RAMADHAN MAK LIJAH
RAMADHAN MAK LIJAH
Genre: Keluarga
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 12 Mei 2017
Seorang Warga Emas Menghayati Ramadhan
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)
832

Bacaan






               Azrisyam menghempaskan punggung dikerusi work stationnya.  Dia duduk menyandar sambil melipat kedua tangan yang diletakkan di belakang kepalanya. Fikirannya menerawang.  Dia baharu saja pulang dari pejabat pos.  Sebelum itu dia dengan beberapa orang pelanggan lain sedang menunggu pintu bank dibuka. Ada sesuatu yang sedang bermain difikirannya hingga ke saat itu. 

               Tadi dia disapa oleh Mak cik Lijah berusia enam puluhan yang sudah lama kematian suami.  Perempuan tua yang bertubuh sederhana itu hampir seusia ibunya.  Terperanjat dia melihat ibu tua itu termengah-mengah menapak. Azrisyam memang mengenali perempuan itu. Menurut Mak cik Lijah dia baru sahaja pulang dari hospital, membuat pemeriksaan mengikut temujanji doktor. Dari rumah dia menumpang orang.  Kemudian dari hospital dia berjalan kaki menuju ke bank itu yang jaraknya hampir satu kilometer.  Nafasnya putus-putus.  Lelahnya masih belum hilang.  Kenapa Mak Cik Lijah berjalan kaki?.  Mana anak bujangnya yang sering menghantarnya ke mana-mana?

               “Oh, anak Mak cik si Khairul tu dah serik.  Hari tu dia kena tahan polis, tak ada lesen.  Kena bayar saman”, ujar Mak cik Lijah.  Azrisyam tahu anak bujang Mak cik Lijah itu bukanlah cerdik sangat. Belajar hanya setakat sekolah rendah. Kerja pun tak menentu.  Mak cik Lijah  selalunya mengharapkan bantuan dari anak bujangnya itu lantaran tiga orang anaknya yang lain sudah berumahtangga dan tinggal berjauhan. Mak cik Lijah memberitahu tekanan darahnya semakin meningkat. Doktor menasihatinya supaya banyak berehat.  Menurut Mak cik Lijah, jika dia duduk berehat, banyak perkara yang akan difikirkannya.  Apa yang difikirkannya itulah yang akan dilakukannya.  Jadi tiada rehat baginya.  Jika duduk-duduk saja jiwanya tidak akan tenteram.  Hatinya tak puas.  Ada saja perkara yang dirasakan belum selesai.  Jika tidak melakukan sesuatu, jiwanya akan merasa kosong.

               “Mak cik nak masuk bank separuh duit zakat yang Mak cik terima hari tu. Separuh lagi Mak cik nak beli kuih bahulu.  Dua tiga jenis kuih yang ada diberi oleh YB waktu majlis sumbangan asnaf itu hari pun dah cukup. Tak ada siapa yang nak datang ke rumah Mak cik.  Tahun lepas kuih raya sampai berkulat”,  terang Mak cik Lijah panjang lebar bila ditanya urusannya di bank.

               “Anak-anak tak balik raya ni Mak cik?”  Tanya Azrisyam.  Perempuan tua itu menggeleng-gelengkan kepala, tersenyum, namun kelihatan wajahnya berona sayu.

            “Kalau mereka ingat ibu dia,  baliklah tu. Makcik tak kisahlah.  Mereka tak balik pun tak mengapa.  Mak cik faham, Makcik dah biasa”, ujar Mak cik Lijah perlahan. Ada getaran di hujung suaranya.

               Deringan telefon mematikan lamunan Azrisyam.  Setelah menjawab panggilan, ingatan terhadap perempuan tua itu kembali menghantuinya semula.

                 “Anak-anak tak telefon ke Mak cik?”

           "Alah, Mak cik tak reti nak guna handphone”, jelas Mak cik Lijah sambil tertawa kecil.  “Biarlah mereka tahu Mak cik sihat aja”, terang Mak cik Lijah.  Kenapa Mak cik Lijah berkata begitu?  Baru sebentar tadi dia kata tekanan darah tingginya semakin meningkat.

               Jarum jam menunjukkan ke angka sembilan.  Pintu bank mula dibuka.  Azrisyam menekan nombor giliran.  Diberinya sekeping kepada Mak cik Lijah.  Azrisyam menawarkan diri mahu membantu mengisi borang simpanan wang.  Azrisyam tahu perempuan tua itu buta huruf.  Mak cik Lijah mengucapkan terima kasih.  Kata Makcik Lijah selalunya pegawai kaunter yang membantunya mengisi borang. Mak cik Lijah menghulurkan buku bank dan kad pengenalannya.  Tidak lama kemudian masuk sepasang suami isteri yang hampir seusia dengan Mak cik Lijah. Si suami memegang sebatang tongkat kerana mengalami masalah penglihatan. Si isteri juga mengalami masalah yang sama di sebelah mata kirinya. Mak cik Lijah menegur mesra, sebelum pegawai bank sempat menegur mereka.  Mak cik Lijah memimpin keduanya ke kerusi paling hadapan, memberikan tempat duduknya.  Mereka berbual-bual mesra.  Dia kemudian menukar tiketnya yang akan dipanggil awal dengan tiket pasangan berkenaan. Azrisyam memandang dari jauh. Sungguh baik hati dan berbudi bahasa sungguh Mak cik Lijah.  Tidak seperti orang-orang seusianya mahupun generasi muda.  Peristiwa itu amat terkesan dihatinya.

             “Minta maaf ya nak, ibu jari Mak cik ni dah keras, bengkok, payah nak lurus dah. Maklumlah dah tua, macam badan Mak cik ni juga”, ujarnya sambil tertawa kecil bila pegawai kaunter ingin menekap ibu jari Mak cik Lijah di mesin pengesan cap jari elektronik.  Pegawai berkenaan kelihatan kekok bila cuba meluruskan jari Mak cik Lijah.  Wajah Mak cik Lijah kelihatan berkerut menahan sakit.

               Urusan di bank selesai.  Azrisyam bertanyakan Mak cik Lijah tentang urusan perempuan tua itu seterusnya. Menurut Mak cik Lijah dia ingin membeli sebalang kuih bahulu dan kuih dodol.  Kuih tradisi orang melayu yang tidak pernah dia lupakan.  Dia mesti membelinya,  jika tidak hari raya dirasakan seperti tidak lengkap tanpa kuih turun temurun itu. Dahulu kuih tersebut dibuat sendiri. Kini tidak lagi. “ Zaman sekarang, harganya pun boleh tahan juga”, ujar Makcik Lijah. 

               “Lepas cari kuih bahulu, Mak cik nak ke pasar pula, nak cari lauk berbuka puasa. Beli ikan kembung lima enam ekor cukuplah makan seminggu untuk kami berdua dengan si Khairul tu.  Malah ada lebih lagi untuk si Tompok”, terang Mak cik Lijah tanpa dipinta. 

               Azrisyam mempelawa Mak cik Lijah menaiki keretanya, berhasrat mahu membantu menghantar Mak cik Lijah ke kedai.  Lagi pun kedai yang ingin ditujui oleh Mak Cik Lijah tidak jauh, sehala dengan tempat kerjanya.  Mak cik Lijah membuka pintu kereta dan duduk di bahagian belakang.  Dia kelihatan kekok dan nampak tidak selesa.  Entahlah, Azrisyam tidak tahu kenapa.  Kalau diikutkan kusyen keretanya berlapik kulit. Dalam perjalanan Azrisyam mengajak Mak cik Lijah berbual.

               Di dalam kereta Mak cik Lijah memberitahu dia sekarang sudah tidak berupaya untuk ke surau lagi untuk berjamaah dan bersolat sunat terawih. Dia sudah tidak berapa nampak bila berjalan di waktu malam gelap walau menggunakan lampu suluh.  Dia selalu terjatuh bila tersepak batu atau akar pokok. Bunyi salakan anjing lebih menakutkannya.

               “Mak cik dengar orang solat sunat terawih dan berselawat dari rumah saja. Imam dan bilal pakai mikrofon. Boleh dengar dari rumah Mak cik. Mak cik buat terawih di rumah saja sorang-sorang”, ujar Mak cik Lijah. 

               Azrisyam merasakan satu kerugian pula bagi jemaah perempuan bila Mak cik Lijah tidak dapat berjamaah bersama-sama di surau.  Apa tidaknya,  surau pasti sunyi tanpa keletah Mak cik Lijah.  Menurut rakan setugas perempuan yang tinggal sekampung dengan Mak cik Lijah, setiap malam perempuan tua itu akan membawa sebotol kecil minyak wangi yang berbeza haruman di dalam beg telekungnya.  Mak cik Lijah akan menyapu atau mencalitnya ke tangan setiap jemaah wanita.  Itulah kegemarannya.  Kadang-kadang dia mencalitnya di sejadah dan kain langsir yang memisahkan jemaah lelaki dan jemaah perempuan.  Dia akur jika ada yang menolak.  Seluruh tempat solat wanita berbau harum pada setiap malam dengan wangian yang berbeza!. Kadang-kadang satu surau berbau wangi. Semua jemaah tahu baik jemaah lelaki atau jemaah perempuan, wangian itu adalah ‘buah tangan’  Mak cik Lijah.  Jika ditanya kepada Mak cik Lijah dia hanya tersenyum sambil menyatakan itu adalah sedekah kecil darinya selain sebagai sunnah Rasulullah S.A.W dan dapat menimbulkan rasa semangat sewaktu ingin mengerjakan solat sunat terawih.  Kata Mak Lijah lagi wangian mengurangkan rasa letih beribadah. Syurga juga berbau wangi.  Dia juga mengesyorkan kepada AJK surau agar menyediakan minyak wangi atau bau-bauan untuk kegunaan para jemaah secara percuma.

               “Anak encik berapa orang?” Tanya Mak cik Lijah, mematikan lamunan Azrisyam.

                “Tiga, semuanya dah besar-besar”,  jawab Azrisyam sambil memperlahankan kereta.

           Tiba ke tempat yang ingin dituju, Azrisyam memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan kedai menjual pelbagai jenis kuihraya.  Sebelum turun dari kereta Mak cik Lijah menghulurkan beberapa keping duit kertas. Azrisyam menolak.

               “Ambillah duit raya untuk anak-anak.” Pinta Mak cik Lijah.

               “Tak payahlah Mak cik.  Mak cik lebih memerlukan.”

               “Ambillah.  Kamu dah tolong Mak cik.  Hari ini ramai orang dah tolong Mak cik.  Maklumlah bulan Ramadhan, bulan kerahmatan, pahala berlipat kali ganda.  Mak cik pun tak mahu ketinggalan kumpul pahala.  Makcik pun nak buat kebaikan juga. Ambillah!, alah bukan banyak pun.” Gesa Mak cik Lijah.  Azrisyam menyambutnya dengan perasaan serba salah.   

               “Mak cik nanti dulu!”, pinta Azrisyam bila melihat perempuan tua itu ingin membuka pintu, mahu turun dari keretanya.  Mak cik Lijah sedikit terkejut.

              “Makcik ada simpan alamat anak-anak Mak cik yang duduk jauh tu?”

              “Ada dalam buku kecil, dalam beg ni.  Selalu Mak cik bawa bila keluar ke mana-mana.  Di poket beg inilah tempatnya.  Tak pernah beralih.  Kenapa encik?”

              “Boleh berikan saya sekejap buku kecil tu?”, pinta Azrisyam.  Mak cik Lijah menyeluk begnya dan seketika kemudian dia menghulurkan sebuah buku kecil yang kelihatan sudah uzur benar.  Azrisyam menyalin nama dan alamat ketiga-tiga anak Mak cik Lijah.

               Mak cik Lijah terus beredar setelah mengucapkan terima kasih.  Hidung Azrisyam kembang kempis mencium bau sesuatu. Ada bau minyak angin!.  Kenapa keretanya tiba-tiba berbau minyak angin.  Tadi tak ada, bisik hatinya.  Seketika kemudian dia tersenyum dan cuba meneka.  Mungkin Mak cik Lijah baru menyapu di kakinya sebab nak berjalan-jalan mencari kuih-muih dan lauk buat berbuka puasa.  Timbul rasa kasihan di hatinya.  Mak cik Lijah benar-benar uzur.  Anak-anak tidak dapat membantu tetapi semangat Mak cik Lijah kuat. Dia berusaha mencari keberkatan Ramadhan.  Bersungguh-sungguh mencari pahala.

                “Ah, tidak mengapalah.  Aku juga mahu mencari pahala dan keberkatan di bulan yang mulia ini”,  Azrisyam memujuk diri.

               Azrisyam memberhentikan keretanya di depan sebuah kedai menjual kad ucapan hari raya. Dibelinya tiga keping kad ucapan menggunakan wang yang diberikan oleh Mak cik Lijah sebentar tadi.  Ditulisnya ucapan dan kata-kata selayaknya seperti kata-kata seorang ibu kepada anak-anak sempena hari Lebaran.  Tanpa perasaan ragu-ragu dia mengepos surat tersebut berdasarkan alamat yang diberikan oleh Mak cik Lijah.  Moga anak-anak Mak cik Lijah akan pulang ke kampung menemui ibu mereka.  Itulah harapan Azrisyam.

               Tiada siapa yang tahu apa yang selalu bermain difikiran Mak cik Lijah.  Dia seorang perempuan tua yang uzur.  Dia tidak memikirkan sangat tentang hal dirinya kecuali amal ibadat terutama di bulan Ramadhan.  Dia lebih memikirkan tentang kepentingan orang lain.  Membantu orang sekeliling walau dirinya sendiri kurang mampu.

          “Bagaimana pula dengan hari tuaku nanti?  Adakah aku sekuat Mak cik Lijah?  Masihkah anak-anak  mengingatiku bila masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri nanti?” keluh Azrisyam sendirian.  Azrisyam meraup wajahnya. Dia masih tersandar di kerusi pejabatnya.

     



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku