AMUKAN JEMBALANG TANAH - A.DARWISY
Bab Sedutan Pengenalan
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 April 2017
Penilaian Purata:
(16 orang telah menilai karya ini)
841

Bacaan






Untung nasib mereka bagai telur di hujung tanduk. Manakan hendak terlawan kudrat yang tidak seberapa dengan hujung senapang yang ditunjal-tunjal ke kepala. Engkar pada perintah, seumpama menggali kubur sendiri.

“Kita semua hanya cikgu... Sedangkan askar British dikalahkan mereka, inikan pula kita? Hari ini mungkin kita terlepas. Esok lusa belum tentu lagi. Tak perlulah kita bertegang urat leher, berkeras buku lidah.” luah Razali cuba membuka hati Baharom yang masih bertegas dengan hujahnya.

“Habis kau mahu jadi seperti kambing, membebek lari ke hutan? Itu pengecut namanya!”

“Ini bukan soal kecut atau tidak, Baharom. Menyalak kita serupa anjing lari ke kota sekalipun, tidak mungkin kemenangan di pihak kita. Malah apa yang kita buat tadi, memarakkan lagi kemarahan mereka. Bila-bila masa saja sekolah kita ini akan digempur mereka. Yang menjadi mangsa, anak-anak yang mendiami sekolah ini.” balas Razali, sedikit berlembut nadanya. Baharom merengus. Merah padam mukanya.

Tengahari tadi, sedang mereka mengajar anak-anak di sekolah itu, tiga orang askar Jepun datang membawa pesanan berkandung arahan daripada ketua mereka. Sekolah itu akan ditutup untuk dijadikan markas tentera Jepun. Mereka diberi masa hingga penghujung minggu untuk mengosongkan tapak sekolah itu.

Mendengar perkhabaran tersebut, Baharom tiba-tiba naik angin. Dia tidak dapat mengempang amarahnya. Sekolah itu adalah maruahnya. Jangan sekali-kali diusik! Arwah ayahnya merupakan antara tokoh yang membuka sekolah itu demi memandaikan anak bangsa. Dari sebuah sekolah pondok yang mengajar hanya bab-bab agama sehinggalah menjadi sebuah sekolah rasmi yang mendapat perkenan Raja Muda Kedah.

“Jepun ni mahu kita jadi dungu semula. Jadi bodoh!” bentak Baharom, menghamburkan rasa geram yang terbuku di dada. Dia bukan tidak dengar cerita, banyak sekolah Melayu lain yang telah ditutup dan diubah fungsi menjadi tempat operasi askar-askar Jepun di negeri-negeri lain. Malah, ada yang dimusnahkan dengan bom.

Sudahnya, sistem pendidikan jadi hancur dan tinggal puing-puing.

“Sebangsat-bangsat orang Inggeris campur tangan dalam hal ehwal sekolah, mereka masih letakkan ilmu di tempat tertinggi. Kita masih boleh bertolak ansur. Tapi Jepun...mereka memang mahu kita terus jadi bangsa yang mundur. Tunduk jadi hamba abdi mereka!” satu suara mencelah, berdegar-degar hujahnya. Firdaus, cikgu yang mengajar ilmu hisab di sekolah itu.

Dialah yang sama-sama dengan Baharom mengusir kumpulan askar Jepun siang tadi hingga tiga askar negara matahari terbit itu lari lintang-pukang. Firdaus dan Baharom, kedua-duanya memiliki ilmu mempertahankan diri yang bukan calang-calang hebatnya. Sekalipun tanpa keris di tangan, tajam muncung angin menjadi pedang mereka. Bukan semua anak Melayu lembik apabila berdepan dengan tentera Jepun!

Razali mengeluh panjang. Dia memahami akan bentak emosi dua cikgu lelaki di hadapannya itu. Dia juga berasa marah. Dia juga kalau boleh mahu saja mengamuk dan mengangkat parang setinggi langit. Mahu ditetak-tetak kepala askar-askar Jepun yang berlagak tuan di tanahair orang. Tetapi, amarah tidak menyelesaikan masalah. Bahkan kedegilan Baharom, bukan saja membuatkan dirinya dalam bahaya tetapi ahli keluarga dan kawan-kawannya sekali.

Hari ini, askar Jepun datang bertiga. Esok-esok mungkin datang segerombolan. Bagaimana mereka mahu menentang sekaligus mematahkan serangan askar Jepun yang lengkap bersenjata? Itulah yang bermain di dalam fikiran Razali sekarang ini.

“Berundur dan akur tidak bererti kita kalah Daus...Baharom... Kau berdua fikirlah masak-masak.” pujuk Razali seadanya.

“Pantang nenek moyang aku, Linggi diserang Riau yang alah!” tempik Baharom serentak dengan hentakan buku lima di atas meja. Dalam pada menghamburkan amarah, Baharom tetap terjunjung daulat bahasanya. Razali tertelan air liur.

“Tapi...mustahil kita dapat menghalang mereka Daus...Baharom...”

“Sekolah ini akan aku pertahankan sampai ke titisan darah yang terakhir! Tidak dengan cara kasar, cara halus aku gunakan!!” jerkah Baharom dengan raut muka menyinga lalu beredar pergi. Firdaus membontoti. Tinggallah Razali terkontang-kanting di dalam bilik kelas yang sudah tidak berpenghuni itu.

***

Salam.

Bikinan trailer ini bagi meraikan kehadiran novel Amukan Jembalang Tanah yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.



Bagi video lebih jelas, boleh setting quality 480p. Untuk audio pula, disarankan menggunakan earphone untuk kesan bunyi yang lebih detil.

Selamat menonton.






Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku