Hello Mr. Counselor
Ep. 015
Genre: Cinta
Kategori: Novelet
Paparan sejak 08 Mei 2017
Mari belajar cara untuk bercinta daripada seorang penasihat cinta tidak bertauliah ini. Namun, Mr. Counselor juga adakala tertewas dengan permainannya sendiri.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
39

Bacaan






Nama yang terpacul keluar dari mulut Riduan benar-benar membuatkan Akmal tergamam. Jamal pun berperasaan kurang senang juga.

            “Amer? Amer yang tu ke, Mal?”

            Akmal mengangguk. Dia pasti kerana Riduan telah menunjukkan gambar Amer menerusi telefon bimbitnya. Orang yang sama seperti yang dikenali oleh Akmal dan Jamal.

            “Sejak bila pula dia buat kaunseling?” cetus Jamal lagi seolah-olah tidak percaya. “Dia nak lawan dengan kita agaknya. Ataupun nak balas dendam kat kau sebab bekas awek dia tu dah kau ‘kenen’ kat orang lain”, tambahnya lagi.

            “Kalau kau rasa macam tu, apasal Riduan cari aku lepas dia jumpa Amer? Mesti Amer yang bagi tahu dia”, Akmal pula mencetuskan polimik di benak sahabatnya itu.

            Menurut pendapat Akmal, mungkin Amer cuba ingin menguji kehandalannya membaca keperibadian orang. Dan kemudian ada orang lain memberikan pendapat supaya lebih baik berkonsultasi dengan Akmal berbanding Amer. Maklumlah, ramai juga yang pernah meminta nasihatnya dari Fakulti Mekanikal. Dan sudah pasti testimoninya juga lebih meyakinkan dan mengujakan kepada sesiapa yang mengetahuinya.

            “Patutlah hari itu Amer macam sengaja meludah dekat dengan aku. Nyaris-nyaris kena kasut aku”, kata Akmal, teringatkan peristiwa yang telah lalu.

            “Masa bila? Apasal aku tak tahu?” Jamal kehairanan.

            “Ada dalam sebulan lebih sudah. Masa tu aku pakai motor kau pergi meeting persatuan. Aku ingat lagi sebab masa tu aku baru lepas tolong emak Nur kat kantin”, Akmal terlepas kata pula.

            “Nur? Nur mana?”, balas Jamal. Akmal membisu. “Ohh~ budak tu. Aku ingat kau dah give up”, tambah Jamal lagi selepas teringatkan peristiwa dengan Nur di restoran mamak itu.

            Belum sempat Jamal menanyakan soalan lain, tiba-tiba Akmal menekan brek secara mengejut menyebabkan kepala Jamal hampir-hampir terhantuk ke papan pemuka kereta. Dengan wajah bersahaja Akmal menamatkan perbualan mereka.

            “Dah sampai. Turun!” kata Akmal, bernada tinggi.

            “Agak-agaklah kot ya pun. Rasa nak muntah aku. Nasib baik tak terhantuk.”

            “Siapa suruh tak pakai tali pinggang keledar”, perli Akmal tepat ke muka Jamal.

            Akmal menurunkan barang yang terdapat di belakang keretanya. Terdapat dua kotak besar yang tertutup. Agak berat untuk Akmal mengangkatnya seorang diri.

            “Jayme, tolong angkat sekotak”

            Tanpa menunggu jawapan balas daripada Jamal, sebuah kotak diletakkan di sebelah Jamal yang sedang membetulkan beg yang dikendongnya. Akmal menutup pintu kereta lantas meninggalkan Jamal di belakang. Kotak tersebut diangkat oleh Jamal dengan berbagai-bagai andaian di minda.

            “Barang apa agaknya ni?”

            Jamal mengintai-intai barangan di dalamnya melalui celahan di atas dan di sisi kotak.itu. Tiada bau yang dapat terhidu. Yang pasti ianya tidaklah seberat buku dan tidak juga seringan bantal kekabu. Ada bunyi gesekan polisterina dan renyukan plastik. Jamal pun tidak pasti apakah yang ingin dilakukan oleh sahabatnya itu. Dia membawa bungkusan Akmal sehingga ke atas meja belajarnya. Kotak yang dibawa oleh Akmal telah pun dikeluarkan isinya satu per satu.

            “Kau nak buat apa dengan benda ni?”

            Jamal semakin kebingungan kerana barang-barang tersebut agak janggal dimiliki oleh orang seperti Akmal. Ada berbagai-bagai warna dan kuantitinya agak banyak juga. Apakah berlaku sesuatu yang luar biasa kepada Akmal sehinggakan dia menjadi sedemikian rupa? Atau adakah ianya hadiah daripada kawan-kawannya yang berterima kasih sebagai balasan konsultasi?


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku