmed beli barang dapur. Sah! Ada kaitan dengan Pakcik Mehmed ni. Tak pun, rapat.

“Amboi cikgu… panjang angan-angan kau hari ni? Mentang-mentanglah dua minggu baru masuk mengajar, terus lupa nak masuk kelas ke hari ni?” Guru Penolong Kanan 1, Cikgu Hakim menyapanya kala melihat cikgu muda tersebut masih lagi santai duduk di kerusinya.

Tersengih-sengih Rizqiey jadinya. Dengan pantas, dia ambil buku-buku rujukan untuk dia mengajar murid kelas tahun 6 Zamrud dan terus beredar dari situ. Berlama, boleh berbisul dia mendengar sindiran lelaki berpangkat kedua nombor besar di sekolah ini.

Geleng kepala Cikgu Hakim. Kemudian pandangannya teralih pula pada cikgu-cikgu yang masih bersisa di bilik guru tersebut. Tidak sampai sepuluh orang, yang lain ada kelas agaknya.

“Cikgu-cikgu sekalian pun tak ada kelas?” soal Cikgu Hakim dengan nada sama macam dia tanya Rizqiey tadi.

Kelihatan cikgu-cikgu yang ada di situ geleng kepala walau tidak senada. Pantas keningnya terangkat.

“Yala, tapi jangan pula curi tulang. Saya dapat, awas!” amaran Cikgu Hakim dibalas dengan anggukan bagai burung belatuk oleh mereka semua. Air liur yang ditelan tiba-tiba pula terasa pahitnya.

Lelaki berpangkat Guru Penolong Kanan 1 sekolah itu memang agak tegas sedikit. Setiap ayat yang keluar dari mulutnya walaupun kedengaran tidak tegas, namun sindiran pedas sentiasa mengena pada sesiapa yang buat kerja sambil lewa.

“Assalamualaikum!” tiba-tiba satu suara pula muncul kala suasana dalam bilik guru itu terasa dingin. Semua mata kini menumpu pada Murshid yang baru masuk ke situ.

Murshid pula senyum-senyum bagai hidupnya tidak pernah mengalami masalah. Sebaik dia terpandangkan Cikgu Hakim berdiri di depan bilik guru, terus cikgu muda itu angkat tabik hormat.

Cikgu Hakim geleng kepala. Perangai seorang cikgu ini memang dari dulu begitu. Agak kurang makan saman dengan dia. Takut pun tidak, berani pun tidak. Meski perangai kadang-kadang macam orang kurang siuman, Murshid tidak pernah tidak hormat pada dia. Sebab itu, dia tetap selesa dengan Murshid.

“Walaikum salam. Kamu dari mana pula ni? Baru muncul?” Cikgu Hakim sengaja meninggikan suaranya. Konon mahu buat Murshid takut dengannya. Alih-alih sengihan lelaki itu makin melebar pula dan terus menuju ke mejanya.

“Dari mengajarlah, cikgu. Takkanlah pula tengok bola. FIFA World Cup tahun depan kan baru ada, Piala Malaysia pula malam baru ada siaran langsung,” balas Murshid agak panjang.

Ketap bibir Cikgu Hakim mendengar jawapan cikgu muda itu. Punyalah ringkas soalan aku, panjang berjela pula cikgu ni membalas. Siapa hurai satu-persatu pula tu. Akhirnya Cikgu Hakim geleng kepala.

Sementara cikgu-cikgu lain yang ada di situ hanya menyembunyikan senyuman masing-masing. Boleh tahan berani juga si Murshid ni kalau loyar buruk dengan Guru Penolong Kanan 1 sekolah tersebut.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku