AKU SUKA KAU
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 April 2017
Untuk pembaca budiman, penggunaan dialog lebih kepada Sabahan. Terima kasih. :)
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
291

Bacaan






Bab 4

SELESAI saja sesi mengajar kelas tahun 6 Zamrud hari ini, Rizqiey terus masuk bilik guru. Sudah kelihatan beberapa orang guru yang berkemas-kemas mahu balik. Murshid yang duduk di hadapan mejanya masih duduk santai seolah-olah tidak mahu balik pula.

“Tak balik lagi ke? O.T?” saja Rizqiey mengusik.

Murshid angkat pandangan sambil angkat kening pada rakan serumahnya itu. Lalu skrin telefon di tangan dihalakan pada Rizqiey. Rizqiey pula yang angkat kening kini. Kurang mengerti.

“Kawan aku minta jemput di airport. Dia baru landing pagi tadi dari Australia,” beritahu Murshid.

Entahkan lelaki atau perempuan, tidak pula Rizqiey bertanya lanjut. Kening yang kembali terletak ke asalnya terangkat semula. Lalu dia mengemas-ngemas apa yang patut sebelum mahu berangkat meninggalkan sekolah itu.

“Apa masalahnya? Ambil sajalah,” jawab Rizqiey acuh tak acuh. Namun lain pula reaksi Murshid. Lelaki itu sudah garu kepala bagai tidak cuci rambut seminggu.

“Masalahnya, petang ni aku kena jumpa dengan girlfriend aku. Mampus aku kalau tak jumpa dia nanti.” Bukan main serabut kepala otak Murshid saat ini. Harus bagaimana dia hendak selesaikan hal ini. Hendak minta bantuan Rizqiey, lelaki itu pasti terang-terangan tidak mahu.

“Kawan kau baru landing pagi tadi tu… perempuan ke lelaki?” soal Rizqiey. Akhirnya dia bertanya juga. Beg laptop sudah disangkut di bahu kirinya.

Girl.” Sepatah Murshid jawab.

Girlfriend?” Murshid angguk perlahan sambil memandang takut-takut ke arah cikgu muda perempuan yang duduk tidak jauh dari meja mereka berdua.

Terus Rizqiey geleng kepala.

“Kau buat hal, pandai-pandailah kau settle hal ni. Aku tak nak masuk campur. Assalamualaikum and bye!” Seperti tekaan Murshid tadi, pasti sahabat serumah dan sekerjanya itu akan jawab begitu. Mahu tidak mahu,terpaksalah dia perah otaknya sendiri bagaimana mahu selesaikan masalah sendiri.

Rizqiey pula sudah keluar dari bilik guru tersebut. Tiba di laluan menuju ke arah tempat parkir keretanya, dia terpaksa melalui kantin sekolah. Tiba-tiba pula cikgu muda itu memperlahankan langkahnya. Secara curi-curi dia mencari satu wajah yang ditemuinya semalam dan juga pagi ini. Wajah anak dara yang Makcik Maya beritahu dia.

Namun, kelibat itu tidak kelihatan di situ. Ada kerja di dalam agaknya. Lalu, Rizqiey melanjutkan langkahnya untuk cepat sampai ke parkir kereta.

“Balik dulu, makcik!” laung Paridah dari pintu keluar kantin. Serentak itu juga laungannya disambut oleh pekerja-pekerja di kantin itu.

“Hati-hati balik!” pesan Makcik Maya dari kaunter hadapan. Gadis manis tersebut hanya anggukan kepala. Kerjanya bukan macam yang lain. Dia dan Merlin hanya bekerja setengah hari, waktu sekolah petang pula ada pekerja lain yang akan ambil-alih.

Kemudian Paridah berlalu dari situ. Sebaik saja dia berpaling keluar, wajah lelaki yang tidak reti meminta maaf itu pula berada di hadapan matanya. Serta-merta senyumannya mati. Siap hadiahkan jelingan maut lagi pada cikgu muda tersebut.

Apa lagi. Terbeliak mata Rizqiey jadinya. Amboi, cantiknya jelingan dia tu. Ketap bibir Rizqiey menahan geram. Mujur masih di kawasan sekolah, kalau di luar tadi pasti mulutnya lancang macam semalam. Kelibat gadis itu hanya mampu dipandang tanpa mampu dia buat apa-apa.

“Tidak balik lagi cikgu?” seorang guru wanita separuh abad menyapanya mesra.

“Nak baliklah ni cikgu,” balas Rizqiey laju. Bimbang pula tingkahnya tadi ada yang perasan.

Langkah dilanjutkan ke arah parkir kereta. Kereta Proton Iriz hitam miliknya dimasuki. Walaupun masuk tahun ini baru tiga tahun dia bergelar cikgu, dia sudah mampu memiliki sebuah kereta meskipun masih belum habis berbayar lagi.

Memang nasibnya agak baik. Tamat saja belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam subjek bahasa Melayu, dia terus diserap masuk di sekolah rendah ini selepas menjalani latihan industri di sekolah yang sama.

Hasil duit gajinya dalam bidang perguruan tersebut membuatkan dia tidak pernah bergantung harap pada ayahnya yang berkerja sebagai pegawai polis. Bolehlah dia bayar ansur-ansur hutang PTPTN, sewa rumah dan keretanya.

Selagi dia mampu, selagi itu dia akan buat dengan sendirinya. Lagipun dia tidak ada adik-beradik. Cuma dia seorang saja anak kepada lelaki merangkap ayahnya itu dan arwah ibunya yang meninggal dunia sewaktu dia dilahirkan.

Kereta Proton Iriz hitam itu keluar dari kawasan sekolah. Sewaktu membelok ke simpang Kampung Contoh, sekali lagi kelibat Paridah kelihatan. Gadis itu hanya berjalan kaki pulang ke rumahnya agaknya. Fikir Rizqiey.

Kerana masih geram dengan sikap Paridah tadi, terus dia tekan hon sebaik keretanya begitu hampir dengan Paridah.

Terlompat Paridah dibuatnya. Latahnya juga panjang tidak terkata kerana terlalu terkejut.

Rizqiey pula sudah ketawa geli hati dalam kereta. Padan muka! Nak lawan aku konon.

Kurang asam! Jeritan itu hanya terluah dalam hati Paridah saja. Kalau menjerit sekalipun pada pemandu kereta Proton Iriz hitam tadi, bukannya dia boleh dapat apa-apa. Dapat malu adalah. Sudahlah masih ramai lagi ibu-bapa yang mengambil anak masing-masing dari sekolah. Nasib baiklah dia masih mampu menahan sabar.

Langkah dilanjutkan tanpa mahu mempedulikan hal itu lagi. Cepat sampai rumah, cepatlah dia berehat. Sudahlah panas terik ni, dia pula lupa bawa payung. Sebulan macam ni, boleh jadi legam aku tak lama.

Rizqiey parkir kereta di sebelah luar. Belum mahu masuk dalam lagi. Sengaja berlama duduk dalam kereta sambil cuba sejukkan hatinya sendiri padahal baru saja siap kenakan minah yang terlanggarnya semalam.

Agaknya kalau dia memang tinggal area Kampung Contoh ni, aku akan anggap ni semua perkara biasa. Tapi kalau dia tinggal area lorong 10 ni juga, agaknya aku ada jodoh dengan dia.

Gulp!

Rizqiey telan air liurnya sendiri. Sampai macam tu sekali dia fikir. Geleng kepala Rizqiey akhirnya. Dengan minah tu? Dahlah kerja kantin saja, tak menjamin masa depan langsung. Macamlah cikgu-cikgu perempuan yang masih belum berkahwin di sekolahnya itu tidak ada.

Eh? yang aku fikir sangat pasal dia ni, dah kenapa? Buang tebiat?

Malas mahu melayan fikiran sentengnya yang agak tidak beri apa-apa faedah tersebut, Rizqiey buka tali pinggan keledar. Baru saja dia mahu buka pintu kereta, kelibat seseorang yang baru muncul di lorong 10 itu membuatkan tingkahnya terhenti mendadak. Pantas keningnya berkerut.

Paridah berjalan laju mahu cepat sampai ke pagar rumah. Buka gate dan terus meloloskan dirinya ke dalam rumah tanpa toleh ke mana-mana. Mahu terus masuk dalam bilik dan berkipas. Panas.

Rizqiey yang memandang kelibat gadis itu masuk ke rumah yang cuma berhadapan dengan rumah sewanya itu sudah geleng kepala. Banyak-banyak lorong di kampung ni, lorong 10 juga gadis itu tinggal.

Tapi selama hampir tiga tahun dia menyewa di situ, kenapa baru semalam dia terserempak dengan gadis tersebut. Mungkin belajar luar dari kawasan ini agaknya, sebab itu tidak pernah jumpa.

Dari tadi fikirannya terhala pada gadis yang baru dikenalinya itu. Tidak pasal-pasal dia masih setia duduk di dalam keretanya. Menyedari hampir setengah jam dia masih di situ, cepat-cepat dia keluar dan masuk ke dalam rumah. Sudahlah solat Zuhur belum lagi. Lalai tak habis-habis.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku