SHIA
Bab 1
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novelet
Paparan sejak 20 Mei 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
234

Bacaan






SHIA 1


"Menyorok konon!" Shia mencebik.


"Eh! Boleh nampak ke?" 

"Kaki kau saje dah setinggi tiang gol, ada hati nak menyorok."

Mendongak, Shia tersengih.


"Kau tak takut aku ke?" Makhluk itu bertanya.


"Kenapa pula? Sebab kau berbeza dari yang lain atau kau tak diterima seadanya?"

Makhluk itu tidak menjawab. 


Keluhan berat terkeluar dari mulut Shia. Suram mewarnai wajahnya.

"Aku dah biasa dengan semua itu. Dah lali diperhati orang dari atas ke bawah. Dah tuli dengan ejekan. Sebab itu bila kau mengekori aku, aku senang hati. Sekurang-kurangnya kita ada persamaan."


Motor suzuki merah berhenti betul-betul di hadapan Shia. Bila topi keledar dibuka, wajah ustaz Rafei nampak lebih tampan berkopiah. Ustaz Rafei memakir motor di situ sahaja. 


"Nak ke mana Shia?"

"Balik rumahlah. Nak ke mana lagi." 


Anak yang sedang meningkat remaja itu ditenung lama. Sebak mulai terasa di dada Rafei. 


"Jangan lupa malam ini, mengaji Al-Quran di rumah ustaz."

Shia mengangguk laju. Dia nampak anak mata ustaz tajam memerhati sesuatu di belakang. Apabila Shia menoleh, makhluk tinggi itu telah tiada di tempatnya


"Shia dah makan?"

Shia hanya mendiamkan diri. Malu nak utarakan jawapan yang sama setiap hari. Ustaz Rafei mencapai tangan Shia dan menuntunnya berjalan bersama-sama.


"Jom, kita makan di kedai sana."

Hati Shia berbunga. Perutnya kosong dari waktu rehat tadi. Hanya air kosong yang diteguk bagi menghilangkan kelaparan.


"Ustaz ni orang kaya ke?"


Kening Ustaz Rafei bertaut seketika sebelum menjawab dengan pertanyaan juga.

"Kenapa cakap macam tu?"


"Ya la. Tiap-tiap hari belanja Shia makan."


Ketawa Ustaz Rafei berderai.


"Sebab belanja Shia hari-hari la ustaz jadi kaya. Lebih banyak bersedekah, lebih banyak rezeki yang masuk."


Shia hanya mengangguk. Dia menoleh ke belakang. Mungkin makhluk tinggi itu juga lapar seperti dirinya. Sebab itu dia menghilangkan diri. Pergi makan juga agaknya.


Langit petang redup memayungi alam. Di belakang rumah Nenek Khadijah, sebuah kanvas putih telah mula berwarna. Bagai menari-nari jari Shia melakar lukisan dengan cat air pemberian Ustaz Rafei.


"Mata ni walaupun sikit je kelopak yang terbentuk, nampak senget sebelah pulak tu, tapi Shia boleh lihat dengan jelas tau."


Hanya duduk beralas tanah, Shia megah bercerita dengan sahabat barunya.


"Tangan ni pun, kau nampak je hodoh. Jari hantu ni walaupun paling pendek, tapi Shia boleh melukis lebih baik daripada budak-budak lain dalam kelas. Eh! Tepi la sikit. Bulu kaki kau panjang sangat. Kena lukisan ni nanti habis comot."


Sahabat baru Shia mendengar kata. Perlahan-lahan diundur kedudukannya menjauhi Shia.


"Cikgu kata Shia ni berbakat. Ada banyak kebolehan. Sebab tu Shia tak perdulipun apa orang lain nak kata. Diaorang tu nampak je bagus tapi tak boleh nak tandingi Shia pun. Haah... kau ada bakat tak?"


"Ada. Kau nak tengok?" 

Makhluk itu mengangguk-angguk. Air liur senantiasa berjuraian daripada celah giginya yang tajam. 


Shia lempar pandangan was-was.

"Tunjuklah sekarang."


Sekelip mata wajah hodoh di depan mata Shia berubah. Pandangan yang tak berkedip pada awalnya beransur-ansur suram. Walaupun tersenyum, mata Shia mula menakung air.


"Kau... nampak sempurna."


Titis-titis jernih dari tubir mata Shia yang mengenai lukisan merubah corak yang telah dilakar. Jelmaan kanak- kanak lelaki yang amat comel ditatap lama.


"Kau nak aku ubah semula? Seperti sediakala?"


Air mata dikesat laju. Shia menggeleng.


"Kalau Shia pun sempurna macam ni mesti semua orang suka pandang Shia lama-lama. Mesti tak ada orangpun yang takut nak tengok wajah Shia. Mesti... mak dan abahpun tak buang Shia."


Kanak-kanak lelaki itu hanya berdiam diri. Ada riak sayu di wajahnya.


"Kau tak ada nama lagikan? Panggil kau Adam je la."


Malam itu, usai solat Isya' dan berdoa, Nenek Jah beransur ke ruang tamu melipat kain. Shia menempek rapat di sisi Nenek Jah.


"Eh! Tak ada kerja sekolah ke nak dibuat?"


"Semua dah siap Nek. Balik sekolah je terus Shia buat."


Shia pandang lantai kayu yang kusam. Tak ada tikar getahpun melatari papan apatah lagi karpet tebal seperti rumah orang lain. 


"Menung apa?" Nenek Jah menegur.


"Nek, Shia ni menyusahkan hidup nenek ke?"


Kain yang sedang dilipat diletakkan di riba. Hati tua itu mudah benar terasa saat anak yang belum baligh lagi itu meluah rasa.


"Mestilah. Bukan senang nak jaga Shia ni. Mulut becok, pandai menjawab. Kadang-kadang degil tak nak dengar kata nenek."


Nenek Jah tahan rasa nak ketawa bila mulut Shia muncung ke depan. Kesayuan terpancar melalui sinar matanya. Tangan mendakap rapat tubuh kurus Shia.


"Tapi Shia lah pemberian Tuhan yang paling bermakna buat nenek. Tangan nenek ni dah menyambut beratus-ratus kelahiran bayi. Semuanya dipulangkan kepada ibunya. Hanya Shia seorang sahaja yang kekal dalam dakapan nenek. Inilah agaknya hikmah kenapa nenek tak ada jodoh. Supaya nenek boleh jaga Shia la."


Shia mengemaskan pelukan. Kepala bersandar pada tubuh tua itu.


"Nenek tak rasa malu ke dengan rupa Shia ni masa tu?"

Kesedihan masih mewarnai nada suara Shia.


"Kekurangan, kelebihan, susah, senang semuanya pemberian Tuhan. Kita kena terima dengan hati redha. Tu semua bukan percuma tau. Itu adalah ujian buat kita. Tuhan nak tengok teguh tak iman kita. Banyak bersungut ke banyak bersyukur."


Shia pandang mata Nenek Jah lama. Ada sesuatu yang ingin diketahuinya. 


"Nek, Shia tengok ramai yang datang mengurut dengan nenek, tapi nenek tak kaya-kaya pun. Kita buat tiket macam nak masuk zoo tu nak? Sekali urut kena beli tiket harga tiga puluh ringgit."


Ketawa Nenek Jah meletus sampai terhinjut-hinjut bahunya.


"Geliga betul otak kamu. Tapi bukan itu yang nenek cari dalam hidup ni. Nenek tak kisah pun pasal duit. Nak bayar banyak ke, sikit ke, tak bayar langsung ke, tak mengapa. Nenek tak banyak harta. Nenek tak mengaji tinggi atau pandai macam Shia. Shia ye la tiap-tiap kali periksa dapat nombor satu. Dengan kudrat ini saja nenek dapat membantu sambil beramal. Mana yang tak ada duit tu nenek niatkan sedekah."


Tangan Nenek Jah membelai lembut rambut Shia.

Anak ini amat terang hatinya. Mudah memahami rencah hidup. Kadang-kadang percakapannya melewati batas umur.


"Shia tak gembira ke tinggal dengan nenek? Nenek ni miskin. Tak ada banyak duit."


Jari jemari Shia bersatu di dalam genggaman Nenek Jah. Hati terasa damai.


" Apalah nenek ni cakap macam tu. Shia tahu, Shia ni tak sempurna. Cacat. Semuanya kurang. Tak ada yang lebihpun. Dah tentulah Shia gembira tinggal dengan nenek. Neneklah pelengkap hidup Shia."


Cepat sahaja Nenek Jah menyampuk.

"Eh! Sapa kata Shia ni serba kurang. Tu... Mulut tu tak pernah kurang bercakap pun. Becok je tiap-tiap hari."


Ruang tamu rumah kayu itu dipenuhi dengan gelak tawa mereka berdua.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku