Hello Mr. Counselor
Ep. 011
Genre: Cinta
Kategori: Novelet
Paparan sejak 08 Mei 2017
Mari belajar cara untuk bercinta daripada seorang penasihat cinta tidak bertauliah ini. Namun, Mr. Counselor juga adakala tertewas dengan permainannya sendiri.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
161

Bacaan






Beberapa hari selepas operasi ‘Nasi Kandar’...

 

Masa berlalu sangat pantas. Genap sebulan kemudian, Akmal terpaksa menghentikan modus operandinya kerana tidak menemui sebarang perkembangan yang positif. Lantas dia mencorak strategi yang baharu. Satu kaedah yang berkos rendah dengan kadar kejayaan yang lebih tinggi. Akmal memerah otak yang ketandusan idea. Kesudahannya dia tertidur di atas lantai berbantalkan sejadah.

            Keesokan harinya, Akmal menjamu selera seperti biasa di kantin kejuruteraan. Pada hari ini, Ridwan akan memulakan operasi ‘Memikat Awek Kejut’ selepas sebulan menjalankan kajian terhadap kantin tersebut. Hari ini Ridwan akan mengambil kelebihan di sebalik kelemahan yang terdapat di sekeliling kawasan tersebut. Akmal hanya akan memerhatikan dari jauh bersama sahabat baiknya, Jamal, sambil menikmati semangkuk bakso.

            Situasinya lebih kurang sama seperti pertama kali Ridwan bertemu gadis idamannya itu. Cuma bezanya adalah kali ini Ridwan berdiri di belakang gadis itu. Ridwan menggalas beg yang besar lantas menampakkan kelainan berbanding mahasiswa yang terdapat di kawasan kejuruteraan di situ. Dengan erti kata lain, manusia seperti Ridwan seumpama pokok rambutan di tengah-tengah padang pasir yang dipenuhi kaktus dan batu-batan. Tepat sekali. Ridwan menjadi bahan tontonan dan jenaka orang di sekelilingnya.

            “Weh, tengok budak skema tu. Datang dari mana tak tau”, bunyi suara berdialek utara entah dari mana.

            Bunyi riuhan yang sememangnya hebat di kantin itu telah diselang-selikan dengan bunyi ketawa berdekah-dekah oleh mahasiswa dan mahasiswi di situ. Akmal dan Jamal juga perasan dengan situasi itu, namun ianya tidak sedikit pun menghairankan mereka. Ridwan lantas mengeluarkan sejenis permainan dari kocek seluarnya yang berupa sebuah blok ‘puzzle’ dan mula bermain. Telinganya pula disumbat dengan fon telinga yang keluar dari poket bajunya. Gelagatnya itu telah menambahkan lagi rencah umpatan orang di sekeliling tetapi Ridwan tetap memekakkan telinga demi cita-cita yang diimpikan. Cemuhan dan cacian orang ditelan pahit oleh Ridwan jauh ke lubuk hati.

            Gadis di hadapannya yang tadinya acuh tidak acuh lalu memberikan tindak balas dengan menjeling ke arah Ridwan daripada kepala ke kaki. Tiada riak muka yang jelas ditunjukkan oleh gadis itu selepas melihat personaliti Ridwan. Namun begitu, itu sahaja sudah cukup menggembirakan hati Ridwan yang masih berlakon watak sebagai seorang yang tulus.

            “Aku nak kau berlakon sebagai seorang skema. Butang baju sampai atas and tuck-in. Biar nampak semulajadi dan selesa”, jelas Akmal, teringat akan rancangannya untuk hari ini. “Tunggu dia response, lepas itu kau jatuhkan kad nama. Buat macam tak sengaja dan kau tak sedar kad nama kau jatuh”, tambah Akmal lagi.

            Gadis itu ternampak kad nama yang jatuh lalu berkata, “Weh, name-tag kau jatuh tu!”

            Ridwan berpura-pura baru perasan lalu cuba untuk membongkok dengan susah.

            “Hish! Biar aku ambilkan”, keluh gadis itu lalu mencapai kad nama itu yang berada di hadapan kaki kirinya.

            “Terima kasih, kak”, balas Ridwan,spontan.

            “Kakak? Bila masa aku jadi kakak kau?” tempelak gadis itu ke arah Ridwan, dengan nada yang agak tinggi namun masih tidak dapat menandingi keriuhan di kantin itu.

            “Habis tu nak panggil apa?” Ridwan cuba menduga.

            Gadis itu diam seketika lalu menjawab, “Panggil aku Fay sudah.”

            “Feisuda? Nama jepun tu,” Ridwan kagum sambil berseloroh.

            “Fay! Fay! Fay dari Fairuz. Kau buat main lagi nanti aku hayun pelempang”, kata Fairuz dengan nada menekan. Ridwan menjadi serba salah.

            “Sorry, sorry! Bising sangat. Tak jelas sangat suara.”

            “Lain kali buka fon telinga dua-dua belah kalau nak bersembang”, balas Fairuz.

            Ridwan diceramah oleh Fairuz walaupun baru pada hari pertama operasi rahsianya itu. Hatinya berbunga bak sakura di musim salju. Gembiranya tidak kepalang kerana itulah kali pertama dia dapat berbual panjang bersama-sama gadis pujaannya.

            Akmal dan Jamal melihat perkembangan dari jauh. Sempat pula isyarat bagus dikeluarkan oleh Akmal secara rahsia ketikamana dia sedang memasukkan sesudu bakso ke dalam mulut. Akmal lantas merenung ke dalam kantin melihat gadis buruannya pula.

            “Mana Nur ni? Dah dekat sebulan tak nampak. Macam bukan belajar kat fakulti ni je”, Akmal mengomel sendirian. “Tak boleh jadi ni. Aku kena buat sesuatu”, tambahnya lagi sambil menyuap bebola daging yang terakhir ke dalam mulut.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku