PLUVIOPHILE
Bab BAB 1
Genre: Cinta
Kategori: Novelet
Paparan sejak 17 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
321

Bacaan






LARIANNYA semakin perlahan. Sesekali matanya melilau mencari susuk tubuh yang sedang dicarinya tika ini. Nafasnya sudah tercungap-cungap. Semput. Sesekali dia terbatuk kecil sambil mengerutkan dahinya. Perutnya terasa senak tatkala ini. Rintik peluh yang merintik di dahi dikesat kasar dengan belakang tangan sebelum matanya tertancap ke arah susuk tubuh yang sedang duduk bersandar di belakang dinding dewan. Seperti biasa, gadis itu keseorangan tanpa ditemani sesiapa.

“Hai budak baru.” Gadis itu mengangkat kepalanya dari buku ketika seseorang menghampirinya. Pandangan kosong tanpa senyuman terpancar di laman wajah gadis itu. Beberapa saat kemudian, dia kembali melayan novel yang dipinjamnya dari perpustakaan tadi. Seolah-olah hanya dia di situ, tanpa sesiapa.

“Aku dengar kau ni budak baru kat sini ya? Budak baru yang sombong, berlagak dan muka macam orang sembelit? Bukan?” Sengaja Hail mengacah gadis yang masih ralit membaca buku itu. Dipandangnya kecil besar saja gadis yang masih duduk santai di dalam dewan. Semalam, dia dengar adiknya Nusaibah bergaduh dengan gadis ini. Teruk keadaan adiknya sehingga demam panas tiga hari berturut-turut. Entah apa yang sudah dilakukan oleh gadis ini terhadap adiknya.

“Hoi perempuan! Kau dengar ke tak aku cakap apa ni?!” Suara Hail yang sudah naik satu oktaf itu membuatkan dewan berdengung dengan suaranya. Kahfi dan Faiz yang duduk di bangku dewan terus terlopong melihat keadaan dingin itu. Beberapa orang siswa dan siswi yang sedang membuat perbincangan turut memandang ke arah Hail. Kaget.

“Puas?”

“Hah?” Gadis itu menutup bukunya lalu bangun dari duduk. Dia sedikit mendongak, memandang wajah Hail yang ketat menahan marah. Sesekali dia memandang manusia yang sedang ralit memerhatikan mereka tika itu.

“Kau ni… memang golongan manusia tak beradab ye? Main terjah orang macam tu ja. Kalaulah orang yang kau terjah tu kena serangan jantung, kau tak rasa bersalah ke? Nanti jadi kes pembunuhan pula kan kalau-kalau orang tu mati katak on the spot,” ujar gadis itu dengan nada suara yang kosong. Persis seperti raut wajahnya yang kosong tanpa perisa. Hail juga kaku mendengarkan kata-kata gadis itu. Kaget. Pedas benar kata-kata yang dimuntahkan kepadanya

“Apa masalah…”

“Apa masalah kau sampai nak serang aku macam ni? Aku ada buat salah dekat kau ke sampai kau nak tengking aku tak tentu pasal?” Hail dan gadis itu saling berpandangan. Tajam mata mereka menikam anak mata antara satu sama lain. Apa yang membuatkan Hail tambah bengang ialah melihat raut wajah kosong gadis berambut ikal mayang ini.

“Kau buat apa hah dekat adik aku sampai dia Dia demam tiga hari sebab kau tau dan kau masih boleh berlagak tenang? Bangang ke apa kau ni?” Tegas Hail dengan nada suara yang seakan-akan berbisik. Malu dia melihat mereka dijadikan pemerhatian sementelah gadis itu masih bereaksi kosong. Jatuh reputasi dia dekat Fakulti ini.

“Oh, jadi kaulah adik kepada si fobia katak itu?” Gadis itu tersenyum sini terkenangkan kejadian empat hari yang lalu. Seronok rasanya mengenakan manusia yang tidak beradab seperti itu.

“Kau!!” Hail tunding jari telunjuknya pada gadis itu. Ditunjalnya terus dahi gadis itu sebelum jarinya ditepis kasar.

“Apa masalah kau nak tunjal kepala aku? Hey bro… balik ni kau pergi soal adik kau sendiri apa yang dia dah buat dekat kawan aku. Memang patut pun dia kena dengan aku. Aku cuma letak anak katak dalam makanan dia dan itu balasan untuk manusia tak berguna. Suka hati dia je nak buli kawan aku kan.” Terang gadis itu sambil berpeluk tubuh. Hail sudah melopong seolah-olah sukar untuk dihadam semua penjelasan gadis ini. Dia tahu kenakalan Nusaibah. Sudah puas mereka sekeluarga menasihati adiknya itu namun masih tiada perubahan pada Nusaibah.

Sungguh, Hail dihurung rasa bersalah. Dia hanya menghantar pemergian gadis itu dengan pandangan tajam. Buku limanya digenggam erat menahan geram dengan adik sendiri. Sungguhlah dia malu hari ini. Mahu saja dikejarnya gadis itu dan memohon maaf di atas ‘kurang adab’ ini tapi kakinya seolah-olah melekat dan terpacak di dalam dewan.

“Drama baru bro, bila nak shoot? Casting tak ajak aku pun kan?” Kahfi sudah menerpa Hail yang masih kaku itu. Kahfi saling berpandangan dengan Faiz lalu Faiz mengangkat bahu tanda tidak tahu. Mereka pelik dengan perubahan Hail, tiba-tiba berdiam diri tanpa bersuara.

SUASANA di dalam kafe kelihatan riuh tengah hari itu. Pelbagai ragam pelajar menjadi paparan matanya ketika ini. Ada sekumpulan kawan baik, tak kurang ada juga pasangan ‘lovey dovey’ yang menjadi perhatian gadis berambut ikal mayang yang diikat gaya pony tail itu. Sesekali nasi berlauk yang dibelinya tadi dikuis perlahan. Entah kenapa seleranya hilang tengah hari itu ketika matanya menangkap susuk tubuh sekumpulan lelaki yang sedang duduk bertentangan dengannya.

Bukannya dia tak sedar, setengah jam dia di sini setengah jam itu jugalah salah seorang lelaki di dalam kumpulan itu merenungnya seumpama dia ini tikus yang akan dibaham oleh helang. Tapi. dia tak gentar pun. Dia bukannya ada ‘hutang’ dengan budak lelaki itu. Cuma dia rasa sedikit tak selesa dengan renungan tajam itu.

“Aira! Kau apahal duk sesorang kat kafe ni? Kau ni kalau dah melahap memang lupa kawan ye?” Seketika, kerusi di hadapannya ditarik sekaligus melindungi dirinya dari dijadikan target si helang. Aira sedikit mengeluh kecil. Senang hatinya dengan kehadiran Tiana.

“Kau makan ni je? Kenapa sikit sangat kau makan ni? Kau ni dahlah kurus macam lidi, sekali tolak je dah jatuh. Semalam seharian kau tak makan Aira oi! Karang kau jatuh sakit aku nak mengadu kat siapa pula? Karang kalau si Saibah tu muncul dan buli si Risha tu siapa nak backup? Aku ke?”

Aira meletakkan sudunya di atas pinggan. Tisu ditarik lalu dilap bibirnya yang sedikit berminyak. Dipandangnya kecil besar saja wajah Tiana yang sudah berkerut-kerut itu. “Kau ni kalau tak membebel sehari memang tak sah kan? Nanti kalau aku ambil banyak dan tak habis kau bising pula. Sekarang ni aku ambil sikit kau membebel macam Mak Bedah jiran sebelah rumah nenek aku. Ala, relaxlah. Kalau si Saibah tu muncul kau bagilah dia makan katak biar dia demam tiga hari sampai dia berhenti buli orang. Ada faham?”

“Eh kau ni, aku mana pandai nak kenakan si Saibah tu dengan katak. Aku sendiri pun fobia dengan katak kau nak suruh aku pula gantikan kau. Ni alang-alang dah sebut pasal si Saibah tu kan… aku dengar… kau gaduh dengan abang dia eh?” Aira tersenyum sinis. Baru semalam kejadian itu berlaku dan sekelip mata sudah sampai ke telinga perempuan di hadapannya ini. Sesekali, Aira memandang sekumpulan lelaki yang masih duduk di belakang Tiana. Lelaki itu rancak berbual bersama rakannya dan sesekali perbualan mereka disusuli dengan gelak tawa. Lama dipandangnya wajah lelaki itu sebelum mata mereka saling bertaut antara satu sama lain. Sebab itu ke lelaki itu merenungnya seolah-olah dia ini seekor tikus?

“Aira, kau dengar ke tak ni aku cakap apa?” Aira masih begitu, bagaikan ada magnet yang membuatkan mereka saling berpandangan. Perlu ke dia memohon maaf pada lelaki itu? Eh, jangan, bukan dia yang salah. Dua beradik itu yang ‘berhutang’ dengan dia.

“Aira…”

“Aira Sofea!” Aira terus tersentak ketika kura tangannya dicubit kuat oleh Tiana. Pandangannya terus beralih ke laman wajah Tiana itu.

“Apahal kau ni main cubit-cubit. Sakitlah, kau nak dera aku ke apa ni?” Adu Aira sambil mengusap kura tangannya yang sudah naik merah. Kenapalah dia pergi balas renungan lelaki itu? Tak seharusnya kau berbuat seperti itu wahai Aira. Kalaulah lelaki itu merancang benda yang tak elok terhadapnya dengan siapa dia mahu meminta bantuan?

“Padan muka kau. Aku tanya kau termenung, kau menungkan siapa hah? Pakwe?” Aira segera menggeleng laju. Pandai-pandai saja perempuan itu berspekulasi terhadapnya.

“Tanya apa?”

Tiana membetulkan posisi duduknya. “Aku dengar kau gaduh dengan senior ya semalam?” Aira hanya mengangguk dengan soalan Tiana itu. Senior diakah lelaki itu? Patutlah poyo, rupa-rupanya senior yang cuba mahu membuli junior. Sama saja seperti adiknya yang demam katak itu.

“Aku tanya kau angguk geleng. Apa kau ingat ni lagu angguk-angguk geleng-geleng senggol-senggol ke?” Aira mencebik. Dia tengah geram boleh pula Tiana nyanyi lagu dari kumpulan ahli fiqir itu.

“Betullah tu. Gosip murahan yang kau dengar tu memang realiti. Tapi aku tak rasa aku gaduh dengan senior tu pun, cuma dia yang lebih…” Aira kematian kata pabila kerusi bersebelahannya ditarik. Dua pasang mata terus memandang figura yang tiba-tiba menerpa mereka. Tiana terkebil-kebil melihat kemunculan manusia yang menjadi topik perbualan mereka ini.

Melihat manusia itu sudah duduk di sebelahnya membuatkan selera makan Aira sudah hilang sepenuhnya. Dia pandang Tiana yang sedang memandang manusia di sebelahnya dengan pandangan yang terkejut. Kalau Tiana terkejut, apatah lagi dia yang menjadi mangsa renungan tajam manusia itu sebentar tadi. Tak sangka pula manusia itu memang tak puas hati pada dia lagi. Hailah, apalah nasib.

“Kenapa diam? Sambunglah.”

Senyap. Hail pandang wajah Tiana yang kaku itu sebelum dipandangnya wajah Aira yang sedang berkemas ingin bangun dari duduk. Macam berada di gurun panas pun ada juga lagaknya tika ini. Tadi bukan main lagi mengumpat pasal hal semalam itu.

“Aku tak boleh join ke kau orang punya conversation ni?”

“Kat sekolah dulu kau memang tak belajar pasal adab ke? Main terjah orang macam tu ja?” Akhirnya Aira bersuara, dingin. Hail garu pelipis sebelum dia menongkat dagu memandang wajah Aira yang kosong itu. Sekali lagi wajah manis itu direnungnya tanpa berkelip. Dia suka melihat anak mata bundar milik Aira. Seolah-olah terpancar satu aura magnet yang membuatkan dia terpaku.

“Kau apahal…”

“Kenapa?” Aira kerut dahi pabila lelaki itu memberikan persoalan kepadanya. Dia buat isyarat mata pada Tiana agar segera bangun dari duduk. Tiana anggukan saja kepalanya sebelum dua sahabat itu bangun dari duduk meninggalkan Hail yang masih duduk menongkat dagu. Dipandangnya saja langkah gadis itu sambil bibirnya terukir satu garisan nipis. Sombong. Dia ingatkan mahu berdamai tapi ini pula yang dia dapat.

“Kau tengok eh kalau dia pusing belakang tu maknanya dia jual mahal dan dia nak kau pujuk dia sampai hati dia lembut.” Suara Faiz sambil dipandangnya juga langkah Aira yang semakin hilang dari pandangan itu.

“Satu… dua... ti…” Kahfi tepuk bahu Hail saat Aira pusing ke belakang. Jelas gadis itu bereaksi kosong sebelum diteruskan lagi langkahnya dan akhirnya gadis itu hilang dari pandangan. Hail tunjal dahi Kahfi saat lelaki itu ketawa.

“Kau orang suka sangat ni dah kenapa? Suka tengok budak tu layan aku macam penjenayah?”

“Bukan macam tu bro, yalah kau ni macam dah suka dekat minah tu je. Selamba kau je kan pergi renung dia sampai macam tu sekali. Mahunya pakwe dia ke tunang dia atau suami dia pergi serang kau tak ke naya?” Hail sudah bangun dari duduk sambil langkahnya dibuntuti oleh Kahfi dan Faiz. Dia sedikit tersentak dengan soalan Faiz itu. Benar dan pelik.

“Setahu aku selama tiga tahun aku kenal kau tak pernah lagi kau approach budak perempuan macam kau approach budak baru tu. Pelik bagi kita orang wahai kawan.” Suara Kahfi pula sambil ditepuknya bahu Hail yang hanya tersenyum nipis mengenangkan kejadian semalam.

“Aku buat salah dekat dia, jadi apa salahnya aku minta maaf kan?” Dalih Hail untuk menyembunyikan rasa peliknya. Benar kata-kata Faiz dan Kahfi, dia tak pernah lagi serbu budak perempuan seperti mana dia serbu Aira. Apa yang sudah terjadi sebenarnya wahai Hail? Semudah itu ke kau terjatuh dalam permainan perasaan?



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab BAB 1 | Bab BAB 2 | Bab 3 | Bab 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku