Nama Aku Jack!
Genre: Lucu
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 12 Mei 2017
Nama Aku Jack! Dari Penulis Affieyza Isahak Jack membongkokkan sedikit tubuhnya ke tanah. Termengah-mengah dirinya setelah berhenti berlari akibat dikejar oleh Firas, cucu kepada Opah Rodziah. Entah dimana silapnya apabila terserempak dengan Firas sebentar tadi. Terus dirinya dikejar tanpa belas. Macam hendak tercabut pahanya. Semuanya akibat dendam lama! Dendam yang dahagakan pembalasan. “Jack, mana hang nak menyorok hah? Hang keluaq, jangan nak sembunyi dari aku!” teriak Firas kuat dalam kepenatan setelah mengejar Jack agak jauh ke dalam kebun milik opahnya. Mendengar suara Firas yang kuat itu membuatkan Jack terus menegakkan badannya. Cepat-cepat dia berselindung di sebalik pohon yang besar itu. Janganlah Firas nampak dirinya, nahas! Jack menutup mulutnya rapat-rapat agar tidak mengeluarkan sebarang bunyi yang tidak diundang. Mata Firas meliar ke arah sekeliling, cuba mencari kelibat Jack yang sedang bersembunyi namun hanya kicauan burung yang riuh menyapa dirinya. Bayang Jack langsung tidak kelihatan.. Firas mendengus kasar. “Tak pa, tak pa.. Kali ni nasib hang baik, hang tunggu, aku akan cari hang sampai dapat. Hang tengok! Ni, Firas laa, tak pernah tak dapat apa yang aku nak!” marah Firas sambil berlalu pergi dengan hati yang bengkak. Wajahnya merah menahan marah akibat gagal menangkap Jack, musuh tradisinya. Jack menarik nafas lega sebaik kelibat Firas sudah jauh di hadapan. Dia bersandar di pohon besar itu sambil mendongak ke langit. Apalah yang Firas berdendam sangat dengan dirinya? Dia merenung dirinya. Dah jadi belia negara macam ni pun masih kena kejar macam budak-budak. Hanya kerana peristiwa lalu? Di sebabkan dia menemani buah hati Firas ke kedai Abang Saidi? Itu yang mebuatkan Firas berdendam dengannya setiap kali pulang ke kampung? Firas memang tak reti nak bersyukur, orang tolong temankan buah hatinya agar tidak diganggu oleh pemuda-pemuda kampung, bukan mahu berterima kasih!. Cemburu tak bertempat! Itu belum tahu lagi bahawa dia juga turut meminati buah hati Firas itu dalam diam. Mati dia kalau Firas tahu! *** “Awak dari mana?” Firas memandang buah hatinya sekilas. Dia duduk tidak jauh dari gadis idamannya itu. “Ligan Jack.” Buah hati Firas terkejut mendengarnya. Dia mengerutkan dahi. “Biar betul awak ligan Jack? Dah kenapa?” Firas mengeluh. “Sebab saya cemburu dia rapat dengan awak. Saya tak suka!” Buah hati Firas terkedu. “Dengan si Jack pun awak nak cemburu? Dia bukan saingan awaklah...” Firas terdiam. Jack bukan saingannya? Memanglah! Aku lebih segala-galanya daripada si Jack keparat tu! Riak bangga mula terpamer. “Biar je lah Jack tu, nanti tak pasal-pasal jadi gaduh pulak. Kecoh satu kampung, buat malu ja!” pujuk buah hati Firas lembut. “Tak boleh, dendam tetap dendam!” Buah hati Firas mula turun dari pangkin. “Suka hati awaklah, ketegaq!” buah hati Firas mula melangkah ke arah rumahnya yang hanya selang beberapa buah rumah saja dari rumah opah Firas.. *** Jack melangkah longlai ke arah rumahnya. Dia dapat melihat daddyya sedang termenung di atas tangga seorang diri. “Daddy okey?” Daddy Jack menoleh ke arah anak sulungnya. Dia hanya mengangguk perlahan lalu kembali termenung. “Kamu dari mana Jack?” soal daddy Jack sebaik kaki Jack memijak anak tangga untuk naik ke atas rumah. “Err... Jack, Jack...” Jack serba-salah untuk berterus-terang. Tidak mahu susahkan hati tua daddynya. “Firas ligan lagi?” Jack menelan liur. “Mana daddy tahu?” “Tadi daddy nampak Firas baru sampai dengan ibu dan ayah dia. Daddy syak saja, sungguh ka?” tanya daddy Jack tenang. Jack duduk di sebelah daddynya. “Sungguh daddy. Nasiblah Jack cepat-cepat menyorok tadi,” terang Jack dengan suara yang mengendur. “Kita ni Jack, kalau orang dah tak suka kita, sampai bila pun orang tetap tak suka.” “Itu Jack tahu daddy tapi Firas tu cemburu tak bertempat!” “Cemburu kan tanda sayang.” Jack terkedu mendengar kata-kata daddynya itu. Daddy ni sebelahkan siapa? Anak sendiri ka anak orang? “Daddy nak lepas ni Jack jagalah diri baik-baik. Jack harapan kami dalam keluarga. Adik-adik baru hendak menginjak remaja. Jangan di suka pada buah hati orang, sedar diri kita ni sapa. Kita tak ada harta macam keluarga Firas tu,” Panjang lebar daddy Jack menyampaikan pesanan kepada anaknya. “Jack akan sentiasa ingat pesan daddy.” Bunyi cawan berlaga membuatkan Jack dan daddynya menoleh ke arah dalam rumah. “Masuklah daddynya, Jack. Makan malam dah siap,” panggil mummy Jack dengan lembut. Jack dengan daddynya melangkah masuk ke dalam rumah. Adik-adik Jack, Merah dan Puteh sudah duduk menghadap hidangan. Si kembar yang mempunyai nama klasik itu hanya tersenyum menyambut abang dan daddy mereka di ruang makan. “Wahhh, makan spagetti kita malam ni,” daddy Jack teruja seketika. Jarang sekali mereka sekeluarga menikmati makanan barat seperti itu. “Mak Su Dina yang bagi tadi, katanya pedas sikit. Spagetti tekak melayu katanya,” jawab mummy Jack sambil membahagikan sama-rata spagetti itu. Rezeki mereka sekeluarga malam ini. Jack dan keluarganya makan tanpa bercakap sepatah pun. Masing-masing menikmati hidangan itu dengan penuh berselera. *** Jack gelisah di tempat tidurnya yang beralaskan tikar mengkuang yang sudah rabak separuh. Matanya tidak mahu lelap. Hatinya gelisah. Jiwanya celaru. Macam-macam yang berlegar dalam fikirannya. Hari sudah larut malam, suasana malam itu sunyi sekali. Jack bingkas bangun dari tempat tidurnya. Ruang tamu dihampiri. Dia melihat wajah mummy dan daddynya yang sedang tidur nyenyak itu. Rasa sayu mula menyelinap dalam hatinya. Macam manalah keadaan keluarganya andai dia pergi dulu? Siapa yang mahu menjaga keluarganya? Hendak harapkan Mak Yam sebelah rumah? Anak-anak dia pun ramai yang perlukan perhatiannya. Jack berkalih ke arah adik-adiknya pula. Air matanya terus menitis hiba. Dia menarik selimut yang berada di hujung kaki Puteh lalu menyelimutkan kedua-dua adik kembarnya yang sudah lama dibuai mimpi itu. Dia kembali baring di tempat tidurnya. Atap rumahnya direnung pilu. Berlubang sana-sini! Macam manalah nasib keluarganya nanti jika dia pergi di usia yang muda? Jack menangis sendirian memikirkan nasibnya.. *** “Merah! Puteh! Cepat balik! Firas dok mengamuk cari abang hampa, siap bawak geng lagi,” suruh Kak Ma kalut sambil berlari laju mendapatkan adik-adik Jack yang sedang bermain dengan rakan-rakan mereka. “Tapi abang tak ada, dia baru pi umah abang Cd.” Beritahu Puteh dengan debaran. Janganlah Firas terserempak dengan abangnya. “Ya ka? Janganlah budak Firas tu jumpak buah hati aku. Hisyhh, dah macam samseng Kak Ma tengok Firas tu!” Merah dan Puteh berpandangan. Buah hati? “Err.. Kak Ma dengan abang......” Mendengar pertanyaan tak lengkap daripada Merah itu membuatkan Ma tersenyum malu sambil mengangguk lalu bergegas meninggalkan bakal-bakal adik iparnya itu. Malunyaaaaa... Puteh, Merah dan rakan-rakan memandang Ma tidak berkelip kemudian mereka berpisah untuk pulang ke rumah masing-masing. Merah mempercepatkan langkahnya. Semakin hampir ke teratak mereka, hatinya semakin berdebar. Dia berasa tidak sedap hati. “Jom, kita pi rumah Opah Rodziah,” ajak daddy Jack kalut. Puteh dan Merah yang baru sampai di halaman rumah terus terhenti langkah mereka. “Nak buat apa pi sana?” tanya Merah laju. “Abang kena tangkap.” “Apa mummy? Abang kena tangkap? Firas betoi-betoi dah melampau! Dia sapa nak tangkap abang?” Puteh benar-benar marah! “Dah, jom kita pi sana.” Daddy Jack mendahului diikuti oleh yang lain. Meskipun hati tuanya marah, sedih namun dia tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu anak sulungnya. *** Dari jauh Jack dapat melihat ahli keluarga dari jauh-jauh yang sedang menghampiri rumah Opah Rodziah. Dia menahan air mata daripada jatuh di hadapan keluarganya. Dirinya sudah diikat kemas. Dia tidak boleh melarikan diri lagi. “Jack!” “Jack!” “Abang!” Jack menyahut perlahan panggilan daripada keluarganya. Jack melihat sanak-saudara Firas mula mengerumuninya. Jack semakin berdebar. Dia tiada pilihan. “Maafkan Jack. Mummy, daddy! Jack sudah kena tangkap!” Air matanya mengalir jua. Jack kecewa. “Daddy faham, Jack. Kamu wira dalam keluarga kita!” Jack diam tidak membalas. “Jack..” panggil satu suara. Jack mengangkat wajahnya. Dia tergamam melihat Ma di depannya. Jack mengesat air matanya. Tidak mahu keluarganya dan juga kekasihnya bersedih kerana dia ditangkap. Dan mungkin juga ini kali terakhir dia melihat wajah-wajah orang yang dia sayangi. “Tepi-tepi! Apa banyak-banyak kat sini? Nak kena tangkap jugak?” Faris menghalau keluarga Jack. Jack semakin pasrah. Keluarga Jack perlahan-lahan meninggalkan kawasan rumah Opah Rodziah. Mereka tidak sanggup melihat pengakhiran hidup Jack.. “Opah! Ayam ni nak buat rendang ke gulai? Tak sabar nak makan dengan lemang esok!” “Buat macam selalulah masa raya. Lemang cicah rendang ayam!” Opah Rodziah membalas pertanyaan cucunya itu. Cucunya yang lain sudah bersorak gembira. Hanya tunggu Pak Ngah Dali untuk menyembelih Jack dan tiga lagi kawannya. Jack pejamkan matanya rapat-rapat. Kalau buat-buat pengsan boleh tak? TAMAT
Penilaian Purata:
52

Bacaan








Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku