PLUVIOPHILE
Bab BAB 2
Genre: Cinta
Kategori: Novelet
Paparan sejak 17 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
399

Bacaan






AIRA menggagau beg sandangnya mencari kalau-kalau ada payung yang disimpan di dalam beg. Namun hampa, hanya dompet, telefon, buku latihan dan pen saja yang disimpan di dalam beg. Sesekali dia menjeling ke kiri dan kanan sebelum dia berlari anak menuju ke stesen bas yang berhampiran. Tubuhnya sudah mulai kedinginan dengan hujan lebat lebih-lebih lagi bajunya sudah basah. Bibirnya sedikit menggeletar menahan kedinginan.

Mendengar rintikan hujan menyenangkan hati Aira. Bau hujan yang segar membuatkan tubuhnya yang kedinginan seolah-olah terasa hangat. Dia tadah tangan membiarkan rintikan hujan jatuh di atas tapak tangannya. Dia memang bercinta dengan hujan. Hujan itulah kekasihnya meskipun hujan ini dilambangkan sebagai kesedihan. Tapi, hujan juga membawa tuah dan rezeki. Dia ingat lagi sewaktu dia kecil, dia sering dimarahi oleh emak disebabkan kenakalannya bermain dengan hujan. Tapi itu cerita dulu.

“Suka hujan juga ke?” Terhinggut bahu Aira apabila muncul suara serak basah di sebelahnya. Dia dongak memandang figura berhoodie hitam di sebelahnya sebelum satu keluhan berat dilepaskan. Tak ada muka lain ke yang dia boleh tengok selain muka manusia tak beradab ini?

“Buat apa duduk sini sesorang? Dah nak gelap ni, tak takut ke balik sesorang?” Mereka saling berpandangan sebelum lelaki itu bersandar di belakang dinding. Tangan kanannya sudah menggagau beg galasnya.

“Kau ni memang tak beradab ke? Main terjah macam tu ja. Aku rasa nak bernanah dah mulut aku dok ulang ayat yang sama. Kau nak sibuk hal aku kenapa? Pergilah sibuk hal adik kau yang demam katak tu.” Sinis.

“Assalamualaikum. Aku… aku cuma nak…” Hail kematian kata saat Aira kalih memandangnya. Dia menghampiri sebelum dihulurkan payung kepada gadis itu. Aira hanya kaku tanpa menyambut pemberian Hail. Tak teringin dia mahu menerima bantuan Hail. Dia lebih rela demam dari harus menerima budi pemuda itu.

“Waalaikumusalam. Ha, kau nak apa? Nak tengking…”

“Aku nak minta maaf dan berbaik dengan kau. Boleh?” Bidas Hail sebelum dia tertunduk buat seketika. Spontan saja kata-kata itu terbit dari bibirnya. Wajahnya sudah mula membahang ketika dia lihat Aira hanya bereaksi kosong. Entahkan marah ke tidak perempuan itu. Dia tidak pasti.

“Aku Hail. Nama kau?” Aira pandang payung yang dihulurkan Hail. Suara lelaki itu sudah ditenggelami dengan rintihan hujan yang menjerit. Seketika Aira pandang bangunan fakulti yang bertentangan dengannya. Seolah-olah Hail tak wujud di situ.

“Kau ni memang macam ni ke?” Senyap. Hail tersenyum sinis.

“Bukan memang tapi ya. Sombong, apa kau ingat muka kau cantik nak sombong dengan aku ni? Salah ke aku minta maaf dekat kau?” Aira masih begitu. Kata-kata Hail seolah-olah masuk telinga kanan keluar telinga kiri saja bagi Aira. Terasa hati? Rasanya hatinya ini masih kebal dengan setiap kata-kata sinis itu.

“Kau ni bukan je sombong tapi ego. Orang minta maaf dekat kau dan kau buat tak tahu je? Kau sedarlah diri sikit, kau tu baru lagi kat sini. Ok, aku tahu aku salah tengking kau sesuka hati aku tanpa usul periksa tapi aku betul-betul nak minta maaf dekat kau.” Aira pejam matanya buat seketika sebelum dia pandang wajah Hail. Tajam.

“Kau marah dekat Nusaibah lagi ke?”

Senyap.

“Wei! Aku cakap dekat kau kot. Apahal kau diam je? Kau memang tak suka dekat aku dengan Nusaibah ke sampai kau dingin macam ni sekali? Kau benci sangat ke dekat aku ni?”

“Kau suka hujan?” Hail hanya angguk. Pelik benar perempuan ini. Tiba-tiba bertanyakan sesuatu yang di luar jangkaannya.

“Apa yang kau rasa bila hujan turun?” Soal Aira lagi. Hail usap belakang lehernya sambil menyembunyikan tawa. Rasa geli hati pula dengan soalan Aira itu. Misteri dan pelik juga ya gadis yang suka mencabar kesabarannya ini.

“Aku rasa ketenangan. Bila aku hidu bau hujan aku rasa aku berada di sebuah dunia yang hanya aku seorang saja. Sebab tu setiap kali hujan turun aku akan berdiri dekat bus stop ni sambil dengar bunyi hujan. Kalau ada pelangi muncul itu kira bonus buat aku. Memandangkan bus stop ni dekat dengan fakulti, maka aku jadikan bus stop ni sebagai portkegemaran aku menikmati hujan.” Jelas Hail senada. Penjelasannya yang jujur dari hati itu sedikit terkesan di hati Aira. Lelaki suka hujan? Menarik.

“Biarpun ada sesetengah orang kata hujan ni lambang kesedihan tapi bagi aku hujan ni rahmat dari yang maha esa. Setiap kesedihan itu pasti akan berakhir dengan kebahagiaan. Cuma, kebahagiaan itu biarlah bersederhana dan apa yang penting kebahagiaan itu juga haruslah kita usahakan. Hujan itu umpama berlian yang jauh di dasar lautan, tetap indah di mata aku biarpun hujan tu kadang-kadang boleh mendatangkan musibah. Ya, maksud aku kalau hujan tanpa henti mesti banjir. Tapi, setiap musibah itu pasti ada nikmat.” Hail tersenyum nipis. Perasaan marah pada Aira bertukar tenang setelah dia mengungkapkan isi hatinya tentang hujan. Tangan kanannya dikeluarkan dan dibiarkan rintikan hujan jatuh di atas tapak tangannya. Segar.

Aira juga buat posisi yang sama. Apakah ini takdir yang sudah tertulis? Selama hayatnya orang akan bilang dia ini pelik kerana jatuh cinta pada hujan tapi saat ini dia dipertemukan pula dengan seorang Pluviophile sepertinya.

“Kau maafkan aku tak?” Hail jungkit kening kirinya pada Aira. Berharap gadis itu akan memaafkan kesilapannya. Aira hanya diam. Menikmati kesegaran hujan yang makin lebat itu. Melihat tiada sebarang reaksi dari Aira membuatkan Hail juga kaku. Dia hanya menggelengkan kepalanya sebelum dia berlalu pergi. Meninggalkan Aira dengan cintanya terhadap hujan.

“BUAT apa nak minta maaf dengan perempuan gila tu? Abang tahu tak sebab perempuan tu Sai dapat mimpi ngeri! Sebab perempuan tu Sai demam tiga hari and missed all the presentation. Sedap hati abang ja suruh Sai minta maaf kan.” Puan Dian dan Encik Daud hanya menggeleng kepala melihat pergaduhan dua orang anaknya itu. Macam budak-budak saja lagak mereka berdua. Masing-masing tak mahu mengalah.

“Kenapa Sai ni ego sangat hah? Sai yang buat salah dan Sai jugalah yang kena minta maaf dekat dia! Memang patut pun dia bagi pengajaran dekat Sai yang nakal ni. Sebab Sai dia kena tanggung malu, Sai tahu tak.” Nusaibah mengerutkan dahinya apabila kusyen dilemparkan ke wajahnya. Dia benci perempuan itu. Sebab perempuan gila itu dia harus bertekak dengan abang kesayangannya ini.

“Abang ni dah kenapa? Buang tabiat ke beria-ia suruh Sai minta maaf? Kenapa? Abang dah jatuh hati dekat perempuan gila tu ke?!” Hail tersentak dengan kata-kata Nusaibah. Hari itu, Kahfi juga buat spekulasi yang sama dan hari ini giliran Nusaibah pula. Dia rasa lain macam dekat hati bila mereka bilang dia sudah jatuh hati. Perasaan apakah ini? Tak pernah lagi dia rasakan sesuatu seperti ini. Tak mungkinlah…

“Tak sangka abang Sai yang hati batu ni boleh jatuh hati dekat perempuan gila, sombong berlagak macam tu. Sampai sanggup bergaduh dengan adik sendiri semata-mata nak pinta sebuah kemaafan. Eh, abang yang tengking dia abanglah yang pandai-pandai minta maaf dekat dia. Sai rasa Sai tak ada salah dengan dia sebab Sai tak ganggu dia pun.” Tambah Nusaibah lagi bila dilihatnya Hail sudah kaku berdiri seperti tugu.

“Mama dengan abah tengok anak teruna mama ni, dah dilamun cinta sampai sanggup bergaduh dengan adik sendiri semata-mata nak paksa adik dia minta maaf. Sudah tu dengan perempuan gila…”

“Nusaibah! Dia tak gila dan jangan sesekali nak rendahkan perempuan tu. Dalam hal ni Sai yang salah tahu?! Sai yang buli kawan dia dan dia cuma back up kawan dia ja. Tak ada yang salah pun bila Sai yang minta maaf dekat dia. Sudahlah tu Sai, buang ego Sai dan minta maaf dekat kawan dia sekali. Kali ni ja Sai tolong abang, please?” Rayu Hail sambil digenggamnya erat tangan Nusaibah. Gadis itu sudah kaku dengan pandangan redup Hail. Pelik. Ini bukan abang yang dia kenal. Ke mana perginya abang yang tak pernah jatuh cinta?

“Sai, betul kata abang tu. Janganlah buat macam ni lagi, Sai yang salah jadi Sai kenalah minta maaf dekat dia orang. Ok sayang?” Pujuk Puan Dian. Kaget dia melihat pertengkaran anak-anaknya ini. Lebih kaget pabila Nusaibah bilang anak lelaki tunggalnya sudah dilamun cinta.

CELOTEHTiana dan Risha sekadar dipandang kosong saja oleh Aira. Dia ligat membaca pesanan yang dihantar di dalam WhatsApp. Entah apa yang patut dia rasakan di saat ayahnya tiba-tiba menghantar pesanan kepadanya untuk meminta wang sekali lagi. Apa ayahnya ingat dia ini bank? Dia pun perlukan duit untuk perbelanjaannya di sini jugalah. Hailah, pening kepala Aira dengan ayah tak bertanggungjawab seperti itu.

“Perempuan berbaju kemeja kotak-kotak hitam. Sini kejap.” Aira angkat muka pabila Tiana dan Risha mati langkah. Manusia pertama yang dilihatnya ialah Nusaibah bersama sekumpulan sahabatnya. Aira mengeluh kasar sebelum dia berlalu pergi dibuntuti oleh Tiana dan Risha. Namun baru selangkah, tali beg sandangnya ditarik kasar oleh Nusaibah. Aira mati langkah.

“Kau nak apa?”

“Aku nak jumpa kau sekejap. Ada hal yang aku nak bincangkan.” Aira tepis tangan Nusaibah sebelum dia pandang wajah Tiana dan Risha yang tertunduk itu. Barangkali Risha masih trauma dengan Nusaibah selepas dia dibuli oleh gadis itu. Teruk jugalah dia dimarahi oleh ibunya disebabkan cermin matanya dipatahkan oleh gadis itu.

TIANA dan Risha segera menerpa ke arah Hail yang baru saja keluar dari kelas itu. Nafas mereka juga sudah tak teratur mencari keberadaan lelaki ini. “Kecemasan!”

“Kecemasan? Apa dia yang cemas sangat ni?” Soal Kahfi sambil saling berpandangan dengan Hail. Sudahlah dia tak kenal dengan dua gadis ini tiba-tiba pula mereka menerpa. Kaget Kahfi dan Hail dibuatnya.

Dalam masa yang sama, Aira hanya berdiri kaku di belakang kafe sambil dikelilingi dengan Nusaibah dan kumpulannya yang lain. Sekali lagi Aira bagaikan seekor tikus yang akan dibaham oleh sekumpulan helang bila-bila masa saja. Tapi, Aira tak kisah. Kalau dia orang nak belasah dia pun belasah sajalah. Puaskan hati manusia-manusia ego seperti mereka.

“Kau tahu tak kenapa aku nak jumpa kau?”

“Sebab kau nak balas dendam?” Nusaibah geleng. Dicengkamnya bahu Aira, kuat membuatkan dahi Aira sedikit berkerut.

“Abang aku… aku nak tanya kau pasal abang aku.” Aira tepis tangan Nusaibah namun gadis itu tetap mencengkam bahunya.

“Lepaslah! Buat apa kau nak tanya aku pasal abang kau? Dia tak ada kena mengena dalam hidup aku pun.” Bentak Aira sebelum dia menolak kasar tubuh Nusaibah dari mencengkam bahunya. Apa mereka ingat Aira takut mahu menggertaknya sesuka hati?

“Memanglah kau tak ada kena mengena dengan abang aku tapi sebab kaulah aku dengan abang aku bertekak! Kau dah guna-gunakan abang aku ke? Eh, khidmat bomoh mana hah kau upah untuk gunakan abang aku sampai dia sanggup bergaduh dengan adik sendiri semata-mata nak suruh aku minta maaf dekat kau?!”

Aira bungkam mendengarkan kata-kata Nusaibah itu. Sungguh hatinya sudah mula bergelegak dituduh seperti itu. Dia ingatkan dia sudah berpindah ke tempat baru bolehlah dia hidup aman dan damai rupa-rupanya masih seperti dulu. Sering saja ditimpa masalah seperti ini. Apalah nasib.

“Kenapa diam? Aku tanya ni jawab!” Suara Nusaibah sudah naik satu oktaf. Turun naik nafasnya apabila kesabarannya sudah hilang. Reaksi kosong Aira itu membuatkan dia benar-benar tercabar.

“May, kau sini kejap. Bak jus oren perempuan ni.”

Gadis berambut blonde coklat yang dibiar lepas itu menghampiri Nusaibah. Bukan dia saja, dua orang rakan Nusaibah yang lain turut menghampiri untuk menyaksikan Nusaibah beraksi. “Jus oren kau ni kita orang dah tambah vitamin tau. Siapa yang minum mesti jadi bijak dan tak akan bisu macam kau. Nah, minum ni.” Nusaibah menghulurkan botol mineral kepada Aira. Gadis itu hanya memandang botol dengan pandangan kosong sebelum dia melangkah pergi namun baru selangkah dia mara, rambutnya ditarik kasar dari belakang sebelum tubuhnya dihempas ke belakang dinding.

Aira sedikit berkerut menahan perit pada tubuhnya. Dagunya terus dicengkam kasar oleh May. “Nah, hadiah untuk orang bisu macam kau. Selamat menikmati jus oren buatan stokin!” Air yang sudah dicampurkan dengan stokin itu terus dituang ke mulut Aira. Berkerut-kerut dahi gadis itu menahan seksaan yang diberikan Nusaibah. Jantungnya seakan-akan dicucuk dengan berjuta-juta jarum tika ini. Dadanya tiba-tiba terasa perit seolah-olah ditindih oleh sesuatu.

“Buka mulut kau luas-luaslah bangang!” Bentak Nusaibah lagi. Seronok dia melihat wajah Aira sudah mula menunjukkan reaksi apabila wajah itu sudah bertukar merah. Aira terus terbatuk-batuk setelah tertelan air yang dituang ke mulutnya. Dengan tenaga yang masih tersisa dia pijak kuat kasut Nusaibah sebelum disemburkan air ke wajah gadis itu. Nusaibah tercengang.

“Hoi betina! Kau ni memang kurang ajar kan! Meh sini aku ajar kau cara-cara beradab dengan senior.” Nusaibah terus menerpa ke arah Aira lantas ditamparnya kuat pipi gadis itu.

“Loli, aku nak kau rakam benda ni lepastu masuk dalam youtube. Budak macam ni memang patut jadi famous kan sayang.” Arah May pula sebelum ditariknya kasar rambut Aira dari belakang. Wajah gadis itu sudah kusut diperlakukan seperti itu. Sekali lagi, pipi Aira ditampar kuat olehnya sehingga Aira terjelopok jatuh. Aira cuba melawan namun rasa perit di dadanya membataskan pergerakannya. Tak mungkinlah tubuhnya ini kembali diserang parasit? Tapi… sesiapa tolonglah… tolonglah muncul…

“Kenapa kau boleh buat abang aku jadi sasau ha betina?! Aku bencilah tengok muka berlagak kau ni! Aku dengan abang aku tak pernah gaduh tapi sejak kau datang ni abang aku dah pandai tengking aku. Perempuan murah!” Bentak Nusaibah lagi sambil ditunjal-tunjalnya kepala Aira yang sudah tertunduk itu. Setelah itu, dia duduk mencangkung di hadapan Aira sebelum dicengkamnya kuat dagu gadis itu. Melihat darah yang mengalir di birai bibir Aira membuatkan dia tersenyum sinis. Mereka sudah saling berpandangan antara satu sama lain.

“Aku tak akan biarkan abang aku jatuh cinta sampai gila meroyan dekat kau perempuan. Kau…” Nusaibah mati kata tatkala matanya tertancap ke laman wajah seorang lelaki yang tiba-tiba muncul. Membuntang matanya melihat Hail, Tiana dan Risha. Melihat keadaan Aira yang sudah terduduk itu membuatkan Tiana dan Risha berasa pilu. Disebabkan mereka, Aira terseksa.

“Apa yang Sai buat ni ha?!” Suara Hail kedengaran lantang di belakang kafe itu. Dia terus berlari mendapatkan Aira yang sudah tertunduk dengan rambut yang kusut. Dicengkamnya lengan gadis itu untuk membantu Aira bangun dari duduk namun tangannya ditepis kasar.

“Sai minta maaf macam yang abang suruhlah. Bukan ke gitu perempuan gila?”

“Macam ni ke caranya minta maaf? Kenapa minta maaf sampai nak cederakan…” Hail kematian kata saat Aira sudah perlahan-lahan bangun dari duduknya. Sempat dipandangnya wajah Aira yang sudah kelam dan sedikit bengkak itu. Gadis itu masih bereaksi kosong. Hail pegun.

“Jalan elok-elok tau. Karang pengsan pula, lain hari kita main sama-sama lagi eh?” Sempat lagi May bersuara sambil menyaksikan langkah Aira yang nampak lemah itu. Seketika, dipandangnya wajah Hail yang masih duduk mencangkung. Rambut yang sedikit kusut dibetulkan sebelum dia menghampiri lelaki itu.

“Hai abang, dah lama kita tak jumpa kan? Abang sih…”

“Kau orang semua ni memang tak ada akal kan! Apa salah budak tu sampai kau orang pukul dia? Dia ada dosa besar dekat kau orang ke?!” Nusaibah menjelingkan matanya ke atas. Sekali lagi perempuan itu dipertahankan oleh abangnya. Meluat sungguh dia menyampah. Tak puas lagi dia mahu menyakiti gadis itu.

“Apa masalah abang…”

“Masalahnya di sini perempuan tu tak pernah kacau hidup orang!!” Aira yang mendengar kata-kata Hail, sedikit tersentak. Dia tak salah dengar ke ada orang pertahankan dirinya yang lemah ini? Kenapa hati ini tiba-tiba terasa lelah? Kenapa ada kesedihan tiba-tiba bertandang di dalam hati apabila dirinya dipertahankan oleh seorang lelaki? Dia rasa dilindungi. Tak pernah lagi dia rasa dirinya dilindungi memandangkan dia ini hanyalah seorang penumpang yang disisihkan.

“Aira, muka kau dah pucat ni. Petang ni kau tak payah pergi kelas ye? Kita orang hantar kau balik ok?” Pujuk Tiana sambil dipautnya lengan Aira. Gadis itu hanya mengangguk saja dengan arahan Tiana.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab BAB 1 | Bab BAB 2 | Bab 3 | Bab 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku