AKU SUKA KAU
Bab 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 April 2017
Untuk pembaca budiman, penggunaan dialog lebih kepada Sabahan. Terima kasih. :)
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1018

Bacaan






Bab 5

BUKA saja pintu rumah utama, Paridah dikejutkan dengan tetamu-tetamu yang tidak diundang. Pantas wajah Mak Kalsom dan Pak Ismail dicarinya. Adiknya Fazrin pula tidak ada di situ.

“Assalamualaikum makcik, pakcik,” ucap Paridah dengan nada perlahan.

“Walaikumsalam,” balas tetamu-tetamu tersebut.

Sedaya upaya Paridah memaniskan roman wajahnya, namun dia pasti tetap kelat di hadapan semua yang ada di situ.

“Baru balik kerja, Pida?” soal Makcik Asmah ramah.

Paridah angguk kepala sekali. Entah, dia tiada modal mahu cakap apa. Apa yang ada dalam kepala otaknya waktu ini, mahu masuk biliknya dengan segera.

“Saya masuk bilik dulu. Zuhur belum lagi ni,” beritahu Paridah dan berlalu.

“Untung dapat Pida tu, Kalsom. Jaga solat, hormat ibu bapa. Itu yang kami berkenan tu.” Sempat ayat itu menyapa halwa telinga Paridah sebelum dia menghilang ke dalam biliknya.

Untung? Berkerut dahi Paridah saat ini. Terus saja dia duduk di birai katilnya dengan pelbagai tanda tanya yang bermain di kepala otaknya saat kini. Namun memikirkan dia belum lagi solat Zuhur, segera dia masuk ke bilik air.

*****

USAI menunaikan solat Zuhur, Paridah sengaja duduk di hadapan meja tulisnya. Merenung ke luar jendela sambil memikirkan masa hadapannya. Walaupun kelihatan dia tidak kisah bekerja di kantin sekolah itu, namun jauh di lubuk hatinya dia menginginkan kerja yang lebih baik dari yang ini.

Sayang ada ijazah, namun kerja di kantin sekolah. Bukan dia mengeluh, namun apakan daya fitrah sebagai manusia biasa tidak lepas dari memikirkan untuk memiliki yang lebih baik dari yang ada sekarang.

Bagaimana dia hendak bayar hutang PTPTN, kalau kerja tetap pun tidak ada. Kadang-kadang dia cemburu melihat rakan-rakan seangkatan dengannya yang sama-samagraduated sudah dapat pekerjaan yang tetap.

Malah ada yang sudah mampu memiliki kereta, rumah dan melancong dengan ahli keluarga. Sedangkan dia, masih begini tanpa mampu memberi sesuatu yang istimewa untuk keluarga kecilnya itu.

Tidak semena-mena, satu keluhan terhembus dari mulutnya. Sesungguhnya, dia terlalu penat memikirkan hal tersebut. Bukan dia tidak berusaha, cuma rezeki betul-betul belum ada buat dirinya hinggalah hari ini.

Lamunannya bersepai sebaik pintu biliknya diketuk dari luar. Segera kepala Paridah terteleng ke arah itu dan cepat-cepat menuju ke pintu dan membukanya. Wajah Mak Kalsom sambil tersenyum kecil menyapa pandangannya. Paridah memaniskan wajahnya serta-merta.

“Boleh mak masuk?” pinta Mak Kalsom.

Laju Paridah anggukkan kepala seraya membuka besar-besar pintu biliknya. Setelah Mak Kalsom masuk ke dalam, Paridah tutup semula.

“Makcik Asmah dan Pakcik Idrus sudah balik?” soal Paridah saja berbasa-basi.

Mak Kalsom mengambil tempat duduk di birai katil anaknya, sementara Paridah duduk semula di tempatnya berangan tadi. Kedua beranak itu saling berpandangan tanpa mengeluarkan bunyi. Paridah jadi kekok jadinya.

“Kenapa mak?” soal Paridah, sedikit bingung dengan pandangan Mak Kalsom padanya.

Mak Kalsom tersenyum kecil dan geleng kepala.

“Dorang Makcik Asmah dan Pakcik Idrus kamu sudah balik tadi lagi lepas bincang sikit-sikit,” beritahu Mak Kalsom.

Pantas dahi Paridah berkerut. “Bincang? Bincang pasal apa?” Paridah sudah mula tidak sedap hati.

Hembusan nafas sedikit kuat dari Mak Kalsom membuatkan degupan jantung Paridah semakin menjadi-jadi. Kedatangan Makcik Asmah dan Pakcik Idrus tadi ada kena-mengena dengan aku ke? Apa yang mereka bincangkan sampaikan mak mengeluh kuat macam tu tadi.

“Cuba mak berterus-terang. Sakit pula jantung Pida ni menunggu,” desak Paridah tidak sabar.

“Mereka datang mahu pinang kamu untuk anak lelaki dorang.” Terus membulat besar mata Paridah sebaik perkataan ‘mahu pinang’ keluar dari mulut maknya itu.

“Apa?!” menjerit Paridah bagai tidak percaya.

Mata Mak Kalsom pula yang terbeliak besar sebaik mendengar jeritan anak daranya itu.

“Mak… apa ni?” soal Paridah sudah keresahan. Bertunang? Di usianya begini masih lagi dicarikan jodoh sedangkan dia sudah cukup dewasa untuk mencari pasangan hidupnya sendiri. Ini memang tidak boleh jadi. Hatinya memberontak tidak puas hati.

“Bapa kamu yang buat keputusan.” Jawapan Mak Kalsom membuatkan kerutan di dahi gadis itu mati tiba-tiba. Bagaikan tidak percaya, bapanya sendiri yang membuat keputusan tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu. Apa yang sebenarnya ada di fikiran bapanya itu sampai begini sekali nasibnya.

Mak Kalsom berdiri dan menghampiri anak sulungnya itu. Bahu Paridah ditepuknya perlahan. Memujuk dengan menghantar pandangan redupnya sebagai seorang ibu yang sentiasa mendoakan yang terbaik buat anak-anaknya.

“Tapi kenapa?” soal Paridah lagi, seperti masih tidak percaya yang dirinya bakal jadi tunangan orang dengan orang yang tidak dikenalinya langsung. Ya, ALLAH permainan apakah pula kali ini yang harus aku hadapi? Bagai mahu menitis sahaja air matanya saat memikirkan nasib dirinya itu.

*****

MALAM itu, usai makan malam bersama, Pak Ismail meminta mereka semua berkumpul di ruang tamu. Ada sesuatu yang mahu dia sampaikan. Fazrin yang masih tidak tahu apa yang berlaku, sudah kerutkan dahi. Melihat wajah tenang mak dan kakaknya, membuatkan Fazrin tidak fikir bukan-bukan.

Gadis itu duduk di sebelah kakaknya yang hanya mendiamkan diri sejak mereka diminta oleh bapa mereka untuk duduk di situ.

“Hari Sabtu ni, majlis pertunangan akan diadakan. Jam 10 pagi wakil pihak lelaki akan datang ke rumah.” Pakcik Ismail memulakan bicara.

Pantas kening Fazrin bertaut. Majlis pertunangan? Wajah kakaknya dipandang semula. Lalu wajah Mak Kalsom pula yang dicarinya.

“Er… siapa yang bertunang, pak?” soal Fazrin kebingungan.

“Kakak kamu,” beritahu Pak Ismail tanpa riak.

Membulat mata gadis kecil molek itu sebaik nama kakaknya disebut. Sekali lagi wajah kakak sulungnya dipandang. Wajah gadis itu kelihatan terlalu tenang. Mungkinkah pertunangan ini kerelaan kakaknya sendiri, sebab itu reaksinya seperti tidak apa-apa yang perlu dirisaukan.

“Dengan siapa, pak?” Dari tadi hanya Fazrin yang sibuk bertanya sementara Paridah dan Mak Kalsom hanya mendiamkan diri.

“Anak Makcik Asmah kamu,” jawab Pak Ismail tenang.

“Pida masuk bilik dulu. Mahu rehat, esok kerja. Assalamualaikum,” ucap Paridah terus berlalu ke biliknya.

Mak Kalsom hanya mampu memandang sayu. Dari tingkah Paridah, dia tahu anak sulungnya itu tidak rela ditunangkan. Dia sendiri tidak setuju, namun apakan daya suaminya tetap berkeras dengan keputusannya itu. Katanya, demi masa depan Paridah juga. Masalahnya, bertunang untuk masa depan apa? Mak Kalsom sendiri bingung dengan tindakan suaminya itu.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku