PLUVIOPHILE
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novelet
Paparan sejak 17 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
394

Bacaan






TINGKAP bilik dibuka. Dibiarkan angin malam menerbos masuk ke dalam kamarnya. Tiana yang juga menjadi rakan sebiliknya sudah tidur seawal pukul 11 lagi. Katanya penat membuat tugasan tanpa henti. Aira pandang nasi yang dibungkuskan oleh Tiana. Masih tidak terusik memandangkan tekaknya masih terasa loya dengan air stokin. Seketika Aira pejam mata membiarkan hujan menjadi okestra lewat malam itu. Dia mahu melupakan semua masalah yang terjadi. Bau hujan menyegarkan tubuhnya sebelum dia tadahkan tangan merasai rintik hujan yang nyaman.

Tangan kiri dilekapkan pada dadanya yang masih terasa perit. Dahinya berkerut sedikit pabila dadanya terasa seakan-akan dihempap oleh objek berat. Sungguh, nafasnya sukar ditarik tika ini kerana kesakitan yang semakin bermaharajalela. Lantas Aira celik mata sebelum ditariknya laci meja. Mencari bekas lut sinar yang sentiasa menjadi penyelamatnya. Gelas dan botol mineral disambar sebelum dituangnya botol mineral ke dalam gelas. Tangannya juga sudah terketar-ketar menahan sakit. Dia rasa mahu mati saja lebih baik dari terus hidup menderita seperti ini.

Kenapa ya hujan kali ini seolah-olah memberikan sebuah kesedihan buat dia? Apakah hati ini masih terkilan dengan sikap Hail yang sudah mempertahankan maruahnya tadi? Sungguh, Aira bungkam. Dia terus bersandar di belakang dinding sebelum kedua lutut ditarik rapat ke dada. Ubat yang sudah ditelan sebentar tadi memberikan ketenangan buat dia.

NASI yang terhidang hanya dikuis oleh Hail. Fikirannya sibuk memikirkan keadaan Aira yang sudah seminggu tak nampak bayang itu. Rindu? Ya rasa-rasanya ada rindu yang sedang menghuni bilik hatinya. Nusaibah yang duduk di sebelah Hail hanya mencemik. Seminggu selepas kejadian itu seminggu itu jugalah abangnya ini tidak mahu berbicara dengannya. Dingin.

“Tiga bulan lagi Hail habis study kan. Dah fikir masak-masak pasal tawaran pak long kamu tu?” Hail hanya tersengih dengan soalan Encik Daud. Aduhai, boleh pula dia lupa pasal tawaran bekerja dengan pak longnya itu.

“Bukannya Hail tak nak abah, tapi bila Hail fikir-fikir Indonesia itu jauh sangat. Rasa tak sampai hati pula nak tinggalkan abah dengan mama. Lagipun kalau boleh Hail nak mula dari bawah tapi pak long ni paksa Hail pula ambil jawatan ketua eksekutif pemasaran tu. Tinggi sangat jawatan tu buat orang baru macam Hail ni bah, ma,” ujar Hail sebelum diteguknya air sirap. Sejujurnya itulah yang dia rasakan saat ini. Tidak mahu dirinya sentiasa berada dalam lingkungan selesa.

“Tak sampai hati nak tinggalkan perempuan gila tu juga kan? Wahai abang Mikhail?”

“Heysh apa ni Sai, siapa pula perempuan gila yang kamu cakap ni? Tak habis-habis gaduh pasal perempuan gila tu. Eh dari kamu berdua duk bertekak pasal perempuan gila tu lebih baik kamu bawa dia jumpa mama. Mama nak tengok sikit rupa dia.” Suara Puan Dian pula membuatkan Hail terus tersedak air sirap. Dia terbatuk-batuk kaget mendengarkan kata-kata mamanya itu.

“Lah, boleh pula kamu tersedak bila mama suruh kamu bawa dia ke sini. Mama bukan apa, mama cuma nak tengok budak tu saja. Tak salah kan Hail?”

Err…”

“Buat apa mama nak jumpa perempuan gila tu? Dia tu gila tahu tak. Mama tahu tak dia pernah letak katak dalam makanan Sai. Dia tu bukannya betul sangat pun. Mama nak sangat jumpa dia tu mama nak huru harakan rumah kita ke?” Marah Nusaibah sambil berpeluk tubuh. Meluat dia dengan Aira itu. Semua keluarganya suka pada Aira. Kalau ditakdirkan dia harus beripar dengan Aira pasti rumah ini jadi tunggang terbalik. Tidak, Nusaibah tak restu.

Encik Daud ketawa kecil. Dia menggelengkan kepala dengan tingkah anak gadisnya ini. “Perempuan gila yang kamu cakap tulah kegemaran mama kamu ni tahu. Sai, abah dengan mama besarkan kamu dan abah tahu perangai kamu ni macam mana. Suka sangat buli anak orang lain kan dan abah tahu dia buat macam tu sebab dia nak bagi pengajaran buat kamu. Sudah-sudahlah tu Sai. Tak ada gunanya kamu nak berdendam dengan budak tu.” Nasihat Encik Daud lagi. Nusaibah gigit bibirnya sebelum dipandangnya wajah Hail yang sudah tersenyum sinis itu. Nasib baik abangnya ini tak gatal mulut pergi ceritakan kisah stokin itu. Kalau tidak pasti dia kena kurung dalam bilik lagi.

Sejurus saja makan malam mereka sekeluarga selesai, Hail duduk di atas buaian sambil menikmati bau rumput yang masih basah disebabkan hujan maghrib tadi. Rasa segarnya masih menusuk rongga hidung. Tenangnya seperti duduk di tepi lautan sambil mendengar bunyi ombak. Tangannya terus mencapai Samsung yang diletak di dalam poket seluar track suit. Sebaik saja dia menyentuh butang password, icon galeri disentuh lalu laju saja tangannya scrollke bawah.

Apabila foto yang dicari sudah ditemui lantas dia menyentuh gambar tersebut. Ini kalau pemiliknya tahu mesti pemiliknya itu akan bilang dia ini tak beradab. Mencuri gambar orang tanpa izin. Bukan satu saja, ada berbelas foto Aira yang ditangkapnya secara sembunyi. Semuanya reaksi kosong sebelum satu gambar membuatkan dia pegun. Gambar Aira yang ditangkapnya di stesen bas dulu. Ada garisan manis di bibir munggil itu. Tangan ditadah membiarkan hujan jatuh di atas tapak tangan.

“Siapa kau? Siapa nama kau? Kenapa kau buat aku macam ni wahai puteri hujan? Kenapa kau buat hati aku bergetar saat aku pandang kau?”

Hail tersenyum sendiri sebelum telefonnya disambar dari belakang. Kaget dia melihat keberadaan Nusaibah dan Puan Dian. Puan Dian hanya tersenyum saja melihat anak terunanya sudah pandai bermain cinta. Membahang terus wajah Hail tatkala telefonnya sudah berukar tangan dengan mamanya. Malu.

Puan Dian terus khusyuk memandang raut wajah manis yang terpapar di skrin telefon Hail. Mata yang bundar, bibir merah jambu yang sedikit pucat, hidungnya tak begitu mancung tapi senyuman yang memperlihatkan lekuk di pipi gadis itu membuatkan gadis itu nampak indah.

“Cantik. Siapa nama dia?” Telefonnya dipulangkan semula. Hail hanya tersengih.

“Tak…”

“Aira Sofea ma, budak baru. Junior kita orang semester 1,” jawab Nusaibah sambil saling berpandangan dengan Hail. Hampir melopong Hail apabila dengan selambanya Nusaibah menjawab. Gadis itu angguk kecil menandakan dia tahu tentang Aira. Memanglah seharusnya dia kenal siapa musuhnya itu meskipun hanya pada nama.

“Indah nama budak tu. Tak pernah lagi mama dengar Sai dikenakan semula oleh budak yang Sai buli. Ni first time mama dengar orang kenakan Sai sampai demam tiga hari tapi sayangnya anak mama ni masih tak serik lagi.” Keluh Puan Dian sambil menggelengkan kepalanya. Susah benar anak gadis tunggalnya ini, nakalnya tak ada kesudahan.

“Kamu pun sama Hail, kenapa kamu simpan gambar budak tu dalam phone kamu? Tak ke naya kalau budak ni tahu. Kasihan pula mama tengok kamu ni. Teruk juga penangan Aira tu sampai anak teruna mama yang tak pernah jatuh cinta sanggup curi gambar Aira sesuka hati.” Perli Puan Dian lagi. Sengaja mahu menyakat anak-anaknya yang pelbagai ragam ini.

“Mama ni kalau merepek memang juara kan. Mana ada Hail jatuh cintalah ma, gambar tu tak sengaja tertangkap masa Hail nak tunggu bas. Mama ni janganlah tuduh Hail yang bukan-bukan.” Dalih Hail sebelum dia bangun dari duduk. Selagi dia duduk di sini selagi itu hatinya ini semakin berteka teki. Tapi kenapa ya semudah itu? Rasa-rasanya tak sampai sebulan dia bertemu dengan Aira. Tapi impaknya itu begitu kuat.

“Ye eh?” Nusaibah jungkit kening kirinya. Sengaja mencabar abangnya itu. Dalam banyak-banyak perempuan kenapalah harus jatuh hati pada perempuan gila itu?

“Sai nak cakap sesuatu dengan abang ke?” Soalan dijawab dengan soalan. Nusaibah ketawa kecil sebelum dia geleng kepala. Tiada apa lagi yang boleh dia katakan apabila Hail sudah betul-betul serius dengan perasaannya. Dia memang tak suka pada Aira tapi kalau itu yang abangnya suka dia harus buat apa lagi? Dia sayang Hail dari dia sayang diri sendiri. Nampaknya dia perlu menurut kehendak hati abangnya itu.

DUA pasang mata saling berpandangan antara satu sama lain. Hampir terlepas bakul yang Hail genggam apabila melihat wajah Aira di kaunter pembayaran. Hari sudah larut malam tapi gadis ini masih bekerja. Aira berlagak biasa saja saat wajahnya diperhatikan Hail. Mahu saja dia lari dari sini dari disoal siasat lelaki itu. Sungguh dia tak suka.

“RM 20.” Hail hanya angguk sebelum dihulurkan dua note sepuluh ringgit pada Aira. Gadis itu sedikit menunduk tanda terima kasih. Cepatlah pergi, jangan dipandang lagi wajahnya yang teruk tika ini.

Apabila bunyi loceng kedengaran, Aira berasa lega. Senang hatinya apabila figura Hail tak kelihatan lagi di dalam kedai 7 Eleven itu. Dia kembali melakukan tugasnya sebelum jam menginjak ke pukul 11 malam. Dengan harapan, durjana itu tidak ada lagi di dalam rumah saat ini. Perasaan takut kembali bermain di sanubari.

SEBAIK saja kakinya melangkah keluar dari kedai, bau hujan terus menemani kepekatan malamnya menuju ke stesen bas berhampiran. Tubuhnya sedikit kedinginan dengan bayu malam. Tangan dimasukkan ke dalam poket hoodie sambil membetulkan topi yang teletak elok di atas kepala.

“Aira!” Aira mati langkah apabila namanya diseru kuat dari belakang. Kedengaran bunyi tapak kaki semakin menghampirinya sebelum dia kembali meneruskan langkah. Perasaan takut yang menemani sebentar tadi semakin menjadi-jadi.

“Aira Sofea! Kau dengar ke tak ni aku panggil kau hah?” Aira geleng kepala saja sambil menundukkan kepalanya tatkala langkahnya sudah ditahan oleh seorang lelaki. Tak mahu dia memandang wajah itu. Masih terbekas rasa traumanya selepas kejadian empat hari yang lalu. Seberapa jauh dia lari, durjana itu masih mampu mengejarnya. Sungguh, Aira rasa hidup dia sudah tak aman lagi di dunia ini.

“Pandang aku Aira. Hey, aku ni Hail abang Nusaibah.” Gadis itu terus angkat muka memandang wajah Hail dalam kesamaran lampu jalan. Berkerut dahi Hail melihat wajah Aira yang bengkak itu. Ini bukan kesan dari adiknya tapi ada sesuatu yang membuatkan wajah Aira bengkak dengan dahi yang bertampal dengan plaster.

“Kau… kau nak apa?”

“Siapa pukul kau sampai muka kau bengkak macam ni Aira? Sebab ni ke kau menghilang seminggu lebih?” Soal Hail. Baru saja dia mahu mohon sebuah kemaafan lagi tapi semuanya terbatal tatkala dia melihat wajah Aira itu. Sayu hatinya melihat wajah manis itu sudah bengkak. Mata yang sentiasa indah itu juga sudah bertukar ungu. Kesan lebam. Bagaimana sebenarnya kisah hidup gadis ini?

“Aku nak balik dulu. Mak aku seorang kat rumah.” Cepat-cepat Aira melangkah sebelum lengannya ditarik kasar oleh Hail. Sungguh, lelaki itu belum berpuas hati selagi soalannya tidak dijawab oleh gadis itu.

“Kau nak apa?! Hah? Boleh tak kau jangan ganggu aku? Tolonglah lepaskan aku. Aku kena balik sekarang juga!” Suara Aira sudah naik satu oktaf. Sungguh, kesabarannya sudah hilang dengan desakan Hail ini. Ya, sememangnya dia trauma diperlakukan seperti ini lebih-lebih lagi dengan insan bergelar lelaki.

“Siapa pukul kau? Jawab soalan aku Aira! Selagi kau tak jawab soalan aku selagi tu aku tak lepaskan kau.” Ugut Hail. Aira ketap bibir mendengar ugutan Hail itu. Sungguh, hatinya sebak dengan sikap keprihatinan lelaki ini. Cuma dia tidak suka dengan lelaki. Kerana insan bergelar lelaki jugalah yang membuatkan hidupnya menderita.

PINTU bilik segera ditutup kasar lalu dikunci rapat. Dia sudah bersandar kaku di belakang pintu sebelum kakinya melorot jatuh. Topi di kepala ditarik kasar lantas dicampak jauh. Dia pejam mata buat seketika menahan perit yang masih tersisa pada tubuhnya ini. Lututnya ditarik rapat ke dada sebelum dahinya dijatuhkan pada kura tangan.

“Bangsat! Mana duit aku hah?! Kau ni pembawa sial betul dalam hidup aku. Kau dengan mak kau dua-dua sama! Bajingan! Perempuan murahan!!” Encik Ghani sudah menyelongkar bilik Aira. Hampir semua barangnya sudah berantakan oleh ayahnya itu. Disebabkan pengaruh dadah ayahnya jadi kurang siuman. Puan Muna hanya duduk di dalam biliknya yang dikunci rapat. Dia sudah menangis teresak-esak mendengar jeritan bekas suaminya itu. Sesungguhnya dia takut. Mahu diselamatkan anak gadisnya tapi semuanya sudah terlambat.

“Abah… janganlah ambil duit Aira. Duit ni untuk perbelanjaan Aira dengan mak. Tolonglah abah…” Aira mati kata saat pipinya ditampar kuat oleh lelaki itu. Dia terduduk. Air matanya lantas mengalir dari tubir mata saat tali pinggang milik abahnya dilibas pada tubuh belakangnya. Bukan itu saja, wajahnya juga ditumbuk bertalu-talu oleh lelaki itu sebelum lelaki itu keluar dari rumah dengan membawa kesemua wang yang disimpannya.

Aira sudah terbaring kaku setelah dibelasah oleh ayah kandungnya sambil memerhatikan lelaki durjana itu keluar dengan membawa sebuah kemenangan. Nafasnya sudah tak teratur saat jantungnya seakan-akan ditarik kuat. Wajahnya yang sudah dipenuhi darah itu dibiarkan sebelum dia pejam mata.

Itu hal empat hari yang lalu dan dia bungkam tatkala dia dipertemukan lagi dengan Hail sebentar tadi. Pengakhirannya, dia bilang bahawa dia kemalangan sehingga wajahnya jadi kebiruan. Lelaki itu dengan polosnya mempercayai kata-kata dustanya itu. Mana mungkin dia ceritakan kisah kejam ini pada lelaki itu sedangkan Tiana dan Risha juga baru mengetahui tentang kisah hidupnya.

Aira terus menangis teresak-esak. Dia sudah penat menyimpan semua beban di dalam hatinya ini. Bila bahagia itu akan muncul? Berapa purnama lagi dia harus hidup di dalam dunia yang penuh dengan kekejaman ini? Aira tidak tahu. Apa yang dia tahu jiwanya sudah semakin rapuh.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab BAB 1 | Bab BAB 2 | Bab 3 | Bab 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku