BULI
Bab
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 15 April 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)
1004

Bacaan






          Di sebalik riuh rendah orang ramai, aku cuba menyelit di setiap ruang celahan. Ke kiri kanan langkah ku pantas di orak ber-irama ibarat “side step” seorang pemain ragbi. Luas imaginasi ku. Kadang-kadang aku gemar membayangkan aku memasuki alam kartun, watak utama, sang hero komik sukan, sambil memeluk erat bola ragbi (yakni botol air ku), melepasi satu demi satu rintangan pihak lawan yang cuba menyekat kemaraan ku.

         “Aku hebat!

         “Ye kau hebat!

           Senyum keseorangan.

         “Ouhhh! Bola kelihatan berada di tangan Pendek! Bijak sekali dia memintas lontaran pihak lawan. Tindakan yang langsung tidak terduga! Ouhhh...kelihatan Pendek mengorak langkahnya, satu..dua...tiga...empat...LIMA!! Lima orang pihak lawan berjaya dilepasinya! Bola lonjong itu masih dipeluk kemas di dada pendek. Masih terdapat benteng terakhir di hujung sana! Seorang pemain harapan lawan, seorang yang bertubuh sasa, hampir dua kali ganda besar dari Pendek. Lihat!!! Pendek langsung tidak menunjukkan sebarang perasaan gentar! Matanya bersinar! Pendek semakin laju, menguatkan momentum pergerakannya. Kelihatan dia ingin merempuh benteng terakhir lawan itu. Laju dan semakin laju..dannnnn…..”

         “Woi pendek!”

         “Ahh! Siapa kacau aku ni.”

          Teguran itu memintas imaginasi ku. Hebat pengiraannya, memintas tatkala imaginasi ku hampir klimaks, di saat-saat genting pula tu. Aku menoleh ke belakang dan memerhatikan 3 orang rakan sekelasku. Rakan? Mungkin tidak.

         “Ye?”

          Aku memerhatikan mereka dengan pandangan yang sedikit tertunduk. Cukup lah aku gelarkan mereka sebagai Roy, Panjang dan Gemuk. Tiga watak yang aku benci. Sangat benci. Mereka seringkali menghantui cerpen hidupku yang serba ringkas ini.

         “Kau apa hal terkedek-kedek, acah-acah lari macam ayam berak kapur tadi?” Soal Roy,

          Aku perhatikan wajah Roy. Rambutnya dikenakan minyak rambut jenama ‘tancho’ dan digayakan tegak ke atas. Mirip samseng jalanan dengan lagak “abang kawasan”. Tubuhnya tidak lah sebesar mana, tidak lah setinggi mana pun. Hanya tinggi sedikit dari aku. Pandai pun tidak. Maksud peribahasa pun dia tidak mengerti, main sebut sahaja. Tapi entah mengapa, Panjang dan Gemuk gemar mendampinginya. Membuatkan dia seakan-akan bos samseng di sekolah ku. Aku hanya tunduk membisu. Malas nak berikan sebarang respon, khuatir silap perkataan yang terlafaz, nahas aku.

         “Woi! Pekak ke??” Tengking Roy.

          Geleng.

         “Hahahaha..Pendek, Pendek..dah la pendek, pekak, bahalol pula tu. Apa lah malang nasib mak kau dapat anak macam ni! Dah la mak pelacur. Mesti mak kau menyesal lahirkan kau.” Si Gemuk menokok tambah sogokan kepada aku. Sogokan buli yang dimulai Roy sebentar tadi.

          Perkataan yang keluar dari mulut Gemuk itu sedikit menaikkan amarah ku. Aku memanah satu jelingan tajam tepat ke arah mata Gemuk sebagai tanda protes. Gemuk jiran aku. Rumahnya terletak di tingkat atas rumah flat yang disewa ibuku. Kami pernah menjadi sahabat rapat satu masa dahulu, di zaman kanak-kanak kecil. Walaupun sekarang aku tahu aku ni sang lemah, penakut dan sentiasa menjadi mangsa buli mereka, tetapi sekelumit perasaan berani masih wujud sekiranya yang menyogokku adalah si Gemuk. Jiran ku yang berbau masam peluh itu. Entah mengapa perangainya tiba-tiba berubah ketika memasuki alam persekolahan. Semenjak berkawan dengan Roy dan Panjang.

         “Kau apahal Pendek? Tak puas hati??”

          Agaknya dia tergugat dengan jelingan yang aku berikan. Gemuk menolak ku menggunakan tubuhnya. Aku tertolak sedikit ke belakang dan terus jatuh terduduk. Tersungkur.

         “Aduh!”

         “Tak puas hati ke???” Gemuk terus menyepak-nyepak peha aku. Bukanlah sepakan kuat, lebih ke arah sepakan sogokan. Tanda kekuasaan. Tanda dia lebih berkuasa dari aku. Aku cuma mampu menundukkan kepala. Sedikit gelengan diberikan. Menyesal pula aku gagal mengawal pandangan sebentar tadi.

         “Kan dah kena. Kau tu lembik sangat. Tadi bukan main berani, konon-konon marah?

         “Shhhhh...Diam lah. Nanti diorang dengar.

         “Kau tu penakut sangat.

         “Diam lah kau.

         “Woi Pendek! Dah kau kenapa buang tabiat bisik sorang-sorang? Dah berjangkit penyakit gila ke apa?? Hahaha.”

          Gemuk menyentap kolar baju ku dengan kuat, membuatkan aku terdorong ke atas, terdiri. Aku takut nak memandang tepat mata Gemuk. Khuatir makin teruk diperlakukan. Pernah sekali aku dimalukan mereka. Mereka melondeh dan melarikan seluar sekolah ku dek aku melawan. Malu gila! Semua murid mentertawakan aku ketika itu. Tumbuk terajang pula sudah terlalu sinonim dan biasa dihadiahkan kepadaku.

         “Dah lah tu Gemuk. Aku tak der  mood nak pukul budak ni.” Pintas Roy.

          Mujur Roy menghentikan perlakuan Gemuk, kalau tidak sudah tentu aku teruk aku dikerjakan. Panjang dari tadi hanya terbahak-bahak mengetawakan aku. Di antara mereka bertiga, rasanya Panjang lah yang paling kurang melakukan serangan fizikal kepadaku.

         “Pendek. Aku lapar lah. Belikan kitorang mee goreng.” Arah Roy.

          Aku cuma angguk menerima arahan.

         “Duit?”

         “Hahahaha! Bodoh la kau!”

          Roy cuma ketawa besar dan terus memukul kepala ku dengan agak kuat.

         “Pergi beli cepat. Aku bagi kau masa sampai pukul 2.30 je. Tak sampai mee goreng aku siap kau!” Jerkahnya lagi.

          Angguk.

          Aku terus beredar, langkah seribu. Sengal di kepala ku masih terasa, dipukul Roy.

         “Hahahaha! Bodoh la kau! Boleh pula minta duit? Dah tentu la diorang pow duit kau. Hahahaha!

         “Ahhh! Kau diam lah! Bukannya nak tolong. Gelak je pandai. Tolong lah!

         “Nak aku tolong? Boleh. Tapi jangan menyesal.

         “Pergi mampus lah kau. Sembang je lebat.

         “Hahahaha!


                                                             ***********************


          Krinngggg!

          Bunyi loceng menandakan waktu persekolahan telah pun tamat. Aku terus mengemas barang-barangku secepat yang mungkin.

         “Kenapa kelam-kabut ni?

         “Kau diam boleh tak??

         “Tanya pun kena marah?

         “Aku kena beredar secepat mungkin. Nanti takut samseng bertiga tu kacau aku.

         “Aku kan ada..aku boleh tolong kau. Tapi….ada syaratnya.

         “Cehhh…

          Usai mengemas kesemuanya, aku terus berlalu pergi. Leher ku dikeraskan menghadap ke hadapan. Tak berani untuk menoleh ke belakang. Aku mempercepatkan langkah, khuatir mereka menyedari dan menahanku.

         “Pendekkk…...nak ke mana tu? Tunggu la kitorang……..”

         “Ah! Sudah!”

          Aku berpura-pura tidak dengar panggilan Roy, malah melajukan langkah ku.

         “Woi! Sial!”

          Hanya jeritan itu yang aku terdengar dari belakang. Endah kan, dan terus berjalan.

         “Cepat! Mereka dah tahu kau melarikan diri..aku rasa mereka sedang mengekori kau.

         “Kau diam lah!!! Tak nampak ke aku tengah jalan selaju yang mungkin ni.

         “Hahaha..ye lah..

          Ketika melewati pagar sekolah, aku menoleh ke belakang. Lega. Mereka tiada. Mereka tidak mengekori ku. Aku meneruskan perjalanan seperti biasa. Tekak ku terasa kering tatkala melihat cendol Pak Ali di penghujung deretan rumah kedai sana. Nyaman rasanya kalau dapat teguk ais sejuk berlemak itu. Selesai bayar, aku menjinjing bungkusan cendol itu, selang beberapa langkah, aku terus menyedut cendol itu dengan lahapnya. Dalam kealpaan itu, tiba-tiba beg galas ku terasa disentap ke belakang. Sentapannya membuatkan aku jatuh terduduk.

         “Hahahaha! Celaka kau pendek? Aku panggil tadi kau buat tak dengar??” Soal Roy dengan nada yang agak tinggi.

          Aku tergumam. Bagaimana mereka boleh berada di sini?

         “Aaaaa..maaf. Aku tak dengar pun. Kau ada panggil ke tadi Roy?”

         “Hahaha! Bodoh! Geramnya aku tengok kau ni Pendek!”

          Roy hanya mentertawakan aku sambil menepuk berkali-kali kepalaku.

         “Wow! Sedapnya cendol!” Kali ni kedengaran suara Gemuk. Dia terus merampas dan menghirup cendol ku. Sakit hati melihat telatah budak gemuk itu.

         “Lain kali..kalau aku panggil...janganlah lari. Faham??” Sambung Roy lagi. Kali ni dia menampar-nampar pipi aku sebagai tanda ingatan sambil tangan lagi satu menarik kolar baju ku.

          Angguk.

         “Kau ni memang betul-betul bebal la Pendek. Aku dah marah ni kau tahu??”

          Tidak semena-mena, Roy menghadiahkan satu tumbukan tepat di perut ku. Di sambung dengan satu tendakan di tulung rusuk kiriku. Gemuk turut serta mengentam kepala ku dengan lututnya. Kepala ku diperlakukan ibarat bola. Di sebalik pukulan mereka berdua, sayup kedengaran hanya gelak tawa si Panjang. Hinanya aku ketika itu. Aku insan lemah. Takut untuk membalas. Takut lebih parah keadaan aku nanti. Selang beberapa hentaman, mereka berhenti. Kedengaran Roy membuka zip seluarnya. Aku hanya diam tertunduk. Menahan kesakitan. Terasa kepala ku basah, berbau hancing.

          Celaka!

          Roy kencing tepat di atas kepala ku. Tapi apa aku mampu buat melainkan menyerah. Jika melawan. Lagi teruk diperlakukan. Mengadu kepada ibu ku? Lagi teruk aku diketawakan pelacur jalang itu. Mujur perempuan itu tidak lokek meninggalkan sejumlah duit yang agak besar kepada ku. Aku hanya diam tertunduk. Berpura-pura lemah, tidak mampu bergerak. Sengaja aku biarkan, cepat sikit mereka beredar. Mereka beredar setelah mengambil sejumlah duit dari poket seluarku.

         “Pendek..pendek…...kasihan aku tengok kau.

         “Kau ni siapa sebenarnya?? Tak habis-habis kacau aku dari minggu lepas lagi??

         “Hehehehe..aku nak tolong kau.

         “Habis tu? Apasal tak tolong tadi????

         “Hehehehehe…..

          Aku geram betul dengan suara itu. Seringkali datang menganggu tanpa sebarang tanda. Suara yang sering memerli aku. Kadang-kadang selalu merepek ingin menolong aku. Aku andaikan, mungkin akal ini sudah semakin tidak siuman hinggakan mendengar bisikan suara hati sendiri. Sakit hati. Mungkin akal ku terganggu kesan mangsa buli yang terlalu ekstrem.

         “Ahhhh!! Nak tolong, tolong lah..Jangan cakap je pandai????

         “Ok.

         “Ok je?

          Diam.

         “Woi!

          Diam.

         “Tolong lah cepat Syaitan!!!

          Diam.


                                                                   ***********************


          Suasana gelap gelita. Sunyi sepi tanpa sebarang bunyi. Aku cuba meluaskan pandangan, mencari sebarang sumber cahaya. Tiada.

         “Ah!”

          Tersentak aku teringatkan lampu suluh yang selalu aku tinggalkan di sebalik rak almari baju. Aku meraba-raba persekitaran. Aneh, tiada sebarang objek yang dapat ku gapai. Aku lantas merangkak, meraba-raba ruang lantai. Aneh! Tiada lantai! Aku seakan-akan terapung di ruangan gelap ni. Seribu satu persoalan mula menerjah fikiran ku. Di mana aku? Ingatkan aku di rumah? Di bilik?

          Tiba-tiba, aku bagaikan ditolak ke satu ruangan misteri. Aku ibarat terbang tanpa hala tuju. Laju momentum pergerakan ku. Dapat aku rasakan angin bertiup kencang, mengiringi pergerakan ku. Tetapi suasana masih gelap gelita. Kotak suara ku tersekat. Ikut kan hati, mahu saja aku jerit sekuat yang mungkin meminta pertolongan. Tapi apakan daya suara ku hanya mampu bergetar di anak tekak, tersekat di situ. Hanya bunyi degupan jantung yang kedengaran. Aku memejamkan mata serapat yang mungkin.

          Seka beberapa minit, pergerakan ku terhenti. Betul-betul di hadapan sebuah pintu. Dari celahan pintu itu jelas kelihatan pancaran cahaya yang melimpah ruah. Bermakna di sebalik pintu, ruangnya terang bercahaya. Seakan membaca dan memahami kemahuan ku, pintu itu terbuka luas. Cahaya terang benderang terus menerpa memedihkan kornea mata ku. Aku menahan dengan kedua tangan ku. Silau.

          Kelibat seorang manusia kelihatan di sebalik cahaya terang itu, perlahan-lahan melangkah ke arah ku. Lama-kelamaan, pandangan ku makin jelas. Dapat ku perhatikan seorang lelaki yang sama paras tinggi dengan aku berdiri di situ. Dia tersenyum lebar. Aku kenal senyuman itu. Setiap inci bentuk tubuhnya aku kenal.

         “Ahh!”

          Aku tersentak seketika setelah menyedarinya. Itu adalah diriku. Seakan-akan satu pantulan, seakan-akan aku berdiri di hadapan sebuah cermin besar. Aku membalas senyumannya.

         “Pendek..kau ok?” Pertanyaan dari bayangan diri ku itu.

          Aku hanya diam tercengang. Tak pasti apa yang patut aku jawab.

         “Hahaha..jangan la buat muka terkejut macam tu.” Katanya lagi.

         “Kau siapa?

         “Sudah terang lagi bersuluh kan?

          Diam.

         “Kau suara yang selalu mengganggu aku tu ke?

          Ketawa.

         “Kan aku dah cakap, bukan ganggu. Aku nak tolong.

         “Tolong?

          Angguk.

         “Tolong macam mana tu? Tak pernah pun kau tolong aku masa aku dibuli??” Aku cuba mendapatkan kepastian.

         “Aku tak boleh tolong kau di alam manusia. Aku hanyalah jirim tak berjisim di alam kau berada.

         “Habis??

          Senyum sinis.

         “Sebab tu aku jemput kau ke sini. Hanya di sini aku boleh menjelmakan diri. Boleh bantu kau.

         “Apa yang boleh kau bantu?

         “Aku boleh bagi kau satu keistimewaan. Satu kuasa.

         “Kuasa?? Hahahaha! Kau ingat macam cerita kartun tu??

          Angguk.

          Aku memerhatikan wajah jelmaan aku itu. Wajahnya serius. Bermakna dia berkata-kata benar. Aku menghela nafas panjang. Cuba melayan perasaan mimpi ini.

         “Ok. Bagi la cepat. Hahaha.” Aku ketawa sinis.

         “Tak nak tahu kuasa apa?

         “Hahahahaha! Bagi je la!

          Jelmaan diri ku itu menepuk tangannya dengan agak kuat.

          POKKK!!!!!!!!

          Kuat bunyinya. Bergegar setiap sudut ruang ketika itu. Tepukan itu juga menyedarkan aku dari mimpi aneh itu. Berpeluh-peluh. Aku memerhatikan keadaan sekeliling. Semuanya normal. Ini bilik ku. Tiada yang aneh.

         “Fuhhh..mimpi rupanya.”

          Terus aku menarik selimut ku kembali tidur. Bunyi riuh rendah suara ibu dengan rakan-rakan lelakinya yang sedang jauh tersesat bersuka ria di ruang tamu aku endahkan.


                                                     ***********************


          Krinngggg!

          Bunyi loceng menandakan waktu persekolahan telah pun tamat. Aku terus mengemas barang-barangku secepat yang mungkin. Setiap peralatan dan buku aku simpan dan dengan segera terus beredar secepat mungkin. Leher ku dikeraskan menghadap laluan hadapan, langsung tidak menoleh ke belakang, ke arah mereka bertiga, “Roy and the Gang”.

         “Pendekkk…...nak ke mana tu? Tunggu la kitorang……..”

         “Alamak!”

          Panggilan Roy aku endahkan dan terus laju aku melarikan diri secepat mungkin.

         “Woi! Sial!”

          Hanya jeritan itu yang aku terdengar dari belakang. Endah kan, dan terus berjalan. Setelah jauh dari sekolah, aku memerhatikan kelibat mereka bertiga tidak mengekori ku.

         “Fuhh..nasib baik.”

          Tekak ku terasa dahaga tatkala melihat cendol Pak Ali. Aku singgah membelinya dan terus berjalan pulang. Ketika leka berjalan sambil menyedut cendol berlemak itu, aku terasa beg galas ku disentap dengan kuat. Aku terjatuh. Kelihatan mereka bertiga berdiri mengelilingi aku. Gemuk merampas dan menghabiskan cendol yang aku beli sebentar tadi.

         “Celaka kau pendek. Lain kali aku panggil tu jangan lah lari!” Jerkah Roy.

          Aku kemudiannya dibelasah dengan teruk sebelum dihujani dengan air kencing Roy.


         -TERSEDAR-


          Krinngggg!

          Loceng berbunyi. Waktu persekolahan dah tamat.

         “Aneh?”

          Cepat-cepat aku bersiap melarikan diri, takut ditahan oleh rakan pembuli ku itu. Lega rasanya bila aku tidak di ekori. Aku tahu, Roy mesti geram aku berpura-pura tidak dengar panggilannya tadi. Aku menyedut dengan rakus cendol Pak Ali yang dibeli tadi. Tiba-tiba aku jatuh tersungkur dek beg galas ku ditarik seseorang. Sekali lagi Gemuk merampas cendol ku, dan sekali lagi aku dibelasah dan dikencing Roy.


         -TERSEDAR-


          Krinngggg!

          Loceng berbunyi lagi??

         "Aku bermimpi ke??"

          Aku memerhatikan keadaan sekeliling. Rakan-rakan kelasku yang lain sibuk mengemas barang, hendak pulang secepat mungkin.

         “Ahh!”

          Aku terlupa! Aku juga perlu lari secepat mungkin, khuatir di tahan Roy, Panjang dan Gemuk. Aku mempercepatkan langkah. Ketika hampir melewati pintu kelas. Aku terhenti. Aku seakan-akan tahu yang Roy akan memanggilku.

         “Pendekkk…...nak ke mana tu? Tunggu la kitorang……..”

          Kali ni aku berhenti, dan menoleh ke belakang. Satu renungan kehairanan aku hadiahkan kepada Roy. Kemudian aku terus beredar. Setelah membeli cendol Pak Ali di pekan, sekali lagi beg galas aku disentap ke belakang. Tetapi kali ni aku tidak jatuh. Aku tahu ia akan berlaku. Aku tahan dan pasang kekuda untuk menstabilkan kedudukan.

         “Wah! Sedap cendol!” Kata Gemuk sambil merampas dan meminum cendol yang aku beli.

         “Kenapa kau lari tadi?” Tanya Roy.

          Sebaik sahaja aku dengar pertanyaan itu, terus aku memecut lari meninggalkan mereka. Aku lari selaju yang mungkin. Aku tahu aku akan dibelasah sekiranya masih di situ. Namun, apakan daya. Aku bukan lah atlet. Aku ditangkap Panjang, dan sekali lagi dibelasah dengan teruk. Roy menyudahi dengan mengencing tepat di kepala ku!


         -TERSEDAR-


          Krinngggg!

          Loceng dah berbunyi!

          Aku tidak pula mengemas barangku, tetapi hanya duduk diam membisu di meja. Aku menundukkan kepala, menanti apa akan berlaku sekiranya aku hanya membiarkan sahaja, tanpa beredar pergi.

          Kelas dah hampir kosong. Semua pelajar sudah pun balik. Ketika itu, Roy menepuk bahu ku dan tersengih.

         “Kau tak nak balik ke Pendek?”

         “Aaaa..nak balik la ni.”

          Aku tergesa-gesa meninggalkan kelas.

         “Pendekkk…...nak ke mana tu? Tunggu la kitorang……..”

          Dan sekali lagi gelung masa berulang. Beg galas ku disentap, cendol ku dirampas dan aku dibelasah. Dan sekali lagi aku dihujani air kencing Roy.

         “Woi!!! Mana kau???? Kata nak tolong???

         “Aku dah tolong kan?

         “Tolong?? Makin teruk sakit aku merasa dibelasah dan dimalukan berulang-ulang kali tahu tak??!!

         “Kau dah tahu kan apa yang akan berlaku?

          Diam.

         “Ambil lah tindakan.” Gamit suara itu lagi.

          Diam.


         -TERSEDAR-


          Krinngggg!

          Aku pantas mencapai kotak pensel ku. Tangan ku menguis-nguis mencari sesuatu. Senjata!

         “Ok cantik!”

          Aku genggam erat gunting lipat besi yang aku simpan itu, dan terus keluar dari kelas.

         “Pendekkk…...nak ke mana tu? Tunggu la kitorang……..” Sapa Roy.

          Kali ni aku tekad. Aku menghentikan langkah dan membuat satu sogokan gerak badan kepada mereka.

         “Apa??” Maksud tersirat yang cuba disampaikan melalui pandangan ku kepada mereka. Aku terus beredar.

         “Sial! Dia tengok aku 'kerek' beb!” Kedengaran suara Roy kemarahan.

          Selesai membayar duit cendol kepada Pak Ali, aku menyelinap di sebalik tembok, menanti kelibat mereka bertiga. Sedang aku leka menanti, rupanya mereka datang dari arah yang bertentangan. Beg galasku disentap. Tapi aku tidak terjatuh.

         “Hah! Kat sini rupanya kau sembunyi huh?” Jerkah Roy.

          Ketika itu Gemuk sedang menghampiri ku. Aku tahu dia ingin merampas cendol di tangan ku ini. Ketika itu, aku mengambil satu tindakan drastik. Aku membaling cendol itu tepat di wajah Gemuk. Aku kemudiannya mengambil gunting besi yang disimpan di dalam poket seluar dan terus menikam paha si Gemuk. Roy dan Panjang seakan-akan tercengang memerhatikan kejadian itu. Aku bagaikan dirasuk, dan kemudiannya menikam kali kedua, kali ni tepat di leher Gemuk. Gemuk jatuh tersungkur. Darah kelihatan memancut dari lehernya. Panjang yang dari tadi tersengih menunjukkan raut wajah ketakutan melihat apa yang telah aku lakukan.

          Melihat kejadian tersebut, Roy terus memukul kuat belakang kepala ku. Aku jatuh terduduk di atas lututku. Satu tendangan padu menghentam tepat di muka ku. Pandangan ku gelap berpinar. Aku pitam seketika. Ketika sedar, aku perhatikan Panjang sedang meminta pertolongan kepada orang ramai. Roy telah pun menghilangkan diri. Aku melihat Gemuk terkulai layu di pangkuan Panjang. Darah merah pekat membasahi leher dan badan Gemuk. Aku tersenyum kepuasan.

         “Fuhh…

         “Kan aku dah cakap aku akan tolong kau.

         “Terima kasih.

         “Sama-sama. Tapi semuannya masih belum tamat.

         “Huh??

         “Gelung masa ini tak akan terhapus selagi mana ketiga-tiga mereka masih bernyawa.

         “Apa????


         -TERSEDAR-


          Krinngggg!

          Bunyi loceng entah yang kali ke-berapa, yang menandakan tamat waktu persekolahan. Aku bersiap sedia sambil menggenggam erat gunting besi di tangan ku. Aku bangun, tanpa beg galas ku, melangkah keluar kelas.

         “Pendekkk…...nak ke mana tu? Tunggu la kitorang……..” Sapa Roy.

          Aku tersenyum.

         “Dah sedia?

         “Sentiasa bersedia.


                                                                          -TAMAT-



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku