Hello Mr. Counselor
Ep. 007
Genre: Cinta
Kategori: Novelet
Paparan sejak 08 Mei 2017
Mari belajar cara untuk bercinta daripada seorang penasihat cinta tidak bertauliah ini. Namun, Mr. Counselor juga adakala tertewas dengan permainannya sendiri.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
140

Bacaan






Ridwan bercerita seperti seorang manjalara yang datang bertandang ke kampung dengan penuh perasaan dan keterujaan. Dia kelihatan lebih selesa berbanding ketikamana mula-mula melangkahkan kaki masuk ke bilik itu. Tiada lagi Ridwan yang pendiam dan pemalu itu tadi.

            Akmal kembali melihat gambar di telefon bimbit Ridwan yang sedang dipegangnya. Pada mulanya, hatinya berbelah-bahagi sama ada mahu memberikan bantuan atau sekadar menasihatkan untuk berputus asa sahaja. Senang cerita, tidak perlu bersusah-payah. Namun, hati kecil Akmal berpendapat semua orang berhak mencintai dan dicintai. Justeru, tidak salah kiranya seseorang itu diberikan peluang kedua, ketiga atau ke-100 sekalipun.

            Setelah selesai penceritaan Ridwan, dia kembali membetulkan punggung dan kakinya yang sedikit meliar. Ridwan kembali bersopan dan pasif. Akmal dapat melengkapkan pemerhatiannya melalui situasi tersebut. Akmal dapat merasakan orang yang di hadapannya itu seperti seorang paramedik di barisan belakang askar yang tidak akan mundur meskipun selepas peperangan itu telah selesai. Sekurang-kurangnya itulah harapan Akmal terhadap Ridwan bahawa dia lebih layak berbanding calon yang sebelum ini.

            Akmal bangun menuju ke arah almari pakaiannya dan menyelak kain-kain yang menutupi sebuah fail kertas berwarna coklat. Lalu Akmal menyerahkan fail itu kepada Ridwan yang sedang bersila di atas tikar, sedia menanti untuk dikaunselingkan.

            “Itu biodata budak perempuan itu. Kalau rasa nak baca, silakan. Kalau rasa nak kenal secara perlahan-lahan, tak payah baca”, kata Akmal kepada Ridwan, tegas.

            “Kalau macam tu, saya tak mahu baca”, jawab Ridwan serta-merta.

            Akmal tersenyum lalu membalas, “Bagus, Wan! Kau lulus!”. Akmal kembali duduk berdekatan dengan Ridwan dan mencapai fail yang diletakkan di tepi. “Sebenarnya tak ada apa-apa pun nak dibaca. Kertas kosong saja”, tambah Akmal sambil menunjukkan kertas-kertas kosong itu.

            Jamal mengangguk-angguk sebagai tanda keyakinan bahawa strategi kaunseling kali ini akan membuahkan hasil. Personaliti Ridwan lebih meyakinkan dan berintegriti. Mungkin itulah perbezaannya kelakuan bakal seorang doktor yang perlu sabar melayan pesakit-pesakit yang berbagai kerenah di masa hadapan.

            “Sebelum itu, aku nak ceritakansifat-sifat majority seseorang perempuan dari fakulti kejuruteraan.” Akmal serius lalu meneruskan penceritaannya.

            “Perempuan species kami ni ada dua jenis tapi pokok pangkal tetap sama iaitu ‘brutal’. Bagi diorang, cinta itu nombor dua. Cemerlang itu nombor satu. Untuk berjaya dan bersaing dengan lelaki, mereka akan cuba bersifat kasar atau ‘tomboyish’.”

            “Jangan disangka wanita lembut di luaran selalunya lembut juga dalaman. Takkan ada kejayaan dalam kejuruteraan kalau tak kasar sebab kami ni banyak fizikal practice. Jaga plant, panjat stack, main leachate, dan lain-lain.” Jamal menambah perencah di dalam perbualan itu.

           “Tapi diorang lupa tengok fizikal mereka bahawa hakikatnya mereka seorang perempuan. Kalau kau sentuh dia tepat pada waktu dan tempatnya, dijamin naluri kewanitaan itu akan berputik kembali”, kata Akmal penuh beremosi sambil memeluk bantal.

            Perkataan ‘sentuh’ itu bukanlah bermaksud secara fizikal semata-mata tetapi bersifat metafora atau perumpamaan kepada sentuhan emosi dan dalaman. Akmal menyusun strategi di atas kertas kosong lalu dihulurkan kepada Ridwan. Meraka berjanji akan membuat pertemuan sekurang-kurangnya sekali pada setiap minggu di tempat dan waktu yang akan diberitahu kelak. Akmal menegaskan bahawa perbincangan mereka itu adalah rahsia dan sulit.

            “Okay,Wan. Next is our battlefield”, cabar Akmal dalam Bahasa Inggeris yang dia sendiri tidak fasih akannya. Salam Akmal disambut oleh Ridwan dengan kedua-dua belah tangan dengan penuh pengharapan.

            “Wow, rasa bersemangat betul saya malam ni”, Ridwan mengomel sendirian. “Kalau main DOTA mesti menang ni”, tambahnya lagi yang sedang berdiri.

            Terkejut Akmal dan Jamal mendapati Ridwan merupakan seorang peminat permainan komputer dalam talian yang terkenal beberapa tahun yang lalu. Tidak disangka pula seorang bakal doktor sepertinya berminat bermain permainan itu yang menghabiskan banyak masa untuk menyelesaikan satu set permainan. Tidak disangkakan juga bahawa dia masih bermain permainan itu meskipun sudah bertahun-tahun zaman kegemilangan DOTA berlalu.

            Ridwan mengundurkan diri. Akmal lantas mencatatkan minit-minit mesyuarat hari ini secara tidak formal di dalam telefon bimbitnya. Jamal kembali ke meja belajarnya tanpa sepatah perkataan pun yang terkeluar dari mulutnya. Segala keriuhan tadi hilang sepertimana buih selepas mandi.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku